Bab 11c

Family Completed 2610

Sebagaimana tekadku di Yan tempoh hari, aku mengambil pendirian untuk menyatakan hasrat sebenarku kepada Encik Zulkifli. Perlahan aku melangkah menghampiri bilik Encik Zulkifli. Aku ketuk pintu biliknya dan ku tolak daun pintu. “Boleh saya jumpa ………..”  Mukadimah ku kepada Encik Zulkifli. 

“Boleh ….. silakan …..”

Aku duduk menghadapnya seperti setiap kali menemui Encik Zulkifli, tanpa diarahkan berbuat demikian.

“Emmm ….Ada masalah apa?” Dia menutup dokumen yang sedang ditelitinya dan menolak perlahan ke sisi tepi kiri, dokumen itu. Caranya itu menunjukkan dia cuba melayani kehadiranku kali ini dengan bersungguh sekali dan semacam memberikan ruang untuk aku berbicara dengannya bebas dan tanpa tergesa-gesa. Kebiasanya, aku hanya memperjelaskan apa sahaja yang sewajarnya dan pada masa sama fokusnya adalah terhadap tugas yang sedang dilaksanakan ketika itu. Aku akui, aku memang tabik hormat dengan kebolehannya dalam memberikan tumpuan terhadap tanggungjawab yang di sandang.

“Masalah ….tu …tak lah sangat …..” Aku menjawab dengan kata-kata yang tidak begitu lancar. Wal hal sudah banyak kali aku menyusun ayat untuk memudahkan aku berbicara dengan Encik Zulkifli berhubung dengan perkara yang ingin aku sampaikan sebentar nanti.

“Habis tu …..ada hal apa?” Dia merenung ke wajah ku, cuba mencari kepastian tentang apa yang aku katakan.

“Cakaplah ….. jika ada yang saya boleh bantu …. saya bantu …. jika tidak …. kita sama-sama cara idea untuk menyelesaikan ……” Dia mengarahkan aku memperjelaskan maksud sebenar aku menemuinya dengan cara lebih berdiplomasi.

“Saya ………. emm …. saya ....... saya .....”

Aku gagal menyatakan dengan jelas tujuan aku menemuinya, kerana kadang-kala masih timbul di hati rasa begitu bersalah untuk meninggalkan pejabat ini yang bagi aku telah berjaya mencapai kemajuan dari setahun ke setahun atas usaha kami dalam kumpulan kerja yang kecil pada awalnya .... sehinggalah kini ... mempunyai hampir 20 orang pekerja. Jelas lebih pasti ... aku akan rindu suasana kerja kami yang harmoni, walaupun ada-kalanya bertegang urut atas sesuatu perkara dengan tujuan mendapat output kerja yang baik ......

“Ain .... cerita kan ....”

“Saya mahu berhenti!” Desakan lembut Encik Zulkifli itu membuatkan mulut ku terluncur kata-kata itu.

Encik Zulkifli menjengkil matanya, semacam tidak percaya dan merenung wajah ku beberapa saat. Aku segera mengalih pandangan mata ku keluar tingkap. 

Dia menarik nafas dalam-dalam dan akhirnya kedengaran ......

“Kenapa ... Ain? Ada masalah di pejabat ni? Atau keluarga? Atau rasa gaji tak memuaskan? Atau tak puas hati dengan sesiapa di sini ...... Atau ... atau ... ”

Aku tunduk diam .... membiarkan Encik Zulkifli berteka-teki sebab musabab aku ingin meninggalkan Merak Holding Sdn. Bhd. 

“Awak ingat tak dulu-dulu .... masa awak, saya ... Fikri dan Afeezaa datang pertama kali di sini? Kita datang ke sini, setelah diarahkan oleh ibu pejabat, ibarat sehelai sepinggang. Pejabat yang separuh siap, perabot-perabot belum tersusun, sama-sama kita siapkannya dan kita bebas memilih mana-mana bilik yang kita kehendaki masa itu. Berjaga siang malam, tidur di pejabat dan siapkan projek pertama. Awak ingat?”

Encik Zulkifli membuka kembali kenangan bila kami bertapak di pejabat ini.

“Saya .... saya ...ingat .... tapi ...takkan kerana itu, saya tidak boleh keluar dari sini, Encik Zulkifli ...?”

“Bukan begitu ...sebenarnya maksud saya ..... awak orang kepercayaan, komitmen dan keupayaan yang awak buktikan dengan beberapa rakan lain, membuatkan saya .................”

Encik Zulkifli tidak meneruskan kata-kata akhirnya .... sedikit kesayuan di wajah nya ...

Sengaja untuk tidak mewujudkan rasa kehibaan di antara kami, aku cuba memohon dia menyambung kata-katanya ....

“Bukan apa .... awak .. diantara orang yang menjadi tulang belakang syarikat. Saya tahu ... saya ketua awak, tapi .... ketua ni ... tak  akan berjaya juga kalau orang yang membantunya tidak berwibawa .... harap awak faham .... maksud saya ....”

“Emm ... apa kata ... kalau saya tambahkan gaji awak .... atau kalau ada hal yang penting awak nak selesaikan ... soal keluarga ... awak ambil cuti dulu ..... sebulan dua .... kan masuk kerja balik ... Bagaimana?”

Sebelum aku menjawab .....

“Emmm .... saya tak nak tahu sebab apa awak nak berhenti. Saya nak awak datang macam biasa esok ...” Dia mengangguk-anggukkan kepalanya kepada ku.

“Encik Zulkifli ..... maaf lah ....” Sambil perlahan-lahan aku menghulurkan sampul surat berwarna putih. Sudah sekian lama notis berhenti kerja ku simpan kemas di dalam sampul itu. Hanya menunggu hari untuk diserahkan kepada Encik Zulkifli.

Encik Zulkifli langsung tidak menyambut huluran surat yang kuberikan. Bahkan dia hanya berkata ...

“Simpan balik surat tu!”

“Cutilah seminggu dua .... selesaikan masalah awak .... kemudian datang kerja masa biasa ...”

“Saya tiada masalah ..... saya ingin meninggalkan pejabat ini ..... itu sahaja .... masalah saya ...”

“Apa yang tak kena di sini? Cuba beritahu .......... ”

Takkan aku nak cerita ‘masalah berat melanda jiwa’ aku ni .... tak akan ada jalan penyelesaian pun. Jalannya hanya menghindari dari berada dalam situasi sekarang, menjauhkan diri dari si dia ... itu lah, jalan terbaik .............. istikarah sudah ku lakukan .... ini juga jalan yang ditunjukkan kepada ku .... maka aku perlu MUKTAMAD kan keputusan ku itu. Ligat otak aku berfikir. Tak sangka pula yang Encik Zulkifli amat tidak bersetuju untuk aku berhenti. Aku fikir dia tidaklah begitu mengambil kisah sangat dengan tindakan aku buat ini. Habis-habis yang aku fikirkan, dia menyuruh ...aku menyelesaikan tugas yang belum selesai sahaja, untuk mudahkan orang baru ambil alih kerja. 

Apa yang hendak aku kata yaaa ....

“Sebenarnya ... saya nak buat jualan dengan sepupu saya .... dia buka kedai kek ....dia nak saya bantu! Dah lebih setahun buka, banyak tempahan, tak menang tangan dia berseorangan ...” Terlintas difikiran ku tentang Kak Nora .... jadi terus terluncur kata-kataku kepada Encik Zulkifli. Sebenarnya perniagaan kecil-kecilan sahaja yang dilakukan oleh Kak Nora ...sepupu Razman, sebelah bapanya.

“Entah lah Ain ....”

Aku melihat Encik Zulkifli mengeluh kecil.

“Saya tidak kata bersetuju dengan permohonan awak ni ....” Jika awak masih sayang Merak Holding, datanglah dalam tempoh tiga bulan ...... dari sekarang .... pintu Merak Holding terbuka untuk awak!”

Aku angguk tanda faham. Encik Zulkifli tidak akan meluluskan permohonan untuk berhenti kerja dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh kami berbincang ini. Jika aku masih tidak datang selepas itu, baru aku dianggap berhenti.

“Terima kasih .....” Aku membalas kata-kata Encik Zulkifli, sambil mula untuk berdiri. Aku tetap membiarkan surat berhenti, yang langsung tidak disentuh oleh Encik Zulkifli dan dua fail putih yang ku bawa masuk ke bilik, tetap kutinggalkan di atas mejanya. 

 Aku mula memusingkan badan untuk bergerak ke pintu. Selangkah aku berjalan, Encik Zulkifli berkata.

“Ambil balik .... surat tu Ain ....”

“Simpanlah Encik Zulkifli .... buat kenang-kenangan ...” Walaupun boleh kata aku mati akal nak jawab yang aku memang MUKTAMAD dalam hal ini, tapi sempat juga aku buat lawak dengannya, terutama bila aku berkata – ‘buat kenang-kenangan’.

“Ok ..... nanti datang balik tau ..............” dia masih memujuk ku, meskipun kedua-dua belah kaki ku berada di luar pintu biliknya. 

Aku sekadar memberi senyuman dalam penuh ketegasan, di hati ku, inilah kali terakhir aku keluar dari bilik Pengarah Merak Holding sebagai pekerjanya. Lain kali, jika aku masuk atau keluar dari biliknya ... aku adalah tetamu sahaja .... bukan lagi pekerja di Merak Holding. InsyaAllah, tekad hati ku perlu kuat untuk meneruskan kelangsungan hidup sebagai isteri yang baik secara batiniahnya (pastinya tidak mampu ke tahap mithali) dan ibu untuk anak-anak kukandungkan hampir 9 bulan 10 hari secara hakikinya. Dada ku berasa lapang ...... lega, tenang, damai ............... tapi .... tidak jelas sama sekali kenapa perasaan itu hadir di jiwa ku. Apabila aku tiba di bilik ku, aku meraup kedua tapak tangan ku ke muka. Syukur teramat aku berjaya menyelesaikan misi yang ku pendam ini .... hampir lebih tiga bulan. 

Aku keluar sekejap ke hadapan bilik aku .... memerhati sekeliling. Ruang pejabat telah sunyi sepi. Jam di dinding ku perhatikan .... ‘oooo ...patutlah ... hampir pukul satu’. Pasti semua dah keluar makan, yang lelaki nak ke masjid, maklum hari ini, Jumaat. Meneliti telefon bimbit ku .... yang sengaja ku tinggalkan di dalam laci bilik, sebelum menemui Encik Zulkifli .... ada tiga mesej. Satu daripada Fikri dan dua dari Afeezaa. Dua mesej adalah untuk mengajak aku makan tengah hari dan satu untuk memaklumkan mereka telah keluar pejabat, tanpa aku.

Aku tidak membalas ..... biarkan lah ....

Menggunakan masa dalam tempoh 45 minit, sebelum rakan-rakan sekerja pulang sekitar jam dua nanti, aku mengemas mana patut. Tiada apa sangat barang yang perlu aku bawa pulang ..... aku pun sudah mengangkut sedikit demi sedikit sebelum ini. Selebihnya akan aku tinggalkan di situ. Aku perhatikan satu pasu tembikir, pemberian kawan ku yang kujadikan perhiasan di bilik itu. Berfikir berulang kali, dan muktamadnya ... aku biarkan juga di situ. Terpulanglah nanti, sesiapa yang menduduki biliknya menghiaskan biliknya mengikut dekorasi yang disukainya. Tanpa mengunci pintu bilik dan meninggalkan kunci di atas meja, aku menjinjing satu beg kertas dan beg tangan ku,  turun ke lobi utama dan mengucapkan salam kepada pengawal keselamatan yang bertugas. Itu ucapan salam selamat tinggal untuk Merak Holding ..... Menuju ke kereta ku dan memandu perlahan pulang ke rumah. 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience