Aisyah duduk di beranda rumahnya, melihat Rayyan yang sedang membaca buku sambil bersandar di sofa. Hatinya sedikit berat, tapi dia tahu sudah tiba masanya.
“Rayyan…” panggilnya lembut.
Anak itu mengangkat kepala, memandang ibunya.
“Papa… dah berubah sekarang. Ibu rasa, Rayyan patut beri dia peluang. Dia rindu Rayyan. Dia banyak menyesal. Ibu pun dah maafkan papa.”
Rayyan terdiam. Sejenak dia menunduk, memikirkan kata-kata ibunya. Wajah bapanya ketika datang menemuinya kembali tergambar. Sayu. Lemah. Bukan seperti papa yang dia kenal dulu.
“Ibu betul-betul tak marah papa?” tanyanya perlahan.
Aisyah mengangguk sambil tersenyum. “Ibu dah lama maafkan dia. Papa kamu dah banyak berubah. Dan tak salah pun untuk Rayyan berjumpa papa. Ibu tak akan marah.”
Rayyan bangkit dan memeluk ibunya. Senyumannya kembali cerah, seperti beban yang dipikul selama ini sudah terangkat.
---
Hari demi hari, hubungan mereka bertiga mula pulih. Haris tidak pernah menyatakan niat untuk kembali menjadi suami. Dia hanya hadir sebagai Haris.Seorang ayah yang mahu menebus kembali kasih anaknya yang terabai, dan seorang bekas suami yang ingin memulihkan persahabatan yang pernah musnah.
Dia mula menjaga penampilan. Rambutnya kini kemas, wajahnya bercukur, dan dia kembali bekerja dengan penuh semangat. Prestasi kerjanya meningkat. Rakan-rakan sekerja mula mengakui kehadirannya yang dulu pernah tenggelam.
Namun bagi Haris, kebahagiaan sebenar adalah apabila Rayyan mula memanggilnya "papa" semula.
Haris hadir ke perlawanan bola sepak Rayyan. Dia bersorak paling kuat, menjerit memanggil nama anaknya, seolah-olah itu final Piala Dunia. Wajah Rayyan bersinar bangga, dan Aisyah yang turut hadir di tepi padang hanya tersenyum melihat dua insan kesayangannya kembali mesra.
---
Di kedai bakeri Aisyah, Haris juga kerap berkunjung. Dia suka duduk di kaunter sambil membantu menyusun kotak, menulis label, atau kadang-kadang mencuci pinggan.
“Kalau awak tak kerja, awak nak jadi pekerja tetap sini ke?” usik Aisyah sambil meletakkan dulang muffin.
“Ada diskaun staf tak?” Haris menjawab dengan manja, sengaja mencebik seperti anak kecil.
Aisyah tergelak kecil. “Boleh, tapi gaji kena tolong bancuh kopi.”
“Deal!” Haris mengangkat tangan, penuh semangat.
Kadang-kadang Haris akan menyanyi kecil di dapur, atau mengusik Aisyah dengan menconteng tepung di pipinya. Ada sisi dirinya yang tidak pernah Aisyah lihat sebelum ini.Sisi lelaki yang ringan, ceria dan penuh usaha.
Namun setiap kali mereka duduk berdua dalam tenang, Haris akan berkata: “Saya minta maaf, Aisyah…”
Dan setiap kali itu juga, Aisyah akan menjawab dengan tenang, “Saya dah maafkan awak, Haris. Dah lama.”
Dia tidak pernah minta diberi peluang kedua sebagai suami. Tidak pernah memaksa. Tapi dia hadir, setiap hari, dengan usaha. Dengan perhatian. Dengan cinta yang kini belajar untuk menjadi ikhlas.
Bagi Aisyah, itu sudah cukup.
Share this novel