Senyum yang Disembunyikan

Drama Completed 341

Aisyah duduk di meja makan, menyiapkan sarapan seperti biasa. Telur dadar, roti bakar, dan segelas jus oren untuk Rayyan. Hatinya berat, tubuhnya masih lesu akibat prosedur biopsi semalam, tapi senyum itu tetap dia pakai seperti pakaian wajib.Dia cuba bersifat ceria seperti selalunya demi Rayyan dan Haris.

Rayyan datang melompat-lompat kecil, duduk di sebelah ibunya. “Ibu buat telur macam hari tu! Sedap!”

Aisyah tersenyum, menyuapkan sudu kecil ke mulut anaknya. “Untuk Rayyan, semua ibu buat sedap.”

Beberapa minit kemudian, Haris turun dari bilik. Dia kelihatan sedikit tergesa. Namun kali ini, dia sempat memandang Aisyah lebih lama dari biasa.

“Semalam Aisyah ke hospital, ya?” tanyanya, nada suaranya tenang tapi penuh tanda tanya.

Aisyah terkejut seketika, tapi cepat mengawal wajahnya. Dia menyuap nasi ke mulut perlahan-lahan sebelum menjawab, “Cuma pemeriksaan biasa. Ambil darah, tekanan... semualah. Aisyah rasa letih sangat sejak kebelakangan ni.”

Haris duduk. “Doktor kata apa?”

“Alhamdulillah... semuanya normal. Tak ada yang serius,” bohong Aisyah dengan suara paling lembut yang mampu dia hasilkan. Dia menunduk, tidak mahu menatap mata Haris yang kini kelihatan sedikit prihatin.

“Oh… baguslah.” Haris menjawab ringkas, kembali menunduk pada telefonnya.

Aisyah menarik nafas perlahan. Dia lega kerana Haris tidak bertanya lebih lanjut.

---

Malam itu, setelah Rayyan tidur, Aisyah duduk sendirian di ruang tamu. Sunyi. Bunyi kipas berdengung perlahan.

Dia membuka lipatan surat hospital yang baru diterima petang tadi. Tarikh temu janji untuk rawatan lanjut telah ditetapkan. Ujian biopsi menunjukkan tanda-tanda awal acute myeloid leukemia. Aisyah tahu istilah itu, dia pernah mencari di internet. Dia tahu apa maksudnya.

Dia menangis perlahan. Bukan kerana takut mati. Tapi kerana takut tiada cukup masa untuk Rayyan. Takut tidak sempat melihat anaknya membesar. Takut tiada siapa yang akan peluk Rayyan bila dia tiada.

Dia teringat Haris.Lelaki yang menjadi tempatnya bersandar. Dia rindukan sosok itu.Dia berharap akan hadirnya Haris di saat ini.Namun memikirkan suaminya yang juga sedang menghadapi masalah besar dia mematikan niat untuk memberitahu Haris.Dia akan beritahu jika Haris sudah selesai dengan masalahnya.

Malam itu, dia menulis di dalam buku kecil miliknya.

> Aku pilih untuk diam. Bukan kerana takut, tapi kerana tak mahu menambah beban. Biarlah dia terus fikir aku sihat. Kerana kalau dia tahu,pasti dia akan lebih tertekan. Dia hanya akan rasa bersalah.Dan saya tidak mahu menambah kusut fikirannya.Saya kuat.Saya akan hadapi dahulu sedirian<

---

Esok paginya, Aisyah menghantar Rayyan ke sekolah seperti biasa. Di kereta, Rayyan memeluk ibunya erat.

“Ibu tak sakit, kan??”

Aisyah senyum, mengusap kepala anaknya.

“Taklah..Ibu sihat la,mana ada sakit.Kelmarin tu ibu cuma penat,biasalah sakit sikit je.Sekarang ibu dah sihat jangan risau yee.”Rayyan tersenyum memandang ibunya sambil memberi isyarat okey.

Dan Rayyan pun keluar dari kereta, melambai riang.

"Rayyan belajar rajin-rajin tau"ujar Aisyah.Rayyan kembali memberi isyarat okey sambil berlari lari anak masuk ke dalam sekolah.

Aisyah menahan air mata. Dia bukan tak mahu jujur. Tapi kadang-kadang, menyembunyikan kebenaran adalah satu-satunya cara untuk melindungi mereka yang kita sayang.Aisyah cuma tak mahu mereka sedih dan risau.Dia mesti menghadapi semuanya dengan kuat demi orang-orang yang dia sayangi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience