Sudah seminggu aku tak keluar bilik.
Langsir bilik tak pernah aku buka. Lampu hanya aku pasang waktu malam, itu pun kalau perlu. Hari-hari aku berlalu macam bayang-bayang. Gelap. Diam. Sunyi.
Aktiviti aku dengan Deya? Lupakan saja. Aku tak jawab mesej. Tak angkat call. Tak buka media sosial. Tak mahu tengok wajah sendiri pun. Aku rasa semua orang sedang ketawakan aku. Mungkin Deya pun. Mungkin seluruh dunia. Dan aku? Aku cuma manusia yang gagal. Yang tak layak.
"Min, turun makan nak... kamu tak makan lagikan?" Suara mak dari luar pintu.
Aku diam.
"Min dah makan, mak..." aku balas perlahan, menahan tangis yang makin kerap menyerang.
Tapi suara mak itu. Dia tahu.
"Bila kamu makan? Nasi tak luak pun. Lauk mak dah dua kali panaskan." Nada mak makin lembut. Tapi makin lembut suara dia, makin berat rasa bersalah aku.
Aku tak mampu keluar.
Tak sanggup berdepan dunia yang buat aku rasa jijik dengan diri sendiri. Aku hanya mampu menangis. Setiap hari. Sampai mata aku jadi mata panda. Bengkak, lebam, hitam. Macam tak tidur seminggu.
Malam tu, giliran abah pula ketuk pintu bilik.
"Min, kamu tak boleh macam ni. Nanti sakit macam mana?"
Aku diam. Air mata aku mengalir perlahan. Aku pegang perut aku yang kosong, mencengkam dari dalam. Tapi aku tahan. Biar sakit. Biar perut ni menggeliat, biar badan aku lemah.
"Min betul-betul dah kenyang abah, terima kasih," jawab aku. Suara aku perlahan, parau.
Perut aku benar-benar sakit. Kepala aku rasa berat macam ketul batu tergantung. Tapi aku biarkan juga. Dalam hati aku berdoa kalau aku sakit macam ni, mungkin berat aku boleh turun sikit. Mungkin... dunia akan terima aku balik.
Pagi esoknya, aku bangun dengan badan berpeluh dan menggigil. Selimut aku dah basah. Tekak aku kering. Tapi aku tak mampu berdiri. Mata aku kabur.
Telefon aku berbunyi.
Deya???? calling...
Aku biar saja. Tapi dia tak putus asa. Kali ketiga telefon berbunyi, aku angkat. Tapi aku tak cakap apa-apa.
“MIN!!! Kau hidup ke tak ni?!” suara Deya kedengaran serak. Marah dan cemas bercampur.
Aku masih diam.
“Kau jangan buat gila, Min. Aku datang sekarang. Sumpah aku pecahkan pintu kalau kau tak buka.”
Klik. Dia matikan talian.
Beberapa minit kemudian, bunyi enjin motor Deya kedengaran di luar pagar. Aku dengar mak jerit panggil aku.
“Min! Deya datang!”
Aku tak sempat nak sorok mata bengkak. Deya dah berdiri depan pintu bilik aku dengan wajah yang penuh amarah.
“Yasmin. Kau nak mati ke?!”
Aku hanya pandang dia. Nafas aku perlahan. Suara aku serak.
“Aku… aku cuma penat.”
Deya duduk tepi katil, pegang tangan aku.
“Penat dengan siapa?”
“Dengan semua orang. Dengan cermin. Dengan badan aku. Dengan suara orang yang rasa aku ni bahan lawak. Aku... tak kuat, Deya.”
Air mata aku gugur lagi. Deya tarik aku ke pelukannya. Tak kisah pun aku berpeluh, tak kisah pun aku busuk tak mandi. Dia peluk aku macam aku ni penting. Macam aku ni masih Yasmin.
“Kau tak salah, Min. Yang salah tu dunia. Dunia yang letak piawaian kecantikan setinggi langit, tapi tak ajar manusia cara jadi penyayang. Kau manusia, Min. Bukan objek untuk ditimbang.”
Aku teresak-esak dalam pelukan dia. Lama. Sampai dada aku sakit.
Petang tu, Deya duduk di sisi aku sambil suap aku bubur nasi. Perlahan-lahan.
“Satu suap je lagi, Min. Nanti aku buat air lemon, okey?”
Aku angguk perlahan.
“Lepas ni... bila badan kau dah sihat sikit, kita start balik. Bukan untuk siapa-siapa. Bukan untuk Rayqal. Bukan untuk puaskan hati mak bapak dia. Tapi untuk kau. Untuk Yasmin yang aku kenal, yang tak pernah putus asa,” kata Deya penuh semangat.
Aku senyum sedikit, walaupun senyuman aku sangat lemah. Tapi dalam hati aku… mula rasa sesuatu yang hilang sejak lama.
Harapan.
Malam tu, sebelum tidur, aku pandang cermin kecil di sisi meja. Mata aku bengkak. Pipi aku sembap. Tapi untuk kali pertama, aku tenung wajah aku lama-lama dan aku bisik perlahan:
“Yasmin… maaf sebab aku benci kau.”
Dan untuk pertama kali juga, aku peluk diri sendiri sebelum tidur.
bila dunia tak mahu melihat aku
Share this novel