Rayyan duduk di hujung katil hospital sambil memegang buku mewarna kesayangannya. Matanya memandang ke arah ibunya yang sedang tidur, wajahnya pucat, tubuhnya kurus semakin ketara. Di sisi katil, mesin masih berbunyi perlahan, menandakan denyut nadi ibunya yang lemah.
Sudah beberapa minggu Rayyan berulang-alik ke hospital. Dia tidak pernah benar-benar faham apa penyakit ibunya, tetapi dia tahu, ibunya sakit, sangat sakit.
Mak Pah pernah berkata, “Ibu perlukan rehat banyak-banyak. Jangan buat ibu sedih, ya.”
Sejak itu, Rayyan cuba sebaik mungkin untuk tidak banyak bertanya, tidak banyak membuat bising. Tapi di hatinya yang kecil, dia tahu ada sesuatu yang lebih dari sekadar penyakit.Tapi dia masih terlalu mentah untuk faham.
---
Suatu malam, ketika Haris datang melawat seperti biasa, Rayyan duduk diam di kerusi. Dia memerhati ayahnya meletakkan bunga di atas meja. Ada senyuman di wajah papanya, tapi bukan senyuman yang biasa dia lihat dulu.
“Ibu tidur lagi?” soal Haris.
Rayyan angguk perlahan.
Haris duduk di tepi katil, menggenggam tangan Aisyah yang masih terlelap. Rayyan melihat adegan itu, tapi hatinya berasa aneh. Dia sudah tidak melihat kehangatan antara ibu dan papanya seperti dulu.Haris hanya merenung Aisyah lama. Sekarang semuanya sunyi. Seperti mereka hanya duduk bersama, tetapi jiwanya tidak bersatu.
Selepas beberapa ketika, Rayyan mendekati ibunya, mencium pipinya perlahan.Haris melepaskan genggaman tangannya.
“Ibu... Rayyan ada kat sini. Ibu dengar tak?”
Aisyah membuka mata perlahan-lahan. Senyuman tipis menghiasi wajahnya.Dia juga melihat Haris.Haris tersenyum nipis.
“Anak ibu… ibu rindu.”Aisyah mengalihkan pandangannya kepada Rayyan.
Rayyan tersenyum. Tapi di matanya, genangan air mula berkumpul.
“Ibu sakit sebab papa marah ibu ke?” soalnya tiba-tiba.
Haris terkejut. “Rayyan, jangan cakap macam tu.”
Tapi Aisyah hanya mengelus rambut anaknya.
“Tak, sayang. Ibu sakit sebab badan ibu tak kuat. Bukan salah sesiapa,bukan juga sebab papa marah sayang,papa tak marah pun haa tengok tu papa senyum je.”
Rayyan memandang papanya. “Tapi papa selalu tak ada. Papa selalu keluar. Ibu selalu tengok tingkap… tunggu papa balik,sampailah ibu sakit macam ni.Rayyan rindu ibu.Kat rumah sunyi sangat ibu takde.”Rayyan mula merengek.
Kata-kata Rayyan seperti pisau halus yang menikam ke dalam dada Haris. Dia tidak mampu membalas.
Aisyah menarik Rayyan ke pelukannya.
“Sayang, walau apa pun jadi… ibu dan papa sayang Rayyan. Itu yang paling penting.”
Rayyan memeluk ibunya kuat-kuat, seolah-olah takut dilepaskan. Dia tidak mengerti tentang pengkhianatan, atau tentang penyakit mematikan. Tapi dia tahu bila ibunya sedih. Dia tahu bila papanya berbohong. Dan dia tahu… keluarganya tidak lagi seperti dulu.
---
Malam itu, selepas Rayyan dibawa pulang oleh Mak Pah, Aisyah dan Haris duduk dalam diam. Kesunyian seperti jurang yang semakin dalam.
“Abang pun tahu dia perasan, kan?” Aisyah akhirnya bersuara.
Haris mengangguk perlahan. “Abang... tak sangka dia faham sejauh itu.”
“Anak kita lebih bijak dari yang kita fikir. Dia mungkin kecil, tapi dia tahu... bila cinta dalam keluarga dia sedang hilang.”
Haris tidak mampu menatap mata Aisyah.
“Maafkan abang, Aisyah.”
Aisyah menghela nafas. “Abang,ini bukan tentang maaf lagi sekarang. Aisyah cuma nak Rayyan membesar dengan kenangan yang baik. Bukan dengan luka daripada apa yang kita rosakkan.”
Dan malam itu, Haris sedar… kesilapan yang dia lakukan bukan sahaja melukai Aisyah, tetapi juga telah menjejaskan jiwa kecil yang tak berdosa. Rayyan, anak kecil yang hanya mahu keluarganya kembali bahagia.Namun kesedaran ini sementara.Haris pada mulanya ingin menebus silapnya pada Aisyah dan Rayyan.Tapi kerana wanita itu semuanya berubah.
Share this novel