Badan aku dah mula rasa longlai. Lenguh-lenguh dari siang tadi makin jelas terasa. Mata pun dah mula berat kabur sikit bila aku pandang keluar tingkap kereta. Tapi aku tahan juga. Mana boleh tidur, suami tengah pandu kereta.
“Sayang... awak tidur je lah,” suara Rayqal tenang, satu tangan masih di stereng, satu lagi capai jari Min dan genggam.
Aku geleng lemah. “Tak nak. Saya takut awak mengantuk. Kita dua-dua tidur nanti siapa yang drive?”
Rayqal ketawa kecil. “Saya takkan tidur. Saya masih boleh fokus. Tapi awak tu... kepala asyik terhantuk tingkap je.”
Aku terus betulkan duduk. “Tak, saya masih berjaga...”
“Sayang, awak jawab soalan saya tadi pun lambat lima saat.”
Aku buat muka pura-pura segar. “Mana ada!”
Dia pandang aku sekilas. “Saya tanya tadi, awak nak makan ke tak bila sampai resort. Awak jawab... ‘Laut cantik’.”
Aku terus tutup muka dengan tangan. “Malunya! Saya jawab ikut mimpi kot…”
Dia senyum lebar. “Mimpi makan ikan buntal agaknya.”
Aku terus jeling. “Rayqal...”
Dia cepat-cepat tukar topik. “Okey, kita dah nak sampai. Saya harap awak masih ada tenaga sikit.”
Aku pandang dia penuh curiga. “Tenaga untuk?”
Rayqal senyum dengan mata yang bersinar-sinar.
“Tenaga untuk… mandi, solat… dan peluk suami sebelum tidur.”
Aku tarik nafas lega. “Saya ingatkan awak nak buat kejutan lompat masuk kolam jam 12 malam.”
Dia buat suara misteri. “Tak mustahil…”
Aku gelak perlahan, tapi kepala aku terus bersandar ke kerusi. Akhirnya mata aku pejam sendiri, tapi tangan aku masih erat dalam genggaman Rayqal.
Sesampainya di resort, dia matikan enjin perlahan. Tak sampai hati nak kejutkan aku terus aku masih diam melihat dia. Dia hanya duduk dalam kereta sekejap, pandang aku yang hampir terlena lagi dengan rambut sedikit kusut dan wajah penat.
“Sayang... jom masuk. Nanti sakit leher tidur dalam kereta,” dia sentuh lembut pipi aku.
Aku celik mata sedikit, senyum mengantuk. “Kita dah sampai ke?”
Dia angguk. “Saya angkat awak boleh?”
Aku terus geleng. “Jangan... saya gemuk.”
Dia angkat kening. “Ikan buntal kan comel. Tak kisah berat pun.”
Aku tepuk bahu dia perlahan. “Rayqal!”
Dia ketawa kuat. Tapi tangan dia masih pimpin aku keluar dari kereta, dan malam itu kami melangkah masuk ke vila perlahan-lahan.
Aku tahu, sepenat mana pun hari ni, dengan Rayqal, semuanya terasa ringan.
Jam terasa seperti enggan bergerak. Suasana malam di bilik itu sunyi, hanya bunyi pendingin hawa dan degup jantung aku yang masih belum tenang.
Cahaya samar dari lampu meja di sudut bilik mencipta bayang lembut pada siling. Aku baring menghadap ke atas, mata terbuka tapi fikiran aku mengembara ke ribuan arah.
Rayqal ada di sebelah. Dia tak banyak cakap sejak kami pulang tadi. Tapi aku tahu, banyak yang bersisa dalam hati masing-masing.
Tiba-tiba, dia bergerak perlahan ke arah aku. Tanpa sebarang kata, tangan dia menyusup masuk ke bawah selimut dan tarik tubuh aku ke dalam pelukannya. Lengan dia melingkari bahu aku. Dada dia jadi bantal aku. Hangat. Kuat. Menenangkan.
Aku pejam mata rapat-rapat. Cuba kawal nafas yang sejak tadi tak teratur. Tapi pelukan itu… pelukan dia… seolah-olah menutup semua luka yang masih basah.
"Kenapa Min?" suara dia pecah dalam senyap, perlahan, tapi cukup untuk menggoyahkan benteng emosi aku.
Aku tak terus menjawab. Jari aku sekadar bermain pada baju tidurnya. Aku takut. Tapi aku tahu aku kena cakap. Malam ini, aku tak mahu tidur dengan rasa bersalah atau berjauh hati lagi.
“Saya… saya nak minta maaf, Ray,” aku akhirnya bersuara. “Saya salah sangka. Saya fikir awak lelaki yang…” Aku tak mampu habiskan ayat.
“Lelaki yang sentuh sana sini ke maksud awak?” soal dia, nada tenang… tapi aku tahu dia terluka.
Namun pelukannya tak kendur. Malah makin erat. Dia tarik aku lebih rapat ke dadanya. Sebelah tangannya gosok belakang aku perlahan.
“Saya emosi tadi. Saya takut awak tinggalkan saya. Saya takut awak kembali ke perempuan yang pernah awak sayang dulu. Saya takut saya tak cukup.”
Pelukan aku jadi lebih kuat. Aku genggam baju dia di dada. Dalam hati, aku cuma harap dia tak leraikan pelukan tu. Aku tak sanggup rasa kehilangan malam ni. Tak sanggup.
Tiba-tiba dia bersuara lagi. Kali ni lebih perlahan.
“Saya pun takut awak berubah, Min. Masa saya nampak awak joging kat taman tu, saya pernah fikir… kalau-kalau awak dah ada orang lain. Yang lebih baik dari saya. Yang lebih layak untuk awak.”
Aku angkat muka. Pandang mata dia. Mata tu redup. Tapi penuh rasa.
“Ray…”
“Saya tanya abah dan mak awak sebelum saya beranikan diri datang balik dalam hidup awak. Saya tanya mereka jujur, kalau-kalau awak dah ada sesiapa. Dan mereka cakap, awak tak pernah ada siapa-siapa. Awak tunggu saya diam-diam.”
Air mata aku bergenang serta-merta.
Tapi aku tahan. Aku tak nak menangis malam ni. Cukuplah hati aku dah rabak siang tadi. Aku nak malam ni jadi malam di mana aku belajar untuk percaya balik. Untuk redha dengan takdir yang Tuhan bagi walaupun jalannya tak lurus, walaupun penuh luka.
Rayqal pegang pipi aku dengan kedua belah tangan. Ibu jarinya sapu lembut bawah mata aku. Kemudian dia cium pipi aku. Cium dengan penuh hormat. Penuh kasih. Bukan nafsu. Tapi rasa yang tak terungkap dengan kata-kata.
“Min…” dia bisik, hampir di bibir aku. “Saya rasa bersyukur sangat. Dapat awak. Dapat peluang kedua ni.”
Aku cuma senyum.
Kemudian dia tarik selimut lebih kemas. Dan tubuh aku ditindih perlahan oleh tubuh dia. Tak berat, tapi cukup untuk aku rasa kehadiran dia sepenuhnya. Nafas dia dekat dengan wajah aku. Mata kami saling berkait pandang.
“Nampak saya macam ni Min… mungkin nampak keras, nampak tak cukup sempurna. Tapi saya nak awak tahu satu benda saya nak awak rasa cinta saya. Itu saja.”
Aku tak mampu balas. Aku cuma angkat tangan, letakkan perlahan atas dada dia. Jantung dia laju. Sama macam aku. Dan saat tu… aku tahu. Cinta ni wujud. Walaupun luka. Walaupun pernah gila. Tapi dia wujud. Dia ada. Dan aku dah pilih untuk tinggal dalam cinta tu.
Kami tak banyak bercakap selepas itu. Pelukan demi pelukan malam itu jadi bahasa utama.
Sentuhan ringan di belakang aku, kucupan kecil di dahi, cara dia genggam tangan aku sepanjang kami diam di katil. Semua itu jadi ubat yang aku tak pernah minta… tapi aku terima dengan penuh syukur.
Rayqal tak cuba buru lebih. Dia tahu… malam ini bukan malam untuk nafsu. Tapi malam untuk penyembuhan.
Malam untuk pernikahan yang pernah hampir rebah. Dan akhirnya… aku tertidur dalam pelukan dia.
Keesokan Paginya. Cahaya matahari mula menyelinap masuk dari celahan langsir. Aku buka mata perlahan. Dan aku tahu ini bukan pengakhiran kisah cinta kami. Ini baru permulaan.
Suasana tenang. Dingin dari pendingin hawa menyentuh kulit, dan selimut yang menyelubungi tubuh aku hanya memanaskan luar sedangkan dalam hati aku masih lagi mencari hangat dari ketenangan sebenar.
Tapi… ruang di sebelah aku terasa kosong. Rasa selimut yang tidak bergerak bila aku tarik membuatkan aku sedar Rayqal tiada di sebelah.
Aku segera menoleh, mencari sosok itu. Kat situ. Di meja kecil di hujung bilik.
Dia duduk di kerusi, membelakangi katil. Wajahnya sedikit tunduk. Satu tangan memegang segelas air, satu lagi menekan perlahan bahagian dadanya. Aku terus bangun, rasa hati mula tak menentu.
Aku tahu gerak tubuh dia. Aku tahu bila Rayqal berpura-pura okay.
Langkah aku bawa ke arahnya, perlahan tapi tanpa ragu. Bila aku dekat, aku terus duduk di hadapannya tanpa kata. Tanganku letak di dada dia tepat di tempat yang ditekan tadi. Aku usap perlahan.
“Masih sakit ke?” Suara aku hampir tenggelam dalam senyap.
Rayqal pandang aku dan cuba senyum. Tapi senyuman tu… senyuman yang tak sampai ke mata. Wajah dia pucat, dan ada bayang letih yang dalam.
“Tak… saya bangun sebab haus je,” dia jawab, cuba menyedapkan hati aku.
Tapi aku kenal dia. Aku kenal cara dia berselindung di sebalik alasan-alasan kecil. Air muka dia tak pernah pandai menipu.
Aku tak balas. Aku cuma peluk dia. Lingkar tangan di pinggang dia dan peluk sekuat yang aku mampu. Seolah-olah kalau aku lepaskan, dia akan hilang. Seolah-olah tubuh itu tempat aku berpaut waktu dunia bergoncang semalam.
“Min…” bisik dia. Suara yang berat. Tapi ada getar lembut di hujungnya.
“Ya.” Aku masih dalam pelukannya.
Dia diam seketika. Nafas dia kedengaran berat.
“Maafkan saya… kalau saya tak mampu bahagiakan awak macam orang lain buat untuk isteri mereka. Saya banyak sangat kekurangan, Min. Banyak benda saya sendiri tak tahu macam mana nak urus. Saya takut saya buat awak menyesal.”
Aku angkat wajah aku. Pandang dia. Wajah lelaki yang dah banyak buat salah… tapi juga banyak belajar dari salah itu.
“Kekurangan awak… itu kekuatan saya, Ray. Saya tak pernah minta awak jadi sempurna. Saya cuma nak awak jadi awak. Lelaki yang saya pilih, bukan lelaki yang orang lain bentuk.”
Dia pandang aku lama.
Dan buat pertama kalinya sejak malam semalam, dia senyum. Senyum kecil yang ada kesyukuran, ada rasa lapang, dan ada kasih yang dah mula pulih.
Tangannya naik menyentuh wajah aku. Ibu jari dia sapu pipi aku perlahan. Jemarinya bermain di rahang aku, turun ke dagu, lalu berhenti.
Dan perlahan-lahan, dia tunduk.
Bibirnya menyentuh bibirku perlahan, penuh cermat, seolah takut aku lari. Tapi aku tak bergerak. Aku tak lari.
Aku balas dengan tenang. Ciuman kami lama, bukan ghairah, bukan tergesa-gesa… tapi ciuman yang bercerita banyak perkara yang mulut tak mampu sampaikan.
Ciuman yang lahir dari dua jiwa yang hampir retak semalam… tapi memilih untuk tetap berpaut hari ini.
Bila kami berpisah, dia masih pegang wajah aku. Mata dia lembut menatap.
“Min… terima kasih sebab tak lari dari saya.”
Aku geleng perlahan. “Saya lari sebab sakit hati. Tapi saya balik sebab saya tahu, awak tak ke mana. Awak tetap tunggu.”
Rayqal mengeluh ringan. Dia peluk aku sekali lagi. Lama. Dalam pelukan itu, aku dengar degup jantung dia. Degup yang laju sama seperti degup aku malam tadi.
Dan dalam pelukan tu, aku tahu…
Kami sedang cuba bina balik rumah kecil dalam hati masing-masing. Rumah yang semalam nyaris runtuh.
Beberapa minit kami hanya diam. Aku duduk antara peha dia, bersandar pada dadanya. Dia peluk dari belakang. Tangan dia usap-usap rambut aku.
“Apa kita buat hari ni?” soalku perlahan.
“Tidur balik. Dunia belum perlu kita lagi. Saya nak pegang awak lama-lama hari ni.”
Aku tergelak perlahan. “Tak kerja ke encik CEO?”
“CEO pun ada hak cuti peluk isteri dia,” balas dia selamba.
Dia bangun, tarik tangan aku perlahan-lahan ke katil. Kami berbaring semula, tapi kali ini tak seperti sebelum ni. Pelukannya lebih erat. Lebih yakin. Lebih sayang.
“Min…” panggil dia bila aku hampir lelap.
“Hmm?”
“Kalau saya mati dulu, tolong teruskan hidup ya. Jangan salahkan diri sendiri. Saya nak awak terus hidup, Min.”
Aku buka mata.
“Kenapa cakap macam tu?” suara aku mula gementar.
Rayqal senyum kecil, dan dia peluk aku lebih erat.
“Sebab saya dah letakkan awak dalam doa saya setiap malam. Kalau satu hari nanti saya tak sempat ucap apa-apa… saya nak awak tahu, saya sayang awak. Sepenuh hati.”
Air mata aku bergenang. Tapi aku tak menangis. Aku cuma cium tangan dia.
“Saya pun sayang awak. Dan saya takkan biar awak jalan sorang dalam hidup ni. Saya akan ada. Walau susah mana pun nanti.”
Dan akhirnya, aku pejam mata. Tidur dalam dakapan dia. Honeymoon kami di Phuket tidak berakhir dengan pesta atau kemewahan.
Tapi ia berakhir dengan satu perkara yang jauh lebih bermakna. Keberanian untuk terus memilih satu sama lain, walaupun selepas perit dan luka.
Dan pagi itu, aku sedar…
Aku tak perlukan lelaki sempurna.
Aku cuma perlukan dia yang tetap pilih aku walau aku pun penuh cacat cela.
Share this novel