Sudah tiga malam Haris pulang lewat. Setiap kali, alasannya sama.Banyak kerja di pejabat, mesyuarat mendadak, klien minta disiapkan laporan segera. Aisyah cuba faham, cuba percaya, tapi hatinya tidak lagi setenang dulu.Selama 10 tahun mereka berkahwin inilah kali pertama suaminya itu terlalu sibuk dengan kerja.Ini perkara yang Asing.
Pagi itu, Aisyah menghantar Rayyan ke sekolah. Di dalam kereta, Rayyan tiba-tiba bersuara.
“Ibu, kenapa papa asyik marah-marah sekarang?”
Aisyah terkejut dengan soalan itu. Dia menoleh seketika ke arah anaknya.
“Rayyan rasa papa marah ke?” soalnya lembut.
Anak kecil itu mengangguk. “Malam tadi Rayyan tunjuk lukisan, papa tak tengok pun. Dia cakap penat, tapi papa main telefon saja.”
Aisyah memeluk Rayyan sekejap ketika sampai di hadapan pagar sekolah. “Papa sayang Rayyan. Cuma mungkin papa letih sikit sekarang. Jangan sedih ya?”
Rayyan hanya diam dan melangkah perlahan ke dalam.
Sepanjang perjalanan pulang, Aisyah tenggelam dalam fikirannya sendiri. Dia mengeluh perlahan. Hatinya semakin berat. Satu demi satu perubahan Haris mula memunculkan tanda tanya.Kerap termenung, seringkali senyum sendiri di depan telefon, dan kini semakin menjauhkan diri dari rumah.Nalurinya berkata tiada yang salah dengan pekerjaan.Ada sesuatu yang lain sedang berlaku.Aisyah cuba menidakkan naluri itu.Namun perasaannya kuat menyatakan bahawa ada sesuatu yang lain sedang berlaku.
Aisyah menapak masuk ke dalam rumah. Di atas meja, dia ternampak kotak kecil berhias biru yang tertinggal separuh tersembunyi di bawah sofa. Kotak itu bukan miliknya. Perlahan-lahan, dia mengangkatnya.
Bila dibuka, dadanya terasa sesak.
Sebuah gelang tangan perak, halus dan elegan. Bersama sekeping nota kecil bertulis, “Untuk awak… dari hati saya. – N”
Jantung Aisyah seakan berhenti. Tangan menggigil.
Siapa N?
Dia duduk di sofa dengan kotak itu di tangan, lama. Matanya basah, tetapi dia masih belum menangis. Belum. Kerana dalam hatinya, dia belum mahu percaya. Belum mahu menghukum tanpa bukti.
Tapi keraguan kini telah pun tumbuh. Dan sekali ia bercambah, ia sukar dibunuh.
Petang itu, ketika Haris pulang, Aisyah memerhatikannya lama dari dapur. Dia menyembunyikan kotak itu kembali di tempat asal. Belum masanya dia bertanya.
“Abang, esok hujung minggu. Abang cuti, kan?” soalnya perlahan sambil menghidangkan air.
Haris mengelak pandangan. “Mungkin tak. Ada kerja luar daerah. Klien dari Penang nak jumpa.”
Aisyah hanya angguk, walau hatinya memberontak. Kali ini, Haris tidak mencium pipinya seperti biasa. Tidak bertanya tentang hari Aisyah. Tidak menegur Rayyan langsung.Dia terus berlalu masuk ke bilik air dan menuju ke bilik.
"Dah makan ke?"Ujar Aisyah sedikit menjerit kerana suaminya itu sudah jauh ke dalam bilik.
"Dah.."balas Haris sepatah.
Dan malam itu, ketika Aisyah berdiri di jendela, memandang lampu jalan yang malap, dia sedar,angin perubahan telah datang. Dan ia tidak membawa khabar gembira.Otaknya ligat berfikir milik siapakan kotak hadiah itu.Setelah lama merenung dia kembali berfikir positif dan membuat prasangka.
'Mungkin klien punya kot.Abang lupa nak pulangkan lah tu..'dia cuba membaiki hatinya yang penuh tanda tanya..
"Tak baik suuzon dengan suami sendiri.."ujarnya perlahan sambil mengelus-elus lembut dadanya.Dia memilih untuk tidak mendengarkan kata hatinya.
Share this novel