Bab 29: Bila Soal Hati Tidak Lagi Disorok

Mature Content Series 3457

Meja makan kecil di ruang tamu itu sederhana. Pinggan berisi mee goreng daging, air sirap laici dalam gelas kaca berembun, dan ketawa-ketawa kecil yang kedengaran lebih hangat dari biasa. Suasana itu seperti mimpi. Tapi aku, Yasmin, masih dalam realiti yang entah bagaimana boleh membuat aku tersenyum walaupun hati aku masih belum tahu mahu percaya atau tidak.

Sejak tadi, tangan kiri aku disentuh perlahan. Rayqal duduk rapat di sebelah. Tak pula aku tepis. Tapi aku juga tak pandang dia. Hanya mengerling sekejap-sekejap.

Dalam hati, aku terfikir sendiri. "Hati aku ni... sekeras tombol pintu. Tapi kenapa rasa macam ada orang berjaya buka, ya?"

Rayqal menyuap sisa terakhir mee di pinggan, lalu meletakkan sudu.

"Min... saya nak kahwin dengan awak," katanya perlahan tapi jelas.

Aku tersedak. Serius tersedak. Nasib baik tak sampai tersembur ke muka dia. Aku cepat-cepat capai tisu.

"Apa awak cakap tadi?" Aku tanya sambil tahan suara. Hati aku... entahlah, macam tercucuk.

Deya di hujung meja tersenyum-senyum dan meneguk air sirap macam dia dah lama tahu skrip ni. Faizal pula buat-buat gosok skrin telefon tapi ekor matanya jelas pandang kami.

Tiba-tiba, isteri muda Dato' Karim tergelak kecil. Sopan. Suara dia lunak dan mesra.

"Kalau Min beri peluang pada Rayqal satu kali lagi, makcik rasa hilang terus sakit di dada Rayqal tu," katanya sambil ketawa kecil lagi.

Aku mencubit lengan sendiri. Betul ke semua ni berlaku? Bukan mimpi?

"Uhuk uhuk.." Kini Dato' Karim pula yang terbatuk kuat.

"Abang! Malu orang tengok," isteri mudanya menjenguk ke arah dia sambil menyuakan segelas air sirap laici dan tisu.

Semuanya berlaku begitu cepat, tapi... peliknya, aku tak rasa marah.

Aku tenung wajah Rayqal. Dia tak pandang tempat lain. Pandangan dia masih sama sejak dari awal masuk rumah ni tepat ke arah aku. Tak ada kelip, tak ada alasan.

"Kenapa awak masih nak kahwin dengan saya?" Aku tanya akhirnya.

"Sebab hati saya masih milik awak. Dan saya tak pernah bawa hati saya ke mana-mana. Masa saya buat silap dulu, hati saya masih tinggal dengan awak. Saya yang tinggalkan jasad. Tapi hati... tak pernah pergi."

Deya menekup mulut. Faizal tergelak kecil.

Mak aku senyum sambil mengelap meja. Abah aku diam, tapi tidak kelihatan marah. Mungkin diamnya bukan tanda membantah.

Aku tarik nafas panjang. Letakkan tangan aku ke atas tangan Rayqal.

"Kalau awak tipu saya lagi... saya tak janji saya akan maafkan. Tapi hari ni, saya nak cuba semula. Bukan sebab saya tak kuat untuk melupakan. Tapi sebab... saya kuat untuk memberi peluang."

Rayqal mencengkam tangan aku sedikit. "Saya janji... saya takkan sia-siakan."

Selepas makan, Rayqal membawa aku keluar dari rumah untuk seketika. Angin senja menyapa kulit wajah aku yang masih berbalut rasa malu, ragu dan… entah apa lagi.

Kami berdiri di bawah pokok mangga tepi pagar. Sunyi, tapi damai.

Rayqal menggenggam kedua-dua belah tangan aku. Tangannya hangat. Jantung aku berdebar. Dahi aku berpeluh. Tapi aku tak tarik. Aku biarkan. Aku tak tahu kenapa.

"Saya tunggu awak buka pintu hati tu buat saya untuk kali kedua, boleh?"

Aku diam. Dada aku bagai nak pecah.

"Saya tetap tunggu awak. Kalau awak abaikan saya, saya akan pastikan saya jadi bayang-bayang awak di setiap sudut tau," katanya sambil ketawa kecil.

Aku tergelak juga. Tapi gelak yang canggung. “Awak! Saya takutlah…”

"Tak perlu takut. Saya cuma nak tebus semua salah. Dan kalau awak izinkan, saya nak isi semula ruang hati awak. Tapi dengan perlahan-lahan."

Tanpa sempat aku berkata apa-apa, Rayqal mencium belakang tangan aku dengan penuh hormat dan mengenyit mata.

Aku ingin menarik tangan tapi dia terus menarik aku ke dalam pelukannya. Pelukan yang aku rindu tapi masih cuba tolak.

"Awak, tak baiklah!" Aku menolak dada dia tapi dia hanya ketawa sumbang.

"Saya geramlah dengan awak. Comel sangat bila malu."

"Hoi! Jangan ingat awak dah elus tangan saya depan mak saya tadi, awak boleh peluk sesuka hati!"

Rayqal angkat tangan, buat gaya surrender.

"Okay okay… saya simpan semua peluk ni untuk lepas kita kahwin nanti. Janji?"

Aku jeling dia. Dan dalam diam… aku senyum juga.

Dalam kepala aku, ada satu bisikan:

Kalau ini takdirnya, aku akan belajar untuk jatuh cinta lagi. Tapi kali ini, dengan langkah yang lebih perlahan, dan hati yang lebih matang.

Aku duduk di atas katil, merenung dinding kosong yang tak pernah beri aku sebarang jawapan. Fikiran aku berserabut. Hati aku penuh persoalan.

Layakkah aku jadi seorang isteri kepada lelaki seperti Rayqal?

Lelaki yang pernah aku cinta, dan yang pernah menghancurkan hati aku tanpa sengaja. Jujurnya, aku takut. Takut sangat kalau aku buka semula pintu hati aku, dan akhirnya aku sendiri yang luka semula. Aku tak tahu sama ada aku kuat nak hadap semua tu lagi.

Tapi...

Tadi Deya ada cakap, kalau aku tolak sekali lagi, jangan harap dia datang lagi. Mungkin ini peluang terakhir yang Tuhan beri untuk aku rasa dicintai. Tapi kenapa hati aku masih ragu-ragu?

Aku dah penat simpan semua ni seorang diri. Penat. Sakit. Sunyi.

Ya, walaupun berat badan aku sedikit menurun kebelakangan ni dari 88 kilo ke 82 kilo tapi jiwa aku tak pernah turun. Tak pernah ringan. Jiwa aku masih sarat. Masih kelam. Masih menangis dalam diam.

Tangan aku mengusap dada sendiri. Sakitnya bukan fizikal, tapi dalam. Dalam sangat.

Tadi masa aku tersentuh dada Rayqal... dia tak tolak. Malah dia pegang jari-jemari aku dengan penuh hati-hati. Lembut, seolah-olah dia tak nak aku hilang lagi dari hidup dia. Lembut yang... buat hati aku bergegar.

"Saya masih bertahan disebabkan awak, Min."

Ayat dia bergema dalam kepala aku berulang kali. Kata-kata yang kedengaran jujur, tanpa lakonan. Pandangan mata dia waktu tu... kosong tapi penuh harapan. Seperti seseorang yang terlalu lama menunggu cahaya.

"Awak masih sakit di sini?"

Aku tanya sambil meletakkan tangan di dada dia. Dia hanya mengangguk perlahan. Tak banyak kata, tapi genggaman tangan dia makin kuat, menggenggam tangan aku erat di atas dadanya tempat hatinya. Tempat dia menyimpan luka itu.

Dan entah kenapa, tiba-tiba airmata aku menitis. Bukan setitik. Tapi deras. Aku cuba tahan, tapi tak mampu. Aku tak tahu sama ada aku menangis sebab sedih, atau sebab lega. Mungkin keduanya.

Rayqal diam. Dia tak panik, tak bertanya kenapa. Tapi dia angkat tangannya, dan dengan jari jemarinya yang panjang dan runcing, dia menyeka airmata aku yang jatuh satu demi satu. Perlahan, penuh sabar.

Satu perkara yang aku sedar... dia masih ingat cara aku menangis. Dan dia tahu cara untuk tenangkan aku.

“Apa yang awak buat ni, Rayqal...”

Dia senyum senget. “Saya cuma jujur. Saya tak tahu kalau saya akan dapat peluang ni lagi. Jadi saya guna semua ruang yang ada ni... untuk cakap dengan awak dari hati.”

Aku pandang dia lama. Dahi dia sedikit berkerut. Muka dia tak sebersih dulu, dah ada garis-garis tua. Tapi di mata aku... dia masih Rayqal. Lelaki yang pernah jadi mimpi dan ngeri aku dalam masa yang sama.

Dan satu soalan mula berlegar-legar dalam fikiran aku.

Kenapa aku?

Aku bukan wanita yang cantik. Tak ada bentuk badan yang ideal seperti model dalam iklan. Aku gendut. Aku tak sempurna. Banyak kekurangan. Aku bukan macam perempuan yang pernah berdamping dengan dia dulu yang anggun, tinggi lampai, yang semua orang akan pandang dua kali kalau lalu di hadapan.

Tapi Rayqal... dia masih pilih aku. Dia masih cari aku.

Kenapa ya?

Aku tunduk, tak sanggup nak tanya soalan tu secara terus. Tapi hati aku mendesak. Aku perlu tahu.

“Rayqal...” suara aku perlahan, “kenapa awak pilih saya? Maksud saya... saya ni tak secantik perempuan-perempuan lain yang awak boleh dapat. Saya ni... gemuk. Saya tak ada apa-apa istimewa pun.”

Dia senyap beberapa saat. Aku hampir rasa menyesal sebab tanya, tapi masa aku nak alihkan pandangan, dia bersuara.

“Min... saya pilih awak sebab saya nampak apa yang orang lain tak nampak.”

Aku angkat muka.

“Orang lain nampak bentuk badan awak. Tapi saya nampak jiwa awak.”

Dia sambung lagi, “Saya pernah cuba lari cari yang ‘sempurna’ di mata orang, tapi akhirnya saya sedar saya paling tenang, paling jadi diri sendiri... bila saya dengan awak. Awak dengar saya bila saya tak boleh cakap. Awak faham saya walau saya cuba sembunyikan semuanya.”

Airmata aku bergenang semula.

“Awak tak tahu betapa saya rasa cukup bila saya dengan awak. Bila awak senyum, saya tenang. Bila awak marah, saya rindu. Bila awak jauh, saya hilang arah.”

Aku tak mampu tahan lagi. Aku menangis. Kali ni bukan kerana takut. Tapi kerana... terharu.

Dia genggam semula tangan aku. Kali ni, dia tak tunggu aku tarik atau balas. Tapi aku genggam balik. Perlahan.

Aku senyum dalam tangis.

“Mungkin hati saya tak sepenuhnya sembuh... tapi mungkin, saya boleh izinkan awak tolong rawat sikit demi sikit.”

Wajah Rayqal berubah. Dari tegang, jadi lega. Dia senyum, kemudian angguk perlahan.

“Itu pun dah cukup buat saya bertahan lebih lama.”

Dan malam tu, aku rasa... mungkin untuk kali pertama dalam masa yang lama, aku izinkan hati aku bernafas semula. Walaupun aku masih gendut, walaupun aku masih takut, tapi... aku sedar satu perkara.

Aku masih punya nilai untuk dicintai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience