Pagi itu, awan gelap menutupi cahaya matahari yang biasanya menceriakan ruang hospital Aisyah. Tapi di dalam dirinya, ada cahaya baru yang mulai menyala. Cahaya itu bukan datang dari Haris. Bukan juga dari janji sesiapa. Ia datang dari dalam naluri hidup yang tak mahu menyerah.
Hari ini adalah hari pertama Aisyah memulakan rawatan kombinasi. Gabungan kimoterapi dan ubat khas yang memberi sedikit peluang, walaupun kecil, untuk melambatkan kerosakan organ dalam tubuhnya. Doktor sudah memberi amaran: rawatannya akan melemahkan tubuh, memberi kesan sampingan yang ketara.
Namun Aisyah tidak goyah.
“Apa pun jadi, saya nak teruskan,” katanya tegas semalam kepada doktor.Keinginannya untuk sembuh itu kuat.Sakit ini dia mampu hadapinya.Sesakit apapun jalannya tetap dia harungi.
Mak Pah yang setia menemaninya hanya mampu mengelap air mata di hujung tudung.
“Aisyah… kau kuat, nak. Kau kuat.”
---
Sementara itu, Haris semakin jarang ke hospital. Alasannya,kerja. Hakikatnya, dia makin hanyut dalam buaian dunia yang dicipta bersama Nadine. Mereka makan malam di restoran eksklusif, bercuti seketika ke luar bandar atas nama “projek”. Nadine pandai bermain peranan. Sentiasa memberi Haris rasa diingini dan difahami.Membuai Haris dalam nafsu dunia.
“Aku cuma nak kau bahagia, Haris,” bisik Nadine suatu malam, di dalam kereta selepas pulang dari makan malam mewah.
Haris hanya diam, membiarkan Nadine menggenggam tangannya. Dalam hatinya, ada rasa bersalah. Tapi entah kenapa, rasa bersalah itu tidak cukup kuat untuk menolaknya pulang ke sisi Aisyah.
“Aisyah kuat,” bisik hatinya.
“Dia boleh jaga diri.”
Dia tidak tahu bahawa di hospital, Aisyah sedang bergelut antara sakit dan semangat. Rambutnya mulai gugur sedikit demi sedikit. Setiap kali muntah selepas rawatan, Aisyah hanya mampu pejam mata dan berdoa agar kekuatannya bertahan untuk satu hari lagi. Dan satu hari lagi.
---
Rayyan pula semakin sunyi. Dia rindu pelukan ibunya. Rindu papanya yang dahulu. Mak Pah sering memujuk, namun jiwa anak kecil itu mula belajar menelan sepi.
“Ibu makin kurus, Mak Pah,” katanya satu petang, duduk di ruang tamu.
Mak Pah mengangguk, suaranya serak. “Ibu tengah lawan sakit, nak. Rayyan doa, ya? Doa kuat-kuat supaya ibu terus kuat.”
Rayyan mengangkat tangan kecilnya dan berdoa dengan mata pejam rapat. "Ya Allah, tolong sembuhkan ibu. Tolong bagi ibu kuat. Dan tolong... bagi papa balik rumah,Rayyan rindukan papa dan ibu."Rayyan menangis sesegukan di pelukan Mak Pah.Mak Pah juga sabar memujuk Rayyan yang sejak kebelakangan ini sering menangis dan tidak lagi ceria.
---
Di hospital, malam itu Aisyah menulis diari. Suatu kebiasaan yang dia mulakan sejak mula tahu tentang penyakitnya.
> 10 Mei.
Hari ini, rawatan pertama. Badan rasa lemah, tapi hati tak mahu kalah.
Haris tak datang lagi. Aku tak marah. Mungkin Tuhan mahu aku belajar berdiri sendiri. Kalau aku sembuh, aku akan hidup dengan cara baru. Bukan untuk siapa-siapa. Tapi untuk aku. Dan Rayyan.
Dan kalau aku kalah… sekurang-kurangnya aku pergi dengan melawan.
Di hujung tulisan itu, Aisyah melukis satu bunga kecil. Simbolik kepada dirinya — walau layu, masih berusaha mekar.Semangatkan untuk sembuh tidak memudar malah makin bertambah.
Share this novel