Cahaya pagi menyelinap masuk melalui celah langsir hospital. Aroma antiseptik dan bunyi perlahan mesin masih jadi latar.
Aku buka mata perlahan. Ada rasa asing bukan lagi pening, bukan juga kosong. Tapi rasa macam… hidup. Walau masih lemah, tapi ada sesuatu dalam dada yang mula bernafas semula.
“Assalamualaikum, Cik Yasmin,” suara tenang seorang doktor menyapa sambil menolak troli kecil masuk ke bilik.
Seorang lelaki muda, berkacamata bulat, berkot lab putih dengan tag nama: Dr. Danish Hafeez.
“Waalaikumussalam…” jawabku perlahan, suara masih serak.
Mak bangun dari kerusi. Deya menyimpan telefon, terus duduk rapat ke tepi katilku. Abah berdiri perlahan, beri ruang.
Dr. Dani senyum kecil. “Macam mana rasa hari ni?”
Aku angkat bahu sedikit. “Penat… tapi laparlah sikit.”
“Bagus tu,” dia menulis sesuatu di fail. “Cik Yasmin akan saya berikan satu suntikan. Ubat ini untuk bantu stabilkan perut dan kembalikan selera makan. Usus Cik Yasmin agak kering dan bakteria baik dalam badan banyak yang mati.”
Aku terdiam.
Mati? Sampai macam tu sekali?
“Min tu degil, doktor,” celah Abah, suara masih ada nada lembut.
“Dia tak makan langsung di rumah sejak… sejak kami bergaduh.”
Deya pula cepat-cepat menyambung, macam nak buat laporan polis.
“Doktor, Min ni bukan takat tak makan… dia minum air kosong je. Air dari peti ais! Bila lapar, dia minum air sejuk. Itu je!”
Aku menggigit bibir. Malu. Tapi aku tahu mereka betul.
“Kadang-kadang aku tengok muka dia macam pontianak… pucat. Siap berpeluh, tangan sejuk. Tapi tak nak makan! Bila aku belikan bubur pun, dia senyap letak tepi je!”
Dr. Dani ketawa kecil. “Pontianak, ya?”
Deya angguk yakin. “Pontianak berhati suci. Tapi tetap menyeramkan bila duduk dalam bilik diam, tak bercakap dengan sesiapa.”
Mak dan Abah sama-sama tergelak perlahan. Aku pula sembunyi muka di balik selimut.
“Deya!” tegurku.
“Kau ni memang nak aku korek liang kubur sendiri ke?”
Deya buat muka tak bersalah.
“Aku jujur je, Min. Nanti doktor bagi suntikan tu, terus segar balik. Muka glowing. Pipi naik. Tak adalah kami fikir kau nak kena tanam hidup-hidup.”
“Cik Yasmin,” doktor sambung dengan nada profesional, “ubat ni tak sakit. Saya akan suntik di lengan ya.”
Aku angguk.
Tangan kanan aku ditarik perlahan. Dingin. Doktor sapu dengan alkohol dan suntik perlahan. Tak sakit seperti yang disangka. Hanya sedikit sejuk merayap ke dalam urat.
“Rehat banyak ya. Nanti petang kami beri makanan ringan dulu. Bubur, sup ayam… kalau Cik Yasmin boleh terima, kita tambah menu perlahan-lahan.”
Aku angguk lagi. Perlahan.
“Terima kasih, doktor.”
Dia senyum lagi. Tapi sebelum keluar, dia sempat pandang aku sekali lagi.
“Cik Yasmin kuat. Tapi kuat tak bermakna kena derita sendiri. Kalau rasa sedih, cakap. Kalau rasa lemah, rehat. Tubuh manusia bukan mesin.”
Dan dengan itu, dia pun keluar.
Lewat tengah hari.Misi masuk dengan dulang kecil. Sup ayam panas. Bubur kosong. Air teh tawar. Semua disusun atas meja sisi.
Deya tolong buka penutup makanan, sambil pandang aku macam harimau lapar tunggu mangsa.
“Min, kalau kau tak makan… aku yang makan.”
“Tak boleh!” jerit Mak cepat-cepat. “Itu makanan anak mak!”
Aku ketawa perlahan. Deya mencubit kecil lenganku.
“Ni bubur ni… aku rasa sedap. Macam bubur mak Tok Minah yang kau suka masa sekolah rendah tu.”
Aku suap satu sudu. Panas. Tapi rasa dia masuk ke tekak macam kasih sayang. Ya Allah… dah berapa lama aku tak rasa makanan suap sendiri?
Mak menangis perlahan. Abah tunduk. Deya genggam tangan aku. Dan aku makan lagi. Perlahan. Tapi aku makan.
Malam itu, dalam bilik hospital. Deya dah pulang. Mak pun rehat di kerusi. Abah berdiri lama di tepi tingkap.
Aku memerhati dia dalam diam.
“Abah…” aku panggil perlahan.
Dia berpaling. Wajahnya jelas terkejut.
“Min nak minta maaf juga.”
Abah cepat-cepat ke katil. “Jangan… jangan minta maaf. Abah yang salah. Abah ego.”
“Min tak nak dendam, bah. Tapi Min masih sakit. Bukan sebab tamparan tu… tapi sebab Abah pilih orang luar berbanding Min…”
Abah pegang tangan aku.
“Abah silap. Abah manusia biasa. Tapi Abah janji, ini kali terakhir Abah pilih sesiapa pun selain anak Abah.”
Air mata aku jatuh lagi. Tapi kali ini, bukan sebab kecewa.
Tapi sebab aku rasa…
Untuk pertama kalinya, sejak semuanya hancur aku tahu aku sedang dipulihkan.
Sedikit demi sedikit.
Sakit tu masih ada. Tapi tangan yang menyentuh luka itu kini datang dengan niat untuk merawat, bukan menambah pedih.
Dan malam itu, aku tidur dengan kenyang, dan dengan hati yang lebih ringan.
Mungkin Tuhan tidak ubah semua orang dalam hidup aku. Tapi Dia ubah cara aku melihat mereka.
Dan itu… sudah cukup untuk membuatkan aku mahu sembuh.
Suasana kantin hospital tengah hari itu agak lengang. Beberapa staf kesihatan menikmati makan tengah hari mereka dalam diam, hanya ditemani bunyi pinggan berlaga dan suara perlahan di latar.
Rayqal duduk di satu sudut paling hujung, mengenakan hoodie hitam dan topi. Tubuhnya masih lemah, tapi dia paksa diri bangun dari wad sendiri. Dia perlukan udara. Dia perlukan tenang.
Tangannya menggenggam sekeping kertas yang sudah berkedut surat yang dia tulis untuk Min tapi belum tahu sama ada Min membacanya atau tidak. Azie tak bagi jawapan. Deya tak muncul. Dan Min? Tetap hilang dari pandangan.
Dia menunduk, wajahnya kelihatan jauh lebih tua dari usia. Matanya berkaca.
“Kalau dia dah buang surat ni pun… aku terima.”
“Tapi kalau dia baca… dan diam…”
“Itu lebih menyakitkan.”
Rayqal menghembus nafas panjang. Dia tak sedar, dari jauh ada sepasang mata yang sedang memerhati gerak gerinya.
Abah.
Tangan kanan abah memegang plastik berisi nasi bungkus. Dia baru pulang dari surau hospital, dan bila ternampak lelaki bertubuh agak tinggi itu duduk membongkok di sudut kantin naluri sebagai ayah membuatkan langkahnya terhenti.
Mata Abah mengecil. Dia kenal susuk tubuh itu. Dia takkan lupa wajah lelaki yang hampir menghancurkan hidup anak gadisnya. Wajah lelaki yang muncul semula di depan rumah, hanya untuk tumbang dan masuk hospital.
Lelaki yang pernah dia tampar melalui kata-kata tajam, dan hampir dia usir dari hidup Min.
Tanpa sedar, langkah kaki Abah menuju ke arah Rayqal.
Dan bila Rayqal mendongak…
“Assalamualaikum.”
Rayqal terkejut. Dia berdiri serta-merta, walau tubuhnya masih goyah.
“Waalaikumussalam… Pakcik…”
Suasana jadi senyap sejenak. Dua lelaki itu saling merenung. Di antara mereka terbentang satu nama Yasmin.
Abah menarik kerusi di depan Rayqal, duduk tanpa bertanya.
“Saya tak tahu nak mulakan macam mana, Pakcik…”
“Tak perlu mula. Saya dah ada di sini.”
Rayqal tertunduk. Surat dalam tangan dia disorok ke dalam poket hoodie.
“Min tahu kamu keluar wad?”
Rayqal geleng. “Saya keluar sekejap je. Tak kuat nak duduk termenung lagi.”
Abah diam.
“Malam Min pengsan tu…” Rayqal cuba berkata, “saya menangis sepanjang malam. Tapi saya tahu… saya tak ada hak pun nak menangis.”
Abah pandang wajah Rayqal. Wajah itu lesu, ada bayang hitam bawah mata, dan dagunya sedikit tidak bercukur.
“Min tak tahu kamu sakit jantung, kan?” tanya Abah perlahan.
Rayqal hanya geleng.
“Saya tak nak dia risau. Tapi… dia tetap sakit juga.”
Abah ketuk meja ringan.
“Bila kamu masuk hidup anak saya, kamu bawa banyak harapan. Tapi bila kamu hilang… kamu biar dia hadap dunia seorang diri.”
“Saya… tak nak tinggalkan dia. Tapi saya lemah, Pakcik. Saya lawan ayah saya. Saya merayu. Tapi saya dikurung. Dipaksa bernikah dengan wanita yang ayah pilih. Saya cuma… ikut.”
“Lelaki yang ikut, bukan pemimpin,” suara Abah rendah, tapi tajam.
Rayqal tunduk. Tapi dia tak melawan.
“Saya tahu. Dan sebab tu saya tinggalkan isteri saya sekarang. Saya failkan fasakh. Saya tak nak dia terus tersepit. Saya tak pernah cintakan dia pun.”
Abah angkat kening. “Awak… cerai?”
“Belum. Tapi saya tak tinggal sebumbung dengan dia sejak minggu pertama nikah. Kami… tak pernah jadi suami isteri yang sebenar.”
Sunyi.
Kedua-dua lelaki itu diam.
Rayqal mengeluh. “Saya bukan nak rampas balik Min. Saya tahu saya tak layak. Tapi saya nak jumpa dia… minta maaf depan-depan. Saya nak dia tahu, dia tak bersalah. Dia tak gagal jadi tunang saya. Saya yang gagal jadi lelaki untuk dia.”
Abah gosok janggutnya perlahan. Wajahnya lembut, tapi masih tegas.
“Min tak tahu kamu dah tinggal isteri kamu. Min tak tahu kamu sakit sebenar-benarnya. Min… cuma tahu kamu kahwin dan diamkan diri. Dan itu cukup untuk hancurkan dia.”
Rayqal angguk.
“Kalau kamu nak pulihkan sesuatu, Rayqal… jangan paksa Min. Jangan buru dia dengan bunga dan surat. Dia bukan gadis yang sama. Dia dah banyak belajar dari luka.”
“Saya tahu. Saya tak nak paksa dia. Tapi… boleh saya minta satu benda, Pakcik?”
“Apa dia?”
Rayqal ambil kertas dari poket hoodie. Surat yang sama. Dilipat semula, tapi tak dibuka.
“Boleh Pakcik serahkan surat ni pada Min, bila dia dah sihat nanti?”
Abah pandang surat itu lama.
“Ada banyak luka dalam rumah saya. Dan kamu salah satu puncanya. Tapi kalau saya tolak surat ini sekarang, saya tolak peluang untuk anak saya sembuh penuh.”
Abah capai surat itu. Genggam.
Rayqal berdiri, perlahan. Tangan dia letak di dada.
“Terima kasih, Pakcik. Saya janji… saya tak akan muncul lagi kalau Min tak sudi. Tapi kalau dia panggil, walau sekali… saya akan datang. Dengan nyawa sekalipun.”
Abah pandang Rayqal. Kali ini, pandangan itu bukan lagi benci. Tapi sesuatu yang lebih berat — tanggungjawab, dan harapan yang belum padam sepenuhnya.
“Kalau kamu betul ikhlas, Rayqal… jangan datang untuk rebut Min balik. Datang untuk sembuhkan dia. Kalau Tuhan bagi peluang kedua, jangan ulang salah yang sama.”
Rayqal angguk, mata berkaca.
Dan tanpa kata-kata lebih panjang…
Mereka berpisah.
Dan Min?
Dia masih tak tahu bahawa dua lelaki paling penting dalam hidupnya telah bertemu.
Dan tak lama lagi, hatinya akan diuji lagi. Tapi kali ini, dia bukan lagi Yasmin yang rebah. Dia Yasmin yang akan buat pilihan. Dengan hati yang sudah tahu nilainya sendiri.
Share this novel