Sudah hampir seminggu Faeyz keluar kota, langsung tiada khabar berita darinya.
Zulaikha semakin bosan dirumah seharian tanpa melakukan apa-apa.
"Cik Zulaikha nak kemana?" sambil menggunakan aksila (tongkat bawah ketiak) dia berjalan ke arah pintu keluar. Kakinya masih berbalut dengan splint. Awalnya, kaki Zulaikha terpaksa disimen. Tapi lama kelamaan, Zulaikha meminta doktor untuk menukar pada bahan yang boleh ditanggal dan dipasang semula.
Doktor awalnya tidak menyarankan Zulaikha untuk menggunakan splint kerana ia boleh menyebabkan kecederaan dari bahagian dalam kaki Zulaikha yang dipasang besi. Tapi, selepas ujian radiology dan ct scan dilakukan, keadaan besi yang dipasang didapati berada dalam keadaan baik manakala luka pembedahan juga semakin pulih, akhirnya doktor menurut kemahuan Zulaikha.
Ozgey selaku perawat Zulaikha terkocoh-kocoh berlari kearah Zulaikha.
Zulaikha menghentikan langkahnya.
"Saya nak ke kedailah. Sampai bila saya nak duduk dirumah, saya dah boleh jalan, lihat"
Zulaikha cuba membuktikan apa yang dikatakannya.
Ozgey menggeleng. Benar kata Tuan Faeyz, Zulaikha ni seorang yang degil dan keras kepala. Dia selalu mengakui bahawa dia kuat dan boleh bergerak sendiri tanpa bantuan orang lain. Buktinya sudah ada di depan mata.
"Tak boleh macam ni Cik Zulaikha, nanti Tuan marah" pujuk Ozgey lembut sambil mengarahkan Makcik Nuriman supaya ambilkan kerusi roda melalui isyarat mata.
"Tuan tak ada. Jadi sekarang ni saya boleh lakukan apapun tanpa arahan sesiapa" Suara Zulaikha dengan nada sebal.
Makcik Nuriman terkocoh-kocoh menyorong kerusi roda ke arah Zulaikha dan Ozgey.
Zulaikha yang memandang lantas berkerut dahi.
"Untuk siapa?" soalnya hairan.
Ozgey mengambil kerusi roda lalu mengarahkan ke arah Zulaikha.
"Cik Zulaikha, duduk" arahnya dengan tonasi suara yang lembut tapi penuh dengan ketegasan.
Zulaikha mengeluh kesal. Kenapa mereka terus mendesak? Zulaikha mulai rimas. Jikalau dia tinggal dengan Ruya, sudah tentu dia boleh bergerak bebas ke mana saja tanpa halangan dan bantahan.
"Ozgey saya boleh jalan sendiri, lihat. Saya tak perlukan kerusi roda ni." tolak Zulaikha.
"Kaki Cik Zulaikha belum pulih sepenuhnya. Cik Zulaikha masih perlukan rehat" pujuk Ozgey masih tetap bersabar.
"Saya dah puas rehat, saya penat seharian terperuk dalam rumah ni. Saya nak keluar, nak hirup udara segar di luar, saya nak lawat tempat kerja saya. Takkan itu pun tak boleh?" Sabar Zulaikha ada hadnya.
Dia sedar dia masih belum sembuh sepenuhnya, tapi dia bukan seperti anak kecil yang harus dikawal dan dikongkong. Dia juga ada kehidupannya sendiri.
"Tak boleh Cik Zulaikha, nanti Tuan Faeyz marahkan saya" bantah Ozgey cuba menekankan nama Faeyz dalam pengucapannya.
"Biarlah. Dia bukan ada dekat sini. Kamu berdua jangan risau, saya sendiri yang akan hubungi Tuan Faeyz nanti"
Ozgey dan Makcik Nuriman terdiam sambil saling berpandangan.
Mereka tidak tahu lagi bagaimana cara untuk memujuk Zulaikha untuk terus tinggal dan berehat di rumah.
Ozgey segera menghubungi Faeyz.
Riak wajahnya resah, Faeyz tidak dapat dihubungi. Setiap kali dia hubungi, panggilannya akan masuk ke dalam peti simpanan suara.
Ozgey sebal lantas mematikan talian.
"Saya ikut" putus Ozgey akhirnya.
*
Kedatangan Zulaikha ke kedai disambut meriah oleh pekerja dan pelanggan yang datang.
"Ikha" Ruya berlari kearah Zulaikha lantas memeluk erat tubuh sahabatnya.
"Kau buat apa kat sini? Kaki kau masih perlukan rehat, kau belum sembuh sepenuhnya." tegur Ruya lembut lantas membantu Zulaikha duduk di salah satu kerusi di ruangan pejabat.
"Dah berulang kali saya katakan hal yang sama pada Cik Zulaikha, tapi Cik Zulaikha tetap dengan keputusannya" adu Ozgey kepada Ruya.
"Degil!" omel Ruya geram.
Zulaikha hanya memutarkan bola matanya tanda mengabaikan omelan Ozgey dan Ruya.
Seorang wanita masuk sambil membawa secawan kopi.
Zulaikha memandangnya hairan.
Ruya yang faham dengan cara renungan Zulaikha lantas mencelah,
"Owh! lupa aku nak beritahu kau, ini Siela. Salah seorang pelayan di kedai kita" Ruya memperkenalkan Siela kepada Zulaikha.
Gadis muda yang berusia lingkungan 23 tahun itu berdiri tegak dihadapan Zulaikha lantas menundukkan separuh tubuhnya kepada Zulaikha tanda hormat.
"Pelayan? Kau tak bincang dengan aku pun mengenai hal ni?" protes Zulaikha.
Baru sebulan lebih dia tidak masuk kedai, pelbagai perubahan yang dia dapat lihat di sekitar kedai termasuklah pengambilan kakitangan baru. Darah Zulaikha menyirap naik.
Dia pemilik kedai, tapi kenapa mereka harus membelakangkannya?
Ruya memandang Siela, mengisyaratkan gadis itu supaya keluar buat sementara waktu.
Siela yang faham, lantas keluar dari ruangan pejabat.
"I need an explanation." Zulaikha memasang wajah serius sambil menatap tajam ke arah Ruya.
Wajah Ruya nampak bersalah dan Zulaikha perasan akan hal itu.
"Baru sebulan lebih aku tak masuk, dah macam-macam perubahan aku tengok. Aku takkan bantah dan aku takkan marah kalau kau datang jumpa aku untuk bincang dulu mengenai hal ni. Tapi yang aku marah sekarang ni bila aku diketepikan seolah-olah aku bukan sesiapa dekat sini" suara Zulaikha keras.
Ruya tertunduk. Dia akui salahnya kerana tidak berbincang dahulu dengan Zulaikha.
"Sebenarnya.." Ruya teragak-agak untuk berterus terang.
Zulaikha menatap Ruya seperti mahu menelan wanita itu hidup-hidup. Ini adalah bisnesnya sendiri. Dia tidak pernah minta satu sen pun pada sesiapa.
Permulaan bisnesnya hanya bermodalkan wang peninggalan arwah kedua orang tuanya dulu dan selebihnya atas usahanya sendiri. Dia tidak pernah meraih simpati kepada orang lain.
"Apa yang kau dah buat, aku berterima kasih sangat. Aku bersyukur kerana kau menjaga kedai ni dengan baik. Tapi kau janganlah sampai ketepikan aku ibarat aku ni tidak ada kena mengena dalam kedai ni. Sekurang-kurangnya beritahu aku, datang bincang dengan aku. Paling tidak pun, kau boleh je call aku bincang pasal hal ni" Zulaikha mula berkecil hati dengan sikap Ruya. Dia rasakan seperti disisih dengan perlakuan Ruya.
