Petang tu, aku tengah lipat baju dalam bilik bila telefon aku berdering. Nama Rayqal muncul di skrin.
Aku senyum kecil sejak dia datang merisik hari tu, kami masih saling berhubung. Tapi tak selalu. Dia beri aku ruang. Dia hormat keputusan aku untuk fikirkan masa depan tanpa tekanan. Dia bukan lelaki yang mendesak. Tapi hari ini… suara dia lain.
“Min…” suara dia serak, perlahan. Macam ada sesuatu yang dia sembunyikan.
“Hah? Ya saya dengar… awak kenapa?” Aku duduk di birai katil. Hati aku mula tak sedap.
“Saya… saya kena tahan wad beberapa hari…”
Aku terdiam. Jantung aku terasa seperti terlepas rentak.
“Kenapa? Kenapa tahan wad? Awak jatuh ke?” suara aku tiba-tiba meninggi, panik tanpa sedar.
“Dada saya… sesak… tak boleh nafas sangat tadi. Jururawat tengah ambil bacaan sekarang.”
Aku rasa dunia aku membeku. Baju yang baru dilipat berterabur di atas katil. Badan aku menggigil sedikit.
Aku gendut… tapi aku sihat. Aku mampu berdiri dan bekerja, aku mampu ketawa. Tapi awak… awak yang kurus keding tu, yang tampan dan dari keluarga berada… awak yang sakit?
Suara aku terputus-putus, tidak percaya.
Ini tak adil. Dunia ni tak adil!
Aku ketap bibir. Pandang dinding. Pandang siling. Pandang apa saja yang boleh bantu aku tahan air mata. Tapi semuanya kabur.
“Min… awak dengar ke?” suara dia kedengaran makin perlahan.
Aku cepat-cepat sambut, walaupun suara aku dah bergetar. “Ya! Ya, saya dengar. Awak di unit mana nanti? Saya… saya nak datang melawat.”
Aku cuba kawal suara aku. Tapi dalam hati, dah ribut. Dah ribut petir tsunami semua sekali.
“Saya… uhuk…” dia mula batuk. Suara makin sesak. Terputus-putus.
Tiba-tiba, suara seorang wanita ambil alih. “Encik, bertenang dulu ya… kami terpaksa letak talian dahulu sementara kami rawat beliau.”
Klik.
Talian mati.
Dan aku hanya terduduk… terdiam di bilik aku, telefon masih dalam genggaman. Mata aku mula kabur. Bibir aku menggigil. Nafas tak teratur.
Aku rasa dunia runtuh.
Selama ini aku yang rasa tertolak, aku yang rasa dunia kejam pada aku. Tapi lelaki itu Rayqal dia yang lebih banyak kehilangan. Dia yang bertahan dalam diam, walau jantungnya sendiri makin lemah.
Dan aku? Aku lari dari dia. Aku beri dia harapan setengah, dan ragu-ragu yang tak pernah surut.
Air mata aku mula gugur. Aku letak telefon perlahan. Aku tunduk. Peluk lutut sendiri di atas katil.
Kenapa Tuhan beri aku cinta yang hadir dalam waktu yang salah? Kenapa aku tak mampu buka hati sepenuhnya… bila masa untuk bersama dia makin suntuk?
Aku pandang gambar kami berdua di atas meja gambar yang dia ambil senyap-senyap waktu kami di taman hari tu. Aku senyum separuh, aku tak sedar pun masa tu. Tapi dia… dia simpan semuanya. Termasuk senyum yang aku sendiri lupa aku pernah ada.
Lewat malam itu, aku bangun. Aku buka almari. Capai tudung, jaket, dan totebag aku. Tak fikir dah cuaca, jam berapa, atau siapa yang akan pandang pelik.
Mak dari dapur pandang aku dengan wajah risau. “Min, kamu nak ke mana malam-malam ni?”
Aku pandang mak. Mata aku masih merah. Air mata belum sempat kering.
“Mak… saya nak pergi hospital. Saya tak nak menyesal… kalau ini malam terakhir saya sempat jumpa dia.”
Mak tak tanya lebih. Dia hanya angguk dan capai kunci motosikal yang abah aku beli lepas aku habis spm.
Sepanjang perjalanan, aku diam. Hanya suara enjin yang kedengaran. Tapi dalam kepala aku, macam-macam yang bergema. Wajah Rayqal, suara dia waktu batuk, senyum dia waktu kami jumpa kali terakhir, dan kata-kata dia. “Saya tak tahu kalau saya ada esok.”
Sampai hospital, aku terus ke kaunter. “Saya nak jumpa pesakit bernama Rayqal anak Dato' Karim Zaidan. Dia baru masuk wad kecemasan petang tadi.”
Jururawat pandang aku. “Ah, awak ahli keluarga?”
Aku hampir nak kata kawan, tapi entah dari mana kekuatan tu datang. Aku jawab perlahan tapi yakin.
“Saya tunangnya.”
Dia angguk, tunjuk arah. “Wad 177. Tapi awak hanya boleh masuk lima minit sahaja. Dia masih dalam pemantauan.”
Langkah aku makin laju. Lutut aku rasa longgar. Tapi aku teruskan. Aku tak peduli apa orang nak kata. Aku tak peduli protokol.
Dalam wad putih yang sunyi, aku nampak tubuh kurus itu berbaring. Tiub oksigen terpasang di hidung. Mesin di sisi menunjukkan bacaan denyut nadi. Lampu siling putih terang menusuk mata, tapi aku tetap pandang satu wajah saja.
Rayqal.
Aku berdiri di sisi katil. Pandang wajah dia yang cengkung. Bibir dia pucat. Tapi dia masih hidup. Masih di sini.
Mata dia buka sedikit. Pandang aku. Wajah dia macam tak percaya.
“Min…” suara dia serak. Lemah.
Aku pegang tangan dia. Genggam erat. “Saya di sini. Saya datang, Rayqal.”
Dia senyum sedikit. Lemah. Tapi bahagia. Senyum itu… cukup untuk buat hati aku runtuh.
“Saya tahu… awak akan datang…”
Air mata aku gugur di pipi. Aku tak mampu berkata banyak. Hanya genggaman tangan aku yang jadi jawapan.
“Kalau… saya tak sempat…” dia mula bersuara.
Aku cepat-cepat sambung, “Jangan. Jangan cakap macam tu. Awak akan sembuh. Kita belum kahwin lagi. Awak janji nak ada anak dengan saya, ingat tak?”
Dia ketawa perlahan. “Anak ramai…”
Aku senyum dalam tangisan. “Anak ramai. Awak nak rumah warna putih, taman bunga matahari. Saya ingat semua tu.”
Dia genggam tangan aku lebih erat. Suara dia makin perlahan. Tapi jelas.
“Min… kalau saya tak sempat… awak teruskan hidup. Tapi tolong…”
Aku letak jari di bibir dia. Hati aku dah pecah. Tapi aku tak nak dia rasa lemah.
“Cukup. Awak akan sempat. Dan kalau Tuhan izinkan, saya nak jadi isteri awak, Rayqal. Saya dah tak nak lari.”
Mata dia berkaca. Senyuman dia pecah. Dan dalam senyuman itu, aku nampak satu harapan. Harapan untuk hidup. Harapan untuk cinta.
“Saya cinta awak, Yasmin. Dari dulu… sampai akhir.”
Dan aku… akhirnya mampu balas dengan jujur.
“Saya pun cinta awak. Dan cinta ini milik kita.”
Lima minit itu… cukup untuk ubah seluruh hidup aku. Lima minit yang jadikan aku yakin aku dah tak takut untuk mencintai semula.
Share this novel