Bab 10d

Family Completed 2610

Menyelusuri pulang ke rumah Tok dalam remang cahaya yang makin menghilang, aku lihat di hujang batas sawah seperti ada orang menunggu sambil berdiri. Susuk badannya yang tegap dengan rambut lurus di sikat rapi, berkulit sawo matang cerah, aku pasti itulah Razman ku. Semeter jarak aku menghampirinya, aku lihat wajahnya cemas memerhatikan diri ku. Bahasa badan, menunjukkan dia seperti berada dalam kemarahan. Aku diam …. Itulah sikap yang selalu aku gunakan jika suasana menjadi dingin, suram atau tegang. Berdiam diri adalah langkah baik bagi aku, bukan mengomel atau berleter. 

“Ke mana tadi?” Agak tinggi suaranya. 

“Melihat ciptaan Tuhan ….” Aku menjawab lembut. 

“Berani berseorangan ke sana …..”

“Tiada apa yang perlu ditakutkan ….. ini bumi Tuhan ….”

“Bukan itu yang dipertikaikan ….. tapi ada nya ‘sang pembelit’ atau ‘bujang senang’ datang ….. tak ke parah!” Aku dibebelkan oleh Razman. 

‘Oooo itu yang dirisaukan di hatinya …..’

“Emmm sudah pelbagai dugaan hidup saya lalui, setakat haiwan macam tu ….. takkan … tak boleh saya hadapi …” Aku menjawab dalam nada sedikit berlagak kepada Razman. Sengaja dibuat begitu, bila aku mengenangkan susah payahnya aku sendirian menguruskan hal-hal keluarga dari awal perkahwinan, cuma kini ada sedikit perbezaan, Razman telah cuba memberi perhatian terhadap urusan diri ku dan anak-anak. 

Razman menundukkan kepalanya, dia seperti faham apa yang cuba aku maksudkan melalui nada kata-kata ku sebentar tadi ….

“Sudah …. Jom balik!” Razman berkata agak kuat. Aku berjalan terus di hadapan. Razman mengekori aku dari belakang. Dia merapatkan dirinya kepada ku dan kami beriringan berjalan pulang ….

“Saya risau awak hilang …..” Bisik Razman ke telinga ku ….

“Kalau saya mahu hilang …. Pastinya sepuluh tahun lepas saya telah lari dari hidup abang …”

Razman diam dan mengangguk …. Mungkin dia menyetujui apa yang aku katakan.

Kami melangkah terus, kedengaran azan maghrib berkumandang merdu dari surau berdekatan.

*****

Malam ini aku mengambil kesempatan untuk tidur awal. Aku maklumkan kepada Razman kerana aku perlu berjaga untuk menemani Tok. Razman setuju dan dia akan mengejutkan aku lewat jam 12.00 malam. Anak-anak diuruskan oleh Kak Melah. Tetamu yang datang menziarahi Tok malam ini dilayani oleh mak dan abah. 

*****

Aku terjaga jam 2.00 pagi. Oooo tidak seperti mana yang aku harapkan, dalam jam 12.30 pagi. Aku lihat … Razman masih di sejadah. 

“Lena awak tidur … jam berbunyi pun tak sedar ….”

“Emm …”

“Kalau ngantuk … tidur lah lagi …. Tak apa … saya tengokkan Tok ….”

“Tak mengapa …. Saya dah rasa segar …. Saya ke bilik Tok !”

*****

Aku menjenguk Tok di biliknya. Seperti agak lena. Jadi aku mengambil keputusan membersihkan diri dan berwuduk. Bersolat tahajjud dan istikarah aku di bilik Tok. Memohon aku kepada Allah, agar apa yang aku fikirkan petang tadi adalah jalan terbaik dalam menyelesaikan masalah hati ku. 

Nyata … tiada sebarang ilham ‘di terima’ ku. InsyaAllah ….. bukan hari ini … mungkin besok-besok, aku pujuk diri. Lalu aku mengambil keputusan utusan membaca surah Yassin, Mathurat dan ayat-ayat Al-Quran pendek sepanjang menemani Tok, lagi pun mata tidak mahu terpejam. 

*****

Hari ketiga di rumah Tok, aku lihat Tok agak berlainan sedikit. Tidak mahu makan dan minum. Sekali sekala batuk teruk dan muntah-muntah. Kami mengambil keputusan untuk membawanya ke hospital. Tok bertegas, biarkan sahaja dia di rumah. Berulang kali disebutnya, “Sudah tiba masa ku ….” Luluh juga hati bila mendengar Tok berkata demikian kepada ku. Aku sabarkan dia, “InsyaAllah, Tok akan sembuh !”.

Semenjak setinggi galah matahari tegak di kepala, Razman tidak berkalih duduk di sebelah Tok, dia mengurus Tok seadanya sambil membaca surah Yassin. Aku lihat begitu kasihnya Razman terhadap Tok, berbeza kasihnya kepada mamanya sendiri. Itu pada pandangan zahir aku terhadap Razman. Semasa mama jatuh sakit dulu pun, Razman tidak lah mengurus mama sebagai mana menguruskan Tok. Aku tidak tahu, apa sebab begitu tumpahnya kasih Razman kepada Tok. Biarlah …. Itu haknya kepada orang tua! 

Jam tiga petang, Tok nazak ….. Razman tidak putus-putus mengajar Tok mengucap. Setengah jam kemudian, Tok pergi di jemput Ilahi ketika sehari lagi genap usianya 83 tahun. ‘Innallillahi Wainailaihi Rojiun, bererti : Sesungguhnya segala sesuatu berasal dari Allah SWT dan akan kembali kepadaNya.’

Tidak dapat dinafikan air mata ku berjujuran mengenangkan Tok yang telah beralih ke alam barzakh. Tiada lagi suara Tok kedengaran dan lenggok badan Tok melayani kerenah anak-cucu. Petang itu juga arwah disemadikan berhampiran kubur arwah Tok Wan dan saudara mara Tok yang lain. Kata Razman, pesanan Tok, tidak perlu menunggu semua saudara mara datang menziarahi jenazahnya. Dia telah memaafkan semua orang yang diingatinya. 

Batu nisan berukir nama Mekbah binti Chek Dan, yang akan dipacak nanti bakal menjadikan lambang ingatan anak-cucu kepadanya. Moga arwah Tok bahagia dan dapat menemui Tok Wan, sebagai mana hajatnya ketika hidup. Amin.

Alhamdullilah juga, aku panjatkan kepada Allah …. kerana ketegasan Razman, kami suami isteri dapat berkhidmat kepada Tok pada saat-saat akhir kehidupannya. 

Ucapan takziah aku terima daripada saudara mara dan rakan-rakan, sama ada secara lisan dan khidmat pesanan ringkas. Begitulah tamatnya riwayat hidup Tok yang aku anggap agak tegas dan berkeras dalam banyak hal, terutama apa yang telah diputuskan, namun Tok seorang yang amat kasih terhadap anak cucu dan suka bersedekah. 

Tiga bulan selepas pemergian Tok, Mak Alang meminta aku dan Razman pulang untuk majlis tahlil arwah. Kami pulang berdua sahaja. Adik-beradik Mak Alang juga pulang termasuk mama dan papa. Selepas majlis tahlil pada siang harinya, Pak Alang mewakili arwah Tok telah memaklumkan tentang pembahagian harta pusaka Tok. Sungguh, Tok memang bersedia dalam banyak perkara, termasuk dari segi agihan hartanya yang ada. Tok melantik peguam untuk mengendalikan dokumen wasiatnya yang dibuat dalam bentuk hibah dan juga mengikut hukum faraid dan yang jelas. Aku dan Razman diberinya hibah tanah dan tapak rumah pusaka Tok yang dibina bersama-sama Tok Wan itu. Betapa kasihnya Tok kepada Razman cukup tinggi dan aku tidak tahu apakah nostalgianya kehidupan Tok bersama-sama Razman. Agihan ini tidak menimbulkan sebarang perselisihan faham dan semuanya bersetuju sepenuhnya atas wasiat yang tersedia tersebut.   

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience