Setahun sudah berlalu.
Langit tetap sama, mentari tetap terbit dan tenggelam seperti biasa. Tetapi dalam hati Aisyah, hidupnya tidak lagi kelam. Biarpun luka dahulu masih sesekali terasa, ia tidak lagi berdarah. Malah, telah menumbuhkan sesuatu yang baru iaitu kekuatan.
Kedai kecil itu terletak di penjuru hujung lorong, dihiasi papan tanda berwarna putih lembut bertuliskan:
“RASA RINDU BAKERY – Setulus Buatan Tangan”
Saban hari, aroma kek coklat, roti gebu dan pastri segar mengisi ruang udara kedai itu. Aisyah akhirnya membuka kedai bakeri impiannya.Impian yang dahulu dikuburkan dalam diam saat dia menjadi isteri Haris.
“Saya isteri. Tugas saya jaga suami, jaga anak. Bukan kejar mimpi sendiri.”
Itulah yang dia percaya dulu.Itulah kata-kata penguatnya apabila dia teringat tentang impiannya untuk membuka kedai roti. Tapi kini, dia tahu bahawa isteri juga manusia. Dan manusia punya hak untuk bermimpi.
Dengan bantuan simpanan peribadi, sedikit modal dari pinjaman kecil kerajaan, dan sokongan jiran-jiran sekitar, Rasa Rindu Bakery menjadi kenyataan. Ia mungkin kecil, tapi penuh rasa cinta dan harapan baru.
Dan di samping Aisyah, seperti biasa, Rayyan sentiasa ada.
“Mama, Rayyan dah susun semua muffin dekat rak! Kek red velvet ni pula..”tangan kecil itu sedang ligat membantu Aisyah menyusun kek dan pastry.
Aisyah tersenyum sambil mengelap kaunter. “Pandai anak mama. Rayyan memang ‘manager’ paling rajin!”
Rayyan tersipu bangga. Sejak kecil, dia suka berada di sisi Aisyah. Dia akan buat kerja rumah, bantu kedai, dan kadang-kadang jadi ‘juru rasa’ tidak rasmi untuk semua resepi baru Aisyah. Mereka berdua bagaikan satu pasukan kecil yang tabah dan kuat.
Hidup mereka kini tenang. Bukan mewah, tapi cukup. Dan lebih penting,mereka kini lebih bahagia.Walau tanpa kehadiran Haris.Aisyah berjaya membahagiakan Rayyan sehinggakan Rayyan tidak merasa kekurangan.
______
Di tempat lain, rumah mewah Haris kelihatan sunyi. Nadine sedang duduk di sofa besar, membelai perutnya yang kini sarat hamil tujuh bulan. Wajahnya masih cantik, tetapi sering kelihatan lesu dan mudah marah.
“Nanti anak kita lelaki, I nak dia pakai nama ala-ala Eropah. Tak nak nama kampung macam Rayyan tu,” katanya satu hari kepada Haris.
Haris diam. Nama Rayyan masih menyentuh jiwanya. Tapi dia hanya angguk, malas membantah.
Walau Nadine hamil, hubungan mereka tidak serapat yang disangka. Haris pulang semakin lewat. Banyak termenung. Kadang-kadang menyorok di dalam bilik kerja hanya untuk membaca buku yang dia sendiri tidak faham asalkan dia tidak perlu berbual dengan Nadine.Entah kenapa dirinya tidak punya mood untuk berbicara dengan wanita itu.Mungkin saja kerana apabila mereka duduk semeja Nadine hanya mempermasalahkan tentang kewangan yang tidak kunjung cukup.Dia juga suka mengatur kehidupan Haris.Cemburu buta yang tiada hujungnya.Haris lelah.Lebih lelah berbanding ketika bersama Aisyah dahulu.
Dia mula rindukan sesuatu. Bukan Aisyah semata. Tapi kehidupan sederhana mereka dulu. Yang penuh tawa, walau makan hanya telur dadar dan nasi kosong. Yang ada suara Rayyan memanggil “Papa!” setiap kali dia pulang.
Kini, dia hanya ada dinding-dinding dingin. Dan isteri yang lebih sibuk dengan jenama handbag daripada kebahagiaan keluarga.
Tapi Haris tidak tahu. Tidak tahu bahawa wanita yang dia tinggalkan kini sudah mula berjaya. Tidak tahu bahawa Rayyan membesar jadi anak yang baik dan pintar. Tidak tahu bahawa kedai kecil bernama Rasa Rindu menjadi tempat ramai pelanggan jatuh cinta dengan resepi buatan tangan seorang ibu tunggal yang tabah.
Dan Aisyah tidak berniat untuk memberitahu.
Kerana dia sudah lama belajar bahawa bahagia tidak semestinya ditemani. Kadang-kadang, bahagia itu cukup apabila kita kembali kepada diri sendiri.Aisyah telah kotakan janjinya kepada Haris.Dia tidak akan menganggu kehidupan lelaki itu setelah berpisah.Dan kerana permintaan Haris sendiri menyebabkan dia sukar untuk mengapai berita tentang dua insan itu.
Share this novel