Zulaikha menekan tongkat lalu bangun. Niatnya untuk berlama-lama dikedai, pupus begitu saja.
"Ikha..nanti" tahan Ruya. Wajahnya nampak bersalah terhadap Zulaikha.
"Bukan aku..." Zulaikha yang tadi membuang pandang ke arah lain, segera menoleh.
"Apa maksud kau?" dahinya berkerut tidak mengerti.
"Fa..eyz " suaranya teragak-agak.
Mendengar nama itu meniti di bibir Ruya, wajah Zulaikha berubah merah padam. Dia mencampakkan kedua tongkat yang dipegangnya lalu duduk semula di kerusi dalam keadaan beremosi.
Ruya dan Ozgey terkejut dengan perubahan mendadak Zulaikha.
Dengan satu tangan, dia menepis segala file yang bertumpuk di atas meja sehingga jatuh berselerak di lantai.
"Ikha.." panggil Ruya perlahan.
"Sampai bila!?" bentak Zulaikha geram.
Ruya segera menghampiri Zulaikha lalu memeluk belakang tubuh wanita itu.
"Sabar..." pujuk Ruya lembut.
"Memang aku akui, aku sedar yang sekarang ini aku tidak sesempurna dulu.." tangis Zulaikha sebak.
"Tapi, itu tak bermaksud orang lain boleh mengatur hidup aku sewenang-wenangnya! Apa hak yang dia ada? Aku bukan sesiapa dalam hidup dia dan dia tak layak untuk control semuanya!" sabar Zulaikha ada hadnya. Bukan sifatnya untuk membentak tidak tahu punca.
Tapi, ini mengenai hidup dan juga bisnesnya sendiri. Hanya dia yang berhak mengaturnya, bukan orang lain.
Zulaikha menoleh memandang Ozgey.
"Terima kasih Ozgey kerana selama ini telah menjaga saya dengan baik."
Ozgey yang berdiri tidak jauh dari Zulaikha hanya tersenyum hambar. Dia faham benar dengan apa yang dirasakan Zulaikha pada saat ini. Mungkin ada hikmahnya Zulaikha datang ke sini. Jika tidak, entah bila dia akan tahu semua rahsia yang disembunyikan selama ini.
"Mulai hari ini, saya tak perlukan lagi khidmat kamu. Mulai hari ini juga, saya akan tinggal dirumah saya sendiri. Saya tak perlukan jagaan dari sesiapa. Saya boleh lakukannya sendiri. Saya tak akan kembali lagi ke penthouse.. Sampaikan salam saya kepada Makcik Nuriman"
*
Makcik Nuriman hairan saat melihat Ozgey pulang sendirian.
"Eh eh, mana Cik Zulaikha?" Makcik Nuriman mengintai intai kebelakang mencari kelibat Zulaikha.
Wajah Ozgey yang sayu ditatapnya.
"Kamu kenapa?" soal Makcik Nuriman hairan dengan perubahan sikap Ozgey. Sebelum keluar tadi, smuanya kelihatan biasa sahaja. Tapi setelah pulang, riak wajah Ozgey berubah total.
"Cik Zulaikha tidak akan kembali kesini lagi. Dia juga ada sampaikan salam pada Makcik Nuriman." ujar Ozgey dalam nada sedih.
"Apa?" Makcik Nuriman mulai kaget.
"Tuan dah tahu?" soalnya berdebar. Dia menanti jawapan dari Ozgey.
Ozgey memandang Makcik Nuriman lantas menggeleng lemah.
"Seharian saya cuba hubungi Tuan, tapi tak dapat" cerita Ozgey.
"Kemana Tuan pergi?"
Bersambung..
Apakah yang dirasakan Zulaikha saat ini? Adakah dia merasakan bahawa Faeyz sudah mula mahu mengontrol hidupnya? Jika benar, mengapa dan patutkah dia diperlakukan demikian?
Share this novel