Hari itu, Aisyah mengenakan jubah kelabu lembut. Tudungnya dilabuhkan menutup dada. Di tangannya, fail berwarna biru berisi dokumen-dokumen penting termasuk surat permohonan cerai secara khulu’, cerai tebus talak.Dia tahu inilah cara terakhir agar Haris melepaskannya.Inilah keputusan terbaik yang dia boleh lakukan.Bukan kerana tidak lagi cinta tapi kerana tidak ada lagi yang harus di perjuangkan.
Langkahnya tidak laju. Tapi setiap tapak kaki yang memijak lantai Mahkamah Syariah adalah tapak penuh kesedaran.
Sudah cukup.
Cukup untuk air mata. Cukup untuk rayuan. Cukup untuk memujuk lelaki yang hatinya sudah mati.Hanya itu yang berputar di kepalanya.
Di dalam bilik bicara yang sederhana, Aisyah duduk tenang. Haris di hadapannya.Aisyah sebenarnya merindukan insan itu.Dia sayang akan hubungan ini.Namun tidak berguna untuk mempertahankan hubungan yang memang sudah hancur berderai.Wajah lelaki itu tidak menunjukkan sebarang tanda penyesalan. Dia kelihatan tenang, malah sedikit bosan. Nadine tidak hadir. Mungkin terlalu sibuk menikmati hidup barunya.
Hakim membuka bicara.
“Puan Aisyah, adakah puan benar-benar mahu meneruskan permohonan cerai ini?”
Aisyah mengangguk perlahan. “Ya, Tuan Hakim. Saya mohon cerai khulu. Saya sanggup tebus talak dengan jumlah yang munasabah.”
Haris mengangkat kening. “Kenapa perlu khulu’? Aku tak pernah setuju nak ceraikan kau.”
Hakim menoleh ke arah Haris. “Encik Haris, puan Aisyah berhak memohon cerai secara khulu’ jika dia tidak lagi mampu meneruskan perkahwinan ini atas sebab-sebab munasabah. Adakah encik ingin mendengar sebabnya?”
Haris bersandar di kerusi. “Tak payah dengar. Dia memang nak keluar dari hidup aku, kan? Buat je apa dia nak.”kali ini Haris tidak lagi mempertahankan perkahwinan ini.Dia dengan senang hati bersetuju dengan penceraian ini.
Aisyah mengangkat wajahnya, mata bertentang mata dengan lelaki yang pernah dicintainya sepenuh jiwa.
“Saya buat ini bukan kerana saya benci awak, Haris. Saya buat ini kerana saya akhirnya sedar.Awak bukan lagi lelaki yang saya kahwini dulu. Saya tak mahu terus hidup dalam perkahwinan yang kosong, yang cuma ada tanda tangan atas kertas tapi tak ada jiwa.”
Haris ketawa kecil. “Jadi sekarang kau nak lari?”
Aisyah menarik nafas. “Saya tak lari. Saya lepaskan. Dan saya minta dilepaskan supaya saya boleh hidup dengan maruah. Supaya Rayyan ada ibu yang kuat, bukan ibu yang setiap hari menagih kasih dari lelaki yang dah lama berpaling.”
Hakim mencatat. “Adakah puan Aisyah sanggup membayar tebus talak seperti yang diminta pihak suami?”
Aisyah mengangguk. “Ya. Saya akan lunaskan sepenuhnya.”
Haris mencebik. “Ambil lah cerai tu. Tapi jangan ganggu aku lagi selepas ini. Aku ada hidup sendiri.”
Kata-kata Haris tajam tetapi untuk pertama kalinya, ia tidak lagi mencucuk ke hati Aisyah.
Kerana dia sudah kebal.
Dia bukan lagi wanita yang menangis setiap malam.
Dia kini ibu yang berdiri demi anaknya. Wanita yang tahu harga dirinya.
---
Beberapa minggu kemudian, keputusan rasmi dikeluarkan. Mahkamah meluluskan cerai khulu. Aisyah kini bebas.Bukan dari tanggungjawab, tapi dari belenggu luka yang sudah tidak bertepi.
Di luar mahkamah, Aisyah memeluk Rayyan erat.
“Ibu dah bebas, sayang. Bebas untuk bahagiakan Rayyan tanpa rasa sedih lagi.”
Rayyan tersenyum kecil. “Ibu… lepas ni kita lukis rumah baru. Ada Ibu. Ada Rayyan. Tak perlu ada papa pun tak apa.”
"Rayyan..walau apapun jadi sekarang ni,Rayyan tak boleh benci papa.Macam manapun dia tetap papa Rayyan"..
Walaupun sudah sah bercerai Aisyah tidak mahu mengotori fikiran anaknya untuk membenci Haris.Rayyan mengganguk faham.
Untuk pertama kalinya, Aisyah mampu tersenyum tanpa beban.Tidak ada lagi sosok suami dalam hidupnya.Dia hanya akan tumpukan perhatian kepada Rayyan selepas ini.Lebih bahagia begini.
Share this novel