Jantung Zulaikha berdegup laju. Dia mengibas-ngibas kedua tangannya ke wajah yang sudah dibasahi peluh. Dia merenung tepat ke dalam cermin besar yang berada dihadapannya. Dalam keadaan resah, dia cuba membasahkan tangannya lalu ditekapkan tangannya yang basah pada leher jinjangnya.
Ah! Langsung tidak ada perubahan. Kenapa denganku?
Lelaki itu, Faeyz Ghaisan! Dialah lelaki yang datang ke kedainya minggu lalu dan membayar semua bil makanan di kedainya.
"Apa aku nak buat ni?" Zulaikha semakin resah. Tatapan mata lelaki itu padanya seolah-olah membuatkan seluruh tubuhnya dingin dan membeku.
"Patutlah wajahnya tampak begitu familiar" omel Zulaikha sendiri.
Zulaikha menarik nafas panjang lalu dihembuskan dengan perlahan. Dia melakukan teknik pernafasan itu berkali-kali sehingga dirinya berasa sedikit tenang. Dia kemudian memandang wajahnya di cermin, memerhati solekkan tipis diwajahnya dan cuba tersenyum.
"Tenang, Ikha. Kau boleh" bisiknya perlahan.
Dia melangkah keluar dari ladies.
"Zulaikha" suara garau itu sekali lagi mematikan langkah Zulaikha. Kakinya terasa seperti dihempap sesuatu yang berat dan begitu sukar untuknya melemparkan langkah.
Matanya terpejam rapat. Berkali-kali dia menelan ludahnya, tapi terasa kesat dan pahit. Kedua tangan yang berada disisi, digenggamnya erat.
Derapan sepatu mula mendekat. Aroma maskulin menusuk ke rongga hidung Zulaikha. Haruman itu semakin lama dirasakan semakin dekat.
Mata Zulaikha masih terpejam rapat. Terasa hembusan nafas kasar menyapa seluruh wajahnya.
"Ikha" satu sentuhan hinggap di bahu Zulaikha. Nada suara juga berbeza. Zulaikha membuka mata dengan pantas.
Dia tersentak saat melihat Lola sudah terpacak dihadapannya.
Nafasnya menderu laju.
"Ikha, kau kenapa? Kau ok tak ni?" Tanya Lola bimbang melihat perubahan sikap Zulaikha.
Zulaikha mengangguk berkali-kali.
"Aku ok. Mungkin sebab persekitaran kat sini yang buat aku sedikit pening" Dalih Zulaikha. Takkanlah dia nak ceritakan apa yang terjadi padanya tadi, kan?
"Mari ikut aku. Kita ambilkan minuman di hujung sana" Lola menggenggam pergelangan tangan Zulaikha.
Zulaikha hanya menurut. Keduanya berjalan ke dalam dewan semula. Lola mencapai segelas air oren lalu diserahkan kepada Zulaikha.
"Basahkan tekak kau, sekurang-kurangnya boleh legakan pening kau tu" pujuk Lola. Zulaikha mencapai air oren di tangan Lola lalu diteguknya perlahan, terasa sangat melegakan.
Lola melambaikan tangannya kearah belakang Zulaikha.
"Ikha, kau rileks dulu dekat sini. Aku ke sana sebentar. Ambillah apa saja makanan yang kau rasa nak makan. Nanti aku datang" Zulaikha mengangguk. Pandangannya membuntuti langkah Lola pergi ke arah sekumpulan lelaki dan wanita yang berdiri sejauh 50meter darinya. Pandangannya dialihkan ke arah meja yang menempatkannya bersama Bihan dan Lola tadi.
Zulaikha menelan ludah. Yang ada disitu hanya Sean, Deniz, Bihan dan empat orang pelajar yang tidak berapa dikenalinya. Tapi, dimana dia?
Zulaikha cuba berlagak tenang. Dia seberapa nekad mengingatkan dirinya bahawa dia sekarang berada dalam satu majlis yang besar dan dikerumuni ramai orang. Buat apa dia hendak takut.
Perasaannya sedikit mereda. Dia memutar tubuh, mencapai sebiji anggur lalu dimakannya perlahan.
"Makan buah je?" suara garau yang tadinya terdengar di hadapan pintu ladies, berulang semula di pendengarannya.
Zulaikha memberanikan diri menoleh ke arah suara.
Kali ini lelaki itu benar-benar berada disebelahnya. Ditangannya terdapat steak bersama kentang putar dan salad campur.
Itu merupakan salah satu makanan kesukaan Zulaikha.
"Kenapa kalau saya makan buah, tak salahkan?" Dengan berani dia bersuara.
Lelaki itu terkekeh.
"Patutlah kurus" ujarnya selamba.
"Ini untuk awak, ambillah" lelaki itu menghulurkan piring berisi makanan kepada Zulaikha.
"Tak mengapa, saya boleh ambil sendiri" Tolak Zulaikha lembut.
"Jangan macam tu, tak baik tau. Orang berbudi, kita kena berbahasa" ujar lelaki itu dengan nada suara yang begitu romantis.
Zulaikha memberanikan diri memandang wajah lelaki itu. Ah! Senyumannya begitu memabukkan.
"Saya tahu, ini makanan kesukaan awak kan? Ambil" Ujarnya lembut.
Zulaikha serba salah. Dengan teragak-agak, dia mengambil piring dari tangan Faeyz.
"Terima kasih" ucap Zulaikha tanpa memandang ke wajah lelaki itu, lalu melangkah ke meja makan.
Lelaki itu hanya mengulum senyum melihat kepergian Zulaikha.
Setelah separuh makanan dijamahnya,
"Ikha, mari" Bihan bangun lalu menarik tangan Zulaikha.
Zulaikha yang dipergok begitu hampir tersedak.
"Kemana?" soalnya.
"Kesana" Bihan menunding jari ke arah ruangan sebelah kanan.
Mulut Zulaikha melopong. Menari? Oh, tidak. Dia tidak pandai menari.
Zulaikha menggeleng pantas.
"Aku tak pandai menari. Kau sajalah pergi, biar aku duduk disini saja" tolak Zulaikha lembut.
Sepasang mata biru sedang menatapnya lekat di ruang meja makan yang sama.
"Aku pun tak pandai, mari" Bihan nekad dengan keputusannya.
Zulaikha terpaksa akur.
Kedua mereka berjalan ke arah pentas tari yang dikerumuni ramai bekas pelajar. Bihan mula mengatur langkah dan gerak tarinya yang tidak mengikut tempo, hanya mengikut rentak hatinya saja sehingga membuat Zulaikha ketawa geli hati.
"Korang menari tak ajak aku!" Lola datang entah dari arah mana, ikut menggoyangkan badannya mengikut rentak muzik rancak. Sementara Zulaikha, dia hanya menggoyangkan kaki perlahan, cuba menghiburkan temannya.
Dalam keriuhan alunan muzik yang menggema, serta merta alunan muzik berubah ke nada yang begitu romantis. Zulaikha mahu beredar dari situ namun ada satu tangan yang menahannya dari beredar.
"Sudikah awak menari dengan saya?" Zulaikha mendongak. Dia terkejut melihat Faeyz berdiri tercegat di hadapannya sambil menghulurkan satu tangan ke arahnya.
"Please" rayunya.
"T-tapi, saya tak pandai menari" jawab Zulaikha gugup.
"Tak mengapa, saya boleh ajarkan" Ujar Faeyz cuba menyakinkan Zulaikha.
Zulaikha sekali lagi memandang wajah Faeyz, lelaki itu mengangguk sekilas.
Zulaikha akhirnya akur. Dia mencapai huluran tangan Faeyz. Keduanya beralih ke tengah ruang tari bersama pelajar yang lain.
"Satu tangan awak disini dan satu tangan lagi disini" Faeyz mengarahkan satu tangan Zulaikha supaya memeluk bahunya dan satu tangan lagi menggenggam tangannya. Awalnya Zulaikha kelihatan teragak-agak. Tapi setelah melihat tetamu yang lainnya berbuat sedemikian, dia akhirnya terpaksa ikut.
Wajahnya didekatkan dengan Faeyz. Terhidu aroma maskulin yang sama seperti di hadapan ladies tadinya.
Zulaikha terasa kekok. Dia belum pernah berdiri sebegitu dekat dengan mana-mana lelaki seperti ini, apatah lagi memeluk lelaki dengan sewenang-wenangnya seperti sekarang.
Bihan dan Lola yang ikut menari, tersenyum melihat Zulaikha yang menari bersama dengan Faeyz Ghaisan.
Memang itu yang dirancang mereka beberapa hari yang lepas.
Mereka sebenarnya tahu bahawa Faeyz sudah lama menaruh hati pada Zulaikha. Lelaki itu begitu setia sehinggakan sanggup hidup membujang hingga sekarang demi menunggu kepulangan Zulaikha.
Dulu sejak kepergian Zulaikha, orang pertama yang menderita adalah Faeyz. Mereka juga berusaha membantu Faeyz mencari Zulaikha dengan menyebarkan foto Zulaikha ke seluruh sosial media, Tweeter, Fac, Instagram, YouTube dan banyak lagi. Tapi semuanya mengecewakan.
"Apa sebenarnya tujuan awak datang ke kedai saya tempoh hari?" aju Zulaikha lantas mendongak memandang wajah tampan Faeyz.
Bibir Faeyz melengkung saat menerima pertanyaan Zulaikha.
"Tak ada apa-apa. Cuma sekadar mahu menyapa teman lama. Tapi..." kata-kata Faeyz yang tergantung menyesakkan Zulaikha.
"Tapi kenapa?" soal Zulaikha pantas.
"Awak langsung tidak mengenali saya" jawabnya jujur dan riak wajahnya sedikit kecewa.
"Maafkan saya" sambut Zulaikha dengan rasa bersalah.
"Tak mengapa. Saya dulu low profile, manalah orang nak kenal dengan saya" ujarnya terkekeh, cuba memujuk hati Zulaikha dari merasa bersalah.
"No! I'm serious, sorry" tekan Zulaikha bersungguh-sungguh seraya menghentikan langkah kakinya yang tadi begitu asyik menari mengikut rentak muzik yang begitu romantis di pendengarannya.
Tarian Faeyz ikut terhenti di celah kerumunan orang.
Tatapan mata mereka bersatu. Ada satu perasaan aneh yang menjalar dalam tubuh Zulaikha.
Satu usapan lembut pada wajahnya membuatkan Zulaikha tersedar.
"I-i'm sorry" Zulaikha berlalu pergi ke meja semula. Dia duduk lalu meneguk air sehingga habis segelas.
Tatapan tajam Faeyz yang ikut menghampiri meja, sungguh membuat jantung Zulaikha seperti hendak pecah.
Bersambung...
Adakah perasaan Zulaikha sama seperti Faeyz?
Share this novel