Bab 6

Family Completed 2610

Tengah hari itu aku keluar makan bersama-sama dengan Afrina, Afeeza, Zulaikha, Fikri dan Rosmadi di sebuah restoran mamak sekitar Plaza Damas, Jalan Hartamas dengan menaiki Naza Ria, milik keluarga Fikri. Fikri yang beriya-iya mengajak kami ke sana, katanya ada makanan istimewa. Kami bersembang dari hal pejabat hinggalah kepada hal-hal kekeluargaan. Aku dan Afeeza sahaja sudah berkeluarga, tapi yang lain masih hidup membujang. Pun begitu kami tetap serasi berkongsi pelbagai perkara. Topik utama kami tengah hari itu adalah berkenaan masak-memasak. Zulaikha yang bersungguh-sungguh bercerita mengenai kek yang terbakar hangus, semasa dia mempelajari di kelas memasak di sekitar rumahnya di Petaling Jaya, hujung minggu. Kami ketawa terbahak-bahak. Aku pula tidaklah segan silu menceritakan yang aku tidak pandai membuat kek atau apa sahaja berkaitan dengan kek. Bagiku membuat kek adalah remeh dan memerlukan penelitian dari segi sukatan bahan-bahan untuk di masak. Tidak ketinggalan, Fikri menceritakan pengalaman membantu ibu dan kakaknya menyediakan kek pada hari raya yang lepas. Begitulah kami berenam apabila berpeluang berjumpa bukan atas dasar melaksanakan kerja, akan bersembang topik yang menjurus kepada soal-soal berkongsi pengalaman atau memberikan panduan dan tunjuk ajar tertentu. Kami cuba dan pernah berikrar untuk menghindar diri dari berbual soal gossip artis atau apa sahaja yang difikirkan ‘mengutuk’ orang.    

Angka jam beranjak hampir ke pukul 2.00 petang. Sesi waktu pejabat sebelah petang akan bermula lagi. Meskipun Encik Zulkifli tidak begitu berkira dari segi waktu keluar masuk pejabat, apa yang penting, tugasan kami siap mengikut jadual yang ditetapkan atau apa yang dia kehendaki dapat disediakan sewajarnya, kami tetap menghormati waktu masuk bertugas pada sebelah petangnya. Jadi, selepas semua selesai mengalas perut tengah hari itu, kami bergerak menuju ke tempat parkir. Aku berjalan beriringan dengan Rosmadi dan Afeeza. Fikri masih menunggu duit baki, dia yang sebenarya ingin membelanja kami makan di situ. Afrina dan Zulaikha masih juga tidak bergerak, kerana ingin menunggu Fikri. 

Berjalan perlahan-lahan, aku berbual-bual dengan Rosmadi dan Afeeza hanya memasang telinga. Sampai di Kedai Seven-Eleven, Afeeza ingin singgah, dia mengarahkan kami berdua berjalan terlebih dahulu. Aku mengiyakan sahaja, memandangkan cuaca agak panas terik dan kepala ku terasa mulai pening. Aku gagahkan juga kaki berjalan seadanya. Sambil masih melayani perbualan Rosmadi, kaki ku tersadung lantai simen bertingkat seperti tangga dan tersangkut ke di celah-celah jaringan besi yang menutupi longkang kecil. 

“Aduhhh ....” Menjerit aku kesakitan, sambil hati beristigfar panjang. Dek kerana sakit melampau, hanya tuhan yang tahu, air mata menitik jatuh. Rosmadi panik melihat kejadian itu, dia cuba mengangkat aku, tapi tidak berjaya, kerana kaki ku masih tersangkut pada buku lali di antara jaringan besi itu. Kasut hitam sebelah kaki kiri, sudah pastinya patah. Rosmadi menyabarkan aku, dia tetap cuba menarik keluar kaki ku tapi masih juga dalam keadaan yang sama. Selain menahan sakit, aku juga menahan malu, maklumlah jarang orang terjatuh dan tersepit di longkang sekecil itu. Malu kerana beberapa kereta bergerak perlahan memerhatikan aku, tanpa ada yang sudi membantu. Oleh kerana tidak berjaya mengeluarkan kaki ku yang tersepit, Rosmadi menelefon Fikri, meminta untuk segera ke tempat kami. Rosmadi membongkok di sebelah ku, sambil cuba membantu aku yang berusaha mengatasi masalah itu. 

Tetiba aku terasa belakang ku di tepuk orang, aku berpaling ..... Razman! Menjerit suara ku dalam nada terperanjat dan juga takut dia memarahi aku atau Rosmadi dalam situasi begitu. Lantas Rosmadi berdiri, Razman bertanya kenapa aku berkeadaannya demikian?...

Rosmadi memaklumkan mengenai masalah kaki ku. Razman terus ke hadapan ku dan dia cuba melebarkan jaringan besi dengan tangannya, membuatkan ada ruang untuk kaki ku di tarik naik ke atas. Alhamdullilah, kaki tersangkut berjaya dikeluarkan. Ketika itu juga rakan-rakan dan beberapa orang lain sudah mengelilingi diriku.

Lalu Razman mendukungku menuju ke arah tempat parkir. Beg tanganku digalasnya dan sepasang kasut hitam ku dibiarkan sahaja. Razman berjalan laju, kalau mungkin dia boleh berlari, dia berlari, disebabkan berat badan ku yang sedang dia dukung, pastinya tidak dapat berbuat demikian. Dalam nada yang masih menahan sakit dan sedih, aku bertanya ke mana Razman ingin membawa aku. Dia menjawab,

“Klinik ....” 

 “Tak apa ....dah tak sakit sangat, sekejap lagi baiklah ... hantar saya ke pejabat....” Aku menjawab dan juga mengarahnya, sebetulnya. Razman menjengkilkan mata tepat ke dalam mata ku, menunjukkan dia marah dengan jawapanku. Dia berhenti. Tegak berdiri dengan aku masih di dalam dukungannya.

“Macam niiii....... kaki terlekat, boleh kata tak sakit? pelik bin ajaib, dah lah mata berair-air menahan sakit ...... apaaaaa keee .... nak lelaki tu dukung ke ?”

 Pangggggg ....

Aku terasa seperti muka ku ditampar hingga lebam, bila mendengar Razman berkata begitu kepadaku. Makin laju luruhnya air mata ku. Kemudian .... Razman pantas berjalan semula. Dia memasukkan aku ke tempat duduk hadapan penumpang. Membaringkan aku di kerusi keretanya, mencari tempat mesin bayaran parkir dan terus memandu laju menuju ke sebuah klinik di sekitar Mont Kiara.

*****

Kami tiba di klinik yang hanya ada seorang pesakit sahaja. Giliran aku selepas pesakit itu. Apabila membuat pemeriksaan, doktor mengesyorkan bahawa aku perlu diberikan suntikan penahan sakit dan juga mengelak jangkitan kuman. Kaki ku sudah membengkak dan luka yang melecek dan telah menampakkan isi kulit, kaki dicuci serta di balut kemas oleh doktor. Doktor memberikan aku cuti sakit untuk tempoh tiga hari. Selesai mengambil ubat, Razman bertanya sama ada aku mahu ke pejabat atau terus pulang ke rumah. Katanya jika aku mahu ke pejabat, dia akan menghantar dan menunggu sehingga aku menyiapkan kerja pada hari itu. Jika tidak, dia akan membawa aku pulang ke rumah. Aku berfikir, dengan kepala sedikit sakit dan rasa mengantuk, menguasai diri, mungkin disebabkan suntikan. Memikirkan laporan yang sedang aku buat di pejabat tadi perlu dihantar dalam tempoh tiga hari lagi, aku mengambil keputusan untuk pulang ke rumah sahaja. 

“Bawa sahajalah Ain pulang .....Habis petang ini abang tak ada kelas ke ?” Aku bertanya.

“Ada, jam 3.00 hingga 5.00 petang. Tak apa .... nanti batalkan. Saya dah telefon kerani di pejabat dekan, untuk maklumkan kepada pelajar, hujung minggu saya ganti kelasnya.”

Terharu aku bila mendengar Razman berkata begitu. Biasanya dia akan mendahului hal-hal lain berbeza dengan hal kekeluargaan atau diri ku sendiri. 

Razman telah menjawat jawatan pensyarah di Universiti Melaya (UM) sejak setahun lalu dan menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) di Open Universiti (OUM).  Hanya lima tahun dia bertugas sebagai seorang guru dan rezeki memihak kepadanya. Ketika kandungan Akilah memasukki lapan bulan, dia menerima tawaran UM dan mengambil keputusan berhenti sebagai guru dengan notis 24 jam. Semenjak menjadi pensyarah, aku lihat masanya tidaklah begitu terikat dengan jadual kelas yang banyak.

“Kalau macam tu …. jom balik !” dia menghulur tangan untuk mendukung ku lagi. Rasanya aku dah berkeupayaan berjalan, tapi memikirkan jika aku menolak pelawaannya itu, dia berkecil hati, aku mengikut sahaja.

“Nanti malam saya ambil kereta di pejabat dengan Shukri, anak jiran sebelah rumah …” maklum Razman kepada ku yang menggangukkan kepala, tanda setuju sahaja.

*****

Kami sampai di rumah dan di sambut oleh Kak Melah. Akilah masih tidur di bilik Kak Melah. Aishah dan Azlan ke sekolah agama. Kak Melah agak terkejut melihat aku dan Razman pulang dengan kaki berbalut kain putih.

“Kenapa ni Ain ..... jatuh kat mana ? bila lagi ni terjadi ?” Pelbagai persoalan Kak Melah ajukan dan sempat aku menjawab dengan sebaiknya.

“Tak ada apa lah akak .... sikit ajer .... jatuh longkang .....” Hahaha ... aku gelak, aku tidak menimbulkan tekanan pada diri sendiri dan Kak Melah yang begitu sedih melihat keadaan aku ketika ini.

“Akak ni .... saya yang sakit, ok ajer .... akak pula yang lebih-lebih. Sabar lah akak ...” Kak Melah tersimpul senyum.

“Ain nak makan tengah hari ke tak, Razaman .... ?” Kak Melah bertanya lagi bila suasana kelihatan reda.

“Tak .... Kak Melah tolong bawa dua gelas oren ke atas ....” Itu kata-kata Razman. Kak Melah angguk, tanda faham. Lalu Razman mengangkat aku, naik ke tingkat atas, ke bilik tidur kami.

Dia meletakkan aku di atas katil, sambil badan duduk menyandar kepala katil. Bila selesai memberikan keselesaan kepada ku, Razman menanggalkan kemejanya dan bersinglet sahaja. 

“Maaf .... tadi saya menengking awak ..... terlalu degil, kaki dah macam tu ... ada hati mahu ke pejabat .... tengok bengkak, kalau tak segera ke klinik, entah apa jadinya ...”

“Ya ... terima kasih ...” Aku membalas.

“Nasib baik saya baru selesai makan dengan kawan di situ, kalau tak entah apa jadinya. Balik rumah terhenjut-henjut .... akhirnya tak boleh berjalan.”

“Tak mahu saya dukung tiap-tiap hari, boleh patah pinggang.......” Dia gelak kecil, aku cuba maniskan muka, juga terasa lucu, ucapan terakhirnya itu. Aku tahu dia sengaja berkata begitu, bagi mengelakkan ketegangan berpanjangan dalam situasi kami ketika itu. Namun yang membuat aku berasa agak selesa kerana dia tidak membangkitkan mengenai Rosmadi dalam perbualan kami. Terdengar bunyi ketukan pintu, Razman menyuruh Kak Melah masuk dan meletakkan dua gelas oren di atas meja berhampiran katil yang aku duduk. Razman mengucapkan terima kasih dan Kak Melah terus keluar dari bilik.

“Emmm .... nak sembahyang dulu ... atau rehat sekejap ?”

“Saya .... ‘cuti’ hari ini ....” Aku menjawab. Nasib baik aku ‘datang bulan’ sebelah pagi tadi, kalau tidak sukar juga aku nak bersolat dan pastinya perlu bertayammun.

“Macam tu .... makan ubat, lepas tu tidur.” Razman mengambil satu beg plastik putih dan mengeluarkan tiga jenis beg plastik yang lebih kecil. Setiap satu mengandungi pil-pil. Razman menghulurkan tiga jenis pil kepada ku dan dia masih duduk di birai katil memerhatikan aku menelan ubat-ubat itu. Razman tahu, aku ni jenis yang tidak suka makan ubat, kalau dia tidak berbuat demikian, mungkin aku tidak makan ubat. Maklum rasa sakitnya sudah berkurangan. 

Terdengar pula bunyi telefon bimbit ku, Razman cepat-cepat mencapai beg tangan ku yang juga berada di atas meja dan mencari-cari alat berkenaan di dalam beg ku. Dicapainya, lalu diperhatikan nama yang tertera pada skrin telefon bimbit itu. 

“Zulaikha …., ok … girlfriend. Jawablah …” Aku mengambil telefon yang dihulurkan oleh Razman.

“Waalaikumussalam …” Aku menjawab salam melalui telefon.

“Dah ok sikitlah, tak teruk mana … boleh lah berjalan perlahan-lahan.” Razman mengerling kepada ku … dia sedang berdiri di tepi tingkap.

“Kak …. Encik Rosmadi nak bercakap, boleh?” Zulaikha bertanya.

“Bolehhh…”

Aku mendengar salam diberikan lagi … tapi menjawabnya di dalam hati, yang keluar dari suaraku hanyalah perkataan ‘Ya’.

“Maaf … tadi saya tidak dapat tolong awak ….” Suara kedengaran lagi.

“Tak apa …. Dah ok ni pun … Tengoklah, dalam dua tiga hari saya bercuti. Doktor bagi surat cuti sakit”

“Encik Razman ada kat situ ke?”

“Haa’aa” aku menjawab.

“Ooooo, oklah, insyaAllah, harap awak cepat sembuh.”

“Terima kasih.” Aku menjawab sambil membalas salam yang diberikan oleh Rosmadi.

Aku mengangkat wajah, memandang Razman yang masih berdiri di tingkap, aku tahu dia memerhatikan diriku, lalu aku berkata kepadanya untuk mengelakkan wasangka dalam dirinya.

“Kawan telefon, tanya khabar.”

“Ok …, emmm saya nak mandi, solat dan lepas tu ke OUM. Rehat lah!”

Aku angguk dan Razman bergerak ke bilik kerjanya.

*****

Hari kedua aku berada di rumah selepas kemalangan kecil tersebut, telefon bimbit aku berbunyi sekitar jam 10.00 pagi, ketika itu aku berehat-rehat di laman rumah sambil bermain-main dengan Akilah. Kak Melah masih di jemuran menyidai pakaian. Selepas aku menjawab salam dan sedikit bertanya khabar dengan Afrina yang sedang berbual dengan ku, dia memaklumkan untuk datang menziarahi aku di rumah. Aku bersetuju sahaja, maklumlah tiada apa yang dapat aku lakukan ketika itu. Menerima kedatangan tetamu boleh membuat aku berasa sedikit terhibur dengan pelbagai cerita mereka nanti.

“Datang lah …” Aku mengalu-alukan kedatangan rakan sepejabat ke rumah.

Afrina ada bertanya, boleh ke rakan lelaki datang, bimbang tidak disenangi oleh Razman. 

“Datang sahaja, insyaAllah, Razman tiada masalah, nanti saya akan maklumkan kepadanya.” Begitulah aku mengalu-alukan mereka ke rumah, dan berjanji untuk datang lebih kurang sejam lagi. Selepas selesai berbual dengan Afrina, aku menelefon Razman untuk memaklumkan perkara tersebut dan dia hanya bersetuju serta memaklumkan bahawa dia tidak dapat pulang pada waktu tersebut, kerana perlu hadir ke kuliah pelajarnya. Dia meminta aku menyampaikan salam kepada rakan-rakan yang hadir. 

*****

Seperti yang dijanjikan mereka hadir dengan dua buah kenderaan. Encik Zulkifli turut sama dan pastinya rakan-rakan rapat menziarahi aku. Aku menjamu rakan-rakan dengan kek cawan (cup cake) dan beberapa kuih tradisional yang ditempah daripada sepupu Razman sebelah papanya, Kak Nora. Akilah yang paling gembira pada pagi itu kerana dia dilayani oleh ramai orang sehinggakan dia ingin mengikuti Zulaikha pulang semula ke pejabat. 

Razman tiba di rumah semasa mereka telah pun keluar dari pintu pagar. Kesempatan pertemuan tersebut,  Razman mengambil peluang bersalaman dan bertanya khabar. Tak sangka pula aku yang Razman pulang pada tengah hari ini. 

Sejam selepas rakan-rakan berpergian dari rumahku, anak-anak pula dari sekolah dengan bas sekolah. Melayani anak-anak makan tengah hari dan kemudiannya bersiap-siap pula untuk ke Sekolah Rendah Agama Sadina Umar Al-Khattab. Pada masa yang sama Razman bersiap-siap juga untuk keluar, katanya ke kuliah dan akan pulang lewat malam. 

*****

Seminggu kemudian aku berpeluang ke pejabat semula. Doktor menasihati aku untuk tidak terlalu banyak bergerak dan melakukan kerja-kerja berat untuk tempoh sebulan dua lagi. Aku akur dengan nasihat itu. Seminggu ni itu juga Razman menghantar dan menjemput ku di pejabat. Beberapa tugas yang perlu aku siapkan dalam tempoh bercuti, telah kusiapkan di rumah sahaja. Maklumlah kemudahan teknologi masa kini, selain medium komunikasi dari segi telefon, medium e-mel dan ruangan sembang di internet amat membantu aku berurusan dengan rakan-rakan sepejabat dan juga rakan-rakan di cawangan yang lain.

Rosman mengekoriku untuk beberapa hari selepas itu, mungkin untuk memastikan aku selamat ke pejabat. Tidak aku bertanya atau menegur hal itu kepadanya, aku membiarkan sahaja. Bagi aku, Razman bebas melakukan apa yang dia kehendaki, itu haknya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience