Bab 45: Bila Honeymoon Diserbu Elit

Mature Content Series 4165

Rayqal, lelaki tinggi lampai yang kononnya pewaris syarikat hartanah mega tu… masih juga berkelakuan seperti budak lima tahun yang tak nak bercerai dengan bantal busuk.

Tapi malangnya, bantal busuk tu adalah Yasmin. Tangannya erat melingkar di pinggang Yasmin, macam gam super industrial. Setiap kali Yasmin cuba bergerak, dia makin kuat mencengkam.

"Sayang… jangan jauh-jauh." Suara dia serak manja, penuh nada rengek yang tak padan dengan gaya suami.

"Ray… saya nak turun pergi tandas laa," Yasmin bersuara perlahan, cuba tarik tangan dia.

Tapi dia peluk lebih kuat. Macam takut Yasmin terbang.

"Sayang pergi, tapi balik semula. Saya nak peluk awak lama-lama… saya rinduuu." Dia sembam muka ke leher Yasmin.

Aduhai…

Yasmin tarik nafas panjang, sabar. Memang tak dinafikan sweet. Tapi kadang-kadang, sweet sangat pun boleh jadi menyemak!

"Ye, ye! Saya balik semula. Sumpah!" Yasmin akhirnya berjaya ‘melarikan diri’ dari pelukannya yang macam gurita tu, lalu masuk ke bilik air dengan hati lega.

Dalam bilik air, Yasmin baru nak mula syampu rambut, ketika terdengar satu ketukan kuat di pintu utama bilik hotel.

Tuk! Tuk! Tuk!

Sekali. Dua kali. Tiga.

Yasmin terus berhenti, telinga pasang.

Rayqal yang hanya bertuala lilit pinggang, bangun mamai-mamai, gosok mata sedikit dan meraba cari tuala baharu. Dengan gaya separuh sedar, dia buka pintu.

"Ma? Pa?!"

Suara dia berubah tinggi.

Dari balik pintu, Puan Badriah dan Dato’ Karim berdiri lengkap berpakaian formal, seperti baru keluar dari majlis rasmi.

Rayqal terbeliak. Mulut terbuka, tapi tiada kata keluar.

"Awak buka pintu… pakai tuala saja?" Dato' Karim mengangkat kening.

Rayqal gelabah, tapi belum sempat dia bertindak, tangan Mama dia menolak pintu lebih luas dan seperti ejen FBI veteran, kedua-duanya masuk tanpa segan silu.

"Apa dah jadi dalam bilik ni? Boxing ke perang dunia ketiga?" Dato’ Karim bersuara sinis.

Matanya melilau. Cadar senget. Bantal bertaburan. Tuala atas lantai. Skrin TV masih menunjukkan rakaman drama Korea semalam.

Rayqal cuba hadang mereka. "Ma, Pa… saya minta maaf, saya."

Puan Badriah berjalan laju ke arah katil, memegang hujung cadar dan… menyiasat.

Ya. Menyiasat!

Macam nak cari cap jari kes jenayah. Tangannya halus, tapi geraknya yakin. Pandangan mata dia tajam, fokus.

Yasmin… yang baru keluar dari bilik air hanya bertuala, rambut basah, wajah tanpa bedak atau lip balm terkaku di pintu. Ya Allah. Rasa macam dunia berhenti.

"Ya Allah!" Yasmin hanya sempat menjerit kecil sebelum terus kaku.

KAKU.

Puan Badriah berpaling perlahan-lahan. Mata dia mendarat pada Yasmin. Dari kepala sampai kaki. Dia berjalan menghampiri langkah demi langkah memandang Yasmin macam sedang menilai baka kuda lumba terbaik.

Yasmin rasa seperti haiwan pameran final round pertandingan lembu tenusu elit.

"Ma… jangan macam ni, please," Rayqal cuba halang dan berdiri di depan Yasmin, tarik tangan Yasmin perlahan-lahan ke belakang dia.

Suasana senyap.

Terlalu senyap.

Tiba-tiba…

"Okay. Mama setuju. Dia boleh jadi menantu kita, Papa."

Hah?!

Yasmin dan Rayqal serentak berpaling. Muka mereka macam kena simbah air sejuk.

Apa yang berlaku ni?

Yasmin sempat lihat Puan Badriah keluarkan telefon, ambil gambar tengah-tengah katil, kemudian angguk kepala perlahan… dan terus keluar dari bilik, seolah-olah misi dia sudah selesai.

Datin Sherlock Holmes selesai siasatan agaknya. Dato’ Karim pula sempat senyum sipi, bagi tapak tangan atas bahu Rayqal, dan beredar.

Pintu tertutup.

Yasmin terduduk di tepi katil.

Bahu Yasmin bergetar.

Air mata Yasmin mengalir. Bukan sebab gembira. Tapi sebab malu.

Terlalu malu.

Dengan tuala, rambut leper, wajah basah dan cadar katil sebagai ‘bukti’ malam tadi Yasmin rasa telanjang harga diri. Rasa tak bermaruah. Tak layak. Tak cukup sempurna untuk keluarga sehebat mereka.

Rayqal cepat-cepat melutut di depan Yasmin. Tangannya pegang lengan Yasmin. Suaranya berubah panik.

"Min… sayang… awak dengar saya tak?"

"Min, please… jangan diam macam ni. Jangan buat saya takut. Saya minta maaf sebab tak jangka mereka datang tiba-tiba. Saya… saya tak tahu Mama boleh bertindak sampai macam ni."

Yasmin tak mampu jawab. Mata Yasmin kosong. Kepala Yasmin rasa berat.

Yasmin cuba nak melangkah ke sofa. Tapi langkah Yasmin goyah. Dunia berpusing. Suara Rayqal makin kabur.

Dan gelap.

Yasmin rebah. Terus ke pelukan Rayqal.

"Min! Sayang! Please buka mata… sayang!" Suara dia panik. Nafas dia tak teratur.

Dia letak kepala Yasmin atas pangkuan dia, tangan dia sapu wajah Yasmin penuh cemas. Wajah tenangnya lenyap diganti dengan ketakutan seorang suami yang tak bersedia kehilangan.

Peluh turun setitik demi setitik dari dahinya.

"Jangan tinggalkan saya Min… sayang, bangun. Bangun please!" Rayqal peluk Yasmin erat, dahi dia cecah ke dahi. Suara dia makin bergetar.

Dan buat pertama kali…

Rayqal menangis.

Dunia pasangan suami isteri ini tak pernah biasa. Mereka bukan sempurna. Tapi mereka cinta sungguh-sungguh, pertahankan walau di tengah malu, tangis, dan krisis. Di tengah kejut elite dan hilang maruah, Rayqal sedar satu perkara.

Cinta itu bukan hanya ketika ketawa. Tapi waktu seseorang rebah, dan kau tetap tak lepas.

Pintu wad itu terbuka perlahan. Seorang doktor berwajah serius keluar bersama dua orang jururawat yang kelihatan sibuk menulis sesuatu di papan laporan. Rayqal yang sejak tadi berdiri gelisah di luar pintu terus menegakkan tubuh, wajahnya penuh cemas.

“Macam mana dengan isteri saya, doktor?” Suara Rayqal serak, hampir bergetar.

Doktor itu menghela nafas perlahan sebelum menepuk bahu Rayqal.

“Isteri encik dalam keadaan stabil. Dia cuma terlalu tertekan dan tubuhnya mengalami ‘collapse’ kerana keletihan fizikal dan emosi. Dia perlukan rehat. Elakkan sebarang tekanan buat masa ini.”

Rayqal mengangguk laju.

“Terima kasih, doktor… terima kasih.”

Doktor hanya mengangguk kecil, lalu beredar bersama jururawat.

Rayqal segera melangkah masuk ke dalam wad.

Langkahnya perlahan, tapi jantungnya berdegup terlalu laju. Pandangan matanya hanya tertumpu pada Yasmin yang terbaring di katil pesakit dengan wajah pucat, rambut masih lembap, dan tangan disambungkan ke drip.

“Sayang…” Rayqal duduk di kerusi di sisi katil, jemarinya menggenggam tangan Yasmin yang sejuk. Matanya merah, masih sarat dengan air mata yang cuba ditahan.

“Saya minta maaf… semua ni salah saya. Saya sepatutnya lindungi awak.”

Yasmin membuka mata perlahan-lahan. Kelopak matanya masih berat, pandangan kabur. Tetapi suara Rayqal yang bergetar itu menusuk masuk ke telinganya.

“Ray…” suara Yasmin serak, hampir tak kedengaran.

Rayqal segera mendekat, wajahnya berubah panik. “Ya, sayang! Saya ada kat sini. Awak jangan risau. Saya takkan tinggalkan awak.”

Yasmin menarik nafas perlahan, kemudian memalingkan wajahnya sedikit ke arah tingkap. Air mata jatuh, bukan kerana sakit di tubuh, tapi kerana luka di hati masih membekas.

“Rayqal…” suaranya terputus-putus. “Saya penat.”

Rayqal tergamam. Hati lelaki itu bagai dirobek dengan perkataan ringkas itu. Dia tahu, penat yang Yasmin maksudkan bukan sekadar tubuh, tapi seluruh jiwa.

Dia cuba menggenggam tangan Yasmin lebih erat. “Kalau awak penat, biar saya yang jadi kekuatan awak. Jangan lepaskan saya, Min… tolong.”

Yasmin menggeleng lemah, airmatanya terus mengalir. “Rayqal… saya tak tahu boleh bertahan sampai bila.”

Rayqal tunduk, dahi menyentuh tangan Yasmin. Bahunya bergetar menahan sebak.

“Selagi saya hidup, saya akan pastikan awak tak pernah sendiri. Saya janji, Min. Saya janji…”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience