Setelah berbulan-bulan mencari kekuatan dan keberanian.Haris nekad untuk menemui Aisyah.
Haris berdiri di hadapan sebuah rumah yang asing. Suasana pagi itu dingin, dan hujan yang baru reda meninggalkan udara segar, seakan memberi harapan pada hatinya. Dia menarik nafas dalam-dalam, menguatkan hati yang kian rapuh. Untuk pertama kalinya dalam tempoh tiga tahun, dia berada di sini, di hadapan rumah orang yang dia tinggalkan dahulu.
Dia melihat Rayyan yang sedang bermain bola di halaman rumah. Meskipun sudah lebih dari tiga tahun tidak bertemu, Haris masih dapat mengenali anak lelakinya itu. Rayyan kini sudah lebih besar, lebih matang, dan sedikit lebih tinggi. Meskipun tubuhnya sudah sedikit berubah, Haris dapat merasakan kerinduan yang begitu mendalam dalam hatinya. Anak itu... satu-satunya yang mengingatkan dia kepada Aisyah.
Dengan langkah perlahan, Haris mendekati Rayyan. Dada Haris berdegup kencang, hatinya diliputi rasa bersalah yang begitu dalam. Namun, dia tahu ini adalah langkah pertama yang harus dia ambil untuk memohon maaf pada anaknya, anak yang tidak pernah bersalah atas apa yang berlaku.
Rayyan berhenti bermain bola apabila dia mendengar langkah kaki seseorang.Dia menoleh ke arah derapan langkah itu.Dia memandang dengan tatapan yang penuh tanda tanya, seakan tidak percaya dengan kehadiran lelaki itu. Wajah Haris yang kusam dan lemah membuatkan Rayyan berkerut dahi. Sosok itu jauh berbeza dengan bapa yang pernah dia kenali.
"Assalamualaikum, Rayyan," suara Haris serak, penuh penyesalan. Dia cuba tersenyum, meski hatinya dihimpit beban yang berat.
Rayyan hanya membalas dengan anggukan kecil. "Waalaikumsalam," jawabnya, namun suaranya agak dingin, tidak seperti dulu.
Haris merasa kekok, tidak tahu harus memulakan percakapan dengan apa. Akhirnya, dia menundukkan kepala, merenung tanah. "Rayyan... papa tahu, papa telah banyak mengabaikan kamu, ibu, dan keluarga kita. Papa minta maaf... Papa sangat menyesal," kata Haris, dengan suara yang penuh dengan emosi yang terpendam.
Rayyan terdiam. Dia berdiri tegak, memandang papa dengan pandangan yang sulit dibaca. Ada rasa rindu yang terpendam di dalam dirinya, namun ia bercampur dengan kekecewaan yang mendalam. Papanya yang dulu penuh kasih sayang kini tampak seperti orang yang sudah kehilangan arah.
"Kenapa papa kembali?dan ada apa dengan perubahan ini?" tanya Rayyan, suara kecilnya penuh keraguan.
Haris menggigit bibir. "Papa... papa telah membuat banyak kesilapan, Rayyan. Papa... papa tidak tahu bagaimana untuk memperbaiki semuanya.Papa tak tahu untuk menjelaskan kesalahan yang telah papa lakukan.Papa datang ni bukan untuk menganggu Rayyan tapi papa nak tebus silap papa yang lalu.Papa janji, papa akan berusaha... berusaha untuk menjadi papa yang lebih baik untuk kamu.Kalau Rayyan tak mahu terima papa faham tapi tolong bagi papa satu peluang untuk tebus salah silap papa." Haris berkata dengan penuh harapan, ingin mendapat pengertian dari anaknya.Dia sudah melutut di hadapan Rayyan.
Rayyan menatap ayahnya lebih lama. Di dalam hati, dia merindui semua kenangan indah bersama Haris.Ketika mereka berdua pergi ke taman, bermain bola, atau hanya duduk bersama menonton TV. Tapi semuanya itu seolah telah hilang, digantikan oleh luka dan kesakitan.
"Rayyan, maafkan papa" Haris melanjutkan, cuba meraih perhatian anaknya. "Papa nak perbaiki semuanya. Tolong beri papa peluang kedua."
Namun, Rayyan hanya menggelengkan kepala perlahan. "Bukan minta maaf dengan Rayyan.Minta maaf dengan ibu.Rayyan dah lama lupakan papa,Rayyan bukan nak biadap.Ibu tak pernah ajar Rayyan biadap.Tapi bagi Rayyan cukuplah ibu yang menemani Rayyan selam ini," kata Rayyan, suaranya rendah namun penuh makna.
Kata-kata itu menggugurkan air mata Haris tanpa disedari. Dia terdiam sejenak, terkejut dengan jawapan Rayyan. Selama ini, dia terlalu fokus pada dirinya sendiri sehingga tidak pernah menyedari bahawa sedalam itu luka yang telah dia tancapkan ke dalam jiwa anak kecil itu.
"Papa akan minta maaf dengan ibu..tapi tolong maafkan papa Rayyan.."ujarnya sayu.Dia masih berlutut di hadapan Rayyan.
Rayyan mengalihkan pandangannya. "Ibu selalu cakap Rayyan tak boleh benci papa.Kena maafkan papa.Ibu minta Rayyan sama-sama maafkan papa dan selalu doakan papa.Rayyan nampak ibu bertarung nyawa untuk sembuh tapi papa tinggalkan kami.Rayyan nampak ibu sedih setiap hari kerana papa.Tapi ibu masih minta Rayyan untuk maafkan dan doakan papa.Rayyan boleh maafkan papa tapi Rayyan tak rasa boleh terima papa lagi.Rayyan bahagia dengan ibu tanpa papa" Rayyan menjauh sedikit, seolah ingin memberi ruang untuk perasaan yang membingungkan itu.
Haris hanya mampu menelan air liur. Perasaannya berbalut kesedihan yang begitu dalam. Selama ini dia hanya berfikir tentang dirinya sendiri, tentang bagaimana untuk mendapat ketenangan dan kebahagian yang hilang.Dia tidak menyangka anaknya akan berkata begitu.
"Papa rasa ibu akan marah ke kalau tahu papa datang jumpa Rayyan?" tanya Rayyan, dengan nada yang penuh kerisauan. Dia takut jika kemunculan bapanya ketika itu akan membuat ibunya bersedih dan marah.
Haris menggelengkan kepala.
"Papa tak tahu tapi papa harap ibu tak marah..Rayyan sendiri tahu kan, betapa banyak kesakitan yang telah papa beri pada ibu?." Haris menunduk, wajahnya penuh penyesalan. "Papa hanya berharap satu...Rayyan dan ibu maafkan papa.Dan papa mahu kamu bahagia, walau tanpa papa."
Rayyan mengangguk perlahan.
"Ibu seorang yang kuat." Wajahnya menunjukkan kerisauan yang mendalam, tetapi dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan.
Setelah perbualan panjang Rayyan meminta diri untuk pulang.Haris mengangguk perlahan.Dia ingin memeluk anaknya namun dia mematikan niat ketika melihat reaksi dingin dari anak itu.
Rayyan berjalan menjauh, kembali ke rumah. Haris hanya berdiri di situ, memandang anaknya yang semakin jauh. Tanpa berkata apa-apa lagi, Rayyan menghilang ke dalam rumah tanpa memberitahu Aisyah mengenai pertemuan itu. Dia risau jika ibunya akan marah, atau bahkan tertekan apabila tahu Haris masih ada dalam hidup mereka.
Rayyan masih tidak tahu apa yang perlu dia rasakan. Cinta dan rindu kepada bapanya berbaur dengan kesedihan dan kekecewaan. Dia tahu ibunya sudah banyak menderita kerana papa, dan dia tidak mahu memberi tekanan kepada Ibu. Baginya, ibu adalah segalanya, dan dia berjanji untuk tetap berada di sisinya.
Di luar rumah, Haris terdiam. Air matanya menitis perlahan. Dia tahu, perjalanan untuk mendapatkan kemaafan bukanlah mudah. Dia tidak hanya perlu meminta maaf pada Rayyan, tetapi pada Aisyah.Wanita yang telah menjadi segalanya baginya. Namun, entah bagaimana dia akan memulakan langkah itu, Haris sendiri tidak tahu.
Share this novel