Bab 46: Diam Yang Paling Pedih

Mature Content Series 4165

Sunyi.

Sunyi yang bukan biasa-biasa. Sunyi yang membunuh.

Bunyi pendingin hawa yang menderu perlahan pun terasa bagaikan dentuman halilintar di ruang tamu eksklusif itu. Seolah-olah seluruh rumah ikut membeku bersama perasaan manusia di dalamnya.

Tinggal tiga insan berdiri dalam ruang yang dulu pernah penuh tawa. Kini… hanya kebisuan yang menggigit tulang belakang.

Dan seorang insan telah pergi membawa seluruh nyawa Rayqal bersamanya.

Rayqal masih berdiri memaku di depan pintu. Nafasnya kencang, tidak teratur. Matanya merenung pintu kayu itu, seakan masih berharap ia akan terbuka semula… dan Min akan kembali masuk, senyum seperti selalu.

Tapi tidak.

Min pergi.

Min… pergi dengan mata yang penuh luka. Dan kata-kata terakhir itu…

"Saya tak nak cipta drama, Ray."

Ayat itu menikam lebih dalam dari sembilu. Perlahan-lahan, Rayqal meraup wajahnya. Tangannya menggigil. Dalam dada, ada gemuruh yang bukan dari luar tapi dari hati yang mula retak dan tidak mampu lagi ditampung.

Dia berpaling.

Dan kali ini, matanya jatuh tepat pada dua wajah yang dia sayang tapi juga, dua wajah yang telah menghancurkan segalanya.

Dato' Karim dan Puan Badriah. Wajah mereka tegang. Tapi tetap cuba kelihatan tenang.

“Ray…” Puan Badriah bersuara perlahan, melangkah ke hadapan.

Tapi belum sempat dia dekat, Rayqal angkat tangan. Isyarat yang mengejutkan. Lirih tapi tegas.

Bukan untuk menampar.

Tapi untuk menghentikan semuanya. Segala yang tidak patut berlaku.

“Cukup, Ma.”

Suaranya serak. Parau. Seakan ditarik terus dari dasar luka.

“Cukup dengan semua ni. Saya dah diam terlalu lama.”

Puan Badriah terhenti di tempatnya. Dato’ Karim menarik nafas, masih kaku.

Tak pernah tak pernah sekali pun mereka lihat Rayqal begini. Anak lelaki yang sejak kecil begitu patuh, begitu lembut, begitu teratur kini berdiri dengan mata merah, urat di leher menegang, tubuhnya menggigil menahan amarah.

“Sejak awal lagi Mama dan Papa pandang rendah pada Min,” katanya lagi, setiap patah perkataan bernada keras, penuh luka.

“Hanya kerana fizikal dia. Hanya kerana dia bukan dari keluarga elit. Bukan dari ‘darah bangsawan’.”

“Ray, kamu dah terlalu ikutkan emosi.” Dato’ Karim cuba menyampuk, tapi…

“Kalau itu yang Papa nak cakap, lebih baik Papa diam.”

Ayat itu... menampar lebih kuat dari sebarang tangan.

Dato' Karim terkedu. Matanya membulat. Tidak pernah sekali pun anaknya bercakap begitu kasar.

“Saya dah terlalu lama telan semuanya.” Langkah Rayqal mula menghampiri mereka. Mata berkaca. Dada turun naik menahan sebak.

“Mama tahu tak… semalam Min sakit. Perut dia senak, pening, tapi dia masih peluk saya. Masih sediakan makan, masih lapkan peluh saya. Dia jaga saya macam saya ni satu-satunya lelaki dalam dunia ni.”

Puan Badriah tunduk. Bahunya mula jatuh perlahan.

“Dia cuma nak jadi isteri yang baik. Tapi apa Mama bagi dia semalam? Sindir. Pandang dari atas kepala. Uji kesabaran dia setiap masa.” Dia ketap gigi. Air mata makin hampir tumpah.

“Dan pagi ni… bila saya rasa hidup saya sempurna… Mama dan Papa datang macam polis buat serbuan. Keluarkan semua barang dia. Cek beg dia. Korek laci. Macam saya tengah simpan penjenayah!”

Suara Rayqal sudah tinggi. Pecah ke ruang yang dulunya sunyi. Tangannya mengetap ke sisi. Jari-jemari sudah pucat menahan marah.

“Min… pengsan depan mata saya, Ma. Sebab tekanan.”

Perlahan suara dia pecah.

“Dan bila dia sedar… dia tak marah. Dia tak salahkan sesiapa. Dia cuma cakap..”

Dia tunduk. Satu air mata jatuh ke lantai marmar.

“dia tak nak cipta drama.”

Pilu. Tembus.

“Saya hilang isteri saya hari ni. Tapi bukan sebab tak ada cinta. Saya hilang dia sebab kamu berdua tak pernah cuba faham.” Dia geleng kepala perlahan, cuba tahan rasa hancur yang semakin membiak dalam dada.

“Saya… saya rasa macam orang bodoh. Sebab saya sangka cinta tu cukup untuk lindungi dia dari semua ini. Tapi saya salah. Saya terlalu percaya kamu berdua akan berubah.”

Rayqal berpaling. Tangannya diangkat seolah mahu menyentuh udara.

“Saya sangka bila Mama tengok betapa bahagianya saya dengan Min, Mama akan terima dia. Saya fikir bila Papa tengok macam mana Min jaga saya, Papa akan hormat dia.”

Langkahnya terhenti.

“Tapi saya lupa… ego kamu berdua lebih besar dari kebahagiaan anak sendiri.”

Puan Badriah cuba melangkah lagi. “Rayqal, Mama minta maaf…”

Tapi Rayqal ke belakang. Undur setapak.

“Saya tak nak peluk sesiapa sekarang.”

Suaranya kembali perlahan. Hampir seperti bisikan yang ditelan tangisan.

“Saya nak Min balik.” Dua tangan menggenggam. Jelas ketara tubuhnya menggigil.

“Saya akan cari dia. Walau ke mana pun dia pergi, saya akan cari. Saya akan pastikan dia tahu walau siapa pun tak terima dia, saya tetap nak dia. Dengan atau tanpa restu sesiapa pun.”

Mata Dato’ Karim mula basah. Puan Badriah menangis diam-diam. Rayqal berpaling, dan melangkah laju ke pintu.

“Rayqal…” suara itu memanggil, parau, penuh sesal.

Tapi dia tidak berpaling. Dia hanya membuka pintu, dan buat pertama kali…

Dia hempasnya.

Perlahan tapi cukup kuat untuk buat dua hati yang tinggal terpecah ke tanah.

Yang tinggal kini hanyalah dua insan tua. Yang mula sedar bahawa mereka bukan saja mungkin telah kehilangan seorang menantu yang benar-benar mencintai anak mereka…

Tapi lebih dahsyat… Mereka mungkin telah kehilangan anak mereka sendiri.

Rayqal memandu dalam diam. Cengkaman jari di stereng makin kuat setiap kali fikirannya melompat semula ke wajah Min wajah yang kosong, mata yang langsung tak mahu menatapnya, dan langkah yang menjauh tanpa sepatah kata.

Hujan renyai-renyai mengiringi malam. Wiper mengesat cermin depan dengan irama perlahan, sedangkan degup jantungnya berlari tak tentu arah.

Dia cari. Setiap lorong, setiap hentian. Sampai matanya tangkap satu sosok duduk diam, membongkok sedikit di bangku besi dekat hentian teksi. Seorang perempuan, tubuh kecil, basah dengan air hujan, tangan memegang kepala.

Min.

Dia tekan brek.

Tanpa fikir panjang, dia buka pintu, keluar, dan melangkah ke arah itu.

"Min," panggilnya.

Min tak menyahut. Bahu perempuan itu bergerak sedikit menahan kesejukan, atau tangisan?

Rayqal berdiri depan Min. Tunduk sedikit.

“Jom balik,” katanya perlahan. Bukan memujuk. Tapi menjemput.

Min diam. Dia bangun, tanpa pandang Rayqal, tanpa kata. Cuma ikut langkah. Kaki mereka selari menuju ke kereta.

Rayqal buka pintu penumpang. Min masuk, duduk tenang. Tapi matanya tetap jauh, memandang keluar.

Dalam kereta, hanya ada suara hujan dan enjin yang perlahan.

Rayqal tak terus bercakap. Dia tahu, apa-apa yang dia kata malam ini, Min takkan percaya. Bukan sebab dia keras kepala. Tapi sebab luka dia terlalu dalam.

Beberapa minit berlalu.

“Saya nak balik Malaysia,” suara Min akhirnya keluar. Lurus. Tenang. Tapi ada sesuatu di sebalik itu sesuatu yang retak.

Rayqal angguk. “Baik. Kita balik.” Dia hulur tangan, nak pegang tangan Min. Tapi Min tarik tangan dia. Tak kasar, cuma jelas.

Rayqal tarik nafas perlahan. Dia terima.

“Min… awak makan apa hari ni?” soalnya.

Min diam.

“Saya turun sekejap. Ada restoran dekat depan ni. Saya beli makanan sikit. Awak tunggu dalam ni, ya?”

Tiada respon.

Tapi Rayqal tahu, itu bukan penolakan. Jadi dia keluar. Langkahnya panjang, tapi hati rasa berat.

Min bersandar perlahan. Pandangan masih ke luar, tapi fokus entah ke mana. Air mata tumpah satu persatu. Bukan kerana lemah. Tapi kerana kecewa.

"Kenapa dia tak nampak aku disakiti waktu aku perlukan dia?"

"Kenapa dia lambat bertindak, baru sekarang mahu lindungi?"

Dia peluk tubuh sendiri. Dada dia senak. Mata dia merah. Tapi dia telan semuanya. Kerana sekarang bukan masa nak meledak. Dia cuma nak pergi jauh dari semua yang buat dia rasa rendah.

“Kalau bukan sebab dia sakit… aku takkan kahwin dengan dia. Tapi kenapa aku jadi perempuan yang jatuh cinta… terlalu cepat?”

Pintu kereta dibuka semula. Rayqal masuk. Letak plastik di konsol tengah.

“Sup panas… ada roti. Awak suka sup kan?”

Min pandang makanan tu, tapi tak jamah.

“Min,” Rayqal bersuara, kali ni suara dia lebih dalam. Lebih lelaki.

“Saya takkan paksa awak maafkan saya malam ni. Tapi saya nak awak tahu saya takkan diam lagi. Apa pun jadi, saya akan berdiri depan awak.”

Min angkat mata, pandang dia akhirnya. Wajah Rayqal tenang. Tapi matanya jelas penuh kekesalan.

“Saya tak nak awak rasa bersendirian dalam apa pun. Kalau saya lambat… saya minta maaf. Tapi saya takkan ulang salah yang sama.”

Min tak jawab. Tapi pandangan dia berubah. Ada pecahan kecil dari dinding kecewa tu, mula runtuh sedikit demi sedikit.

“Saya akan bawa awak balik Malaysia. Dan saya akan pastikan awak takkan dipijak sesiapa lagi.” Rayqal genggam stereng.

Teguh.

“Jangan janji apa-apa, Rayqal. Saya dah tak percaya janji.”

Dan Rayqal… hanya mampu angguk.

Sebab dia tahu, kali ini bukan kata yang boleh ubah segalanya. Tapi tindakan. Dan dia akan mula dengan satu perkara. Menebus diamnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience