Langkah Aisyah di pasaraya itu terasa ringan. Di tangannya, beberapa beg plastik berisi bahan mentah untuk pembuatan kek tempahan pelanggan. Kehidupannya kini lebih sederhana namun bermakna. Tidak ada yang dia harapkan lagi selain kebahagiaan Rayyan dan perniagaan kecilnya yang akan terus berkembang.
Langkahnya terhenti seketika apabila matanya terpaku pada satu sosok yang sedang berdiri di bahagian rak mee segera. Lelaki itu tampak tidak terurus.Janggut nipis yang tidak terjaga, rambut kusut, pakaian lusuh, dan tubuh yang susut ketara. Tetapi... mata itu. Pandangan sayu dan dalam itu sangat dia kenali.
Aisyah menatap lebih lama. Hatinya berdegup kencang. Perlahan, dia mengambil langkah mendekat.
"Haris?" sapanya perlahan.
Lelaki itu mengangkat wajah. Wajah yang dulunya penuh keyakinan, kini dipenuhi garis letih dan sayu. Bila melihat Aisyah, dia seakan tidak percaya. Bibirnya menggigil, matanya berkaca.Aisyah tampil berbeza.Lebih anggung dan yang paling penting dia kelihatan sangat sihat.
"Aisyah..." Dia menyebut nama itu seperti bisikan doa yang telah lama ditahan. "Subhanallah... awak..."
Aisyah hanya tersenyum kecil. "Saya hampir tak kenal awak. Apa yang berlaku pada awak, Haris?"
Haris tersenyum pahit. "Banyak perkara. Dunia saya... jatuh tersungkur, Aisyah."
Dia menunduk, menahan air mata yang mahu tumpah. Suaranya perlahan, penuh kekesalan. "Saya minta maaf, Aisyah. Saya betul-betul minta maaf atas semua yang saya lakukan pada awak."
Aisyah mengangguk perlahan. "Saya dah maafkan awak, Haris. Lama dah."dia tersenyum kecil memandang lelaki itu.
Perbualan mereka berlangsung tenang. Di sekeliling, orang ramai berjalan seperti biasa, namun bagi mereka berdua, waktu seakan berhenti. Haris tidak bertanya lebih lanjut tentang kehidupan Aisyah, kerana dia masih teringat kata-kata Rayyan bahawa Aisyah akan berkahwin semula. Dia tidak mahu mengganggu kebahagiaan itu.
Namun tiba-tiba, suara lembut Aisyah memecah kesunyian.
“Kenapa jadi macam ni, Haris?”
Haris diam. Nafasnya ditarik panjang, matanya melihat jauh ke depan. "Lepas kita bercerai, saya hidup macam mayat hidup. Saya fikir Nadine adalah segala-galanya… tapi saya silap. Dia curang. Anak yang dia kandung bukan anak saya. Dunia saya runtuh, Aisyah. Saya kehilangan segalanya. Awak, Rayyan, diri saya sendiri…”
Aisyah terdiam. Dia tidak pernah menyangka lelaki yang pernah meninggalkannya dalam derita itu, akhirnya kembali menjadi manusia yang rapuh.Mereka meneruskan perbualan di kafe berdekatan.Haris tidak menanyakan perihal orang baru kepada Aisyah.Dia tahu dia tidak layak bertanya lebih.Dia cuma menceritakan kehidupannya yang jatuh dan memohon maaf kepada Aisyah.
Sejam berlalu Aisyah lekas meminta diri kepada Haris kerana ingin menyediakan bahan untuk membuat roti pesanan pelanggan.
Sebelum Aisyah pergi Haris berkata.
“Saya doakan awak bahagia, Aisyah,” sambung Haris, suaranya pecah. “Tahniah… saya dengar awak akan berkahwin semula.”
Aisyah tersentak, dahinya berkerut. “Berkahwin? Siapa cakap saya nak kahwin?”
Haris keliru. “Rayyan... Dia kata awak dah ada orang lain. Awak nak kahwin... sebab tu saya... saya cuba menjauh.”
"Awak dah jumpa Rayyan?"Soal Aisyah.
"Ya berulang kali saya datang rumah awak.Saya nak jumpa awak tapi Rayyan tak bagi sampailah dia bagitau awak akan berkahwin lagi.."
Aisyah tergelak kecil. “Ya Allah, budak bertuah betul... Itu semua bohong, Haris. Saya masih sendiri. Tak ada sesiapa.”
Mereka terdiam seketika. Masing-masing menyimpan seribu rasa yang tak terluah. Haris merasa seperti baru diberi oksigen setelah lama tenggelam. Namun dia juga tidak mahu berharap lebih.
“Saya tak marah Rayyan,” kata Aisyah perlahan. “Dia cuma cuba lindungi saya.”
Haris mengangguk, matanya mula berkaca lagi. “Saya rindu awak. Rindu Rayyan. Tapi saya tahu, saya tak layak lagi.”
Aisyah menatap Haris lama, dan untuk pertama kalinya dalam masa yang sangat panjang, ada sesuatu yang kembali hidup dalam dirinya.Luka yang lama itu mungkin sudah kering, tapi parutnya masih ada. Namun, senyuman yang dia berikan kepada Haris ketika itu… adalah senyuman yang paling ikhlas.
Share this novel