Bab 8a

Family Completed 2610

Petang ini kami sekeluarga baru tiba dari rumah mama dan papa di Seremban. Beberapa jenis buah-buahan di bawa pulang, antaranya rambutan, duku dan durian. Musim durian memang menjadi kali ini. Seharian, semalam kami berkampung di kebun buah papa. Tak terkata seronoknya Aishah dan Azlan. Bukan sahaja aku dan Razman sekeluarga, malahan Fatimah dan Fatihah juga pulang dengan keluarga masing-masing ke rumah papa dan mama. Meriah sungguh perjumpaan itu, setelah hampir lebih enam bulan kami tidak bersua muka. Mama atau Mak Su pun juga sudah agak uzur sekarang, dia tidak begitu kuat lagi untuk berjalan setelah di serang angin ahmar ringan, enam bulan lepas. Pertemuan itu mengembalikan ingatan ku terhadap kehidupan masa kecil kami terutama aku, Razman dan Fatimah di kampung halaman Tok. Bak kata orang yang berlalu tetap berlalu, yang di hadapan perlu kita harungi dengan sabar dan tabah atas segala dugaan yang mungkin melanda.  

Esok, aku perlu ke pejabat. Mengait, mengutip dan memilih buah yang baik semasa di kebun menjadikan seluruh badan ku terasa cukup penat. Pada pemikiran aku, jika aku mengambil cuti lagi adalah tidak munasabah, kerana aku telah mengambil dua hari sebelum hari minggu tersebut untuk pulang ke Seremban. Perlu aku gagahkan diri ke pejabat esok pagi dan juga membawa sedikit buah tangan dari Seremban kepada rakan-rakan sepejabat.

*****

Aku tiba di pejabat hampir jam 9.00 pagi. Terlewat bangun tidur dan ralit seketika melayani Akilah yang bangun lebih awal dari ku pagi tadi. Buah-buahan yang ku bawa, kuletakkan di ruangan pantri serta memaklumkan kepada rakan-rakan yang ditemui supaya memakan buah-buahan tersebut. Bagi Encik Zulkifli, aku asingkan ke dalam satu beg plastik berlainan untuk diberikan kepadanya dengan alasan menghormati dia sebagai ketua ku di pejabat dan tidak lah dia memperolehi buah yang boleh dianggap berbaki setelah dimakan oleh rakan-rakan lain. 

Ya, aku akur penat memang masih bersisa pada diri ku, lenguh seluruh badan. Aku terus bilik, semua barang yang ku jinjing dan ke pantri semula menyediakan segelas Nescafe seperti biasa. Hari ini aku berhasrat untuk menyiapkan laporan baru bagi produk yang telah Rosmadi kenal pasti di Rawang lebih tiga bulan lepas. Aku diberikan tugas untuk mengemukakan laporan bagi mempromosikan produk serta mengenalpasti pasaraya di bawah operasi Merak Holding Sdn. Bhd. yang perlu memulakan penjualan produk berkenaan. Sekiranya sambutan amat mengalakkan, produk berkenaan akan diedarkan ke pasaraya yang berlainan.

Jam sepuluh pagi, satu e-mel masuk ke inbox akaun e-mel ku. 

From : Rokiah Ahmad

To : Ahmad Fikri, Afrina Laili, Afeeza, Amira Zulaikha, Nuraini, Roslan, Shukri, Raihanah

CC : Rosmadi

Assalamualaikum, rakan-rakan dijemput untuk ke majlis makan tengahari di Hotel Peninsula, jam 12.30 tengah hari bertolak dari pejabat, hari ini. 

Terima kasih.

Tukang menyampaikan

Kak Ruby Comel

Isss …. Ini sudah bagus, makan percuma, di hujung-hujung bulan begini. Getus hati kecil ku. Kak Ruby tu, boleh buat lawak lagi, tambah perkataan ‘comel’ pada nama dia, perasan sungguh, dah la boleh panggil nenek, jika anak daranya si Zura tu dah berkahwin. Aku senyum-senyum sendirian membaca e-mel ringkas daripada Kak Ruby. Aku mencongak-congak bilangan orang yang di jemput, iaitu rakan rapat Fikri, Afrina, Afeeza dan Zulaikha serta kak Ruby (penghantar e-mel), tiga orang lagi tu, kira staf di bawah seliaan Rosmadi dan Rosmadi sendiri, menjadikan kesemuanya sepuluh orang. 

Sepuluh minit selepas e-mel itu diterima aku menekan nombor sambungan telefon Kak Ruby.

“Hello …Ain” Suara Kak Ruby terus kedengaran setelah hanya dua deringan telefon berbunyi. Pastinya dia mengetahui aku menelefon dengan melihat nama yang tertera pada skrin telefonnya. 

“Kak …. Siapa yang jadi penaja, akhir-akhir bulan ni?”

“Ooo … itu ke soalannya ….” Kak Ruby gelak sekejap dan menyambung ….

“Encik Rosmadi …. katanya majlis istimewa, penat akak tanya … apa sal dia adakan majlis tu … tak mahu dijawabnya lebih-lebih. Yang diulangnya …. ada … laaah” 

Tak sempat aku bertanya soalan, semua ingin diceritakan oleh Kak Ruby ni ….

“Encik Zul …. tak ajak sekali ?”

“Tak …. sat lagi … jam 11.00 pagi En. Zul nak terbang lagi…!”

“Biar betul kak, saya baru nampak En. Zul lalu depan bilik saya ni …. sempat ke ? Dari sini ke sana mau juga satu jam.” Keliru aku dengan kata-kata Kak Ruby.

“Begini …. Jam 11.00 dia nak pergi landasan ………. KLIA, naik MAS jam 2.30 petang. Ke Sabah. Entah apa hal … ada keluarga dia kat sana ….., ada hal …., minta dia ke sana … baru aje tadi, dalam jam 9.00 pagi, telefon dia ….”

“Berapa lama tu ?” 

“Tak pasti lagi … mungkin dua … tiga hari juga, tiket ke semenanjung tak beli lagi.”

“Kisahnyaa ….” Aku menjawab.

“Ok Kak, jam 12.30 nanti kita pergi makan sama-sama, orang belanja, ya?”

“Sudah pasti nya ….” Kak Ruby gelak lagi.

“Encik Fikri dan Puan Afeeza yang memandu ke hotel nanti, kita naik kereta Puan Afeeza ya?”

“Ok, setuju aje ….,bye….” Aku meletakkan telefon dan menyambung kerja yang terbengkalai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience