Bab 11b

Family Completed 2610

Sebagaimana yang mereka janjikan sekadar bermain satu pusingan saja, selepas itu, kami bergerak ke Kedai Mamak yang berjarak dua kilometer dari situ. Masih penuh dengan pelanggan yang sedang menyaksikan perlawanan bola sepak liga dunia melalui layar putih yang disiarkan secara langsung ketika itu. Kami mengambil satu sudut agak hujung dalam kedai tersebut bagi menjamu roti canai dan teh tarik, lewat malam. Pastinya riuh-rendah dengan sorakan memenuhi ruang di persekitaran kedai tersebut.

“Man, apa pasal tak beritahu kamu ni dah bapa orang ....”

“Laaa, kenapa pulak akak. Ada masalah ke?”

“Masalah besar tu ... nak kata ya ... macam tak ....”

“Apa sebenarnya kak ....Asyik berkias dari tadi ....” Razman memberi senyum kecil kepada Kakak Fuziah.

“Man, akak kau ni ....ingatkan kau solo, jadi nak ler perkenalkan kau dengan anak buah kakak iparnya.” Abang Zaki berterus-terang. Lantas Razman tergelak kuat dan hampir tertumpah air dalam gelas yang cuba dihirupnya. Aku senyum nipis, sebab telah mengetahui perkara itu, selepas berbual dengan Kakak Fuziah, semasa mereka bermain badminton. 

“Tu pasal ... saya bawa dia malam ni (sambil nunjuk ke arah ku yang duduk bertentangan), sebab pelik bila abang beritahu akak nak jumpa saya malam ni ....

“Tu...laa, akak ingat, kau ni bujang terlajak, tak pernah dengar cerita pasal anak bini. Akak tanya abang .... dia kata, mungkin bujang juga. Jadi, apa salahnya kenal-kenalkan dengan anak dara orang, tapi....rupa-rupanya bapa anak tiga!” Kakak Fuziah tergelak kecil. Lalu menyambung,

“Nasib baik, akak tak bawa ustazah tu... datang terus tadi, tengok awak main, pelan awalnya memang macam tu.” Aku dengan ringan mulutnya menyampuk,

“Haa’aa, katanya ustazah balik dari Mesir.” Razman membeliakkan mata memandang aku! ‘Alamak terlepas cakap’. 

“Tau .... awak ya?” Razman berkata kepada ku seperti sedikit marah.

Dengan wajah selamba, aku membalas,

“Kak G, dah cerita tadi ...”

“Habis ..... awak suka?”

“Apa salahnya ......masih lagi ada kekosongan kan? Lagi pun, moga-moga....anak-anak, jadi hafiz dan hafizah!” Aku menjawab secara mendatar.

“Ada lampu hijau, Man .....mampu, kan? Apa salahnya!” Abang Zaki menepuk belakang bahu Razman.

“Haa,aa, lampu hijau ya ..... kan dia boleh mengatal dengan jantan tu ....” Kemarahan Razman menerpa. Pucat wajahku seketika. ‘Ke situ pulak, dianya’. Hati kecilku berkata.

Lantas Razman bangun, dia bergerak ke tengah kedai.

“Man..... janganlah marah sangat, kalau ia pun.......” Kakak Fuziah, cuba meredakan keadaan dengan suara agak menjerit. Mujur pelanggan lain tidak mengambil peduli kerana asyik melayani rancangan perlawanan bola sepak. 

Kami memerhatikan ke mana Razman pergi. Kemudian dia kembali. Aku tahu dia memang begitu marah dan untuk mengawal rasa marahnya, membasuh tangan di singki yang disediakan, adalah cara terbaik baginya ketika itu. 

“Marah tu .... memang ya ...lah kak, dia ni sengaja buat macam tu ... bukan apa, bila saya tambah satu lagi, dia mula minta berpisah ....kan boleh pergi kat mamat yang dia suka tu ...”

‘Habis, segalanya dilepaskan rasa kepada Kakak Fuziah & Abang Zaki.Tapi ada hati juga nak menambah lagi!’

“Iskk .... jangan duk tuduh Nuraini .... macam tu, tak baiklah Man!” Abang Zaki menenangkan keadaan.

“Akak ingat, senang ke nak bela dia ni .... kadang-kala pening saya nak jaga dia, ramai peminat!” Dia meluah rasa kepada Kakak Fuziah.

‘Iskkk ke situ pulak dia ni.Bila masa.... dia duk jaga aku.Tak ambil kisah ada ler.Pelik!’

“Dah.....dah.....akak tak kacau kau orang berdua lagi, nanti akak cari yang lain untuk si Siti Nurhidayah tu....”

“Emmm....cantik namanya, kak!” Sengaja aku tabur bara ke atas kayu yang hampir nak padam.  

“Tak  payah bercita-cita, tambah madu .... awak tu pun saya tak terjaga. Dah....jom balik!”

Razman terus bangun dan berdiri disebelahku, ditariknya tangan ku dan menjadikan aku terpaksa berdiri di sebelahnya.

“Abang .... maaf malam ni, angin sikit panas!” Razman bersalaman dengan Abang Zaki.

“Tak apa ... jap lagi reda tu ....kosong ..kosong ya!” Abang Zaki ketawa kecil.

“Ala ... Man, jangan marah sangatlah, tu pelan tak jadi ....”

“Haa’aa....tak apa kak, jadi tak jadi tu .... soal lain, tapi kirim salam kat Ustazah Siti Nurhidayah ya!”

“Iskk...mengatal juga!’

“Saya balik dulu ...ya, kak.InsyaAllah .... jumpa lagi.” Aku berkata, tersekat-sekat.

“InsyaAllah, ...jaga si Man tu baik-baik tau ...”

Aku angguk sahaja dengan senyum kelat, sambil melambai-lambai tangan kepada Amirah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience