Isyarat Tubuh Yang Terlupa

Drama Completed 341

Beberapa hari berlalu sejak Aisyah mengunjungi pejabat Haris. Sejak hari itu, dia tidak lagi bertanya banyak. Dia hanya memerhati dan menyimpan semuanya dalam diam. Dia belajar untuk senyum dalam perit, belajar untuk tenang dalam retak.Dia menunggu Haris yang senang diri menceritakan masalahnya.Dia cuba memberi ruang kepada Haris untuk mencari ruang dalam menjelaskan semua yang berlaku ketika ini.Mungkin Haris perlukan masa untuk berkongsi masalahnya.Itu fikiran Aisyah.

Namun tubuhnya pula mula memberi isyarat yang berbeza.

Petang itu, ketika sedang menyapu halaman rumah, Aisyah tiba-tiba terasa dunia berpusing. Nafasnya pendek. Pandangannya kabur. Sapu tangan di tangannya terlepas, dan dia terduduk di lantai simen yang sejuk.

Rayyan yang sedang bermain bola di sisi cepat-cepat berlari ke arah ibunya.

“Ibu!”

Aisyah cuba senyum, tapi tubuhnya menggigil. Peluh dingin memercik di dahi.

“Ibu okay, sayang… Ibu rehat sekejap saja.”

Dia tidak mahu Rayyan panik. Dia tidak mahu anak itu melihat ibunya jatuh.

---

Keesokan harinya, Aisyah pergi ke klinik sendirian. Dia tidak beritahu Haris. Dia tidak mahu menambah lagi beban untuk suaminya dengan sakit ringan ini.

“Tekanan darah puan agak rendah, dan saya sarankan buat pemeriksaan darah penuh,” kata doktor wanita muda itu dengan nada prihatin. “Puan ada rasa pening, penat luar biasa, atau loya kebelakangan ini?”

Aisyah angguk perlahan. “Saya mudah penat… dan kadang-kadang dada rasa sempit.”

Doktor menulis sesuatu pada failnya. “Kita buat ujian dulu. Kalau ada yang luar biasa, kita akan rujuk puan ke hospital untuk siasatan lanjut.”

Aisyah pulang dengan hati yang berat. Tapi dia tidak mahu terlalu fikir. Mungkin dia cuma penat. Mungkin tekanan emosi membuatkan tubuhnya lemah.

Namun malam itu, ketika dia bangun dari tidur untuk memeriksa Rayyan, dia tiba-tiba rebah di tepi katil. Kepalanya terhantuk sedikit. Nafasnya tercungap.

Haris yang baru pulang dari luar terdengar bunyi itu dan berlari masuk ke bilik.

“Aisyah?!”

Dia mendekat, panik. “Kenapa ni? Aisyah jatuh ke?”

Aisyah menggeleng, cuba bangun. “Saya… tak apa. Cuma pening…”

Haris memapahnya duduk di atas katil. Wajahnya resah, tapi tidak lama. Tidak seperti dulu. Haris berkata datar “Sakit apa?pucat je?"

Aisyah menggeleng perlahan.
"Penat kot.."jawabnya tidak mahu merisaukan suaminya.

Haris hanya memandang Aisyah yang kelihatan pucat.

"Rehat la.."ujar Haris.Aisyah mengangguk perlahan.Dia merasa perhatian suaminya telah hilang.Dulu ketika jarinya tergores pisau sedikitpun suaminya akan panik dan berusaha merawatnya.Kini,suaminya tidak lagi seperti itu.Setelah melihat Aisyah yang sudah lena.Dia berlalu meninggalkannya begitu sahaja.Tiada kata-kata semangat.Tiada kucupan mahupun elusan di kepala seperti dahulu.Dia berlalu begitu sahaja tanpa berbuat apa-apa.

---

Keesokan paginya, Aisyah mendapat panggilan dari klinik. Suara doktor itu tenang, tapi nadanya serius.

“Puan Aisyah, keputusan darah puan menunjukkan beberapa bacaan tidak normal. Kami syorkan puan teruskan pemeriksaan lanjut di hospital besar. Ada kemungkinan ia melibatkan sistem autoimun… atau sesuatu yang lebih kompleks.”

Aisyah diam. Dunia terasa sunyi. “Lebih… kompleks tu maksud doktor?”

“Ada kemungkinan awal… leukemia atau penyakit darah lain. Tapi ini masih terlalu awal untuk disahkan. Saya minta puan jangan panik. Tapi segera dapatkan pemeriksaan lanjut.”

Tubuh Aisyah kaku. Tapi dalam dirinya, ada sesuatu yang tenang. Seolah-olah dia sudah tahu, sudah lama rasa… bahawa ada sesuatu dalam dirinya yang perlahan-lahan sedang meruntuh.

Dan ketika dia memandang cermin malam itu, melihat wajahnya yang pucat dan mata yang tenggelam… dia hanya berbisik perlahan.

“Kalau ini satu permulaan untuk pengakhiran, aku harap sempat aku siapkan kekuatan untuk Rayyan.”

Walaupun begitu dia masih kuat untuk menidakkan sebarang kabar buruk ketika ini.Dia berharap agar sakitnya hanya biasa-biasa sahaja.Dia tidak rela jika suaminya bertambah beban jika dia benar sakit.Dan dia tidak rela anaknya akan kehilangan sosok ibu seawal usianya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience