Bab 14: Bunga Yang Tidak Akan Mekar Lagi

Mature Content Series 3457

Pagi itu, aku baru pulang dari jogging. Peluh masih meleleh di dahi, dan earphone masih terpasang satu di telinga. Jalan-jalan kecil sekitar taman perumahan ini tenang.

Angin pagi menyapa wajah dengan lembut, seolah memberi ruang untuk aku bernafas… setelah terlalu lama lemas dalam duka sendiri.

Tapi semuanya berubah… bila aku tiba di hadapan pagar rumah teres kecil kami.

Ada sejambak bunga ros merah terselit kemas di atas pagar besi berwarna hitam itu. Dibalut cantik dalam plastik jernih, dengan reben merah tersimpul di tengah. Sekeping kad kecil tergantung.

Aku mendekat.

Buka plastik. Ambil kad.

Dan hanya sempat baca satu baris sebelum aku mengeluh dan tanpa tunggu lama, aku buang bunga itu terus ke dalam tong sampah.

Aku tak perlukan semua ini. Tak perlu bunga. Tak perlu kad. Tak perlu drama klise lelaki yang dulu tinggalkan aku, sekarang datang semula bawa sejambak ros merah konon-konon mahu menebus kesalahan.

Untuk apa?

Tak cukupkah dia lukakan aku?

Tak cukupkah aku menunggu dia di ruang nikah dan dia… muncul sebagai suami orang?

“Saya sakit, Min…”

Itu ayat yang dia ulang bila kami bertemu. Dan aku hanya mampu diam, kerana aku sendiri tak tahu nak jawab bagaimana. Tapi dalam hati, aku jerit sekuat-kuatnya.

“Kalau awak sakit, habis saya ni tak sakit? Tak terluka? Tak kecewa?!”

Kalau dia datang untuk kata dia menyesal, aku boleh dengar. Kalau dia datang untuk minta maaf, aku boleh beri. Tapi kalau dia datang untuk kembali… aku akan fikir seratus ribu kali. Kerana aku bukan lagi Yasmin yang dulu.

“Min!”

Suara itu menyentak aku dari lamunan. Aku berpaling, dan jantung aku berdegup laju tanpa izin.

Rayqal.

Dia berdiri tak jauh dari pagar. Masih dengan baju t-shirt gelap dan seluar jeans lusuh. Tapi yang paling ketara… mata dia.

Tajam. Berkaca. Seperti kecewa… dan marah sekali gus.

“Awak buang bunga tu?!” suaranya tinggi sedikit, dan dia melangkah ke arahku.

Aku berundur sedikit, refleks.

Dia berdiri di hadapan pagar, dan tangan dia menggenggam lengan aku, tidak kuat tapi cukup buat aku sedar dia masih lelaki yang aku pernah cintai, tapi kini aku tak benarkan dia sentuh hati aku semudah itu.

“Awak tahu tak saya gubah sendiri bunga tu?!”

Aku merenung wajah dia. Dan aku tahu, dia menanti jawapan yang lembut. Tapi aku bukan Yasmin yang mudah cair dengan bunga dan air mata lelaki.

“Oh… bunga buruk tu dari awak?” soalku dengan nada bersahaja. Dan aku nampak jelas rahangnya mengeras.

“Ya, Min. Saya yang gubah sendiri. Dan awak… awak buang?” Suaranya kini parau, seolah tertelan rasa kecewa sendiri.

Aku mengangguk.

Tanpa rasa bersalah.

“Ya, saya buang. Takkan saya nak simpan? Lama-lama rosak juga. Lagipun saya bukan perempuan yang cair dengan bunga-bunga gubahan tu. Maaf ya.” Aku berpaling dan terus membuka pintu pagar.

Melangkah masuk ke halaman rumah, dan mengunci dari dalam sebelum dia sempat buat apa-apa lagi.

“Min!” Dia ketuk pagar besi di depan aku.

Tapi aku tak berpaling.

“Min, saya datang bukan nak bergaduh! Saya… uhuk… saya nak cakap dengan awak!”

Dan tiba-tiba…

“Min…” Dia tersungkur. Tubuh Rayqal terjelepok jatuh di atas jalan tar, tepat di depan pagar rumah kami. Tangannya menekan dada, wajahnya pucat.

“Min! Ya Allah!” suara abah mengejutkan aku dari dalam rumah.

Abah sudah berlari ke arah Rayqal, dan cuba mengangkat kepalanya.

“Min! Cepat panggil ambulans!”

Aku kaku.

Dunia aku gelap seketika.

Beberapa saat kemudian, kami sudah di hospital. Ambulans yang tiba sepuluh minit kemudian membawa Rayqal dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Aku duduk di kerusi luar wad kecemasan, abah berjalan mundar-mandir, dan Deya yang baru tiba menggenggam tangan aku.

“Min… kau okay tak ni?” soalnya perlahan.

Aku hanya mengangguk. Mata aku kosong. Bukan sebab aku masih sayang. Tapi sebab aku manusia. Dan manusia… tetap akan terasa bila orang yang pernah kita cintai rebah depan mata.

Beberapa jam kemudian, doktor keluar.

“Dia stabil. Cuma tekanan jantung dia naik mendadak. Dia tak cukup rehat dan emosi dia terganggu. Kami akan pantau untuk dua malam.”

Aku hanya mengangguk. Abah berbual dengan doktor. Deya mengusap belakang aku.

“Min…”

“Deya, aku tak tahu aku marah… atau aku kesian.”

“Dua-dua pun kau rasa. Sebab kau bukan kejam. Tapi kau pun dah cukup dilukai.”

Aku tunduk.

“Kalau dia sihat balik… dan datang semula?”

“Aku akan tengok dia depan mata… dan aku akan tanya diri aku. Boleh ke aku percaya orang yang pernah lepaskan aku… masa aku paling perlukan dia?”

Malam itu…

Aku duduk di tepi tingkap bilik. Langit mendung. Kilat jauh berdentum pelan-pelan.

Telefon aku berbunyi. Kamal.

“Saya dengar pasal Rayqal… awak okay?”

Aku taip balas perlahan.

“Ya. Saya okay. Saya cuma… terkejut.”

“Kalau awak perlukan saya datang…”

“Tak perlu. Tapi terima kasih sebab tanya.”

Beberapa saat kemudian…

“Min, awak kuat. Jangan biar luka lama buat awak rebah semula. Saya ada, sebagai kawan.”

Dan saat itu, aku sedar…

Yang dulu datang bawa bunga.
Tapi yang sekarang… datang bawa bahu untuk aku bersandar.

Keesokan harinya…

Rayqal terjaga dalam bilik wad yang sunyi. Putih. Bersih. Tapi hampa. Tombol ubat masih tersangkut di jari, monitor jantung berkelip stabil. Tapi denyutannya terasa tak stabil langsung dalam dada sendiri.

Dia pejam mata sekejap.

Berharap bila dibuka semula, Yasmin ada di hujung katil. Duduk diam-diam, dengan tudung yang sedikit senget seperti biasa.
Dengan mata bundar yang dulu selalu memandang dia penuh yakin.

Tapi bila mata terbuka semula kosong. Yang ada cuma dinding. Dan bau ubat. Dan bunyi denyut jantungnya sendiri.

‘Min… awak kat mana?’ Rayqal telan liur yang terasa pahit. Perlahan, dia toleh ke sisi, dan menekan butang bantuan. Seorang jururawat muncul beberapa minit kemudian.

“Encik perlukan sesuatu?”

Rayqal mengangguk sedikit, suaranya perlahan. “Tadi… semalam… ada tak sesiapa datang… seorang perempuan… Yasmin?”

Jururawat itu termenung sekejap, seperti cuba ingat.

“Oh… yang datang semalam waktu ambulans sampai tu?”

Rayqal angguk laju. Wajahnya kembali bersinar sedikit harapan.

“Dia ada… kan? Dia… datang tengok saya?”

Jururawat itu tarik nafas perlahan. Suaranya tenang… tapi jujur.

“Maaf, encik… dia datang, ya. Tapi dia tak masuk. Dia duduk luar saja. Dengan seorang lelaki tua mungkin ayah dia.”

Rayqal kaku. Wajahnya berubah.

“Dia… tak masuk langsung?”

Jururawat itu menggeleng. “Tak. Maaf… saya tahu dia perempuan yang encik sebut-sebut masa sedar malam tadi. Tapi dia tak masuk.”

Rayqal telan rasa kecewa yang menggigit dada.

Dan sebelum jururawat sempat melangkah keluar, satu lagi suara menyampuk.

“Betul tu. Kami pun nampak dari lobi. Dia tunggu luar je.”

Tiga orang berdiri di pintu wad.
Tuan Karim. Puan Badriah. Dan Nadra.

Rayqal yang masih lemah cuba duduk, walau bahunya bergoyang perlahan. Jururawat cepat-cepat menyokong belakang dia.

“Apa kamu buat di sini?” Rayqal bertanya, nafasnya semput.

“Kami keluarga kamu. Takkan tak boleh lawat anak sendiri?” jawab Puan Badriah sambil memeluk tas tangan mahalnya.

Tuan Karim melangkah ke depan, wajah serius. “Kau nak kejar Yasmin lagi? Dia dah tinggalkan kau, Rayqal. Kalau dia betul-betul kisah, dia masuk. Tapi dia tak masuk.”

“Dia bukan tinggalkan saya. Saya yang runtuhkan semuanya,” jawab Rayqal lemah.

Nadra memeluk tubuh, berdiri dengan wajah jengkel. “Kalau dia pun tak nak tengok muka awak masa awak terlantar begini, apa lagi yang awak harap?” Ayat Nadra menikam lebih dari pisau.

Dan tanpa amaran… jantung Rayqal berdetak laju. Monitor mula berkelip laju. Nafasnya pendek. Dada dia mula terasa ketat.

Dia tekan dada.

Sakit.

Ngilu.

Sesak.

Air mata mula bergenang di hujung mata. Bukan sebab fizikal semata-mata. Tapi sebab kenyataan pahit itu terlalu benar.

Dia tunggu.
Tapi Min tak masuk.
Min tak datang dekat pun.

Dan rasa kehilangan yang sebenar menjalar perlahan-lahan ke seluruh tubuhnya.

Air mata Rayqal akhirnya tumpah.
Deras. Tiada sesiapa perasan, sebab semua sibuk dengan monitor dan butang kecemasan.

Tapi hati dia tahu…

Ini bukan sebab sakit jantung semata-mata.
Ini sebab penyesalan yang dah terlambat.

Di luar hospital…

Yasmin dan abah hanya sempat duduk sebentar di kerusi batu sebelum mereka beredar. Yasmin diam sepanjang masa. Tak berkata apa. Tak merenung ke arah bangunan pun.

“Min, kamu tak nak jenguk dia?” soal abah perlahan.

Yasmin hanya geleng.

“Kalau saya masuk… saya takut saya tak keluar lagi dengan hati yang sama.”

Abah mengeluh. “Hati kamu masih rapuh?”

“Bukan rapuh, bah. Tapi saya belajar simpan kekuatan saya… sebab dulu saya terlalu bagi segalanya. Dan dia biarkan semuanya hancur.”

Abah diam. Tapi genggaman tangan dia di bahu Yasmin cukup untuk beri kekuatan.

“Kalau dia reda kehilangan saya… biarlah saya juga belajar reda kehilangan dia.”

Malam itu, Rayqal tidak tidur. Dia hanya menatap siling bilik hospital yang kosong. Di tangan kirinya, ada satu kertas kosong. Tapi dalam fikirannya, dia menulis sesuatu.

“Min,

Maaf. Kalau semua salah saya. Saya cuma nak awak tahu… saya datang bukan untuk menagih cinta yang saya musnahkan, tapi untuk minta maaf dengan seluruh hati saya yang masih tinggal sedikit ini.

Saya mungkin tak layak lagi berdiri di hadapan awak sebagai lelaki yang awak tunggu dulu. Tapi izinkan saya minta satu…

Doakan saya.
Biar pun dari jauh.
Itu pun sudah cukup.”

Air mata mengalir semula.

Dan malam itu…
buat kali pertama sejak dia jatuh…
Rayqal benar-benar rasa dia dah kehilangan Yasmin selamanya.

“Bukan rapuh, bah. Tapi saya belajar simpan kekuatan saya… sebab dulu saya terlalu bagi segalanya. Dan dia biarkan semuanya hancur.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience