Bab 2

Family Completed 2610

Pagi itu aku sampai di pejabat jam 8.00 pagi. Agak awal daripada kebiasaan iaitu sekitar jam 8.30 pagi – 9.00 pagi. Nasib baik pintu pejabat sudah di buka, kalau tidak jadi pak pacaklah aku, macam pengawal keselamatan di bank-bank tu. Ala... bukan di bank saja, mana-mana pejabat yang ada pengawal keselamatan lah! Itu tafsiran pemikiranku. 

Kebiasaan yang datang awal, Kak Rokiah, yang mengelarkan dirinya ‘Kak Ruby’, biar nampak macam orang ‘Kolompur’ katanya, yang berasal dari Kuala Kangsar. Umur sekitar 40 an dan sudah mempunyai dua orang anak dara yang sudah layak berkahwin. Kak Ruby kerjanya menjadi setiausaha pejabat atau nama ringkas jawatannya adalah PA (Personel Asisstant) kepada Pengarah Merak Holding, Cawangan Kuala Lumpur, lokasi sebenar di Mon’t Kiara. Bagi aku, Kak Ruby suka bergossip, nasib baik tak jadi wartawan majalah hiburan atau ruangan artis-artis, kalau tidak sekecil-kecil apa yang dilakukan oleh sesorang artis pasti dibongkarnya habis-habisan. Namun, Kak Ruby baik orangnya, dia tidak memburukkan orang sesuka hati, setiap sesuatu perkara akan selidik sedalam-dalamnya untuk dia mendapatkan kesahihan. Itu yang tak tahan tu, apa yang hendak kita sembunyi dari orang lain, akan perlahan-lahan di soal selidik, tanpa kita sedar sesuatu ‘rahsia’ akan terbongkar kepadanya. Katanya biar dia jelas dan sahih apa-apa yang berlaku di sekelilingnya, agar dia tidak mencurigai atau tertanya-tanya, daripada membuat andaian sendiri. 

Kak Tunti pula kerjanya mengemas pejabat dan membantu apa yang patut juga tidak ketinggalan menjadi pembancuh air kepada pekerja di pejabat. Dia berasal dari Medan dan telah lama menetap di Segambut Dalam, sudah mendapat taraf penduduk tetap atau yang selalu disebut-sebut orang taraf PR (Permanent Residents). Berusia sekitar 50-an, tapi dia masih nampak muda sepuluh tahun daripada usia sebenarnya. Ibu beranak dua dan bercucu tiga orang ini, cukup lembut pertuturan dan pengemas orangnya, pada pandanganku. Sesuai sekali dengan bidang tugasnya di pejabat ini.

Selesai menyimpan beg tangan di bilik ruang kerja ku, aku terus menuju ke pantri. Membuka sepaket nesface (3 dalam 1) dan menuangkan ke dalam gelas. Menghadapkan diri ke mesin air pelbagai guna. Aku menekan butang ‘hot’ Sharp Water Dispenser EZ. Bila mana gelas setinggi sejengkal itu hampir penuh dengan air panas, aku berhenti menekan. Gelas itu telah kubalutkan siap-siap dengan tisu yang agak tebal bagi mengelakkan tangan terasa haba panas. Ku bawa gelas itu ke bilik kerjaku yang luasnya hanya sekitar 4 X 6 meter persegi. 

Walaupun bilik ini tidak sebesar mana, tapi aku merasa cukup selesa kerana ia mempunyai tingkap yang menghadap deretan kedai dan dilengkapi kerusi, meja dan rak-rak yang boleh menempatkan banyak fail. Sebuah komputer juga disediakan di atas meja. Sederat dengan bilik aku adalah bilik Fikri, Amiza dan Rosmadi paling hujung. Bertentangan bilik Amiza dan Rosmadi adalah bilik Encik Zulkifli. Mereka hanya dipisahkan dengan ruang kerja Kak Ruby. Manakala di depan bilik aku dan Fikri adalah ruang kerja yang boleh menempatkan enam orang staf dalam satu masa. Mereka dipisahkan hanya dengan kubikal kecil yang disediakan dengan meja dan kerusi sahaja. Selebihnya di tingkat dua yang menempatkan bilik Amira dan Zulaikha. Kubikal disediakan untuk sepuluh pekerja sahaja dalam satu masa. Tingkat bawah menempatkan satu bilik perbincangan, kerja-kerja percetakan dan kaunter pertanyaan. 

*****

Aku membelek-belek lagi nota untuk pembentangan di ibu pejabat dalam tempoh dua jam lagi. Rasa macam dah yakin boleh bantu mana patut untuk Rosmadi nanti, sebab aku bukan pegawai utama yang membuat perbentangan, tetapi Rosmadi. Mungkin khidmat aku tak perlu langsung nanti, aku mengandaikan begitu. Apa-apa pun aku sudah bersedia mana yang patut.

*****

“Nuraini!”, Sedikit aku terperanjat bila kedengaran namaku disebut dengan agak kuat. Aku terus bangun dari kerusi hitam itu, lalu menonjolkan diri di muka pintu bilik ruang kerjaku yang ukurannya 4 X 6 meter itu. Aku menjenguk kepala, lalu bertanya kepada sesiapa sahaja yang memanggil namaku tadi.

“Ya … siapa tadi yang panggil saya?” Menjawab panggilan dan juga menyoal soalan.

“Saya, Rosmadi!” suara kedengaran, tapi wajahnya tidak kelihatan dan seketika aku terdengar gerak tapak kasut menuju kearahku. Rupanya Rosmadi, sudah siap untuk keluar dari pejabat. 

“Belum siap ke?”

“…. Oooo sudah, sudah!” aku menjawab, sebenarnya sedikit menipu. Mana betul-betul siap, air yang ku bancuh baru setengah cawan di minum. Nota-nota perbincangan masih berterabur di atas meja, baru selesai meneliti semula nota-nota tersebut. Aku terus menyambung bicara. 

“Bagi saya sepuluh minit, untuk siap!” 

“Baik … jangan lambat, saya tunggu di bawah.” Sahut Rosmadi.

Aku berlari anak ke kerusi semula, mengumpul semua nota-nota bertaip dalam bentuk kertas A4 dan memasukkan ke dalam briefcase hitam.  Diari hitam juga kumasukkan ke dalam beg berkenaan, dan sebatang pen berdakwat biru ku sepit kan di depan kot labuh ku berwarna biru gelap.

Membiarkan air nescafe itu, sejuk tanpa di minum, aku berlari-lari anak ke pintu bilik, mengunci dan menuruni tangga, seterusnya muncul di depan pintu utama pejabat dengan senyuman di paksa kepada rakan-rakan sepejabat yang baru tiba, termasuk Rosmadi yang tengah mengenggam kunci keretanya.

“Awak tunggu sini ya …!, saya ambil kereta di sana.” Maklum Rosmadi, sambil  jari telunjuknya menunjuk k earah tempat parkir kenderaan, kepadaku.

“Tunggu, aku berlari menghampiri Rosmadi dalam jarak setengah meter dan berkata-kata, “Awak nak pandu kereta sendiri ke ?” 

“Iyalah, kenapa?”

Otak aku dengan ligat mencari alasan untuk tidak menaiki kereta berdua-dua dengan Rosmadi sahaja. Bagi ku cukup kurang manis berkereta dengan rakan sekerja berlainan gender dalam satu kereta. Sementelah, aku memang tidak selesa berdua-dua dengan Rosmadi. Tetiba terpandang sebuah teksi di seberang jalan, lalu ku katakan kepadanya, “Jom naik teksi sahaja, saya bayar!” Menyambung kata “Masa sekarang ni, sesak jalan raya. Nanti awak penat memandu dan mungkin mood awak tak ok nanti …..,macam mana ….  boleh?

Muka Rosmadi berkerut, dia seperti tidak berapa setuju dengan idea aku, aku sebenarnya betul-betul risau kalau menaiki kereta berdua dengannya. Ketika mengelamun, mencari idea yang lain, jika Rosmadi tidak bersetuju dengan cadangan tadi. Tiba-tiba kelihatan, Mat Husin yang setia lebih sepuluh tahun dengan Merak Holding, tiba dengan kereta pejabat serta memberikan senyuman seikhlasnya.

“Haaaa!”, Aku melaung agak kuat, menyebabkan Rosmadi agak terperanjat dan Mat Husin seperti terpinga-pinga.

“Nak ke mana pagi-pagi ni?” Tegur Mat Husin yang tangannya masih memegang stereng kereta.

Aku mengambil peluang ini dengan terus menjawab,

“Ke ibu pejabat, boleh ke Abang Mat hantar kami ke sana?” Pemandu itu diam seketika, semacam berfikir sesuatu, lalu menjawab, 

“Boleh tu memang lah, dekat KLCC kan?, tapi nak balik pukul berapa?” Aku angguk juga turut menjawab,

“Paling lambat pun jam 3.00 petang, kalau tak dapat tunggu pun tak apa, kami naik teksi.” Begitu pantas aku menjawab dalam memastikan Rosmadi tidak membantah cadangan kedua aku ini. 

Aku menyambung kata-kat lagi, 

“Encik Zul, sampai jam lima kan? Jadi sempat Abang Mat jemput dia di KLIA2 ….” 

Mat Husin membalas segera, “Betul, betul … pagi ini Abang Mat tak ke mana-mana, mungkin kemas-kemas di bilik belakang tu sahaja yang banyak kertas dan surat khabar….., tak apa … nanti boleh buat.” 

Naik-naik lah, kan lambat sampai”.

Wah, lega betul perasaan aku ketika itu, tapi ku lihat Rosmadi macam mencemek mukanya sendiri. Aku lantas membuka pintu kereta waja, sebelah belakang yang berlogokan pejabat Merak Holding. Rosmadi melangkah perlahan-lahan, turut juga membuka pintu kereta sebelah pemandu. 

Sambil itu aku lihat Mat Husin sedang mencari-cari nombor telefon seseorang di dalam telefon bimbitnya, lalu membuat panggilan. Aku dengar Mat Husin bersuara, memberi salam dan memaklumkan dia akan ke ibu pejabat dan aku pasti orang yang dilawan bicaranya itu Kak Ruby, setiausaha Encik Zulkufli. 

Meneruskan perjalanan, aku perhatikan Rosmadi membelek-belek bahan bacaan yang di bawa bersama-samanya. Tidak ada apa-apa yang diucapkan, manakala Mat Husin pula serius memberi tumpuan ke jalan raya yang sememangnya kereta di pandu bagai kura-kura berjalan, pada waktu puncak warga kota ingin memenuhi ruang pejabat-pejabat dan premis perniagaan yang akan di buka waktu operasinya dalam tempoh satu ke dua jam lagi. Hanya siaran radio IKIM.FM kedengaran, menemani kami bertiga. 

*****

Ketika membelok ke Jalan P. Ramlee di tengah ibu kota, Mat Husin bertanya, “Nak saya tunggu atau balik terus?” Terus Rosmadi membalas dengan tegas, 

“Abang Mat tunggu sahaja, apabila habis mesyuarat, saya telefon.”

“Baik Encik Rosmadi.” Balas Mat Husin, yang nampak sedikit takut bila mendengaran arahan Rosmadi itu. 

*****

Sepuluh minit selepas itu, kami diturunkan oleh Mat Husin di depan Ibu Pejabat Merak Holding Sdn. Bhd. Aku turun dan berjalan beriringan dengan Rosmadi tapi agak berjarak suku meter. Ketika berjalan beriringan itu, Rosmadi bersuara, “Sombong, tak sudi naik kereta saya!” Aku diam sahaja, lalu Rosmadi menyambung … “Emmm … yer lah orang tu keretanya BMW, tak sama kelas dengan kereta kita …... !” 

Dalam hati aku terfikir, ‘apa kena dengan mamat seorang ini, masih dipanjangkan isu untuk datang ke ibu pejabat Merak Holding, … pelik nya ???’ Pemikiranku lagi menambah, ‘Emm .. biar lah, tak perlu ku jawab. Bagi peluang dia melepaskan rasa tak puas hatinya, berseorangan. Nantikan tekanan pula, lintang-pukang masa nak buat pembentangan kepada ketua-ketua pengarah dari cawangan lain dan wakil dagangan Taiwan. Memang aku tak faham masalah si Rosmadi sekarang ini.” 

Sebenarnya aku punyai alasan sendiri untuk tidak menaiki kereta berdua dengannya, maklumlah, aku sendiri sedar yang aku ini isteri orang, perlu berjaga-jaga, sebelum fitnah yang mungkin timbul. Dunia ini tak besar mana, tersilap dilihat oleh saudara mara, rakan taulan, tersebar cerita tidak baik. Bukan aib aku seorang, tapi suami, anak-anak, keluarga sendiri dan sebelah mentua. Aku fikir jauh-jauh, kebarangkalian yang mungkin berlaku dan cuba mengelakkan semuanya itu. 

Sambil berfikiran tersebut dan hanya mengikut Rosmadi, aku baru tersedar yang kami telah masuk ke ruang lobi ibu pejabat Merak Holding. Selepas bersalaman dengan beberapa orang staf yang ku kenali, tetapi tidaklah serapat mana, aku dan Rosmadi di bawa masuk ke dalam sebuah bilik mesyuarat di tingkat tiga, beberapa orang telah sedia menunggu. Kami bertegur sapa dan bertanya khabar. Diantaranya itu juga, ada yang ku kenali dan ada yang tidak. Hampir kesemuanya adalah pengarah cawangan Merak Holding Sdn. Bhd. dan hanya dua orang yang berjawatan timbalan pengarah. Aku tahu mesyuarat ini akan melibatkan seramai lima belas orang termasuk aku, Rosmadi dan pengerusinya Dato’ Mustafa Ahmad serta dua tiga wakil dagangan dari Taiwan. Perbincangan kami kali ini adalah atas matlamat untuk memperluaskan barangan jualan tempatan ke pasaran luar negara terutama kedai-kedai runcit dan pasaraya di Taiwan. Jika persembahan Rosmadi dapat memenangi hati kumpulan dagangan Taiwan itu, ini adalah salah satu kejayaan besar bagi Merak Holding bagi suku tahun pertama, tahun tersebut. 

Tepat jam 10.00 pagi perbincangan bermula. Pada awalnya aku membisu sahaja, namun setelah Rosmadi memperjelaskan beberapa perkara berkenaan dengan prosfektus perniagaan, kaedah perancangan dan sebagainya, aku diberikan peluang untuk menokoh tambah mana yang patut. Akhirnya 10 minit sebelum jam 12.00 tengah hari, majlis perbincangan tamat. Aku lega dan Rosmadi jelas begitu gembira. Persembahannya cukup menarik telah membuatkan wakil dagangan Taiwan tersebut bersetuju untuk berurus niaga dengan Merak Holding dengan kontrak dua tahun. Sekiranya hasil memuaskan kontrak urus niaga ini akan disambung lagi untuk tempoh yang berikutnya. 

Sempat seketika Dato Mustafa Ahmad mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Rosmadi dan aku di atas persembahan itu. Namun perbualannya tidak lama memandangkan Dato Mustafa Ahmad dan warga Taiwan itu akan makan tengah hari bersama-sama di Hotel Renaissance. Selesai bersembang ringkas dan bersalaman, kami turun ke lobi utama Merak Holding Sdn. Bhd. Kami dijemput sekali, tetapi Rosmadi menolak dengan alasan kami perlu segera pulang ke pejabat kerana ada tugas penting yang perlu disiapkan petang nanti. 

*****

Semasa di lobi,  Rosmadi mengajak aku makan. Aku sebenarnya segan juga untuk makan dengannya, sebagaimana segannya aku dengan cadangannya untuk datang ke Merak Holding tadi menaiki kereta berdua-dua dengannya. Otak mula mencari ilham baru untuk menolak secara professional. Namun tiada sebarang akal yang muncul. Aku terpacak lagi di sebelah kiri kaunter pertanyaan pejabat itu.

“Jom … cepat lah, kita pergi makan, saya lapar sangat ni!, Kuih tadi tak mengenyangkan, dah lah panik !” 

“Apa yang paniknya ?” Aku cuba untuk menukar topik agar pada masa yang sama ilham muncul untuk menolak ajakan makan bersama-sama dengannya. Rosmadi juga tidak menjawab soalan aku, tapi dia mengangkat bahu, bermaksud aku perlu faham sendiri apa maksud ‘panik’ yang dinyatakan itu. Akhirnya aku mengiyakan juga ajakan Rosmadi kerana aku yakin dia betul-betul lapar dan aku akui sendiri yang aku juga begitu kelaparan.

“Emmm … boleh lah, tapi … kat mana ?

“Emmm … sana …” Sambil jari telunjuknya menunding ke Suria KLCC. Aku angguk sahaja. 

“Apa kata kita ajak Abang Mat sekali, dia pun pasti lapar juga.” 

“Mat Husin tu lagi diingatinya … tiada orang lain ke, wahai Puan Nuraini?” menjawab dan juga bertanya seakan menyindir.

“Iyalah … dia tunggu kita, pastinya tak makan juga …” Aku sekadar membalas kata-katanya yang sebenarnya tidaklah membawa makna yang jelas. Kemungkinan Mat Husin sudah kenyang sebab dia boleh sahaja pergi makan di mana-mana kedai makan yang dirasakannya perlu, dalam tempoh dua jam lebih menunggu kami tadi.

“Ikut suka hati awaklah, telefon dia, suruh dia parkir di mana-mana yang sepatutnya, jangan tepi jalan, kan kena saman, parah kita dibebel Encik Zul. Lepas itu, beritahu Abang Mat awak tu … datang ke Little Penang Café, Aras Empat, kita tunggu dia di situ.” Arahnya dengan jelas dan tegas sekali. 

Mata ku terkebil-kebil, terasa seperti sedikit kemarahan dalam nada kata-katanya tadi. Aku pun buat-buat tak kisah, sambil kaki bergerak dan menyeberangi jalan raya, mengikut Rosmadi dan tangan mula mencari-cari nombor telefon Mat Husin dalam telefon bimbitku, lalu kemudiannya aku mendail nombor telefon itu dan memaklumkan Mat Husin sebagaimana arahan Rosmadi. Akhirnya, hati ku mengucap syukur yang teramat sangat, bila Mat Husin bersetuju untuk makan bersama-sama kami. 

 

*****

Ketika kami sampai di Little Penang Café, masih banyak tempat yang belum dipenuhi oleh orang ramai. Mungkin waktu rehat belum tiba, iaitu kira-kira setengah jam lagi, memberikan ruang untuk kami memilih tempat duduk yang agak selesa. Apa pun aku sebenarnya mengikut sahaja di belakang Rosmadi tanpa berkata apa-apa. Ketika di muka pintu restoran itu, aku hanya berdiri tegak, melihat sahaja ke mana arah Rosmadi ingin mendapatkan tempat yang agak ‘strategik’ untuk makan. Walaupun aku kenal Rosmadi ini dalam tempoh baru hampir setahun, tapi sebagai rakan sekerja, aku juga sudah maklum yang Rosmadi adalah seorang yang agak cerewat memilih tempat duduk di mana-mana restoran atau kedai makan. Jadi aku membiarkan dia berjalan dahulu ke meja yang disukainya dan aku akan mengikutnya selepas itu. Bagi mengisi kelapangan waktu ku ketika itu, aku melihat-melihat ‘menu hari ini’ yang dipaparkan berdekatan pintu masuk. Tidaklah aku menyimpan jenis-jenis menu yang ada disenaraikan itu di dalam pemikiran ku, tapi sekadar untuk melambatkan masa aku hadir ke meja yang telah dipilih oleh Rosmadi, iaitu jauh dari ke belakang dari pintu utama restoran ini. Agak tersembunyi daripada orang ramai. Aku buat-buat tidak nampak dan mengharapkan Mat Husin juga segera sampai. 

Seketika mengangkat wajah ke arah meja yang telah dipilih Rosmadi itu, Rosmadi terus melambai tangannya kepada ku. Pastinya sudah agak lima minit Rosmadi berbuat demikian, bagi memastikan aku memandangnya dan melambai tangan kepada ku. Hati ku mula bersuara lagi, ‘Alamak …. macam mana ni, Mat Husin tak tiba-tiba, aku dah nak kena mengadap Rosmadi. Sabar sekejap Ain’ Bisik hati kecil ku, cuba mencari idea baru. Aku membalas lambaian Rosmadi, dengan menunjukkan aku akan pergi ke meja itu, tapi tidaklah secara bersegera dan menunjukkan telefon bimbit aku, semacam aku ingin berbual dengan seseorang menerusi telefon.  Lalu aku mendapat idea, aku hantar ‘khidmat pesanan ringkas’ kepadanya melalui telefon bimbitku. ‘Pesan apa sahaja untuk saya dan Abang Mat, macam yang awak punya. Kami makan sahaja’. Kemudian aku melihat dia mengangguk-angguk kepada ku, tanda faham. Ku lihat lagi, pelayan restoran yang berdiri di sebelah Rosmadi, mencatatkan sesuatu dan kemudian berlalu pergi.

*****

Bagi menghabiskan masa menunggu Mat Husin di depan restoran itu, aku membuat panggilan  kepada Kak Melah di rumah. Biasanya aku tidaklah membuat panggilan kepada Kak Melah untuk bertanya khabar mengenai anak-anak atau urusan rumah pada waktu-waktu begitu. Namun disebabkan untuk mengelakkan daripada duduk dengan Rosmadi, aku menemui idea menghubungi Kak Melah melalui telefon, bertanya mengenai Akilah dan hal-hal lain. Sebenarnya bukan masalah sangat jika aku duduk dengan Rosmadi di tempat itu, pada perkiraan akal. Walaupun dikira  ‘privacy’, tapi orang lain boleh nampak jelas jika lakukan sesuatu yang pelik. Cumanya, hati kecil ku berasa ada sesuatu yang tidak kena, jika aku hanya berdua-duaan dengan Rosmadi. Satu perasaan yang sukar aku gambarkan kepada orang lain, apa sebenarnya yang aku ‘rasa’ bila bersama dengannya. 

Sudah agak lama berbual dengan Kak Melah, aku mula menjadi risau bila mana Mat Husin tidak kunjung  tiba. ‘Alamak, tak jumpa tempat parkir ke apa, Abang Mat ni! Atau sesat ke sini?’ Hatiku berbicara sendirian lagi. Kemudiannya aku mengambil keputusan mendail nombor telefon Mat Husin, namun tak sempat ditekannya butang ‘dial’, Mat Husin tiba di depan ku. 

“Aikk ... apa pasal tunggu di sini?” Mat Husin bertanya apabila dia memang betul-betul di hadapanku. Aku senyum kepada Mat Husin sambil menjawab yang aku ni takut dia tersesat mencari jalan ke sini. Dia memaklumkan.

“Alaa ... mana mungkin Abang Mat sesat, jika ada hal kat ibu pejabat, sinilah tempat Encik Zul lepak-lepak dan makan.”

“Oooo kisahnya!” Aku menjawab pun sambil baru mengetahui yang Encik Zulkifli  suka berada di kedai itu. Kemudiannya aku mengajak Mat Husin menuju ke tempat Rosmadi menunggu.

Bila mana melihat aku dan Mat Husin tiba, dia mengalu-alukan kami makan, kerana nasi briani mamak sudah siap terhidang di atas meja. Hanya menunggu untuk dijamah sahaja.

“Maaf, lambat sikit Encik Rosmadi, susah cari tempat kosong.” Mat Husin bersuara bila kami sudah mengambil tempat duduk. Dia mengadap Rosmadi dan aku duduk di sebelah kanannya yang mempunyai empat kerusi.

“Tak apa .... makanan ni baru saja sampai.” Balasnya, lalu menambah kata,

“Bertuah Abang Mat, kawan tunggu sekian lamanya di depan restoran !” Mendengar kata-kata itu, Mat Husin ketawa perlahan, bibir aku pula senyum kelat, muka terasa bahang, berubah warna rasanya wajah aku ketika itu. 

“Ala .... Puan Nuraini tunggu ...., sebab risaukan saya sesat  tadi tu !” Mat Husin menjawab dengan tertib, mungkin untuk mengelak aku terasa hati. Aku pula mengangguk-anggukkan kepala cuba mengiyakan bersungguh-sungguh kata-kata Mat Husin. Namun Rosmadi semacam sengaja menyakitkan hatiku, dia gelak dengan agak kuat, Mat Husin terkebil-kebil, tapi bibirnya tetap dengan senyuman dan aku rasa nak lari terus dari tempat itu, tetapi aku masih mampu buat-buat selamba sahaja. Geram dan marah bercampur, biarlah dia nak kenakan aku, yang penting aku boleh makan nasi briani ini juga. Lapar sungguh rasanya. 

Lima minit berselang, Rosmadi berkata lagi,

“Abang Mat, kalau Abang Mat dapat orang macam ni ….. Abang Mat suka ke tak?” Wajahnya memandang aku.

“Iskkk …. Pastiiiiii ….., siapa tak berkenan oiiiittt, comel, baik, lembut …. Tak ada cacat celanya!”

“Abang Mat ….. lebih-lebihlah pulak ….”

“Laaaa…..kan Encik Rosmadi tanya saya …… saya jawab seikhlasnya ….”

Rosmadi menundukkan sedikit wajahnya ke meja. Mungkin terasa bersalah, kerana dia yang memulakan bicara itu. Aku diam … meskipun sedar kata-kata itu ditujukan kepadaku, tetapi sisa geram tadi masih ada dan makin ditiup baranya kepadaku. Bertambah diamlah aku.

“Encik Rosmadi ni … kenapa ? Kalau nak, boleh saya carikan ….. ramai kat Kuala Lumpur ni, macam-macam fesyen!”

Hahaha ….Rosmadi gelak keras mendengar kata-kata Mat Husin.

“Nak tu nak juga, tapi yang adanya dah jadi bunga larangan ….. payahlah Abang Mat!”

‘Isskk … apa ke maksud si mamat ni?” Bisik hati kecil ku. Mat Husin pula pandang ke wajah ku!

“Iskkk … bunga lain yang tengah kembang banyak lagi, mawar, cempaka, bunga raya pun ada ….” Mat Husin gelak kecil, aku senyum kelat dan Rosmadi angguk sahaja dengan wajah tak berapa selesa. Mat Husin menambah.

“Cuba cari kat Tasik Perdana ….. warna-warni bunga kat situ ….”

Aku rasa Mat Husin, sahaja nak tukar maksud perbualan, sebab aku rasa semacam diperkenakan masa itu. Mat Husin seperti memahami hati aku.

“Tak sama … sama sekali tak sama …..” mungkin juga tidak mahu memanjangkan bicara, sebab mungkin segan aku dan kesian melihat aku diperkenakan oleh Rosmadi. Kami sambung makan tanpa banyak bicara lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience