Bab 7c

Family Completed 2610

Selepas selesai menguruskan anak-anak menyiapkan kerja sekolah, mengarahkan mereka membersihkan diri, bersolat Isyak dan tidur, aku masuk ke bilik. Niat hati juga ingin menunaikan solat Isyak dan merehatkan diri. Teringatkan telefon bimbitku yang terletak di dalam beg tangan, aku segera mencarinya. Telefon bimbit dikeluarkan dan menyemak sebarang maklumat yang tertera pada skrinnya.

‘Waaah.... banyaknya panggilan tak berjawab, lima daripada Zulaikha, dua daripada Kak Ruby, satu daripada Afrina, tiga daripada Razman dan satu daripada Rosmadi. Pastinya Zulaikha, Kak Ruby dan Afrina ingin bertanya kenapa aku tidak masuk ke pejabat sebelah petang tadi, Razman mungkin ingin mengejutkan aku dari tidur dan Rosmadi ... kenapa ya?’ Aku berteka-teki sendiri kenapa Rosmadi membuat panggilan jam 6.00 petang? ‘Mungkin ada hal penting yang ingin diberitahu kepadaku, tapi pasal apa?’ Pada awalnya aku ingin membalas panggilan telefon Rosmadi, setelah difikirkan banyak kali, aku membuat keputusan untuk tidak berbuat demikian. Biarlah .... jika ada hal penting pasti dia akan menelefon beberapa kali pada pemikiranku. Lagi pun jika jam enam petang, aku fikir lagi dia tidak berada di mana-mana pejabat cawangan di Johor Bharu itu. Mungkin sudah di hotel atau meronda-ronda di Komtar Johor Bharu atau mana-mana sahaja lokasi lain. Muktamad aku mengambil keputusan untuk tidak menelefon semula Rosmadi.

Rosmadi bertugas di luar pejabat sudah hampir dua minggu. Dia dan Fikri ditugaskan melakukan kerja-kerja pengauditan dan mengenal pasti langkah promosi lebih baik untuk urusan perniagaan beberapa cawangan, iaitu di Johor dan sebelum itu ke pantai timur, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Aku dimaklumkan bahawa mereka akan kembali bertugas di pejabat pada Isnin depan.

Sebelum aku memasuki bilik air untuk membersih diri dan berwuduk, aku sempat menghantar mesej, ‘Maaf, akak lena tidur, hampir jam 7.00 petang akak baru bangun’. Itulah mesej yang aku kirimkan melalui telefon bimbit kepada Zulaikha.

*****

Pagi-pagi lagi aku sudah sampai di pejabat, Isnin berikutnya. Agak awal juga aku tiba sekitar jam 7.45 pagi. Siap ditegur oleh Kak Tunti kerana agak awal aku tiba pagi itu. Lalu aku memberikan alasan sebab menguruskan anak-anak yang akan mengikuti lawatan sambil belajar sehari di Taman Bukit Cerakah di Shah Alam. Mereka perlu berada awal di sekolah dan aku yang menghantar mereka ke sekolah, tidak seperti kebiasaannya menaiki bas sekolah. 

Tiba di bilik ruang kerja ku, ku lihat beberapa dokumen penuh di atas meja. Dokumen yang kujadikan rujukan untuk menyiapkan laporan baru berkenaan promosi perniagaan syarikat bagi cawangan di sebelah utara semenanjung pula. Laporan yang tidak dapat ku siapkan dengan sebaiknya dek kerana jiwa ku ‘terganggu’ Jumaat lepas. Sedikit keluhan kecil ku keluarkan atas rasa bersalah dengan sikap diri ku sendiri. Nasib baik, laporan itu perlu diserahkan kepada Encik Zulkifli dalam masa dua hari lagi. Nampaknya aku perlu meluangkan lebih masa di pejabat pada hari ini, mungkin ke hingga malam hari. Aku tidak suka kerja-kerja tidak disiapkan berdasarkan tarikh yang telah dijadualkan. Itu sikap aku dan aku selalu memastikan tidak banyak pembetulan yang perlu ku buat selepas semakan akhir daripada Encik Zulkifli. Bagi aku penelitian awal bagi sesuatu tugas itu penting bagi menjamin kesempurnaan sesuatu tugas pada akhir serahan kepada pihak atasan.

Jam telah beranjak ke angka 8.00 pagi, hanya aku sahaja di tingkat dua ini. Seperti kebiasaannya juga, aku akan menyediakan segelas nescafe sebelum melakukan ‘pertapaan’ di dalam bilik kerja. Sungguh aku ralit dengan kerja ku pada pagi itu, sehingga lah jam 10.30 pagi, aku tergangu seketika apabila Kak Tunti datang membawa secawan teh dan satu kuih karipap dan seri muka. Ralitnya aku boleh diibaratkan, kalau runtuh bangunan pejabat tu, memang aku “terselamatlah”. Memang tiada mengambil peduli langsung hal-hal di luar dari ruang bilik kerja aku.

*****

Lima belas minit sebelum jam 1.00 petang, telefon bilik berdering minta di angkat. 

“Hello, akak, jom makan .... masa rehat dah ni .....”

“Siapa ni ?” Aku tidak dapat mengecam suara yang kedengaran.

“Zulaikha lah .... kak ....”           

“Emm ... akak kirim aje boleh ...? Banyak lagi tak siap .... idea tengah mencurah-curah ni!” Aku gelak kecil.

“Sekejap aje .... kat kedai mamak depan tu aje ...”

“Ala .....lain kali ya!” Akak kirim aje. Apa-apa aja Ika beli, nasi separuh, lauk campur, macam biasa.”

“Baiklah .... tuan puteri ...” Zulaikha ingin bergurau dengan ku.

“Nanti saya bawa ke bilik akak, jika kami selesai makan ....”

“Ya ... ya... akak bagi duit lepas ni .... terima kasih.”

“Baik ... sama-sama.” Balas Zulaikha.

*****

Seperti mana yang Zulaikha janjikan, dia datang membawa nasi bungkus untuk ku sekitar jam 2.15 petang. 

“Maaf, lewat sikit, kami sembang tak tengok jam. Nasib baik Encik Zul dah keluar jam 11.00 pagi tadi, tak .... penat juga kena ‘tadah’ telinga, dia berkhutbah!” Zulaikha gelak dan aku turut sama, sambil menghulurkan duit RM5.00 kepada Zulaikha. Kami sedia maklum yang Encik Zulkifli itu, bukan seorang yang agak berkira dengan masa, namun hormat kami selaku orang bawahan menjadikan kami segan kepadanya jika terlewat memasuki pejabat, kalau sekadar makan tengahari di sekitar kawasan pejabat. Aku memang menghormati dia sebagai ketua yang banyak memberi tunjuk ajar dan beliau seoarang yang agak bertimbang rasa dalam banyak hal.  

“Kalau berbaki simpan, kalau tak .... kira sedekah ya ?”

“Ok ... tak ada hal, empat ringgit setengah aje!”

“Jap lagi akak makan, mesti sedap ni ....” Aku memberi senyum kepada Zulaikha yang bergerak keluar dari bilik ruang kerja ku.

*****

Hampir separuh hari aku memerapkan diri di bilik ruang kerja, sekadar ke pantri, bilik air dan surau kecil di pejabat. Melalui tempat ku duduk, aku dapat memerhatikan rakan-rakan sekerja lalu lalang di hadapan bilik ku, sibuk dengan tugas masing-masing. Sekali sekala muncul Fikri dan rakan-rakan lain sekadar memberi salam, senyuman dan bertanya khabar seringkasnya, di pintu bilik ku. Sebagai mana yang aku jangkakan pada awal pagi tadi, aku perlu menyiapkan tugas ke malam hari, aku menelefon Kak Melah memaklumkan perkara tersebut, bila jam menunjukkan ke angka hampir 4.30 petang. Azlan yang menjawab panggilan telefon, katanya Kak Melah di dapur. Riuh dia menceritakan kisahnya menghadiri lawatan sambil belajar, anjuran sekolah. Bermula dari awal menaiki bas hinggalah pulang ke sekolah. Aku melayani Azlan dengan beberapa soalan, apa lagi pelbagai cerita yang dimaklumkannya. Ada masanya aku gelak dengan jawapan yang diberikan oleh Azlan. Sedar tak sedar lebih 20 minit aku berbual-bual dengan Azlan. Akhirnya aku minta dia memanggil Kak Melah, untuk aku maklumkan tentang kelewatan ku pulang ke rumah. Aku memberi salam dan Kak Melah menjawab seadanya. 

“Akilah buat apa?”

“Biasa main-main dengan Aishah kat bilik mainan. Kan petang sikit akak bawa dia orang pergi taman permainan ya?”

“Ok…. hati-hati tau …”

“Ya …”

Saya lewat balik …. Akak tolong tengok-tengok budak-budak baca buku, nanti malam. Emm …mungkin kerja sekolah tak ada …. siang mereka pergi lawatan sekolah.”

“Boleh …. pukul berapa balik?”

“Mungkin jam 9.00 malam, apa-apa hal saya telefon atau hantar mesej .…”

“Ok!”

“Kalau saya lambat, akak suruh budak-budak tidur jam 10.00 tau …” Pesan aku.

“Ya .. ya …”

“Oklah akak …” Lalu aku menyudahkan perbualan telefon dengan memberikan salam kepada Kak Melah.

Memerhatikan jam di dinding dalam bilik ruang kerja ku ini, rupanya sudah beranjak ke 5.15 petang. Nampaknya ada yang sudah bersiap-siap untuk pulang ke rumah atau mana-mana destinasi yang ditujui selepas tamat waktu pejabat. Aku mengambil keputusan Solat Asar dahulu, khuatir aku terlewat, jika aku asyik menyiapkan kerja nanti. 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience