Bab 3

Family Completed 2610

Tengah hari itu ketika aku membersihkan udang di sinki, Kak Melah datang dari belakang ku, tanpa sedar, terus berkata, “Ain .... tak sihat ke?”

“Ok, je akak ....” 

“Kenapa akak tanya macam tu ?” Aku tanya semula dia.

“Macam orang bercinta .... akak tengok kau ni ...”

“Apa pasal ?” Aku tanya lagi.

“Cuba perhatikan betul-betul apa yang Ain buat ......” Aku terus merenung ke dalam singki. Biasa sahaja .... tiada apa yang pelik pada pemikiran ku.

“Ain .... tengok betul-betul, kat mana letak udang, kat mana kulitnya di buang .....” Balas Kak Melah dengan suara sedikit ditinggikan.

“Oooo ... Ya Allah, maaf lah akak oooiiii ....benar-benar tak perasan ni haaaa.”

“Khayal habis ni ..... apa pasal? Ain mengandung lagi ke?” Sambil tangan Kak Melah menutup peti ais. Dia baru selesai memasukkan bubur Akilah yang tak habis dimakan.

Aku berdiri tegak sahaja, tangan sudah dibersihkan, terkebil-kebil ku lihat udang yang ku kopek kulitnya. Isi udang ku buang ke dalam bekas buangan, kulit udang kuletakkan ke dalam bakul plastik kuning yang sepatutnya diletak udang yang dibersihkan.

“Entah lah akak, pening lalat sikit ni .....” Aku ketawa kecil, Kak Melah pun turut ketawa.

“Tak apalah, akak sambung buat kerja ni ... pergi layan si Akilah, Lan dan Aishah di bilik mainan.” Kak Melah nak ambil alih tugas ... bagus juga ... aku  baru sedar diri, tak boleh dibiarkan keseorangan, ingatan aku jadi kacau bilau, jauh melayang mengingati seseorang .... Aku akui sendiri sekarang kesilapan ini .... Ini satu penyakit besar yang aku hidapi. 

“Ok, akak, terima kasih ...” Aku sekadar senyum kepada Kak Melah, sambil berlalu ke ruang tamu dan mencari anak-anak. 

Aku memang bersyukur sangat bila Kak Melah tinggal bersama-sama kami, dialah yang banyak membantu aku. Meskipun aku ambil dia sebagai pembantu rumah, tapi aku tidak menjaraknya sebagai majikan dengan pekerja. Kak Melah adalah saudara jauh sebelah emak. Dia tinggal sebatang kara, selepas suaminya meninggal kerana kemalangan jalan raya. Ada juga keluarga mengesyorkan dia berkahwin lain, tapi mungkin kasihnya pada Abang Mahat utuh, dia tidak mencari penganti. Sepuluh tahun mendirikan rumah tangga dengan arwah, mereka tiada dikurniakan zuriat. 

Kak Melah hadir ketika aku memang memerlukan seseorang untuk membantu aku dalam urusan menjaga anak-anak. Ketika itu, anak kedua selalu tidak sihat dan keluar masuk wad adalah perkara biasa. Aishah pula begitu lasak. Razman sibuk dengan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) nya di Kelantan. Hendak tak hendak aku perlu berdikari dengan penuh kekuatan jiwa mengharungi dugaan hidup membesarkan anak-anak. Emak datang sekali sekala sahaja membantu mana patut, dia juga perlu menguruskan bapa yang kurang sihat di Yan, Kedah. Mencari pembantu rumah warga asing, bukan keutamaan bila memikirkan risiko yang mungkin di tanggung. Duit untuk dibayarkan kepada agen penyedia pembantu rumah sudah cukup memeningkan, dalam RM6,000 – RM8,000. Belum lagi tahu bagaimana sikap pembantu rumah. Penyelesaian terbaik emak dan abah yang ‘pulang’ ke rumah lamanya, rumah yang aku duduki ini di Bukit Damansara. Enam bulan aku mengambil cuti tanpa gaji, menjaga Mohd Azlan yang menghadapi masalah penyakit lelah. Mujur abah membantuku juga dengan duit pencennya sebagai bekas diplomat selama hampir tiga puluh tahun. 

Bayangkan bagaimana jika kami tidak punyai apa-apa pendapatan ketika itu dan tiada sokongan sesiapa. Mana nak uruskan bayaran ubat dan rawatan Azlan, barangan Aishah yang perlukan susu, pempers dan makan minum aku sendiri. Alhamdullilah dua minggu sebelum kembali bertugas, Kak Melah hadir dalam hidup aku dan anak-anak. Dengan sikap Kak  Melah yang memang boleh diharap dan dipercayai, masalah tersebut dapat diselesaikan perlahan-lahan. Begitu juga jika ada masalah dalam pekerjaan atau dengan rakan-rakan sepejabat, Kak Melah yang menjadi tempat aku mengadu domba. 

Razman tidak aku bebankan dengan sebarang masalah demikian. Bagi aku, aku perlu sediakan sebaiknya kemudahan untuk Razman dari segi makan minum, pakaian dan perkara berhubung bilik tidur. Tanggungjawab aku sebagai isteri terhadapnya, aku buat yang termampu, sebagaimana janji kami pada awal perkahwinan yang di rancang penuh oleh nenek. Tersandar aku ke dinding berrwarna coklat muda di bilik mainan anak-anak, ketika mengembalikan ingatan tentang kehadiran Kak Melah dalam hidup aku sekeluarga.

Tetiba Kak Melah datang menjenguk kami di bilik mainan. Mohd Azlan yang ralit dengan lori mainan, Akilah dan Aishah pula sibuk dengan teddy bear mereka yang pelbagai jenis. 

 “Dah siap akak bersih kan udang-udang tu ?, Aku bertanya kepada Kak Melah. 

“Lebih pada siapnya, akak dah masak gulai lemak cili api udang tu, rebus aje pucuk paku yang kita beli kat kedai semalam …”

“Laa … cepatnya, biar betul akak ….”

“Tengoklah jam tu .. Ain, dah dekat pukul 1.00 tengah hari, sekejap lagi Zuhur.” 

“Ain kat dapur tadi kan, jam sebelas begitu ….tu lah, beranggan tak sudah-sudah, kasihan akak tengok Ain ni ….” Balas Kak Melah sambil gelak-gelak kecil.

Aku memuncungkan bibir ke arah Kak Melah, buat-buat marah kepada Kak Melah. 

“Tak payahlah macam tu ….. tak comel mana, nanti kan Razman cari lain” Kak Melah mengusik aku lagi.

“Tak kisah akak, nanti saya boleh makan madu tiap-tiap hari!” Aku tergelak kuat dengan lawak yang dibuat sendiri, tapi Kak Melah pula memasamkan mukanya.

“Ada ke macam itu, Ain ni …. Nyesal nanti, dah lah si Razman tu kacak bergaya!”

“Ek …elesss akak ni …, berkenan ke? aku memeluk belakang Kak Melah, sambil Akilah ketika itu dalam dukungan Kak Melah.

“Jaga mulut, nanti menyesalnya tak sudah ….”

“Memang … Ain jaga setiap hari mulut ni … tengok tak comot pun, bibir merah bab bunga raya berkembang.” Aku gelak lagi, untuk tujuannya menukar topik bukan bercerita mengenai Razman.

“Dahlah, akak hidang nasi ….Pergi basuh tangan anak-anak.” Balas Kak Melah tidak mahu melayani celotah aku yang pelbagai ragam itu.

*****

Sambil tangannya lincah menghidang makanan di atas meja makan yang berkerusi lapan itu, Kak Melah bertanya mengenai waktu Razman akan pulang ke rumah pada hari ini. Aku menjawab tidak pasti kerana dia tidak memaklumkannya. Begitulah Razman, setiap hari jadual hidupnya penuh dengan pelbagai program, mengikuti gerak kerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO), menghadiri aktiviti universiti, kursus sana-sini dan paling tidak pun bermain badminton. Kak Melah pun memang arif tentang kehidupan kami sekeluarga. Saja dia bertanya, mungkin untuk mengisi bual bicara kami. Aku turut berpesan kepadanya supaya sebahagian lauk-pauk itu disimpan khusus untuk Razman yang tak pasti masa baliknya ke rumah petang ahad ini.  

Ketika menyuap nasi yang dipenyek-penyekkan untuk Akilah, pemikiran ku menerawang kepada Razman lagi. Aku tak tahu ke mana Razman menghilang seharian dari rumah pada hari-hari minggu atau hari cuti. Aku akan terima mesej khidmat pesanan ringkas, [saya balik lambat, makan dulu/tidur dulu] atau ada juga diterima masejnya [badminton dengan kawan-kawan/persatuan di PJ]. Ringkas dan padat. Kecuali dia berpergian lama seperti berkursus yang memakan masa beberapa hari, barulah dimaklumkan dengan agak terperinci. Selain itu, jika kami perlu pulang ke kampung di Yan atau Seremban, perancangan perlu di buat awal dan di bincang dengan jelas. Itulah Razman yang aku kenali. Jika ada program secara tiba-tiba dan dia telah punyai jadual tersendiri, aku, Kak Melah dan anak-anak sahaja yang akan hadir ke majlis berkenaan. Pandai-pandai aku memberi alasan bila saudara-mara, rakan taulan bertanya mengenainya. Jadi aku sudah lali dengan kehidupan sebegini dengan Razman. Kadang kala difikirkan sekali lagi, alhamdullilah juga, aku tidak dikongkongnya dan diberikan aku kepercayaan sebagai isteri. Namun sekali sekala terasa juga seperti kekurangan sesuatu dalam kehidupan sebagai wanita bergelar isteri.

Kak Melah sibuk melayan kerenah Aishah dan Azlan, sambil dia pun turut makan bersama-sama. Udang masak lemak cili api, sebenarnya tidaklah sepedas mana. Kak Melah memang sengaja masak begitu bagi membolehkan anak-anak turut makan lauk yang sama dengan kami dan seperti biasalah tekak orang Melayu, sambal belacan menjadi penyerinya, apatah lagi dicicah dengan pucuk ubi kayu. Nasi aku pula sudah tinggal dua, tiga suapan lagi dan Akilah pula sudah merangka ke rumah tamu. Ketika makan itu, kami turut perhatikan Akilah dari meja makan, bimbang dia jatuh atau melakukan perkara tak sepatutnya bagi bayi berusia sebelas bulan itu.  

Tetiba aku terdengar bunyi kereta berhenti di hadapan pintu pagar rumah. Biasanya bila siang hari begitu pintu utama tidak akan ditutup, kecuali pagarnya sahaja yang dikunci. Aku memanjangkan leher, memerhati melalui tingkap rumah yang terbuka luas, sah itu Honda Accord milik Razman. Kak Melah terus berkata, “Ain …. Razman dah balik!”.

“Ya, akak ..” Aku terus berdiri, sambil menghabiskan sisa-sisa nasi yang berbaki di dalam pinggan. 

Kak Melah bangun, lalu dia ke bilik tidurnya, pasti mengambil tudung hitam yang kerap kali di pakai jika Rosmadi berada di rumah. 30 saat berselang, Kak Melah muncul semula.

“Akak … tengok-tengok kan anak-anak!” Aku sedikit berlari membasuh tangan di singki yang berhampiran, membersih mulut dan mengelapkan dengan tuala yang sedia tersangkut di sini. Melihat sepintas lalu wajah ku di cermin muka yang tergantung di atas singki.  Belum sempat aku menekan alat kawalan jauh, pintu pagar rumah telah terbuka dengan sendiri. Pasti Razman telah terlebih dahulu menggunakan alat berkenaan yang tersedia di dalam keretanya. Lalu aku mendapatkan kunci yang tersangkut berhampiran pintu utama rumah banglo dua tingkat ini. Kubukakan pintu dan berdiri tegak di muka pintu. Memberi salam kepada Razman dan mencium tangannya. Wajah Razman agak masam, tapi aku tetap menghadiahkan senyuman untuk tidak menambahkan kekelatan pada wajahnya. Razman menghulurkan beg sandangnya kepada ku, lalu dia pergi ke arah Akilah. 

“Assalamualaikum …. anak papa yang comel ini ….” Akilah tergelak-gelak di agah oleh Razman. Razman mengangkat Akilah dan meribakannya di sofa hitam itu. Dicium-cium Akilah beberapa kali sebagai mana lakunya apabila pulang ke rumah. Dia berpaling ke meja makan, lalu bertanya kepada Aishah.

“Dah solat zuhur ke Aishah ?” Aku tahu Razman sengaja menambah perkataan ‘zuhur’ demi mengelakkan Aishah bertanya kepadanya, solat apa yang dia perlu lakukan. 

“Belum …. baru sudah makan…” Kedengaran Aishah menjawab.

“Ok … pergi naik atas, ambil wuduk dan solat. 

“Baik! … baik!” Balas Aishah sambil berkejaran dengan Azlan.

“Ajak Lan solat sekali.” Laung Razman bila mana mereka hampir tiba ke tangga terakhir rumah dua tingkat ini.

Aku seperti tadi lagi, diam memerhatikan mereka semua. Beg sandang Razman masih di tangan dan Kak Melah begitu sibuk membawa pinggan mangkuk ke dapur dan membersihkan meja makan. Bila melihat tinggal aku dan Razman serta Akilah sahaja, aku bertanya Razman, sama ada dia mahu air atau tidak. Kebiasaannya aku akan bertanya dahulu sama ada dia mahu minum air atau tidak apabila pulang dari mana-mana tempat. Itu arahannya kepada ku, lebih kurang lapan tahun lalu, yang mana suatu peristiwa yang ku ingati, aku membawa segelas air kosong berpiring kaca jernih kepadanya, apabila dia pulang dari tempat kerja, sedikit pun air itu tidak disentuhnya. Tetiba air mata ku jatuh berjuraian, tanpa aku dapat menyembunyikan rasa ‘kecil hati’ ku terhadap sikapnya itu. Mungkin juga kerana pembawakan budak dalam kandungan yang berusia enam bulan, membuatkan aku begitu tersentuh hati dengan sikap Razman. 

Razman lalu berkata kepada ku, “Selepas ini, jika saya pulang dari mana-mana tempat, tanya dahulu kepada saya sama ada mahu minum atau tidak, jika saya kata hendak, sedia kan jus oren atau teh.” Tegasnya. Aku angguk sahaja. Razman menambah dengan kata-kata yang agak lembut daripada sebelum itu, “Maaf, tadi saya baru sahaja minum dengan kawan, terlalu kenyang.”

Lamunan ku terhenti. 

“Bawakanlah oren untuk saya, begitu penat rasanya hari ini!” itu jawapannya terhadap ku dan sedikit aku berasa cuak, bila dia memaklumkan yang dia berasa penat, amat jarang sekali Razman mengadu berkenaan keadaan dirinya kepada ku. Aku angguk, bergerak ke dapur untuk mengambil oren yang di pintanya. Air oren (sunquick) sememangnya telah siap dibancuhnya dan disimpan dalam peti ais. Ia menjadi sTok minuman Razman. Itulah air kegemaran Razman terutama apabila dia menghadapi sesuatu masalah, yang amat jarang dimaklumkan kepada ku. 

Aku membawa jus oren ke ruang tamu. Ku lihat Razman sudah berdiri dengan beg sandang di belakang bahunya. Dia memandang ke arah ku sambil berkata.

“Bawakan air itu ke atas ......, Akilah bagi kepada Kak Melah, suruh ditidurkannya!”

Aku menjawab “Ok ....tapi beg itu, biar saya bawa ke .... “, tapi sempat menghabis kan kata-kata Razman sudah berlari ke tingkat atas. Lalu aku letakkan oren di atas meja makan, mendukung dan memasukkan Akilah ke atas katilnya yang juga berada di bilik Kak Melah. Aku menyiapkan susu untuk Akilah dan menepuk-nepuk belakangnya supaya tidur, sambil mendendangkan selawat nabi perlahan-lahan ditelingannya. Memang itu waktu Akilah tidur dan dia nampak sungguh mengantuk. Kak Melah pula sedang khusyuk bersolat zuhur. 

Apabila di lihat Kak Melah selesai memberi salam untuk solatnya itu, aku berdiri dan berkata kepada Kak Melah, “Tengok-tengok kan Akilah akak .... saya hendak ke atas. Kak Melah mengangguk sahaja, tanda faham.

Beralih ke meja makan, aku mengambil oren lalu di bawa naik ke tingkat atas. Menjenguk ke bilik Aishah dan Azlan yang tidak riuh seperti selalunya, aku dapati mereka tertidur. Aishah masih berpakaian dengan kain telekungnya. Azlan terbaring di katil. Senyum sendirian aku melihat mereka berdua itu, mungkin penat bermain dan kekenyangan makan, tertidur mereka.

Memasuki bilik utama, aku lihat Razman turut terbaring, tanpa menanggal pakaiannya tadi, tidak seperti mana kebiasaannya yang menukarkan pakaian sebelum membaringkan diri. Aku lihat dia tidak tidur, tapi muka cukup berkerut menahan sakit.

“Maaf, agak lambat, tidurkan Akilah dulu, Kak Melah solat tadi.” Razman diam, tapi memandang sahaja ke arah ku. 

“Air?” Sambil menghulurkan jus oren itu kepadanya, dia cuba untuk duduk tegak, tapi nampak kesukaran berbuat demikian. Aku meletakkan jus oren di meja tepi katil dan membantunya duduk. Kemudian menghulurkan air tersebut kepadanya.

“Terima kasih!” Katanya selepas minum dua tiga teguk air itu. Aku angguk.

“Kenapa? Sakit kepala .... ?” Razman angguk dan menjawab perlahan.

“Macam rasa nak deman”. Aku letakkan tapak tanggan di dahinya, “Emmm ... panas amat!”

“Mau ubat?” 

“Tak ... tak usah, sekejap lagi pasti baik...” katanya, aku angguk lagi.

“Ada apa-apa yang Ain boleh bantu?” Aku tanya lagi memandangkan dia semacam berada dalam keadaan cukup tidak selesa.”

“Emmm ... bawakan saya nasi .... lapar sangat!” Aku angguk lagi, lalu turun ke tingkat bawah mengambil sedikit nasi dan memasukkan juga lauk-pauk yang dimasak oleh Kak Melah tadi, sekali aku bawa air kosong masuk ke bilik tidur.” Razman masih duduk tegak di kepala katil.

“Ain ....”

“Ya!” Aku menjawab.

“Tolong suapkan .... dah tak terdaya .....” Razman tidak menghabiskan ayat yang diucap begitu perlahan. Aku tersentap dan mata terbuka luas memandang Razman yang pastinya matanya cukup layu dan semacam sukar di buka. Tidak pernah dalam sejarah kehidupan kami dia menyuruh aku berbuat demikian atau aku sendiri yang menawarkan diri berbuat demikian. Terasa dunia ini pelik bin ajaib seketika.

Namun bila melihat Razman seperti terlalu menahan sakit, aku terus berada di sebelahnya dan dengan membacakan bismillah untuknya, aku menyuap nasi yang digaulkan sekali dengan lauk-pauk tadi. Perlahan-lahan ku suap dan dia benar-benar nampak kelaparan. Dia bersuara perlahan, mungkin kerana memerhatikan wajah ku yang agak pelik dari kebiasaan, “Saya minum pagi aje tadi dengan Mustakim, belum makan tengahari.”

“Ooooo...... masuk angin perut tu ....” aku membalas.

“Mungkin ! .... Dah tu pening dengan sikap dia orang tadi .....”

“Siapa ?” Aku cuba melayani perbualannya, tapi selepas itu Razman tidak membalas lagi kata-kata ku. Itulah juga sikap Razman yang kukenali, tidak akan berkongsi masalah peribadi/kerja/kawan, sakit pening dan sebagainya. Kecuali sebagai mana hari ini, dia terlalu sakit dan amat memerlukan bantuan. Jika tidak dia akan uruskan sendirian. Tanpa bantuan atau perbincangan denganku.

Pada suapan ketujuh, Razman mengangkat tangan, tanda tidak tidak mahu makan lagi. Aku menyuakan jus oren, dia minum. Kemudian, dia menunjukkan ke arah air kosong, di sebelah jus oren yang berbaki seinci di dalam gelas, aku hulurkan, dia minum seteguk sahaja.

“Saya nak baring!” Katanya perlahan. Aku membantu Razman seadanya untuk dia berbaring. Mengelap tisu bersih ke mulutnya, menempelkan sapu tangan lembab di kepalanya, menangkalkan sToking di kakinya dan menyelimuti badannya. Sehinggalah selimut itu hampir ke paras dada, Razman menarik tangan ku dan aku jatuh melutut di sebelah katil kerana tidak menjangkakan Razman bebuat demikian. Dipeluknya badan ku dan diciumnya dahi ku sekali.

Lantas aku berdiri tegak dan kedengaran Razman berkata perlahan, “Ain, terima kasih banyak-banyak!” Aku diam sahaja, mengangguk tidak, mengeleng pun tidak. Lalu dia menyambung kata dengan suara agak kuat sedikit, “Tolong kejutkan saya, jam tiga. Nak solat, sekarang saya  tak daya nak berdiri.”

“Emm ... tidurlah, insyaAllah, sekejap lagi sembuh lah tu!”  Balas ku sekadar memberikan kata-kata perangsang untuknya.

Selepas itu, ku lihat Razman menutup rapat matanya dan aku beredar ke tingkat bawah membawa pinggan dan gelas ke dapur.

*****

Kali ini aku berdiri tegak di sinki, mengingati semula apa yang Razman lakukan terhadapku sebentar tadi. Terfikir aku mengapa Razman bertindak demikian, apakah dia sedang menghadapi masalah besar, atau sesuatu yang mencurigakan Razman terhadap diriku? Sambil berfikir begitu, tangan ku perlahan-lahan mencuci pinggan dan gelas yang ku bawa turun dari bilik.

“Haaa … Ain, berangan lagi, dah jatuh cinta dengan siapa ni?”

Aku terperanjat sungguh! Kak Melah berdiri di belakang ku. “Apa pasal akak buat saya macam ni ?”

“Mana ada akak buat apa-apa kat Ain, awak yang berangan-angan, entah sampai ke mana … sejak pagi tadi lagi akak lihat …..”Kak Melah gelak-gelak kecil.

Disebabkan malas hendak ‘berdebat’ dengan Kak Melah dan rasa-rasanya memang aku juga yang silap, aku pun cuba menukar topik perbualan kami.

“Emmmm …iya lah akak ….salah saya kot, … saya ingat akak tidur tadi, sebab pintu bilik macam tertutup rapat ….”

“Tak … lah, tak mengantuk pun, akak pergi angkat kain di jemuran. Macam nak hujan aje, mendung tetiba … akak lihat!”

“Emmm….ok lah akak, selamat melipat kain dan melihat sinetron ‘kegemaran’ akak….” Aku gelak-gelak kecil kepada Kak Melah, yang aku dapat agak Kak Melah mesti melipat kain yang baru diangkat daripada jemuran sambil menonton televisyen kecil yang di biliknya, sekejap lagi.

“Saya nak solat!” ….  Aku berlari-lari anak ke tingkat atas dan berpaling sekali lagi ke arah Kak Melah, yang kelihatan mengeleng-geleng kepala kepada ku sambil menghadiahkan senyuman. 

Aku menolak pintu bilik tidur perlahan bagi mengelakkan Razman terjaga, dan ku lihat dia tidur dengan mulus sekali. Demi untuk tidak ‘membisingkan’ Razman yang sedang tidur, aku mengambil telekung ku, lalu ke bilik bersebelahan yang pintunya bersambung dengan bilik kami. Bilik itu merupakan bilik kerja Razman. Bilik itu penuh dengan buku-buku, kertas kerja pelajar, komputer, alatan sukan dan pelbagai lagi hak milik peribadi Razman. Kemas tersusun dan masih ada ruang untuk Razman atau aku bersujud kepada Nya di bilik itu. 

Dahulu bilik ini merupakan bilik tidur abang ku Nazim. Bila mana abah menyerahkan rumah ini sebagai hak milik ku dan Razman, Razman mencadangkan supaya bilik sebelah dijadikan bilik kerjanya. Aku setuju sahaja dan sedikit perubahan di buat dengan menambah pintu dari bilik tidur ku dan Nurhidayah yang asalnya ke pintu bilik abang, yang menjadi bilik kerja Razman kini. Manakala bilik tidur utama iaitu bilik mak dan abah, kami jadikan bilik tetamu. Aku rasa cukup selesa berada di bilik asal ku daripada berpindah ke bilik utama. Biarlah mak dan abah yang sekali sekala datang menziarahi kami dari Yan, tetap menghuni bilik itu. Bilik tetamu yang selalunya mak sibuk kemaskan jika diketahuinya ada orang akan menziarahi kami, sewaktu aku kecil dahulu, telah dijadikan bilik tidur Aishah dan Azlan. Jika Azlan sudah memasukki alam remaja, akan aku pindahkan dia ke bilik sebelah Aishah, yang sedikit kecil daripada bilik Aishah. Tidak perlu dibuat penambahan bilik dan sebagainya. Aishah dan Akilah akan ditempatkan satu bilik. Begitulah perancangan aku. 

Memasuki bilik air, membersihkan diri, mengambil wuduk, bersiap dengan seragam telekung dan akhirnya aku sujud menghadap Yang Maha Esa. Selesainya Solat Zuhur, aku ada mengaminkan doa agar hubungan kami suami isteri kekal ke akhir hayat kami, meski pun jika pelbagai badai melanda dalam bahtera pelayaran kami. Tetap ku pohon padanya agar diri ku setia pada Razman, tidak kepada lelaki lain. Amin Ya Rabul Alamin. 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience