Seminggu dirawat, Zulaikha sudah dibenarkan pulang. Namun begitu, dia mengalami kemurungan sehingga menjejaskan kesihatannya. Jadi, Nenek Doga terpaksa membawanya ke hospital seminggu sekali untuk dapatkan rawatan susulan.
Dia perlu mendapatkan rawatan kaunseling dan perlu berjumpa dengan pakar psikologi. Zulaikha perlu hadapi semuanya pada usia semuda ini. Nenek Doga dan Ruya turut bersimpati atas nasib yang menimpa Zulaikha dan keluarganya.
Jenazah papa Zulaikha selamat dikebumikan setelah mayatnya selesai dibedah siasat. Sewaktu pengebumian, tiada sebarang emosi yang terlihat oleh Zulaikha sehinggakan orang-orang bertanyakan kepada Nenek Doga tentang apa yang terjadi sebenarnya.
Nenek Doga hanya menceritakan perihal keluarga Zulaikha dirompak dan anak gadis itu merupakan saksi kejadian sewaktu papanya mati ditembak. Sudah pasti fikirannya terganggu sehingga membuatkan keadaannya seperti ini.
Atas alasan itu, tidak ada sesiapa lagi yang berani bertanyakan akan hal itu. Perkara ini menjadi rahsia antara keluarga Zulaikha, pihak hospital dan polis.
Kesihatan ibu Zulaikha semakin memburuk. Apa yang berlaku pada suami dan anak gadisnya begitu menjejaskan kesihatannya sehingga membuatnya mengalami masalah mental.
"Kami terpaksa tempatkan Puan Elis di hospital sakit jiwa"
Nenek Doga terduduk di lantai. Dia menangis semahunya. Ujian tidak habis-habis menimpa keluarganya dan Zulaikha.
Nenek Doga dibenarkan berjumpa dengan menantunya. Hati Nenek Doga sebak saat melihat menantunya yang sesekali menangis, menjerit dan ketawa sendirian. Terkadang memeluk boneka yang ada ditangannya seolah-olah menenangkannya.
Hati Nenek Doga jadi sayu, sedih, sakit, semuanya bercampur baur.
"Bagaimana dengan ibu Zulaikha?" soal Ruya yang berdiri di muka pintu.
Nenek Doga memandang kearah Zulaikha yang hanya diam mematung. Tubuhnya kurus, berat badannya turun sehingga mencecah berat 38kg pada usia 16 tahun.
Nenek Doga hanya menggelengkan kepalanya sebelum berjalan masuk ke dapur untuk siapkan makanan.
Ruya membuntuti langkah Nenek Doga. Dia duduk di meja makan sambil menunggu cerita dari Nenek Doga.
Nenek Doga mengambil cerek lalu diisi air. Setelah penuh, dia meletakkan cerek diatas dapur lalu dipanaskan. Dia mengeluarkan ikan yang masih beku dari peti sejuk lalu diletakkan ke dalam singki. Kemudian membuka peti semula, mengambil sayur lalu diletakkan di atas meja. Ruya bangun, dia mengambil papan pemotong, pisau dan juga bekas untuk mengisi sayur setelah siap dipotong nanti.
Nenek Doga menarik kerusi lalu duduk dihadapan Ruya. Wajahnya sugul sejak pulang dari hospital dan tidak ceria.
"Kesihatan ibu Zulaikha semakin memburuk. Dia terpaksa dipindahkan ke hospital sakit jiwa"
Ruya menangkup mulutnya dengan tangan.
Matanya berkaca. Dalam sekejap, airmata mula membasahi pipinya.
Ruya bangun lalu memeluk tubuh Nenek Doga erat.
"Sabar nek. Allah tidak akan menguji lebih dari kemampuan hambanya. Kita kena redha, usaha dan tawakal, InsyaAllah pasti ada jalan keluarnya."
Nenek Doga menangis dalam pelukkan Ruya.
Dia tidak tahu mahu mengadu pada siapa lagi. Hanya Ruya sajalah tempat untuk dia luahkan segala isi hati.
"Zulaikha, dia tidak perlu tahu akan hal ini buat sementara waktu kerana keadaannya juga masih belum pulih sepenuhnya." pesan Nenek Doga kepada Ruya.
"Baiklah" jawab Ruya akur.
Ruya merupakan cucu angkat Nenek Doga. Nenek Doga menemukan Ruya yang sendirian melilau di pasar basah tanpa tujuan. Waktu itu, anak ini baru berusia 10 tahun.
Setelah mengetahui status sebenar Ruya seorang anak yatim piatu, Nenek Doga lantas membawa anak itu pulang lalu dirawat dan dijaganya seperti cucu sendiri.
**
Hampir sebulan ibu Zulaikha dirawat, keadaan Zulaikha juga pada saat itu semakin menunjukkan kemajuan. Dia sudah mahu makan tapi, masih tidak mahu bercakap. Kemajuan Zulaikha begitu melegakan hati Nenek Doga.
Beberapa hari selepas itu, Nenek Doga menerima panggilan dari pihak hospital mengatakan ibu Zulaikha telah meninggal dunia.
Telefon terlepas dari pegangannya.
"Nenek!" Ruya berlari dapatkan Nenek Doga. Dia mengambil gagang telefon yang tergantung lalu diletakkan di telinga.
"Hello"
"Hello, boleh saya tahu dengan siapa saya bercakap?"
"Saya cucu Nenek Doga. Ini siapa?" Tanya Ruya.
"Kami dari pihak hospital sakit jiwa. Kami ingin mengkhabarkan yang Puan Elis telah meninggal dunia. Kami minta waris Puan Elis datang untuk menuntut mayatnya di hospital untuk dikebumikan."
Ruya terkedu.
"Hello" Ruya tersedar.
"Ya, saya dengar. Baiklah, kami akan segera ke sana" ujar Ruya lantas meletakkan gagang telefon.
Tubuh Nenek Doga yang lemah, dipeluknya erat. Nenek Doga menangis teresak-esak dalam pelukkan Ruya.
"Sabar ya nek. Mungkin ini jalan terbaik buat ibu Zulaikha. Daripada melihat dia terseksa, lebih baik dia pergi dengan tenang." pujuk Ruya dengan suara seraknya.
Berita kematian ibu Zulaikha kembali membuat fikiran Zulaikha semakin memburuk. Dia langsung tidak pergi ke acara pengebumian ibunya. Setiap hari, dia akan terperuk di dalam biliknya. Makanan yang dihantar juga langsung tidak dijamahnya. Dia tidak menangis juga tidak bersedih. Raut wajahnya nampak biasa sahaja.
Ruya dan Nenek Doga tahu, apa yang dirasakan Zulaikha saat ini. Fizikal dan mentalnya terjejas teruk sehinggakan persekolahan Zulaikha juga ikut terjejas.
Dia sekali lagi terpaksa masuk dan keluar ke unit psikologi dan kaunseling seminggu sekali untuk dapatkan rawatan susulan. Dia juga diberikan ubat tidur kerana malamnya sering terganggu dengan mimpi-mimpi buruk semenjak sejarah hitam itu berlaku.
Bertahun-tahun Zulaikha cuba melupakan sejarah hitam yang menimpanya namun tetap terasa peristiwa itu baru berlaku semalam.
Akibat dari itu, fikiran Zulaikha terjejas teruk sehinggakan ada memori-memori lamanya yang dia tidak ingat.
Ketika Zulaikha berusia 20 tahun, Nenek Doga pula pergi menghadap Ilahi. Zulaikha terlihat tenang sewaktu pemergian Nenek Doga. Ruya sendiri dapat melihat yang Zulaikha tidak selemah dulu lagi. Dia sudah boleh menerima keadaan dan boleh berfikir secara rasional.
"Ruya, kenapa dunia ini begitu kejam?" suara Zulaikha pada malam setelah Nenek Doga selesai dikebumikan.
"Maksud Ikha?" Ruya yang tadi sibuk mengemas rumah, berjalan menghampiri Ikha yang duduk di muka pintu. Dia ikut duduk disebelah Zulaikha.
"Kita sudah tak punya sesiapa lagi didunia ini. Apa akan jadi pada kita nanti?" kata-kata Zulaikha begitu meruntun hati Ruya.
Ruya cuba menahan sebak.
"Itu tandanya kita berdua istimewa." Zulaikha menoleh memandang Ruya hairan.
Ruya cuba mengukir senyuman terhadap Zulaikha.
Zulaikha mengubah posisi duduknya. Dia duduk bersila berhadapan dengan Ruya.
"Apa maksud awak?"
"Allah tak putus-putus menguji kehidupan kita berdua. Satu persatu ujian Dia beri pada kita. Itu tandanya kita istimewa. Itu juga tanda yang Allah sayangkan kita."
"Aku tak faham. Itu bukan istimewa tapi itu ibarat satu sumpahan"
Kata-kata Zulaikha membuat Ruya mengucap panjang.
"Tak baik cakap macam tu. Itu tanda kita menghina Allah. Kita perlu redha dengan apa juga dugaan yang datang pada kita. Ingat Ikha, tak semua benda yang kita sayang akan kekal dimuka bumi ini. Semuanya tak kekal." Ruya memandang jauh ke luar.
"Aku redha atas pemergian kedua orang tuaku diwaktu usiaku 8 tahun. Waktu tu, aku sudah tak ada sesiapa, adik beradik, malah saudara mara. Aku sendirian. Selepas kematian mereka, ada beberapa orang yang aku tidak kenali, datang untuk membawa aku ke rumah kebajikan. Aku akur. Dari mana aku hendak mencari duit untuk biaya diri aku sendiri? Sepanjang seminggu berada disana, aku sering menangis. Tidurku selalu bertemankan cerita dongeng ibu. Sekolahku sering dihantar oleh papa. Keduanya begitu sayangkan aku kerana aku hanya satu-satunya anak yang mereka ada setelah ibu tidak boleh lagi hamil setelah ada komplikasi saat melahirkan aku."
Zulaikha terdiam. Selama dia mengenali Ruya, perempuan ini tidak pernah buka mulut untuk menceritakan perihal keluarganya. Ini adalah kali pertama. Zulaikha terkejut dan simpati dengan apa yang telah menimpa Ruya dan keluarganya.
"Apa yang berlaku pada kedua orang tua kau?" Ruya menoleh memandang Zulaikha. Dia tersenyum hambar.
"Ibu aku disahkan menghidap kanser rahim tahap 2 ketika aku berusia 6 tahun. Setelah menjalani rawatan, dia diistiharkan bebas kanser. Aku dan papa gembira sangat kerana kami tak perlu lagi melihat ibu menjalani kimoterapi dan makan ubat." Wajah Ruya nampak ceria sewaktu menceritakannya.
"Tapi.." Ruya menundukkan wajahnya. Airmatanya mengalir laju.
"Ketika aku diusia 8 tahun, ibu dan papa mengalami kemalangan sewaktu keluar untuk membeli kek ulang tahun aku" suara Ruya bertukar sebak dan tersekat-sekat.
Zulaikha ikut menangis. Satu tangannya terhulur lalu mengusap lembut belakang tubuh Ruya.
"Pengasuhku hanya mengajakku ke hospital setelah malam tiba. Aku pada awalnya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kenapa pengasuhku membawaku ke hospital." Ruya mengesat airmatanya perlahan. Dia menarik nafas panjang seolah-olah cuba menenangkan dirinya.
"Aku dan pengasuhku dibawa ke bilik mayat. Dan..dan..."
Bersambung...
Sekuat dan sepahit apapun dugaan yang datang, makin membuat Zulaikha dan Ruya lebih kuat dalam menempuh kehidupan akan datang
Share this novel