Aku langsung tak peduli lagi tentang Rayqal. Tak peduli dengan keluarga dia, atau sesiapa pun yang dulu pernah buat aku rasa kecil. Aku dah padam nama dia dari telefon, dari fikiran, dari hati aku.
Dunia dia... bukan untuk aku.
Aku juga dah tak jogging lagi. Bukan sebab aku mengalah. Tapi sebab aku dah tukar fokus hidup aku. Sekarang, setiap pagi aku bangun bukan untuk turunkan berat badan demi puaskan mata orang, tapi untuk bantu Deya berniaga di kedai makan lori dia.
Kami panggil gerai tu “Dapur Menantu” Nama pun Deya yang reka. Katanya nama tu semangat macam semangat aku yang tak boleh dikurung dan tak boleh dikubur hidup-hidup walau orang lain cuba.
Aku masak. Ya, aku si gendut ni yang dulu disindir kuat makan, sekarang aku masak untuk orang ramai. Aku masak sambal ayam, tomyam, bihun goreng, sup telur, nasi lemak. Semua resipi turun dari mak aku, yang sekarang bangga sebab resepi dia laku keras.
Hari-hari aku minum air lemon dalam botol. Botol air aku dah jadi trademark besar, jernih, ada hirisan lemon, dan kadang-kadang daun pudina.
Aku jaga bau badan, pakai deodoran yang paling kuat, sembur perfume walaupun aku tahu nanti peluh akan tutup bau tu juga. Tapi aku tak kisah, sebab aku buat ni semua untuk diri aku. Untuk keyakinan aku.
Dan Deya... dia macam tulang belakang aku sekarang. Dia yang urus akaun, ambil pesanan pelanggan, kadang-kadang buat delivery kalau perlu. Kami kerja macam satu team.
Satu hari, waktu aku tengah senduk kuah sambal untuk nasi lemak, aku dengar suara lelaki dari meja luar.
"Weh... sambal dia ni lain macam lah. Pedas padu tapi lemak dia rasa. Aku rasa nak tambah nasi la wey."
Aku tergelak kecil. Bukan sekali dua aku dengar pujian begitu. Setiap hari semakin ramai yang datang, dari pelajar kolej, pekerja pejabat, sampai ke makcik pakcik yang suka makan pagi di tepi jalan. Deya dah tambah tiga meja plastik di tepi jalan, dan hari Sabtu dia sewa kanopi kecil sebab pelanggan makin ramai.
“Ada yang datang dari luar daerah, Min. Sebab tengok TikTok yang viral tu,” kata Deya satu pagi sambil tunjuk video pendek yang direkod pelanggan aku di dalamnya, tengah masak sambal, berpeluh, tapi tersenyum sambil angkat senduk.
Aku tengok video tu lama. Dalam hati aku macam tersentuh sendiri. Aku tak sangka... aku yang dulu lari dari cermin, kini jadi wajah di media sosial yang orang kagumi kerana masakan. Bukan kerana saiz badan aku, tapi kerana apa yang aku buat.
Aku letak telefon, terus sambung kerja. Tak perlu masuk dalam kepala. Yang penting aku teruskan.
Tapi hari tu ada yang luar biasa sikit.
Sekumpulan lelaki datang bukan pelanggan biasa. Mereka pakai kemeja, siap ada salah seorang bawa fail.
Aku di belakang, tengah goreng bihun bila Deya datang bisik.
"Min… ada orang nak jumpa kau. Diorang cakap dari pihak Dato’ Karim."
Jantung aku serta-merta berdegup laju. Aku letak senduk, lap tangan aku pada apron, dan keluar perlahan ke depan. Deya berdiri di sebelah aku, tangan dia genggam tangan aku kuat-kuat.
“Saya Iskandar. Pembantu peribadi kepada Dato’ Karim,” kata lelaki berkemeja putih itu.
“Kami datang sebab Dato’ nak sampaikan sesuatu dari pihak keluarga…”
Aku tak tunggu dia habis cakap.
“Saya minta maaf. Saya rasa... tak ada apa-apa lagi antara saya dengan keluarga Dato’.” Nada aku tenang tapi tegas.
“Saya hormat mereka, tapi saya bukan sebahagian dari dunia tu.”
Dia kelihatan sedikit keliru. “Tapi Encik Rayqal..”
“Rayqal ada pilihan dia. Saya pun dah ada jalan saya.” Aku senyum. Senyuman yang paling ikhlas aku boleh beri hari ini.
“Kalau dia datang, atau sesiapa lagi, saya harap jangan kacau hidup saya lagi. Hidup saya dah cukup indah macam ni,” aku sambung sambil pandang ke arah pelanggan yang tengah makan dan senyum puas. Mereka makan makanan yang aku masak, dan aku tahu... aku berharga.
Iskandar tunduk hormat, kemudian mereka pergi.
Deya tepuk belakang aku. “Kau legend, Min. Sumpah.”
Aku ketawa kecil. “Aku bukan legend. Aku cuma... bukan budak lemah macam dulu.”
Malam tu, lepas tutup gerai, aku pandang langit. Deya duduk sebelah aku atas lantai simen.
“Min, aku nak cakap satu benda.”
“Ha, cakap lah.”
“Aku bangga gila dengan kau. Serius. Aku tahu kau masih struggle, tapi kau tak patah. Kau bangkit... dan kau tak balas dendam, tapi kau buktikan yang kau boleh hidup tanpa mereka. Dengan cara kau.”
Aku terdiam. Pandang langit yang gelap, tapi penuh bintang.
“Dulu aku fikir aku cuma layak duduk dalam bayang-bayang. Tapi sekarang… aku nak cipta cahaya aku sendiri.”
Deya senyum. Dia tahu. Aku tak perlu jelaskan apa-apa lagi.
Kereta lalu lalang depan kami. Angin malam sejuk-sejuk nyaman. Bau sisa sambal masih ada di baju, tapi aku tak kisah. Ini aku sekarang kuat, berdiri sendiri, dan perlahan-lahan belajar sayangi diri sendiri.
Kau boleh ejek aku dulu,
Kau boleh malukan aku depan semua,
Tapi sekarang…
Kau tak akan matikan aku.
Ini aku sekarang kuat, berdiri sendiri, dan perlahan-lahan belajar sayangi diri sendiri..
Share this novel