Hari demi hari berlalu, dan walaupun tubuh Aisyah semakin lemah, fikirannya semakin tajam. Rasa sakit yang menjalar dalam tubuhnya kini bersatu dengan luka dalam hatinya yang makin dalam. Dia bukan hanya melawan penyakit.Dia melawan sunyi, dan sebuah keraguan yang perlahan-lahan menjadi keyakinan.
Sejak dia sedar di hospital, Aisyah mula perasan perubahan pada Haris. Suaminya ada di sisinya, tapi seolah-olah hanya tubuhnya yang hadir.Jiwanya seakan terapung di tempat lain. Kadang-kadang, Haris akan termenung lama, memandang telefonnya dengan senyap. Bila dia memandang ke arah Haris, Haris akan segera menyimpan telefon itu.
Malam itu, selepas Haris pulang dari kerja dia seperti biasa datang menemani Aisyah di hospital.Aisyah memberanikan diri bertanya.
“Abang keluar dengan sesiapa ke?lewat datang harini?”soalnya bersahaja.Dia merenung sosok itu yang sedang ligat menyusun barang bawaannya.
Haris memandangnya sepintas. “Mesyuarat. Ada perkara nak bincang dengan klien.”
Aisyah mengangguk perlahan. Dia tidak menyoal lanjut, tetapi hatinya tidak tenang. Sebelum ini, dia tidak menyiasat atau mencurigai. Tapi kini, naluri seorang isteri tidak dapat ditipu.Dia sudah tidak percayakan suaminya lagi.Masih perasaan yang sama.Suaminya meyembunyikan sesuatu.Kali ini Aisyah tidak lagi berfikiran positif.Dia mengiakan fikiran jahat yang bermain di kepalanya.
---
Beberapa hari kemudian, Aisyah dipindahkan ke wad biasa. Doktor kata keadaannya stabil buat masa ini, tapi dia perlu teruskan rawatan. Haris pulang sebentar ke rumah atas urusan kerja, dan Mak Pah menemaninya.
Ketika itulah Aisyah teringat tentang komputer riba Haris yang sering dibawanya ke hospital. Komputer itu terletak di sisi meja, tidak dikunci. Dia menelan air liur. Hatinya berdebar. Sebahagian dirinya meronta untuk tahu kebenaran, sebahagian lagi takut untuk mengetahuinya.
Dengan tangan yang lemah, dia buka komputer itu. Jemarinya mencari-cari sesuatu… dan akhirnya dia temui satu folder gambar dalam folder kerja Haris yang dinamakan "projek akhir".
Tapi bila dibuka, isinya bukan tentang kerja.
Ada gambar Haris dan Nadine. Di sebuah kafe. Di taman. Dalam kereta. Ada gambar mereka duduk rapat dan satu gambar yang membuatkan jantung Aisyah hampir berhenti.
Gambar Nadine merangkul pada dada Haris yang tidak berbaju,wajahnya di penuhi tanda ciuman yang banyak. Dan Haris… tersenyum.Lebih menyakitkan gambar itu bertarikh kelmarin.
Aisyah menutup komputer itu dengan tangan yang menggigil. Dadanya sesak, matanya kabur. Nafasnya menjadi pendek. Air mata mengalir tanpa suara. Dia tidak menjerit, tidak meratap kerana hatinya sudah terlalu letih untuk memarahi.Dia tidak cukup kudrat untuk meraung.Perlahan tubuhnya melemah.
Yang datang cuma luka. Luka yang perlahan-lahan membunuh dari dalam.
---
Malam itu, Haris datang semula ke hospital. Aisyah tidak berkata sepatah pun. Dia hanya memandang suaminya lama. Dalam-dalam. Seolah-olah ingin menghafal wajah itu untuk kali terakhir.
“Abang…” suaranya lemah.
Haris menoleh, duduk di sisi katil. “Ya, sayang?”
“Kalau saya pergi dulu… abang janji tak biarkan Rayyan rasa kehilangan?”
Haris tersentak. “Jangan cakap macam tu.”
“Tapi kalau saya tak sempat... abang tahu apa yang perlu dibuat, kan?”
Haris menunduk. Dia cuba pegang tangan Aisyah, tapi Aisyah menariknya perlahan.
“Abang…” Aisyah menatapnya.Suasana hening seketika...
“…saya tahu segalanya.”
Haris terdiam. Tidak mampu menjawab. Tapi dari renungan Aisyah, dia tahu isterinya telah melihat lebih dari apa yang dia cuba sembunyikan.
“Apa yang abang cari pada Nadine, yang saya tak ada?” suara Aisyah bergetar, tapi tenang.
Haris memejamkan mata. “Abang... minta maaf...”
Aisyah menggeleng perlahan.
“Maaf tak boleh undurkan waktu, bang. Tapi saya maafkan abang… bukan kerana abang layak. Tapi sebab masih ada Rayyan yang harus saya perjuangkan”Tidak lagi membahasakan dirinya Aisyah.
Haris hanya mampu menunduk, menahan rasa yang mula menghimpit dada.
Dan malam itu, buat pertama kali sejak sekian lama, Haris menangis dalam diam.Di sisi seorang wanita yang masih setia… walaupun hatinya sudah hancur.Dia pun tidak mengetahui kenapa dia hanyut terhadap Nadine.Aisyah baginya wanita sempurna tidak ada kurangnya tapi ada sesuatu yang menyebabkan dia terpaut kepada Nadine yang menyebabkan dia sukar berpaling dari wanita tersebut.Entah apa tapi dirinya benar-benar telah leka bersama wanita itu.
Share this novel