Bab 7d

Family Completed 2610

Keluar dari surau, aku ke pantri, niat hati ingin mebasahkan tekak dengan air suam. Kemudian menuju ke bilik ruang kerja ku semula. Ruangan kubikal pun sudah sunyi, yang aku nampak hanya Yusri dan Suhaila sahaja lagi, masih menyelesaikan beberapa tugas, mungkin. Apabila tiba di hadapan bilik ku, aku terperanjat kerana melalui tingkap kaca, aku ternampak sesusuk tubuh duduk menghadap meja kerja ku. Pintu bilik masih tertutup dan lampu masih terpasang, sama seperti aku keluar dari bilik tadi. Aku amati, ‘Encik Zul ke? Setahu aku dia bermesyuarat di ibu pejabat dan tidak akan pulang ke pejabat hari ini. Fikri … rasanya tidak, sebab aku berselisih dengannya di surau. Emm … Rosmadi!!’

Bila mana aku dapat meneka siapa tuan punya badan, aku cuba berdiri tegak, membetulkan sedikit baju kurung yang terasa sengit, sebelah dan pastinya dadaku berdebar kencang. Beg kecil mengandungi alatan perhiasan wanita, pasti di bimbit baik oleh ku di sebelah tangan kanan. Perlahan aku menolak daun pintu dan memberi salam dan salam di jawab.

“Maaf …. masuk tanpa izin tuannya …” Kata Rosmadi sedikit terperanjat dengan salam ku tadi, sambil dia bangun berdiri.

“Tak mengapa … tiada hal, ini bukan rumah sendiri, hak milik syarikat …” Aku membalas kata dengan mengambil tempat duduk bertentang dengan Rosmadi. Pastinya di kerusi kerja ku. Dia gelak dan aku ketawa kecil. Aku sengaja menjawab demikian untuk tidak menunjukkan diriku agak gelabah dengan kehadiran Rosmadi di bilik ku petang ini. 

“Petang … baru nampak, tadi ke mana?” 

“Sebelah pagi ke Rawang. Satu kilang kat sana … nak masukkan produk mereka melalui syarikat kita …Ingat nak ajak Nuraini ke sana, tapi fikir Abang Mat Husin tu kena hantar Encik Zul ke ibu pejabat, tak jadilah. Saya tahu, Nuraini tak kan nak ikut sama.” Dia gelak … aku senyum.

“Laa …. Kalau penting, saya ajak Suhaila sekali atau saya pandu sendiri ke sana …” Aku memberi maklum balas.

“Tak apa lah …. Lagi pun kawan tu … baru nak tunjukkan produk keluaran kilangnya. Saya belum bincang dengan Encik Zul lagi. Cuma saya maklumkan, saya ke sana sahaja pagi tadi kepada Encik Zul.”

“Oooo gitu, tapi bagus juga tak ajak, tengok ni …. tak siap lagi laporan hari tu …”

“Laporan yang kita bincang dalam mesyuarat tiga minggu lepas, hari tu……, sampai tahap mana dah? Kenapa lambat sangat siapnya? Bertubi-tubi pula soalan Rosmadi kepada ku. Belum sempat aku menjawab, dia menyambung.

“Lusa …. Saya dan Encik Zul perlu bentangkan kepada Ketua Pengarah. Esok kami nak semak dulu, kalau banyak nak betulkan, susah awak nanti, tidur di pejabat kan …..” Suasana bilik menjadi sunyi seketika. Rosmadi seperti menatap beberapa dokumen di atas meja yang bagi aku sukar juga untuk dia tentukan mana permulaan dan pengakhiran laporan. Masih belum di susun sebaiknya. Aku tidak mahu bilik itu kesepian, lalu berkata ….

“Emm ... sekejap lagi siap, ni … tengah nak susun betul-betul. Fakta semua dah lengkap, cuma betulkan mana-mana ayat sahaja lagi. Lambat sikit siap, sebab data lambat dapat dari rakan-rakan kat depan tu!” Sambil jari telunjuk ku menunding ke arah luar bilik aku, ruangan kubikal yang turut menempatkan beberapa staf di bawah selian ku. 

“Suhaila … hari tu … cuti tiga hari, demam, emm …. saya pula, emm … entahlah tak ada idea nak buat, minggu lepas … macam komputer ‘hang’, langsung tak boleh buat apa-apa!” Aku berterus terang kepada Rosmadi kali ini agar dia bersimpati dan tidak mengasak ku dengan soalan yang tidak berkeupayaan aku jawab. Dia angguk, semacam faham apa masalah aku, begitu lambat menyiapkan laporan berkenaan. Dia tahu, selalunya aku akan menyerahkan sebarang laporan kepada Encik Zulkifli paling lewat, dua hari sebelum sesuatu laporan perlu digunakan.  

“Emm …. saya ada dengar, Jumaat lepas Nuraini buat hal …ek? Dia merenung aku, aku rasa malu, bukan kerana renungannya, tapi apa yang baru diperkatakan oleh Rosmadi itu. Sudah pasti wajah ku bertukar warna lagi!

“Mana ada … saya tertidur sahaja … siapa yang buat gossip lain ?” Aku bertanya kepadanya setelah rasanya aku dapat mengawal diri. 

“Ya …lah, cerita sama juga saya dengar, Nuraini tertidur, tak masuk pejabat sebelah petang Jumaat… itu aje …” Dia senyum dan gelak kecil. Aku rasa malu sendirian lagi, bila mengenangkan hal yang berlaku pada ku Jumaat lepas dan timbul juga rasa marah kerana ada orang yang bercerita hal itu kepada Rosmadi. Aku dapat agak perkara ini sudah tersebar satu pejabat. Mungkin pengawal keselamatan pun tahu juga. Aduhhh … geram juga di hati kecil ku.

“Relaksss ….. itu perkara biasa aje.” Rosmadi cuba mengawal emosi ku yang mungkin pada riak wajah ku timbul rasa tidak puas hati. 

“Dia orang risau, Nuraini kemalangan ke apa….., tak masuk-masuk pejabat sebelah petang …Itu sahaja. Mestilah mereka bising bercerita. Dah tu … bila Kak Ruby telefon kat rumah, siapa tu yang jawab …..” Aku jawab perlahan… “Kak Melah...tu..”, 

“Haa’a… dia kata Nuraini ada … cuma tertidur. Dia beritahu dah banyak kali kejutkan, tapi tak bangun-bangun.” Rosmadi memberi penjelasan.

“Ooo … ok.” Aku memahami duduk perkaranya.

Suasana sunyi semula, aku cuba mencari idea untuk menyambung bicara dengan Rosmadi kerana pada pandangan ku dia masih tidak mahu beranjak dari duduk di hadapan ku.

“Ooopps … maaf tak telefon balik hari itu …” Aku cuba untuk menukar topik bicara.

“Tak mengapa …. orang tu … tertidur kan … mana mungkin nak telefon semula” Rosmadi menyakat aku pula. Alahai …. 

“Kenapa telefon?”

“Tak boleh ke?”

“Bukan kata tak boleh …. cuma bertanya …” Aku menjawab lembut, tapi dalam nada sedikit tegas. Lalu Rosmadi menjawab.

“Bukan apa …. petang tu … dah tak tahu nak buat apa … Kami nak terbang balik ke Kuala Lumpur, jam 10.00 malam. Masih awal lagi masa tu… Fikri pergi jumpa kawan dia masa belajar dulu di Johor Bharu, saya keseorangan di Pantai Lido, merenung laut meluas …” Hahaha .. Rosmadi gelak. 

“Emm …. Jiwang lah pulak!” Tapi membalas kata, juga tergelak.

“Tak lahhh … itu aje halnya, jadi ingat nak ajak sembang …. telefon … tak sudi jawab pula panggilan saya …. maklum … orang tu …. tertidur!” Katanya dengan memek muka dibuat-buat untuk menyakat aku sekali lagi.

“Iskk … geramnyaaaa …” Aku hampir membalikkan sebiji buku yang ada di atas meja, sebagai rujukan aku menyiapkan laporan, ke muka Rosmadi. Cepat-cepat dia berdiri dan tangannya menyilang menutup mukanya. Gedebuk ….terdengar satu barang terjatuh dari pangkuannya. 

“Ok … ok … saya tak nyakat lagi …. Maaf …maaf…cik puan puteri …jangan mengamuk …” Rosmadi cuba meleraikan suasana tegang kami…

Aku mengeluh marah…

“Ok … ok … sebab nak minta maaf, saya harap cik puan puteri sudi terima ini!” Rosmadi bangkit berdiri, setelah mengangkat satu barang yang jatuh dari ribanya tadi.

Aku masih mempamerkan wajah marah.

“Senyumlah!” katanya dengan wajahnya juga dibuat-buatkan dengann sebuah senyuman. Aku hampir tergelak ….

“Emm …. apa tu?”

“Nanti buka dan tengok sendiri, saya nak tengok awak pakai tau ….”

“Emm ….insyaAllah!” aku jawab acuh tak acuh sambil tangan menyambut pemberian Rosmadi. Aku memusingkan kerusi ke belakang, lalu meletakkan kotak yang berada di dalam beg plastik tertera perkataan ‘Nor Arfa Batik’, ke atas rak di situ dan memusingkan semula badan ke hadapan meja.

“Emm …. nanti saya saya buka kotak tu ya!” Aku lihat wajah Rosmadi kurang setuju kerana aku tidak terus membuka hadiah pemberiannya itu.”

“Ok … tak ada hal!” Dia menjawab sambil mengawal diri untuk tidak ‘memaksa’ aku membuka hadiah itu.

“Pukul berapa Nuraini nak balik? Saya tak boleh teman kan, sebab dah janji dengan emak, nak hantar emak ke Bangi. Ada saudara emak, nanti jumpa di sana.” 

“Dalam jam 9.00 malam atau kalau semua ini selesai, saya balik. Jangan risau … saya boleh sendirian ….” Aku menjawab. 

“Hoii … kawan …. udah-udah lah mengorat, dah pukul enam lebih ni …. Kata nak balik awal tadi!” Tetiba kedengaran suara Fikri, dia muncul di hadapan pintu bilik ku sambil memegang kunci, agaknya kunci kereta. 

“Oooitt, jangan duk wat fitnah ya …ni sekadar bertanya khabar saja, tau?” Rosmadi menjawab dengan suara agak kuat. 

“Apa-apa saja lah kau orang berdua, yang penting, jom kita balik …. Lapar sangat ni … teringat sambal udang … Kak Ngah aku janji nak masak hari ini …..”

“Ala … kalut lah kau Fikri, kalau makwe masak kira ok lah sikit …. ini Kak Ngah ajer!”

Hoiii …sedar diri sikit, hang pun tak ada makwe juga tau, aku kira baik apa …. ada juga Kak Ngah! Tolong jangan duk  dengki-dengki ek …” jerit Fikri agak kuat lagi.

“Tak ada masa nak dengki kat hang tu …..” jawab Rosmadi dengan suara mendatar. Aku fikir, Fikri sudah pun memasukki lif. 

“Oklah Nuraini, saya balik dulu. Hari ini saya tumpang dia balik, kereta meragam, nasib baik hampir sampai kat bengkel di TTDI. Lepas tu minta Fikri ambil di bengkel, ke Rawang, saya guna kereta dia. Tu pasal juga ler … dia berlagak sikit …. sebab tumpangkan saya balik … ke bengkel …” Terus Rosmadi gelak, aku pun gelak kecil. Begitulah Rosmadi dan Fikri, ibarat kembar tak seiras di pejabat ini, mereka agak akrab, namun jika ada hal-hal tertentu, gurau senda mereka boleh membuatkan orang lain terkeliru dengan sikap ‘kemesraan’ mereka selama ini. Rosmadi bergerak hingga ke pintu bilik, sampai di pintu dia memusingkan badan, aku merenung ke wajah nya.

“Kenapa?”

“Tak ada apa …. Hati-hati, apa-apa hal telefonlah, saya akan jadi ultraman, datang menyelamat cik puan puteri ….” Pesan Rosmadi, sambil melawak. 

“Ya …lah tu … assalamualaikum ….”

“Waaikumussalam …” Rosmadi bergerak menuju ke lif. 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience