Bab 11: Hari Ini Sepatutnya Hari Bahagia Aku

Mature Content Series 3457

Hari itu sepatutnya hari bahagia aku. Aku berdiri dalam baju nikah serba putih, kain satin licin yang jatuh lembut ke buku lali, manik halus dijahit kemas menghiasi pergelangan tangan. Wajah aku disolek lembut oleh jurumekap pilihan Deya, sahabat baikku.

Tangan aku menggenggam bunga ros segar berwarna putih gading, harumannya menenangkan tapi jantung aku masih berdegup kencang. Bukan sebab takut. Tapi sebab terlalu sayang.

Majlis nikah ini bukan gah. Tapi cukup indah. Diadakan secara sederhana di dewan kecil yang dihias dengan bunga segar dan lampu-lampu kekuningan. Keluarga aku semua hadir.

Abah senyum bangga dari tempat duduk utama. Mak tak henti mengusap bahu aku dan membisikkan doa. Deya menangis lebih dari aku matanya merah, hidungnya basah. Semua nampak sempurna.

Sehinggalah aku terpandang sosok itu dari hujung ruang.

Rayqal.

Dia duduk tenang. Segak dalam baju melayu putih bersamping kelabu perak. Songkok tersarung kemas di kepala. Tapi senyumannya… nampak dipaksa. Matanya tidak bersinar seperti selalu. Ada sesuatu yang tidak kena. Gerak naluri aku meronta.

Dan saat tok kadi mula bersuara, bersedia memulakan lafaz akad, aku nampak Rayqal tunduk sedikit.

Tangan kanan dia naik ke dada. Wajah dia berkerut. Nafasnya jadi pendek.

“Astaghfirullah…”

Tanpa berfikir panjang, aku campak bunga di tangan. Kain nikah aku aku angkat sedikit, dan aku lari ke arah dia ya, dengan badan aku yang masih beralun ke sana sini, tapi aku dah tak peduli.

Yang aku nampak cuma lelaki aku sedang sakit.

“Awak! Awak kenapa ni?” Aku duduk di sisi, tanganku menggenggam erat jari-jarinya yang mulai sejuk.

“Sakit sikit… tak apa… saya cuba ya,” katanya perlahan. Senyumannya senget, penuh usaha untuk tidak tunjuk lemah.

Aku geleng kepala. Air mata aku dah mula bergenang.

“Awak tak boleh paksa diri macam ni. Awak kena berehat. Awak masih tak sihat,” aku pujuk, cuba menahan getaran dalam suara.

Dia tarik hidung aku perlahan, berlawak seperti selalu. “Saya akan sihat demi awak, Min…”

Tapi belum sempat aku balas, suara tegas menyampuk.

“Cukup.” Dato’ Karim, ayah Rayqal, bangun dari tempat duduk. Wajahnya gelap, rahangnya tegang.

Dia memberi isyarat kepada dua pembantu peribadinya. Mereka segera meluru, memapah Rayqal yang kelihatan semakin lemah ke sisi.

“Duduk dulu, kamu masih sakit. Tapi nak juga berkahwin dengan Min…” Dato’ Karim berkata, suaranya penuh sinis, pandangan matanya menusuk ke arah aku yang masih duduk di lantai.

Aku kaku. Dada aku sebu.

Puan Badriah turut berdiri. Sejak awal, dia hanya diam membatu, tapi kali ini dia bersuara.

“Sudah! Biar mereka pulang dulu.”

Rayqal masih cuba genggam tangan aku, tubuhnya menggigil kecil. “Min… jangan pergi…”

Aku rasa hati aku tercarik. Rasa nak menangis, meraung, marah semua serentak.

Tapi aku tahu… aku tak boleh pentingkan diri. Aku bukan remaja yang gila nikah semata. Aku wanita. Dan wanita yang benar-benar mencintai… akan utamakan kesihatan orang yang dicintai lebih daripada saat indah bersarung cincin.

Aku bangkit perlahan. Aku langkah ke depan. Aku tunduk sedikit ke arah Rayqal.

“Kita tunda dulu ya, awak. Saya tak nak awak paksa diri. Saya nak awak sembuh, barulah awak nikahi saya dengan yakin.”

Rayqal cuba bangun tapi gagal. Batuk kecilnya terdengar.

“Min… uhuk… uhuk… Min tunggu ya…”

Aku senyum, walaupun air mata jatuh di pipi.

“Saya tunggu. Saya tak ke mana. Kalau kita berjodoh… takkan ke mana.”

Aku pusingkan badan. Keluarga aku mengiringi aku keluar dari ruang nikah itu dengan langkah perlahan. Deya pegang bahu aku erat, cuba menyalurkan kekuatan. Mak aku bisik ke telinga aku, “Mak bangga dengan keputusan kamu, Min.”

Tapi di belakang aku, suara Rayqal masih memanggil.

“Min! Min tunggu…!”

“Cukup! Biar mereka pulang dulu!” Dan suara itu terhenti bila Dato’ Karim bersuara lagi, kali ini lebih tegas.

Dan aku melangkah keluar… sebagai wanita yang masih belum jadi isteri… tapi hatinya dah sah mencintai tanpa syarat.

Malam itu…

Malam itu, aku duduk atas katil. Baju nikah aku masih belum aku tukar. Kainnya renyuk. Solekan di wajah dah cair, bercampur dengan kesan air mata. Aku pandang cermin.

Aku nampak wanita yang patah… tapi tetap teguh. Telefon aku sunyi. Tiada mesej. Tiada panggilan. Tapi aku tahu… dia juga terluka. Dia pasti mahu aku tahu dia mencuba.

Aku capai diari aku dan mula menulis.

Hari ini sepatutnya aku jadi isteri.
Tapi aku rela jadi penunggu.

Bukan kerana aku ragu,
Tapi kerana cintaku mahu dia sihat dahulu.

Aku tak kisah ditunda,
Asal dia tak ditunda dari dunia.

Air mata aku jatuh. Tapi aku senyum sendiri.

Kerana aku tahu cinta ini bukan biasa.

SEMINGGU KEMUDIAN…

“Ayah nak kamu ikut cakap kami, Rayqal,” suara Dato’ Karim lantang bergema dalam bilik pejabat rumah agam mereka.

Rayqal duduk di sofa empuk berwarna hijau zamrud. Wajahnya pucat, masih dalam pemulihan dari penyakit yang belum jelas didedahkan pada umum. Tapi semangat dalam matanya tak pudar.

“Ayah… saya tak nak kahwin dengan Nadra,” suara Rayqal tenang, tapi ada getar tegas.

Puan Badriah yang duduk di sisi suaminya menyampuk, “Nadra dari keluarga baik. Bisnes ayahnya boleh bantu naikkan nama kita. Kalau kamu kahwin dengan Yasmin, kamu dapat apa? Seorang penjual bunga jalanan?”

Rayqal menunduk. Nafasnya berat.

Tapi dia tetap berkata, “Saya tak perlukan apa-apa. Saya cuma perlukan Yasmin.”

Dato’ Karim berdiri. Dia rapat ke arah anaknya.

“Kamu fikir cinta boleh bayar bil hospital kamu? Yasmin boleh tanggung kamu kalau kamu lumpuh? Takkan!” dia hempas fail ke atas meja.

“Dan kalau kamu terus degil… kamu takkan dapat jumpa Yasmin lagi,” sambungnya perlahan ugutan yang disulam dengan senyuman licik.

Rayqal terkejut. “Maksud ayah?!”

“Kami akan pastikan dia keluar dari hidup kamu. Kamu takkan tahu ke mana dia pergi. Semua akan diputuskan. Kami ada kuasa,” jawab Puan Badriah.

Rayqal telan liur. Nafasnya mula tercungap.

Dia sedar satu perkara cinta dia sedang diugut.

Aku duduk di kerusi kedainya yang kecil di lorong belakang taman perumahan. Bunga-bunga segar masih tersusun. Tapi hatinya rasa beku.

Sudah seminggu.

Tiada berita dari Rayqal. Tiada pesanan. Tiada khabar. Seolah-olah dia hilang.

“Min… kau okay ke? Muka kau pucat ni.” soal Deya lembut.

Aku hanya mampu senyum. “Aku okay… aku tunggu.” Walaupun jauh di dalam hati… aku tahu, mungkin cinta aku sedang diperjudikan.

Deya pandang aku lama. Mata dia penuh simpati, tapi dia tahu aku jenis yang tak suka dikasihani. Perlahan dia ambil tempat di sebelah aku, tangannya mencapai jari-jariku yang mula sejuk kerana lama tidak bergerak.

“Min, kau pernah fikir tak… kalau dia tak balik?”

Aku diam.

Soalan tu menakutkan. Tapi aku tak boleh marah Deya. Dia cuma jujur.

“Kalau dia tak balik, aku akan tetap doakan dia sihat. Itu yang paling penting.” Aku tenung bunga lili putih yang baru aku ikat dalam gubahan.

“Aku tak cinta dia sebab dia milik aku. Aku cinta dia sebab dia bahagiakan aku. Kalau takdir bawa dia jauh dari aku, aku tetap akan doakan dia senyum… walaupun bukan dengan aku.”

Deya kesat air mata sendiri. Dia tahu… aku tak main-main.

Aku angkat kepala. Seorang lelaki bertubuh tinggi berdiri di pintu. Wajahnya asing… tapi ada sesuatu tentang dia yang buat jantung aku tak sedap.

“Yasmin? Ada pesanan untuk awak.” suara lelaki itu perlahan tapi tajam.

Aku pandang Deya sejenak, kemudian aku bangun.

Lelaki itu hulurkan sampul berwarna hitam. Di atasnya hanya tertulis: “Untuk Yasmin, dari dia.”

Tangan aku menggigil sedikit sewaktu membuka sampul. Di dalamnya ada sekeping nota tulisan tangan, dan seutas gelang yang pernah aku hadiahkan pada Rayqal semasa hari jadi dia tahun lepas.

Tulisan itu kemas, tapi jelas ditulis dalam keadaan tergesa dan penuh emosi.

Min,

Maaf kerana tak hadir dalam hidup awak minggu ini. Bukan sebab saya tak nak. Tapi sebab saya dipaksa untuk hilang.

Ayah dan ibu ugut saya. Mereka akan buat awak hilang dari hidup saya kalau saya tak akur. Tapi saya tak boleh tunduk. Saya tak sanggup kehilangan awak, Min. Tapi saya juga tak sanggup tengok awak terluka.

Kalau awak baca surat ni, maksudnya saya dah pergi jauh. Bukan sebab saya mahu, tapi sebab saya sedang cari jalan untuk kembali. Saya akan datang semula. Demi awak. Demi kita. Jangan berhenti tunggu… kalau cinta awak masih untuk saya.

Rayqal

Aku duduk semula perlahan. Nafas aku sesak.

Deya merampas nota itu, membacanya sambil menekup mulut. “Ya Allah, Min…”

Air mata aku dah tumpah lagi. Tapi kali ini bukan sebab kecewa. Tapi sebab aku tahu… Rayqal sedang melawan segalanya demi kami.

Aku peluk erat nota itu ke dada. Walau gelap mana jalan yang dia pilih, aku percaya… satu hari nanti dia akan temui jalan pulang. Dan bila dia pulang, aku masih di sini.

Masih setia. Masih cinta. Masih menunggu. Kerana aku tahu… cinta yang benar tak akan lari. Cinta yang benar akan berjuang.

Tangan aku menggenggam bunga ros segar berwarna putih gading, harumannya menenangkan tapi jantung aku masih berdegup kencang. Bukan sebab takut. Tapi sebab terlalu sayang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience