Musim hujan mula mengintai kota. Gerimis kecil sering menyapa pagi, seolah-olah langit turut belajar menangis dengan lembut. Tapi bagi Aisyah, setiap titis hujan kini adalah permulaan bukan lagi kenangan yang menyakitkan.
Sudah tiga bulan berlalu sejak lafaz cerai khulu disahkan mahkamah. Dan sejak hari itu, hidup mereka menjadi dua garis lurus yang tidak lagi bersilang.
Tiada panggilan.
Tiada mesej.
Tiada khabar.
Bukan dari Haris. Bukan dari Nadine. Dan Aisyah juga tidak mahu mengambil tahu.
Dia sibuk membina semula serpihan hidupnya. Rumah kecil yang dulu suram kini mula terisi tawa Rayyan kembali. Dia memasak dengan lebih semangat. Dia menyanyi perlahan di dapur, menyidai baju dengan senyum kecil, membaca buku selepas Isyak sambil Rayyan tidur di pangkuannya.
Perlahan-lahan… hidup kembali bergerak.
Dan Rayyan, si kecil itu… semakin kuat seperti ibunya. Dia belajar menerima bahawa papanya bukan seperti dalam cerita dongeng. Tidak semua kisah ada “Ayah yang datang menjemput pulang” atau “pelukan hangat selepas rindu yang panjang.” Tapi dia ada Ibu. Dan bagi Rayyan, itu sudah cukup.
Di satu sudut dunia lain, Haris sibuk dalam dunia glamor yang dibina bersama Nadine. Rumah besar. Kereta mewah. Dandanan mewah dan undangan sosial. Tapi semua itu terasa hampa. Dia mula jarang senyum tanpa sebab. Tidurnya sering gelisah.
Nadine yang dulu manja kini mula menunjukkan belangnya.Sangat cerewet, cemburu, dingin jika tidak dibelikan sesuatu yang mahal. Bila Haris letih dan ingin berbual, Nadine sibuk dengan telefonnya. Bila Haris ingin peluk dan tenang, Nadine hanya tertawa kecil, “You ni cepat sangat bosan, kan?”
Dia mulai kembali merindui Aisyah.Bukan sebagai isteri. Tapi sebagai rumah.
Rindu masakan ringkas Aisyah yang penuh kasih sayang. Rindu wajah lembut yang sentiasa menemaninya ketika penat pulang dari kerja. Rindu ketenangan yang tidak pernah dijual mahal.
Tapi Haris tidak tahu apa-apa lagi tentang Aisyah. Dan dia terlalu ego untuk bertanya.Penyesalan mulai menjalar di segenap dirinya.
Aisyah pula sudah belajar menerima bahawa hidup ini tidak adil, dan cinta tidak semestinya kekal. Tapi dari semua itu, dia belajar perkara lebih besar: memaafkan bukan bermakna melupakan, tetapi memilih untuk tidak lagi membiarkan luka menguasai hari-hari yang tinggal.
Malam itu, selepas menidurkan Rayyan, Aisyah duduk di beranda. Dia pegang secawan teh, dan melihat langit yang gelap bertabur bintang.
“Tak mengapa kalau saya tak bahagia seperti dulu,” bisiknya perlahan. “Asalkan saya tidak hilang diri ini lagi.”
____
Dan dari kejauhan, Haris termenung di ruang tamunya yang mewah, tapi sunyi. Nadine sedang tidur lena di bilik. Tapi hatinya tidak tenang.Nadine sekarang suka marah-marah.Dia tidak memanjakan Haris seperti sepatutnya.Dia melayan Haris hanya ketika dia menginginkan wang belanja dari Haris.Selebihnya Nadine hanya mementingkan penampilan dan gaya hidupnya yang mewah.Haris mulai kesunyian.
Dalam diam, dia membuka galeri telefonnya dan melihat satu-satunya gambar keluarga yang tersisa.
Aisyah dan Rayyan, tersenyum di bawah pokok mangga di taman kecil. Haris menatap lama.
Tapi dia tidak tahu lagi di mana mereka.Dia langsung tidak mengambil tahu apa-apa tentang bekas isteri dan anaknya itu.Dia terlalu leka dengan kehidupan barunya sehingga dia tidak pernah tahu kabar dan keberadaan Rayyan dan Aisyah.
Dia benar-benar tidak tahu.
Dan mungkin tidak akan pernah tahu lagi.
Share this novel