Bab 6: Bila Luka Jadi Peluang

Short Story Series 383

Petang tu, langit mendung tapi gerai kami meriah seperti biasa. Meja dah penuh, bunyi senduk berlaga kuali berselang-seli dengan tawa pelanggan yang makin hari makin suka dengan “Dapur Menantu.”

Aku di belakang seperti biasa, sibuk goreng chicken pop untuk nasi lemak. Peluh menitis, tapi hati aku tenang. Ada sesuatu tentang dapur ini yang buat aku rasa aku berguna. Buat aku lupa yang aku pernah dianggap beban.

“Min, nasi lemak chicken pop satu, sirap laici satu. Makan sini!” Deya jerit dari kaunter.

“Baik!” aku sahut. Tangan lincah letak nasi, sambal, chicken pop, hirisan timun dan telur rebus. Aku siapkan minuman, serahkan dulang pada Deya. Tapi mata aku tak sempat tengok siapa pelanggan.

Hanya beberapa saat kemudian, aku dengar suara lelaki bertanya pada Deya.

“Awak dah lama buka stall ni?”

“Baru dua bulan. Tu tukang masaknya,” jawab Deya sambil jari telunjuknya menuding ke arah aku.

Dan masa tu, aku terasa sesuatu.

“Min… cantik orangnya,” ujar lelaki itu perlahan. Tapi cukup kuat untuk Deya dengar.

Deya kerut dahi. Dia toleh perlahan ke arah lelaki tu. Mata dia sempit. Hati dia rasa tak sedap.

“Awak kenal Min ke?”

Lelaki itu senyum nipis. “Saya Rayqal…”

Deya terdiam. Mulut dia terbuka sedikit, tak percaya nama itu kini berdiri di depan dia nama yang selama ni hidup dalam cerita luka Min, nama yang pernah buat Min menangis sampai sesak nafas.

“Min,” suara Deya panggil perlahan. “Min… boleh datang depan sekejap?”

Aku masih di belakang, tak sedar siapa di depan. Tapi perlahan-lahan aku rasa suasana jadi aneh. Senyap.

Aku lap tangan pada apron. Hairan juga kenapa nada Deya macam lain. Bila aku jalan ke depan, aku berhenti serta-merta. Nafas aku tersekat.

Rayqal.

Dia duduk di meja tengah, satu tangan pegang sirap laici, satu tangan di atas meja. Pandangan dia terus pada aku.

Mata kami bertembung.

Seketika itu… dunia rasa senyap. Macam semua pelanggan hilang dari sekeliling.

Aku cepat-cepat berpaling, berpura-pura betulkan dulang dan susun botol kicap. Tapi hati aku dah huru-hara. Kenapa dia datang? Apa yang dia nak? Belum cukupkah apa yang dah terjadi?

Tapi dia berdiri. Berjalan ke arah aku dengan perlahan.

“Min,” dia bersuara lembut.

Aku tak menjawab.

“Min, boleh kita cakap kejap?” Dia cuba rapat sedikit.

“Apa lagi yang awak nak?” akhirnya aku bersuara. Dingin. Jelas. Tanpa sebarang niat untuk menyambut.

“Saya tahu... saya dah buat salah. Saya tak bela awak depan mak saya. Saya tak pertahankan awak, min waktu awak kena hina. Tapi saya....”

“Awak tak kena buat apa-apa pun. Sebab saya dah tak minta dibela.” Aku pandang dia tepat. Mata aku tak goyang. “Awak dah pilih diam, sekarang awak nak apa?”

Dia tarik nafas panjang.

Matanya berkaca.

“Min, saya tahu saya tak lama…” katanya perlahan.

Aku kaku. “Apa maksud awak?”

“Sakit saya… tak stabil. Saya ada penyakit jantung. Doktor bagi masa… bukan lama. Saya tak tahu berapa lama saya ada, Min. Tapi dalam masa yang ada, saya cuma nak satu perkara.”

Aku diam. Jantung aku mula laju.

“Saya nak awak. Saya nak kahwin dengan awak, saya nak awak jadi isteri saya, bukan sebab simpati. Tapi sebab saya cinta. Dan kalau diberi peluang, saya nak ada anak-anak daripada awak.”

Aku tergamam. Hati aku berkocak. Deya yang dari tadi hanya berdiri di sisi aku dah pegang bahu aku.

Aku geleng kepala perlahan. “Awak baru nak cinta lepas saya hilang? Awak baru nampak saya lepas saya bina hidup baru?”

“Min, saya nampak awak dari dulu. Dari taman jogging tu. Tapi saya penakut. Saya tak cukup kuat. Tapi sekarang saya tahu… tak ada masa untuk tunggu. Saya ke sini bukan untuk puaskan hati mak saya, tapi untuk puaskan jiwa saya.”

Aku telan air liur yang terasa pahit. Air mata dah bergenang. Tapi aku tahan. Aku dah tak nak jadi Min yang mudah jatuh.

“Rayqal,” suara aku perlahan, serak.

“Kalau awak betul-betul sayang saya… biar saya sendiri yang tentukan bila saya sedia.”

Dia angguk perlahan. “Saya tunggu. Sampai bila-bila pun saya tunggu.”

Dia letak sehelai sampul surat atas meja. “Ini… keputusan perubatan saya. Saya tak mahu sembunyikan apa-apa dari awak.”

Aku ambil sampul tu perlahan. Tapi aku tak buka. Aku tak boleh sekarang.

Rayqal pandang aku lama sebelum dia melangkah semula ke meja dan habiskan makanannya dalam senyap. Lepas tu dia berlalu pergi, tanpa paksa, tanpa kata-kata manis yang murah.

Hanya pandangan yang sarat dengan harapan dan waktu yang terlalu singkat.

Petang tu, selepas semua pelanggan balik, aku duduk atas bangku. Deya duduk sebelah aku.

“Min… kau ada masalah ke?”

Aku pandang langit yang mula gelap. “Aku tak tahu, Deya. Aku rasa aku masih marah. Tapi aku juga takut… takut menyesal kalau tak beri peluang.”

Deya genggam tangan aku. “Apa pun pilihan kau nanti, aku ada.”

Aku angguk.

Dan malam tu, aku buka sampul surat yang dia bagi. Laporan kesihatan dia sahih. Sakit jantung kongenital. Risiko tinggi. Doktor beri jangkaan tiga tahun jika tiada komplikasi serius.

Dan aku tahu…

Luka aku dulu mungkin jalan untuk satu peluang baru.

Tapi aku juga tahu…
Cinta tak semestinya datang pada waktu yang sesuai.

Kadang-kadang, ia datang bila kita paling tak bersedia.

Dan aku perlu bersedia bukan untuk dia, tapi untuk diri sendiri.

Pilihan ditangan Min

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience