Bab 4

Family Completed 2610

Pagi minggu berikutnya aku ke Tasik Perdana membawa Akilah, Azlan dan Aishah, tidak ketinggalan Kak Melah, selepas kami selesai bersarapan nasi goreng air tangan Kak Melah. Razman macam biasa mengikuti programnya tersendiri, katanya bermain badminton di Cheras dengan kawan-kawan. 

Riuh rendah persekitaran taman permainan dan aku mengambil tempat duduk di salah satu kerusi panjang yang disediakan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Membaca akhbar dan Kak Melah yang aku anggap baik budi itu melayani anak-anak bermain, terutama Akilah. Setelah selesai membelek-belek akhbar dan pastinya cerita-cerita biasa di dada akhbar, aku melipat kemas dan meletakkannya di dalam raga merah yang berisi bekalan makanan kami. Memerhatikan anak-anak ketawa riang, syukur ke panjat Ilahi, anak-anak sihat dan membesar dalam persekitaran yang baik. 

Jauh-jauh aku merenung kembali ingatan terhadap peristiwa maha bersejarah dalam kehidupan diriku. Aku disatukan dengan Razman atas ‘arahan’ Tok. Agak kasar perkataan itu, tapi aku berpendapat tiada perkataan lain yang boleh disesuaikan dalam situasi kami. Tok beriya-iya memperjodohkan kami berdua yang merupakan saudara sepupu. Aku cucunya daripada anak lelaki sulung dan Razman, cucunya daripada anak perempuan bongsu. Razman pula adalah cucu lelaki sulung. Pada pandangan aku, Razman cukup sayangi oleh Tok dan Tok wan, agak berbeza kasih mereka dengan cucu-cucu nya yang lain, kesemuanya 13 orang. 

Aku tiga beradik, Abang Nazim, aku dan Adik Nurhidayah. Aku dengan abang berbeza usia setahun dan dengan adik aku berbeza usia tiga tahun. Razman lima beradik, dia yang sulung dan selebihnya adik beradik perempuan. Masa kecil aku agak rapat dengan Fatimah adik kedua Razman (mungkin kami sama usia). Namun kami tidak kerap berjumpa, maklum abah seorang diplomat yang kerja agak berpindah dari satu negara ke negara lain. Pada usia aku di antara lima hingga sepuluh tahun, kami berkesempatan juga beraya bersama-sama di Yan, Kedah. Rumah Tok dan Tok Wan menjadi riuh rendah. Seronok waktu itu bila mana bermain dengan pelbagai jenis mainan kampung, tidur beramai-ramai di ruang tamu dan mandi-manda di alur yang jernih dengan Faridah, Jamiyah (anak pak lang yang tinggal di sebelah rumah Tok), Fikah dan Wani (anak mak ngah), yang keluarga mereka menetap di Shah Alam hingga sekarang. Ikmal belum lahir ketika itu. Razman adik-beradik dan aku adik-beradik. Usia kami hampir-hampir sebaya dan Razman dengan abang long ku, Abang Nazim agak rapat bila kami bersama-sama berada di kampung.

Suatu malam sebelum hari raya, aku, adik-beradik dan saudara sepupu bermain kahwin olak-olak, aku dan Razman menjadi pengantin baru, Razman ada bertanya, ‘Awak mahu kahwin dengan saya?’, aku angguk dan malu tersipu-sipu. Kami tiru macam orang-orang Inggeris kahwin. Adik-beradik dan sepupu semuanya gelakkan kami, termasuk juga makcik dan pakcik yang sibuk membakar lemang dan ketupat malam itu. Kemudiannya aku dan Razman diarak ke pentas pelamin yang dibuat oleh kami siang harinya.  Paling tidak kulupa bila Tok berkata, “Engkau orang kecil-kecil dah pandai main kahwin-kahwin ya .... nantilah bila besar, Tok kahwin kan kau orang berdua kat rumah ini!!” Kadang kala kata-kata itu tergiang-giang di pemikiran ku.

Waktu berlalu pergi, masa-masa remaja aku dihabiskan di beberapa negara orang dan menyambung persekolahan di International School di Mont Kiara. Tahun-tahun 80an, e-mel bukan medium komunikasi yang utama. Surat-surat menjadi penghubung di antara aku dengan Fatimah. Dia akan mencerita pelbagai hal termasuk mengenai Razman dan ahli keluarganya yang lain. Pernah di antara satu suratnya, dia menceritakan yang Razman begitu kecewa ditinggalkan oleh kekasih hati. Aku tidak mengambil serius dalam hal tersebut, meskipun Fatimah ada menceritakan yang Razman mengalami masalah kesihatan yang teruk dan tidak hadir ke kelas di universitinya di Tokyo, Jepun. Satu semesta, Razman dikatakan mengambil cuti rehat dan berehat di kampung halaman mereka di Seremban. Ketika itu, usia Razman sekitar 22 atau 23 tahun. Aku pula sibuk dengan urusan perkuliahan di Queensland University of Technology, Australia dalam bidang perniagaan. 

Aku pulang semula ke Malaysia sekitar usia 23 tahun dan alhamdullilah juga aku berjaya memperolehi kerjaya yang baik semasa kegawatan ekonomi melanda dunia, di sebuah syarikat komunikasi ternama di Malaysia. Abang Nazim pula mengambil keputusan untuk menetap di Sydney dengan perempuan kacukan melayu-inggeris, Natasha Dutson, sebagai surinya. Nurhidayah, adik ku juga menjadi guru pelatih di Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur dan juga suri kepada Idham Amri.  Kehidupan terkini mengenai Razman yang ku ketahui melalui Fatimah setelah kami tahu menggunakan yahoo masengger dan e-mel ialah Razman bertugas di syarikat komputer ternama, Dell. Sesungguhnya aku sama sekali tidak mengambil kisah mengenai Razman, cuma ia sekadar sisipan cerita dari pelbagai topik ‘bual bicara’ yang disampaikan oleh Fatimah kepada ku dalam urusan menyambungkan silaturahim di antara kami sebagai saudara sepupu.

Akhir tahun berkenaan juga Tok ada menelefon menyuruh kami pulang ke Yan. Abah ketika itu akan bersara sebagai diplomat Malaysia ke luar negara dalam tempoh tiga bulan lagi. Abah pun telah berada di Kuala Lumpur dan hanya berulang alik dari rumah kami di Bukit Damansara ke Wisma Putra, Kuala Lumpur (ketika itu adalah tahun-tahun terakhir Wisma Putra beroperasi di Jalan Wisma Putra, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Putrajaya), untuk tempoh tiga bulan tersebut. 

Kata Tok ada hal penting yang ingin dibincangkan. Abah menyuruh aku mengambil cuti rehat dari pihak syarikat tempat aku bekerja untuk tempoh dua hari, iaitu Isnin dan Selasa berikutnya. Nurhidayah dan Idham Amri pun turut serta pulang ke Yan. Abang Nazim tetap di Sydney dengan Kak Natasha Dutson. Jadi selepas bersolat Maghrib, kami bertolak pulang dengan kereta Honda 3201 Series milik bapa dan sampai tiga jam sebelum subuh, Sabtu pagi nya. Ketika tiba, kami lihat hadapan rumah Tok ada beberapa buah kereta dipakirkan. Tok yang menyambut kami dengan senyuman meleret, meskipun matanya masih dibuai ngantuk, mana kala yang lain tetap lena di buai mimpi. 

Seperti biasa juga aku akan ke bilik paling hujung yang ada di rumah itu. Bilik itu dikhaskan untuk cucu-cucu perempuan Tok. Bila aku menolak perlahan pintu bilik itu, kelihatan Fatihah nyenyak tidur. Aku dan Nurhidayah terus mengambil tempat membaringkan diri yang difikirkan sesuai ketika itu, akibat penat dalam perjalanan. 

Bilik paling tepi dekat dengan dapur adalah bilik untuk cucu-cucu lelaki dan sebelahnya bilik Tok. Tok Wan telah dijemput Ilahi ketika aku berusia 16 tahun dan tidak sempat kami menatap wajah terakhir Tok Wan kerana ketika itu abah bertugas di Jerman. Ada dua lagi bilik, iaitu bilik abah dan bilik mak ngah atau mak su. Pandai-pandai anak-anak Tok menyusunkan keperluan bilik, jika kesemuanya pulang atau juga menumpang di rumah Pak Alang yang hanya berjarak lima meter dari rumah Tok. Hampir tiba di pintu bilik tidur, aku ada mendengar Tok menyuruh abah dan Idham Amri tidur di bilik sebelah kiri ruang tamu dan mengajak mak tidur di biliknya. 

*****

Aku terjaga daripada tidur sekitar jam 9.00 pagi, itu pun sebab Nurhidayah yang mengejutkan aku. Nurhidayah menegurku dengan mengatakan, 

“Tok dah banyak kali bising, anak dara tak bangun-bangun daripada tidur. Bangun aje lah Kak Ngah, Adik Yah dah tak tahan Tok membebel di dapur tu!”

“Sekarang pukul berapa ?” Aku bertanya dalam keadaan mai-mai kepada Nurhidayah.

“Hampir jam 9.00 pagi.” 

“Apa sal tidak bangunkan akak dari tadi?”

“Kak Ngah tidur macam batang pisang rebah, langsung tak sedar diri, penat dah Adik Yah kejut kan!” Balasnya.

“Emmm .... pergi cepat mandi dan sarapan, mak masih di dapur mengemas.”

“Ya lah.” Aku menjawab malas sambil mencari keperluan untuk ke bilik air, iaitu tuala dan satu beg kuning cair yang di dalamnya lengkap dengan bahan-bahan kegunaan di bilik air. Aku adik-beradik memang di ajar oleh mak untuk menyediakan kelengkapan sedemikian, disebabkan kami kerap kali melakukan perjalanan ke mana-mana sahaja sama ada mengikut abah bertugas atau makan angin. 

Ku sarungkan tudung biru gelap ku ke kepala, lalu di bawa beg kuning air dan tuala merah jambu ke bilik air. Hendak atau tidak, aku pasti ke dapur dahulu sebelum memasuki bilik air. Rumah Tok mempunyai dua bilik air, sebelah menyebelah, di hujung bahagian dapur. Setibanya di dapur aku masih melihat mak mengelap meja makan, lalu ke memeluk belakang mak dan mengucapkan salam. Tok yang duduk di kerusi hampir beranda dapur terus berkata, “Alahai .... anak dara zaman melinium ni ... bangun tidur matahari dah hampir segalah tingginya!”.

Tetiba kedengaran suatu suara mengiyakan kata-kata Tok dengan agak kuat.

“Memang Tok, sekarang zaman internet, nak kejut orang bangun pun kena pasang alat aje kat komputer tu, kalau tidak ........ tak bangun-bangun lah. Petang mungkin boleh nampak muka!” Hahaha, ditambah gelak yang dibuat-buat, Tok pun turut ketawa juga.

Aku senyum kepada Tok dan berkata perlahan kepadanya.

“Cuti umum Tok!”

Tok angguk-angguk kepala sahaja.

Lalu aku berbisik kepada mak, “Tak lawak pun, siapa tu mak?”

“Bakal suami Ain........Kacak!! ” jawab mak sambil berbisik juga.

Apa lagi, terus sahaja jari ku mencubit pinggang mak, yang masih dalam pelukanku. Mak ketawa kegelian dan juga menahan sakit di cubit oleh aku.

“Tak ... tak .... mak bergurau aje!”  Balas mak untuk memastikan aku tidak mencubit pinggangnya bertalu-talu.

“Haaa ... tau pun sakit!” 

“Ya .. ya lah, itu Razman. Ain ingat lagi tak dia?” Mak bertanya perlahan.

“Emmm ... mamat tu, ingatlah lebih kurang.” Aku menjawab acuh tak acuh terhadap pertanyaan mak, sambil mulut meratah bilis goreng yang dijadikan lauk-pauk nasi lemak pagi itu.

“Iskk .. tak senonoh, pergi mandi cepat!” Marah mak dengan perlakuanku. 

“Emmm .... ok, nak mandi ni, abah mana?” Persoalan aku kepada mak lagi sambil kaki menuju ke bilik air. 

“Ke kebun belakang dengan Mak Su dan Pak Su, yang lain pun ke sana juga agaknya ...”Itu lah jawab mak yang kedengaran walaupun pintu bilik air telah siap aku tutup dari dalam.

*****

Selesai membersihkan dan memperkemaskan diri seadanya, aku ke dapur lagi. Kali ini aku mengenakan slack hitam dan blous labuh ke lutut dengan tudung biru pekat ku sarung kan ke badan. Aku lihat tiada sesiapa di dapur. Jadi pada pandanganku aku bebas makan semahunya nasi lemak yang berbaki di atas meja makan itu. Apa lagi, dengan ucapan bissmillah dan dengan doa makan yang diucap secara ekspress, aku pun cuba menghabiskan makanan yang berbaki itu. Maklum sahaja, kelaparan memang meruap-ruap ku rasa kerana sejak malam tadi, perut ku tidak di isi apa-apa. Aku menghabiskan masa menidurkan diri di dalam kereta pada malam tadi. Adat lah sesudah makan aku mengemas mana yang patut, itu adalah asuhan mak semenjak kecil lagi. Maklumlah dedulu mak tidak mempunyai pembantu rumah dalam menguruskan rumah tangga dan anak-anak. 

Aku keluar ke beranda dapur rumah Tok. Aku lihat dari jarak enam meter, Tok menuju ke beranda rumahnya. Bila hampir ke beranda, Tok bertanya kepada ku.

“Ain ... dah makan nasi lemak?”

“Dah Tok .... kenyang amat!, terima kasih Tok kerana masak ...” Aku senyum-senyum kepada Tok. 

“Terima kasih, terima kasih juga .....” Tok senyum membalas.

“Ada apa Tok?” Aku pun cuak juga tengok senyuman Tok yang semacam tu.

“Hang ....tolong Tok pi ambiq kek kat pekan boleh?”

“Oooo itu ka? Ain ingat ke apa tadi?” Aku cuba untuk bercakap dialek Kedah juga yang kadang kala terasa amat canggung sungguh!

“Hang pi dengan Razman, tau?”

“Ape sal pulok dengan orang tu Tok?” Aku menekan bunyi ‘orang tu’ dengan kuat sedikit.

“Ramai lagi yang Ain boleh ajak lah ... isk Tok ni .. ada-ada aje.” Aku melembutkan semula suara, takut-takut Tok berkecil hati.

Tok yang sudah duduk di kerusi di beranda rumahnya dan aku berdiri memegang tiang beranda. Tok juga tidak lagi mempedulikan kata-kata ku. Dia senyum-senyum kepada anak cucu nya yang dalam perjalanan dari kebun ke beranda rumahnya itu. Mungkin di hati Tok berbunga bahagia melihat anak cucu nya berkumpul mana yang ada. 

“Man, hang mai sat!” Tok memanggil Razman sambil melambai tangan. Razman yang ber-tshirt oren lembut dan berseluar jeans bawah lutut dengan beberapa cekak tangkai rambutan di tangannya, berjalan agak laju berbeza dengan yang lain. Terdetik di hati ku seketika, itu ke ‘orang tu’, lainnya dari dulu, agak kacak juga, betul kata mak .... itu luahan hati ku sendirian, setelah sekian lama tidak melihat Razman selepas perpisahan kami lebih sepuluh tahun lalu. Razman hampir tiba di tangga beranda, aku pula bangkit dari kerusi dan cuba untuk berdiri serta bersalaman dengan Mak Su dan Fatihah. 

“Emmm ... dah besar panjang Ain ni yer, makin comel!” Kata Mak Su kepada ku, tetapi agak kuat dan kedengaran oleh orang-orang yang berada di sekitar kami. Aku tersipu-sipu, malu diusik begitu oleh Mak Su.

“Mak Su nya ... harus ingat, si adik, Yah tu dah pun berpunya ..., bukan lagi besar panjang, dah patut jadi bini orang!” Tok membalas kata-kata Mak Su dengan lancar sekali dan semua yang lain ketawa. Kemudian mereka memasuki beranda dapur, ada yang menyambung makan rambutan dan ada yang ke dapur. 

“Man, tolong Tok pi pekan, ambil kek dengan Ain ni ...” Tok dah mula panggil nama manja untuk Razman.

“Apa sal Man pulak Tok ?” Razman pun membahasakan dirinya dengan ‘Man’ juga.

“Aikk .. yang ni pun sama juga jawapannya ...” Razman agak terpinga-pinga, dia tidak tahu maksud Tok menjawab begitu, tetapi aku faham, kerana jawapan ku memang hampir sama dengan apa yang di jawab oleh Razman.

“Ambil aje lah kunci kereta Man, bukan jauh pun pekan tu, nak ambik kek aje.” Jawab Razman lagi sambil tangannya mengopek kulit rambutan.

“Pi aje lah hang berdua, sekali sekala menolong Tok, apa salahnya ....” Sedih juga aku mendengar Tok merayu agak kami berdua sahaja pergi ke pekan. Aku tak mahu berkereta berdua sahaja dengan Razman. Segan, apa nak aku bual kan dia. Sudah tu ... kami pun tidak berjumpa lebih sepuluh tahun. Perasaan malu pun ada juga. Macam mana ni ... ya ... Aku cuba mencari idea, agak ‘permohonan’ Tok di tolak secara baik dan berhemah! Tetiba aku mendapat ilham.

“Tok, dengar ni .. ‘Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan’ di riwayat oleh Iman Ahmad”. 

Hebat, aku sendiri hampir nak tergelak, sebenarnya kata-kata itu aku dengar sewaktu memasang radio dalam perjalanan ke pejabat pagi semalam. Entah kenapa aku menghafal ayat berkenaan berulang kali semasa memandu, menjadikan aku begitu lancar memaklumkan kepada Tok.

“Emmm ….” Tok menunduk kepalanya merenung lantai, mungkin dia berasa bersalah memaksa kami berdua keluar sekali atau cuba mencari helah yang lain. Lepas itu Tok membalas kata.

“Memang lah patut Tok sayang habis kat hang ni, Ain. Boleh jadi ustazah. Apa hal lah abah hang tak hantar hang pi belajaq kat Mesir, kalau tidak popular Tok sekampung, cucu Tok Mekbah, ustazah Mesir!” Kami semua ketawa, tadi aku dah terpisat-pisat juga, takut Tok marah tak tentu hala.

“Begini lah, Fatihah ikut sekali, Yah dan Idham tolong Tok kemas-kemas rumah. Man, hang pandu kereta.”

Razman sendiri sudah tidak menolak permintaan Tok, mungkin untuk tidak mengelakkan Tok berkecil hati atas pelbagai alasan cucu-cucunya nanti.

“Ni semua barang hang pi ambil di kedai yang dah ada nama di resit tu. Semuanya Tok dah bayar, cuma tolong bawa balik ke rumah aje barang tu ...” Sambil tangannya menghulurkan beberapa helai kertas dua tiga warna kepada Razman. Patutlah dari tadi aku lihat Tok memegang satu beg kecil bersaiz buku tulis budak sekolah, rupanya di dalam beg itu ada resit-resit yang dimintanya kami mengambil barang di setiap kedai berkenaan.

*****

Dengan memakai pakaian yang sama dan sebuah beg tangan berwarna hitam kotak kecil ku galas untuk ke pekan bersama-sama Razman dan Fatihah. Aku nampak Fatihah siap menunggu di pintu penumpang belakang sebelah kiri dan Razman sedang berada di tempat duduk pemandu, honda civic nya. Bila aku tiba di sebelah Fatihah, aku segera menyuruhnya memasuki tempat duduk penumpang di sebelah depan.

“Cepat masuk, nanti kan Tok bising pulak, lambat pergi ambil kek.” Kata ku kepada Fatihah. Fatihah patuh sahaja apa yang aku suruh, alhamdullilah. Sebenarnya aku takut Tok suruh aku duduk di sebelah Razman sahaja. Itu sebab Fatihah cepat-cepat masuk kereta. Apa bila sahaja pintu kereta ditutup Razman terus mengerakkan keretanya. Kami hanya diam membisu di dalam kereta. Aku leka memandang ke luar tingkap, memerhati suasana damainya kampung yang agak lama sudah tidak ku kunjungi. Lima belas minit berlalu, Razman menyuruh Fatihah mengambil resit-resit yang telah diserahkan oleh Tok kepadanya di dalam dash board keretanya.

“Cuba tengok, kedai apa yang perlu kita pergi ?” Arahnya kepada Fatihah. Fatihah membelek satu-satu resit tersebut. 

“Ada lima resit ni!”

“Bak sini akak tengok, Fatihah.”

Aku cuba perhatikan satu-satu nama kedai tersebut. Salah satu resit yang menarik perhatian ku adalah resit berwarna ungu lembut.

“Isk ni kan butik pengantin, awat lah .... sapo nak kahwin ni ? Tetiba aku berdialek Kedah.

“Hang laaa , siapa lagi!” Razman membalas.

“Biaq betul .... Hang nak melawok pun, tengoklah siapa regu nya.” Aku menambah.

Razman diam ... Fatihah tidak berkata apa-apa, sekali sekala aku lihat mulutnya kumat-kamit. Aku perhatikan Fatihah betul-betul dari belakang. Laa ... rupanya dia telah ‘asyik’ dengan walkman sony, warna biru. Emm, patutlah ... tidak bercakap sepatah pun, ralit dengan alat tu .... hati ku berkata-kata keseorangan. 

“Emmm, dua kedai jual barangan kahwin, satu kedai bunga, satu kedai kek dan satu butik pengantin, siapa yang nak kahwin ya ...” Aku mengomel berseorangan dengan nada agak kuat, mengharapkan Razman membalas dan juga untuk menceriakan suasana ‘tegang’ di dalam kereta. Tapi ibarat kata, ‘sayang seribu kali sayang, tiada siapa sudi memperdulikan sayang’. Razman memberikan fokus kepada pemanduannya sambil mendengar lagu My Heart Will Go On oleh Celine Dion (1997). Lalu aku mengambil tindakan mendiamkan diri dan memerhatikan ke luar tingkap kereta semula, ku perhati sawah bendang luas terbentang, dan padi sedang menguning lebat.

Selesai sahaja lagu itu tamat, Razman bersuara ...

“Ain ....” panggil nya agak perlahan. Apa ke fesyen orang ini .... kita nak bersembang, dia diam. Kita diam, dia sibuk nak bersembang pula. Lalu ku pasang niat nak diam terus. Lagi sekali aku terdengar nama ku di panggil, “Ain ....”

Nak diam atau menjawab. Pemikiran ku berkira-kira dalam hal ini. Kalau diam, macam biadap kan, lagi pun kami bukannya selalu berjumpa. Kalau menjawab, macam lah aku ni ‘murah sangat’ pula. Ala ... jawab aje, tak payah pening-pening kepala. 

“Ya .... ada apa?” Aku buat-buat macam tersedar dari lamunan yang panjang.

“Ain ... dah ada pakwe?” Laa ... itu ke dia nak tanya aku. Menyesal pula rasanya menjawab panggilan Razman tadi. Biar lah ... dia nak tahu ... hati ku cuba memujuk diri menjadi agar sabar di saat-saat begitu.

“Belum .... kenapa ?” Aku memberi jawapan dan juga bertanya. Tapi ibarat kata, ‘sayang seribu kali sayang, tiada dibalas persoalan sayang’.

Sepuluh minit berselang daripada perbualan akhir kami, kami tiba di pekan. Razman bertanya nama kedai apa yang patut kami singgah dan dia seperti agak cekap menuju ke kedai-kedai yang ku maklumkan. Aku sahaja yang keluar dari kereta mengambil barang-barang yang telah di tempah Tok. Razman menunggu di dalam kereta dan Fatihah memang ralit sungguh dengan walkmannya. 

Cuma bila tiba di kedai terakhir, iaitu Butik Pengantin, Fatihah mengiringi aku masuk ke butik. Razman pula memarkirkan keretanya betul-betul di hadapan butik. Rezeki yang agak baik, sebabnya keempat-empat kedai yang telah kami singgah tadi tiada parkir kosong. 

Aku memberi salam dan menyerahkan resit kepada gadis di kaunter. Gadis itu merenung ku seketika lalu bertanya, “Ini Ain ke?”

“Ya ... kenapa?”   

“Tok Mekbah mintaq hang sarung dulu baju sebelum bawak pi balik”

“Apa sal?” Aku bertanya kepada gadis itu dengan wajah yang penuh kehairanan amat sangat.

“Emmm ... ada Tok Mekbah telefon sat tadi, dia habaq ukuran baju ni sama dengan badan Ain yang datang ambiq baju.”

“Macam-macam lah Tok ni ....” Aku merungut sendirian .... tapi Fatihah yang berada di sebelah ku juga menyokong omelanku. 

“Emm ... betullah kak Ain, macam-macam Tok suruh Kak Ain buat, pelik juga nengoknya, kesian Kak Ain!”

Apa-apa pun aku dan Fatihah mengikut juga gadis itu ke sebelah belakang butik, tempat persalinan pakaian.

Memandangkan aku seorang yang agak malas hendak banyak bersoal-jawab sesuatu hal, aku menyarung baju jingga ala-ala baju pengantin, bersulam di bahagian depan dan kedua-dua belah tangan. Aku akui reka bentuk baju tersebut amat cantik dan memenuhi citarasaku, cuma yang aku tak suka adalah warnanya. 

Apabila selesai sahaja aku menyarung baju jingga itu, terdengar Fatihah menjerit-jerit, “Cepatlah kak keluar, nak tengok cantik ke tak .....”.

“Sekejap laaa ....” aku menjawab sambil tangan menolak daun pintu bilik persalinan itu, lalu keluar memusing-musing kan badan, tanpa memperdulikan siapa yang berdiri di depan ku. 

“Emmm .... cantik juga!” suatu suara kedengaran, membuatkan aku memandang ke arah bunyi suara itu.

‘Aaaa lah .... Razman ke .....’ aku bersuara sendirian dek kerana terperanjat. Lalu berlari masuk semula ke bilik persalinan. Aku berasa begitu segan kepada Razman sebab bukan sahaja cara aku memusingkan badan tadi, bahkan ditambah dengan rambut hitam paras bahu ku ‘terdedah’ kepada Razman. Aku tak sangka yang Razman juga memasuki butik berkenaan.

Kedengaran Fatihah lagi, “Maaf kak tak beritahu yang abang juga ada dalam butik ni, Fatihah pun tak sedar dia masuk! Ala .... kak .... tolong lah keluar semula, Fatihah nak tengok ni .... belum sempat betul-betul tengok. Kak pakai tudung dan keluar semula. Kalau kak malu, Fatihah halau abang keluar.”

Aku diam dalam bilik persalinan, berfikir untuk keluar semula atau tidak. Akhirnya aku menjawab ....

“Ok .... kak keluar jap lagi!” Aku tak sampai hati pula dengar rayuan Fatihah, lagi pun baju masih di badan, hanya pakaikan tudung sahaja ke kepala. Aku membuka pintu bilik persalinan lagi sekali dan keluar perlahan-lahan. Di depan ku Fatihah dan seorang wanita dalam lingkungan usia 40 an. Agaknya tuan punya butik, pada pemikiran ku.

“Emmm ... cantik ...” Kata wanita itu, manakala Fatihah mengangguk-angguk kepala nya banyak kali, semacam bersetuju amat sangat. Pada masa yang sama mata ku meliar memerhatikan sekeliling. Aku risau Razman masih berada di kawasan tersebut.

“Tak ada dah kak, abang dah keluar!” Fatihah memahami apa yang terbuku dihatiku.

“Cantik kak, sesuai sangat untuk kak .....”

Aku angguk juga, tanda setuju, tapi terfikir pula, apa hal yang baju ini amat sesuai dengan aku dan baju siapa ini! . Lalu aku bertanya kepada wanita 40 an itu, 

“Akak tahu, siapa punya baju?”   

“Tak tahu dik, Tok Mekbah bagi ukuran kepada akak, surah akak buat cantik-cantik dan mesti buat dengan warna jingga. Akak ikut sahaja katanya. Bayaran pun sudah dibayarkan semuanya, sebulan lalu.” Beritahu wanita 40 an itu kepada ku dan Fatihah, tanpa loghat Kedah. Aku pandang Fatihah, Fatihah angkat bahu juga seperti keliru, tapi dia ada berkata, itu warna kegemaran Razman. Aku pun tidaklah mengambil kisah sangat atas apa yang diberitahu oleh Fatihah itu. Perkara yang memusyikilkan aku hanyalah baju jingga yang sedang ku pakai juga kek coklat berlakaran ‘selamat bertunang’ dan barang-barang seperti untuk majlis pertunangan atau perkahwinan. Tetiba aku melawak dengan Fatihah, “Kot-kot Tok yang hendak bertunang!” Fatihah gelak d-an aku turut gelak. Wanita 40 an tadi pun senyum sahaja.

“Kak, pergi lah salin baju, kita balik, kan lambat. Kan bising Tok, kalau kita lambat pulang ....”

“Ya ... lah!”

*****

Kami masuk ke dalam kereta. Razman agak ralit mendengar lagu Celine Dion lagi, mungkin album Celine Dion agaknya yang sedang dimainkannya itu. 

“Kedai mana lagi nak pergi?” Razman bertanya.

“Dah ... semua kedai dah pergi, balik aje lah!” Aku menjawab.

“Nak singgah kedai makan ke tak nanti?” Fatihah pula bertanya kepada Razman.

“Tak lah, abang dah beli air tin ni.” ditunjukkan setin pepsi di atas dash board keretanya. Lalu menyambung kata,

“Kalau nak beli air pergi ke Kedai Seven-Eleven depan tu jer!” Jarinya di tunjuk kan ke depan. Memang nampak kedai tersebut dari tempat parkir kereta ini.

“Kak nak air juga?”

“Beli kan kak milo, Fatihah. Kak tunggu dalam kereta aje ya?” Sebab dah malas benar nak keluar, penat sangat …..

“Bolehhhhh ....” jawab Fatihah.

Apabila aku lihat Fatihah menolak pintu kaca Seven-Eleven itu, Razman memperlahankan lagu yang asyik didengarinya, lalu berkata,

“Ingat ya .... yang cantik tadi tuuuu..... baju oren, bukan orangnya .....!” (Razman menggunakan perkataan ‘oren’ untuk warna jingga). Perkataan ‘baju oren’ disebutnya dengan nada agak kuat.  Telingaku berdesing menahan pedih, tetapi mata ku dibiarkan terkebil-kebil, mengambil acuh tak acuh amarah Razman. Aku pun sudah tidak mengambil kisah berkenaan perasaan malu ku tadi terhadap Razman, yang sedang aku fikirkan adalah barang-barang yang kami ambil dari kedai-kedai seperti mana arahan Tok. Pemikiran ku berlegar-legar ‘apa sebenar projek besar yang Tok nak laksanakan.’ Jadi aku ambil keputusan mendiamkan diri sahaja dan memandang ke luar tingkap. Memerhati orang yang sibuk ke sana ke mari di pekan ini. 

Dek kerana aku langsung tidak bersuara atau membalas apa yang diperkatakannya dan aku tahu, Razman m ,.emerhati ku melalui cermin pandang belakang keretanya, Razman memperkuatkan semula lagu Celine Dion. Kami terus diam membisu, sehingga lah Fatihah kembali ke kereta dengan beberapa jenis jajan dan air yang ku pinta. Selepas itu, Razman meneruskan perjalanan pulang ke rumah Tok dengan melalui jalan raya yang kami datang dalam tempoh tiga jam tadi.

*****

Kami tiba di rumah Tok, jam hampir 3.00 petang. Memberi salam dan mengangkat masuk semua barang ke dalam rumah melalui ruang tamu rumah Tok bersama-sama Fatihah. Kedengaran suara mak sahaja yang menjawab salam, yang lain entah ke mana menghilang. Razman jauh sekali hendak menolong. Dimatikan enjin keretanya, lalu meninggalkan kami tanpa mengunci pintu keretanya. Memasuki ruang tamu, terasa agak pelik, kerana rumah Tok nampak lebih kemas dan dua bidang karpet merah terdampar di lantai ruang tamu itu. Sofa biru gelap kepunyaan Tok diletakkan ke tepi dinding, seakan seperti ada kenduri akan berlangsung di rumah Tok. 

Namun tiada siapa pun yang sibuk memasak di bahagian dapur bila aku menjengah ke bahagian dapur rumah Tok. Tudung saji juga sedia melitupi makanan terhidang di atas meja makan. Aku bertanya kepada mak yang baru keluar dari bilik tidur yang digunakan oleh abah dan adik iparku Idham Amri sebelah pagi tadi, berkenaan orang-orang lain yang menghuni rumah Tok sebelah pagi tadi. Mak menjawab acuh tak acuh sahaja yang mereka semua berada di rumah Pak Alang, di sebelah rumah Tok. Mak menyibukkan diri, membantu aku mengambil barang-barang yang di bawa pulang, tetapi dia tidak berkata apa-apa berkenaan barang-barang tersebut. Mak seperti sudah tahu ‘peristiwa besar’ yang bakal berlaku. 

Apabila ‘baju oren’ di bawa naik oleh Fatihah ke atas rumah, mak senyum dan berkata ‘cantik!’. Itu sahaja. Tiada kata-kata lain atau ulasan lain yang diluahkan oleh mak. Pelik bagi aku. Biasanya, mak mesti membelek-belek kalau ada baju baru yang dilihatnya, tak kiralah apa jenis baju baru pun, tapi tidak sama sekali dengan ‘baju oren’ ini! Dia hanya membiarkan Fatihah membawa masuk terus ke bilik yang dihuni oleh Fatihah, adikku dan aku sendiri di rumah Tok itu.

*****

Aku masuk ke bilik tidur, tidak kelihatan lagi beg besar Nurhidayah. Aku tanya kepada Fatihah, tetapi Fatihah pun seperti aku juga sama sekali tidak tahu ke mana perginya beg itu. Masih dengan walkmannya, Fatihah keluar dari bilik untuk makan tengah hari. Fatihah turut mengajak aku makan bersama-samanya, tetapi aku menolak kerana berasa tidak berselera untuk makan disebabkan penat, namun sebenarnya aku keliru dengan suasana yang terjadi ketika itu. Jadi aku mengambil peluang untuk merehatkan badan dengan melelapkan mata seketika.

*****

Terjaga dari tidur jam telah menunjukkan ke angka 6.30 petang. Bila difikir-fikir balik terlebih tidurlah aku hari tersebut, namun apa yang boleh dibuat lagi, masa pun telah beralih ke petang hari. Aku kemaskan sedikit cadar di atas katil kayu itu, mencapai tuala dan beg kuning air untuk ke bilik air. Keluar dari bilik, suasana rumah masih sunyi seperti tadi juga, tiada siapa pun, hanya aku lihat empat dulang hantaran sudah berisi dan satu nya masih kosong di ruang tamu. Mungkin yang kosong itu akan diisikan dengan kek yang aku bawa pulang dari pekan. Salah satu dulung itu berisi sirih junjung dengan ros merah dan putih memagari sirih berkenaan. Cantik juga pada pandangan aku. Masih tertanya-tanya siapa ingin bertunang. Sekarang aku telah membuat andaian bahawa bakal ada majlis pertunangan di rumah Tok bila teringatkan kek berlakaran ‘selamat bertunang’ itu. Tok ke … yang nak bertunang, tetiba itu sahaja yang muncul di pemikiran ku sambil aku tersenyum keseorangan. Kelakar pula bila difikir-fikirkan. Namun itu tidak mustahilkan, meskipun Tok telah pun berusia lebih 70 tahun. 

Sampai di pintu yang memisahkan ruang dapur dengan ruang tamu, aku terlihat Razman keluar dari bilik Tok sambil mengesat air mata. Dia berlari laju keluar dari rumah Tok melalui beranda dapur. Entah ke mana tujuannya sama sekali aku tidak pasti. Dia hampir terlanggar aku yang ingin berpusing ke kiri untuk ke bilik air, hinggakan aku mengurut dada terperanjat. Apa kenalah dengan si Razman, aku juga turut mengkategorinya sebagai situasi ‘pelik’ sama dengan baju oren dan dulang hantaran yang siap digubah serta ruang tamu rumah Tok yang telah di hias cantik. Agaknya Tok paksa dia bertunang kot, hahaha … aku gelak-gelak kecil keseorangan lagi bila pemikiran itu muncul dimindaku.

*****

Siap berpakaian lain untuk malam berikutnya di rumah Tok, aku ingin ke dapur lagi. Perut ku mula ‘menyanyi’, bayangkan aku hanya makan nasi lemak sekitar jam 10.00 pagi tadi. Iskk… patutlah keroncong perut ku berlagu sungguh. Bila mana aku menolak pintu bilik tidur, aku lihat adik dan ipar ku keluar dari bilik yang digunakan oleh Mak Su dan Pak Su, sebelah pagi tadi. Pelik lagi. Aku bertanya Nurhidayah sama ada Mak Su dan Pak Su sudah pulang ke Seremban. Dia hanya menjawab mereka berpindah ke rumah Pak Alang. Aku sungguh tidak puas hati dengan jawapan tersebut, apa lagi banyak perkara yang berteka-teki pada pemikiranku. Walaupun perutku bernyanyi mohon diisikan dengan sesuatu, aku sudah tidak ambil peduli, aku berlari ke arah Nurhidayah dan menarik tangannya untuk duduk di sofa biru gelap. Melihat perkara tersebut, Idham meninggalkan kami berdua, dengan memaklumkan yang dia akan ke surau berdekatan dengan abah yang telah siap menunggu di tangga depan rumah Tok.

*****

“Dik …. ada apa sebenarnya? Tolong beritahu akak, pelik sangat lihat suasana hati ini.” Gaya aku bertanya dan cara aku merayu kepada Nurhidayah terhadap rasa kesangsianku, membuatkan Nurhidayah cuba menenangkan ku dengan berkata,

“Tenanglah akak …. itu sudah suratan untuk akak … InsyaAllah, semuanya akan baik-baik sahaja untuk akak!”

“Apa sebenarnya? Cuba cerita dengan akak sebetulnya, Dayah …” Aku merayu lagi kepada Nurhidayah. 

“Begini lah akak, abah beritahu Dayah tadi …. dia akan beritahu akak lepas balik surau, mungkin lepas Isyak. Sabar …. semuanya baik-baik untuk akak …. Pergilah makan dulu. Perut tu berbunyi …” Nurhidayah senyum kepada ku, aku membalas senyumannya kerana memang betul perut ku agak kuat bunyinya mohon dihindari dari kelaparan ketika itu.

*****

Bagi mengisi kebosanan malam itu, aku membelek beberapa majalah dan novel-novel yang telah di bawa dari rumah. Semenjak aku bangun tidur petang tadi, aku belum pun berjumpa dengannya. Mungkin dia berada di rumah Pak Alang, sama dengan ibu-bapanya yang berpindah ke sana. Tetiba pintu bilik di ketuk beberapa kali. Aku malas untuk bangun membuka pintu, lalu meminta sesiapa yang mengetuk pintu itu masuk sahaja ke dalam bilik. Aku maklumkan yang pintu itu tidak berkunci pun. Sejurus berkata demikian, aku lihat wajah mak dan abah di sebalik pintu. Mereka masuk dan menutup pintu perlahan-lahan. 

“Ain …. buat apa?”

“Tak ada apalah mak, baca majalah ni …. tak tahu nak buat apa dah …. televisyen pun tak ada cerita menarik.” Balas ku.  

“Ain .... abah ada hal nak beritahu Ain ni ...” Abah berkata demikian setelah meletakkan badannya di atas kerusi meja hias.

“Hal penting sangat ke ... sampai abah dan mak datang sekali ni?” aku bertanya sambil memandang wajah mak, diikuti wajah abah. Badan telah ku sandarkan ke kepala katil dan mak berada di sebelah ku.

“Penting juga lah Ain ....” jawab mak perlahan.

“Beginilah Ain ...., apa-apa pun abah minta maaf dulu terhadap Ain.” 

“Tiada apa yang perlu abah minta maaf kepada Ain, abah telah sempurnakan tanggungjawab yang amat baik untuk Ain. Kasih abah dan mak selama ini, alhamdullilah, Ain bahagia hingga sekarang.....” Itu kata-kata aku terhadap abah. Aku lihat ada sebak di dada abah, mak pula menitiskan air mata, lalu memelukku. Menambah kekeliruan aku kepada mereka pada malam yang hening ini. 

“Ain, itu memang tangunggjawab ibu-bapa !” Abah meluahkan rasanya lagi.

“Kalau begitulah kata Ain, abah mohon Ain terima permintaan abah ini. Harap sangat Ain tidak menolak. Ini juga adalah untuk kebahagian masa hadapan Ain. Tiada niat yang lebih Ain, abah dan mak ingin melihat Ain bahagia sepanjang hayat kehidupan.”

“Ada apa sebenarnya abah, katalah buah bicara yang sebetulnya, insyaAllah Ain terima sepenuh hatinya.InsyaAllah !”

Abah memandang wajah mak, mengangguk kepalanya dan juga seperti mengarahkan mak menerangkan maksud mereka menemuiku di bilik itu.

“Ain .....” lembut mak memanggil nama manjaku.

“Tok telah ‘menjodohkan’ Ain dengan Razman !” Mulut aku ternganga, terlopong. Lidah kelu untuk berbicara seketika. Tersentap pemikiranku.

“Apa ?” Aku bertanya entah kepada mak atau abah atau juga untuk kedua-duanya sekali, aku sudah tidak pasti. Mereka hanya mengangguk kepala sahaja.

“Tapi ... Ain sama sekali tidak menyintainya mak ..... abah ....”

“Bagilah peluang untuk Ain mencari jodoh Ain ..... mak!”

“Ain, Ain .... masih muda lagi ..... belum tua sangat pun .... kenapa juga dengan Razman, mak?” Air mata ku jatuh bercucuran, mak mengelapnya perlahan-lahan dengan jari lembutnya.

“Emmm .... itulah permohonan Tok dan arwah Tok Wan ... abah mengikut bila memikirkan ianya wasiat Tok Wan. Lagi pun, selama Ain hidup ini, abah tahu, hati anak abah belum ‘dicuri’ oleh sesiapa pun. Masih suci, belum disentuh, belum dilukai oleh mana-mana teruna, sebab itu abah setuju Ain.” Itulah kata-kata abah yang terakhir sebelum dia meninggalkan aku dan mak berdua-duaan. Menambah pilunya hatiku. Aku masih dalam pelukan mak. Mak menyabarkan aku.

Kami berbual lama malam itu, mak menceritakan yang dia sama sekali tidak tahu bahawa Tok ingin menikahkan aku dengan Razman. Ucapannya di dapur bersama-sama ku pagi tadi adalah gurauan semata-mata. Bila mana aku, Razman dan Fatihan ke pekan, Tok memanggil mak, abah, Mak Su dan Pak Su membicarakan hal ini. Dia memperjelaskan ini adalah wasiat Tok Wan semasa hayatnya, dengan harapan melihat kebahagian kalian berdua sewaktu kecil bersambung ke anak cucu Ain dan Razman. Pada awal perbincangan mak dan abah, Mak Su dan Pak Su sama sekali tidak setuju. Mereka tidak mahu aku dan Razman menuduh mereka memilih ‘jodoh’. Namun bila mengenangkan yang Tok telah menempah semua barang, menjemput sanak-saudara dan jiran tetangga untuk majlis ini semenjak dua minggu lepas, kami terpaksa setuju. Jadi barang-barang yang ku ambil di pekan tadi adalah untuk majlis pertunangan aku dan Razman. Ooooo Ya Allah, dugaan apa yang sedang ku lalui ini .....  

Jamuan untuk majlis pertunangan akan diadakan di rumah Pak Alang, oleh itu, segala persiapan masak-memasak sedang dilakukan di rumah Pak Alang. Rumah Tok hanya akan dijadikan tempat majlis merisik dan bertunang daripada pihak Mak Su dan Pak Su. Patutlah rumah Tok sunyi-sepi sahaja malam ini. 

Mak turut memaklumkan bahawa Mak Su dan Pak Su serta Razman telah berpindah ke rumah Pak Alang sebelah tengah hari tadi, itu yang Tok pinta dan ianya nampak lebih ‘manis’, kata Tok semasa mereka berbincang siang tadi. Bilik yang Mak Su dan Pak Su diami telah dijadikan bilik sementara aku, Nurhidayah mengemasnya pada sebelah petang tadi. Nurhidayah dan Idham Amri menggunakan bilik sebelah bilik Tok. 

Berita yang cukup tercalit resah dihatiku, bila mana mak memaklumkan lagi bahawa majlis pertunangan ini hanya untuk tempoh tiga bulan, selepas itu akan diadakan majlis ijab kabul, juga di rumah Tok ini. Tidak diizinkan oleh Tok, majlis ijab-kabul diadakan di tempat lain. Terasa ketat sungguh syarat Tok untuk majlis bersejarah dalam hidupku. Tok juga menjelaskan bahawa dari segi duit belanja kenduri-kendara nanti tidak perlu dirisaukan oleh mak, abah, Mak Su, Pak Su dan anak-anaknya yang lain, Tok tanggung semuanya. Apabila direnung-renungkan secara mendalam, aku berpendapat, Tok cukup bijak dalam melaksanakan perancangannya.

*****

Maka sebagaimana yang direncanakan oleh Tok dengan bantuan ahli keluarga, termaktublah aku sebagai tunangan Razman untuk tempoh tiga bulan. Aku menyarungkan ‘baju oren’ dengan tudung putih beralas vest oren lembut dalam penuh keterpaksaan dan senyuman yang terukir di bibir penuh kepalsuaan. Namun demi Tok, mak, abah, Mak Su dan Pak Su serta saudara-mara sekaliannya aku gagahkan kaki keluar dari bilik lebih kurang jam 10.30 pagi itu, untuk majlis menyarung cincin oleh Mak Su. Entahlah siapa yang membeli cincin belah rotan itu pun aku tak tahu. Sama ada Tok, Mak Su atau Razman yang memilih dan membelinya ....... tak aku ambil peduli hal itu. Saiznya memang padan dengan cari kelingking kiri ku. 

 Berkenaan dengan Razman pula, aku tidak melihatnya lagi semenjak petang semalam, selepas dia hampir terlanggar aku semasa berlari keluar dari bilik Tok. Maklum sahaja, kalau dahulu, pihak lelaki biasanya tidak akan berada sekali dalam majlis pertunangan. Sama ada tunggu di luar rumah ada juga yang tidak ikut serta ke majlis pertunangan. Berbeza dengan kebanyakan majlis pertunangan masa kini, pihak lelaki juga berpakaian sedondong dengan bakal isteri dan turut bergambar kenangan ala-ala bersanding. Begitu adat perubahan zaman.

*****

Kami bertolak pulang ke ke tempat mastautin masing-masing sekitar jam 10.00 pagi hari Selasa. Mak Su dan Pak Su serta Fatihah pulang ke Seremban dan aku sekeluarga pulang ke Bukit Damansara. Aku difahamkan Razman sudah bertolak pulang ke Kuala Lumpur sejurus majlis pertunangan tamat. Alasannya dia ada urusan pekerjaan yang penting untuk diselesaikan. Sebelum berangkat pulang Tok ada menasihat ku untuk mempersiapkan diri sebagai isteri orang dan menyuruh aku belajar beberapa petua yang telah diperturunkan kepada mak. Aku senyum mendengar nasihat Tok, meskipun kekecewaan hati itu amat berat, bagai petir memanah seluruh kawasan Yan ketika itu.

*****

Aku menjeling jam tangan, hampir 1.00 petang. Aaa…ahh agak lama sudah kami di sini rupanya. Kak Melah pun sudah ‘berjaya’ membawa anak-anak menaiki keretapi pendek yang di pandu oleh pekerja DBKL. Segala macam permainan pastinya dinikmati oleh anak-anak, sama ada bermain buaian, gelongsor mahupun jongkang-jongkit. Anak-anak seperti biasa tidak akan puas bermain dan berseronok. Alam mereka penuh warna-warni. Puas juga aku mengajak mereka pulang, tetapi sukar sama sekali untuk meninggalkan taman permainan yang pelbagai alatan permaian yang berwarna terang. Akhirnya aku terpaksa ‘memenangi’ hati mereka dengan pembelian aiskrim yang dijual oleh penjual aiskrim di sekitar taman, sebelum pulang ke rumah. 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience