Pagi itu, langit mendung. Aisyah mengenakan baju kurung polos berwarna biru lembut dan tudung kelabu, wajahnya pucat, tetapi tenang. Dia memandu sendiri ke hospital besar untuk menjalani ujian lanjut seperti yang disarankan doktor. Tiada tangan yang menggenggam tangannya, tiada bahu untuk bersandar—dia pergi sendiri, dengan doa dalam dada dan senyap di bibir.Harapannya besar agar dia baik-baik sahaja.
Di ruang menunggu hospital, Aisyah duduk di antara pesakit lain yang kelihatan lesu, masing-masing dengan kisah mereka sendiri. Tangannya menggenggam erat fail perubatan. Dadanya berdebar, tapi wajahnya tetap lembut. Dia tidak mahu kelihatan lemah.Antara takut menerima kabar atau ikhlas jika benar dirinya sedang sakit.Dia diam kaku menunggu panggilan doktor.
Setelah beberapa jam, akhirnya dia dipanggil masuk ke bilik doktor hematologi.
"Pn. Aisyah, dari bacaan awal dan simptom yang puan alami, kami perlu lakukan biopsi sumsum tulang. Ia prosedur penting untuk kami sahkan diagnosis dengan tepat," kata doktor itu dengan nada profesional tapi berempati.
Aisyah hanya mengangguk. “Kalau… kalau keputusan itu bukan baik, doktor… apakah kemungkinannya?”
Doktor itu diam sejenak sebelum menjawab dengan hati-hati, “Kita tak mahu mendahului. Tapi sekiranya ia jenis leukemia, rawatan awal boleh membantu. Namun puan perlu bersedia… dari segi fizikal dan emosi.”
Aisyah menunduk, menutup mata seketika. Dalam diam, air mata jatuh perlahan. Tapi dia segera mengesatnya sebelum keluar dari bilik itu, seolah-olah tidak mahu kesedihan itu dilihat dunia.Dia perlukan kehadiran Haris namun dalam masa yang sama dia tidak mahu menambah beban suaminya.Sejak akhir-akhir ini suaminya sering mengeluh masalah pekerjaannya dan kerana itu dia tidak mahu menambah beban fikiran Haris.Namun,ada sesuatu yang belum Aisyah ketahui.
---
Sementara itu, di sebuah kafe mewah di tengah kota, Haris duduk bersama seorang wanita bernama Nadine. Wanita itu anggun, berbaju kerja moden, dan wajahnya penuh keyakinan. Nadine tertawa kecil, menyentuh lengan Haris dengan manja.
“Awak nampak letih hari ni. Isteri call banyak ke?” soal Nadine sambil mengangkat kening.
Haris hanya senyum hambar. “Dia tak tahu saya ke sini. Dia sibuk dengan anak. Mungkin dia fikir saya di pejabat.”
Nadine tersenyum sinis. “Awak tahu, kan? Awak makin pandai sembunyi.”
Haris meneguk kopi perlahan. Ada rasa bersalah, tapi ia semakin lemah. Dia tahu dia sudah terlalu jauh. Namun, dalam kekosongan hidupnya, Nadine hadir seperti pelarian.Walaupun palsu, walaupun sesat.Sah Haris berlaku curang!Namun Aisyah yang polos menepis prasangkanya kerana percaya bahawa suaminya itu orang baik-baik.
Dan di saat itu, telefon bimbitnya bergetar. Nama “Aisyah” tertera di skrin.
Haris mengeluh. Dia tidak menjawab. Dia meletakkan telefon ke bawah meja, berpura-pura tidak nampak.
“Tak nak jawab?” soal Nadine.
“Tak penting,” balas Haris, lalu kembali berbual seperti tiada apa yang berlaku.
Inilah jawaban sebenar kepada perubahan besar Haris terhadap Aisyah dan seterusnya Rayyan.
---
Aisyah di hospital, di bangku batu luar bangunan utama, memegang telefon yang tidak dijawab. Wajahnya sayu, tapi dia sudah tidak kecewa. Dia hanya penat.
Dia menaip satu mesej:
> “Abang, Aisyah di hospital. Buat pemeriksaan kesihatan. Ada yang tak kena dengan darah Aisyah. Tapi abang tak perlu datang. Jaga diri. Salam.”<
Lalu dihantar. Tanpa harapan akan dibalas.
Dan ketika dia memandang ke langit yang kini mula mendung, Aisyah hanya mampu berbisik di dalam hati:
“Aku kuat dan aku mampu menghadapi ini"..tekadnya kuat.
Share this novel