Akhir

Family Completed 2610

Fikri menghulurkan tisu biru lembut kepada ku ketika aku mula melipat kemas surat itu, aku lapkan air mata yang berguguran dan pastinya tapak tangan ku penuh dengan sisa-sia air mata sendiri. Aku seperti tiada perasaan malu lagi …. Bila bahu terenjut-enjut menahan tangis. Makin kuat aku menahan rasa sedih, makin kuat ingin ku laungkan nama Rosmadi, namun tiada apa yang mampu keluar daripada kerongkongku. Wajah ku tunduk rapat ke meja, menahan tangis. 

“Nuraini … ok?”

Aku sekadar mengangguk.

“Maaf, kalau surat itu membuatkan Nuraini … marah kan saya!”

“Tak mengapa ….. tiada siapa yang patut saya marah dan tiada siapa yang bersalah …” Aku menjawab masih dalam sedu-sedan.

Aku sudah pun mengangkat wajah memandang Fikri dan Fikri mengangguk.

“Maaf … mohon kepastian …. Apakah Nuraini sama rasa … macam Madi ?” Fikri seperti tidak sabar mendapat jawapan daripadaku, atau mungkin begitu lama dia sabar untuk mengetahui apakah perasaan Rosmadi itu berbalas atau tidak ….., selepas dia membaca warkah Rosmadi kepada ku.

Namun aku diam …. Memandang Fikri dengan pandangan kosong. 

“Fik …. Bawakan aku ke kubur Rosmadi …. Aku ingin dengannya seketika …..”

Masih dengan wajah yang menunggu jawapan daripada ku, Fikri mengangguk perlahan-lahan, tanda setuju.

“Boleh …. Boleh … jom ke kereta, kita tunggu Juliana di sana nanti.”

Kami berjalan beriringan ….keluar dari kafe itu …. Menyelusuri lot-lot kedai dan menggunakan lif ke tempat parkir di Aras LG. 

Memasuki kereta dan menunggu Juliana hampir sepuluh minit, kami keluar dari One Utama menujuk ke tempat persemadian Rosmadi. Juliana berada di sebelah ku, memeluk ku kemas dan menyabarkan diriku sebagai layak yang perlu dilakukannya. Aku berasa beban di kepala mula longgar dan perlahan-lahan ….. aku sedar aku telah menerima satu jawapan yang bernoktah. Aku mula akui antara aku dan Rosmadi ….. kami mempunyai perasaan yang sama. Ajaibnya hubungan perasaan ini!.

Dipimpin oleh Juliana, aku perlahan-lahan menuruti belakang Fikri, sampai di tempat yang sepatutnya, Fikri membentangkan tikar mengkuang kecil. Aku dan Juliana bersimpuh di atas tikar dan Fikri mencangkung di kepala nisan. Fikri mengetuai bacaan Al-Fatihah, surah-surah pendek dan zikir dihadiahkan bersama-sama daripada kami bertiga kepada Rosmadi. Selepas doa selamat dibacakan, kami bangkit berdiri. Juliana menggulung tikar dan mereka mula berundur pergi. Aku turut dipimpin Juliana untuk meninggalkan kawasan itu. Namun terasa aku masih ingin berada di situ …. Ingin seketika berbicara sendirian dengan Rosmadi. Mereka memahami cara ku, lalu bergerak perlahan bersama-sama pasangan teruna-dara itu.

Melafazkan apa yang tersemat dihatikan selama ini kepada Rosmadi, aku berasa cukup lega. Tenang, damai dan selesa sekali rasa pemikiranku. Jelas aku tahu kini, apa yang tercipta pada perasaan ku adalah begitu sama sekali sama dengan perasaan Rosmadi. Sebagaimana harapan Rosmadi melalui warkahnya, aku berjanji dengan Rosmadi aku akan menjadi isteri dan ibu yang baik buat Razman dan anak-anak, sepanjang hayat ini. Ku kutip beberapa kuntum cempaka putih yang telah gugur berhampiran,  lalu kutaburkan ke tempat persemadian Rosmadi. Sebelum langkah ku makin jauh meninggalkannya, aku mendoakan kesejahteraan Rosmadi sepanjang masa. Amin.

Hampir tiba ke tempat parkir, aku lihat beberapa kenderaan berada di situ. Pasti saudara-mara dan rakan-taulan datang berziarah di tempat ini. Namun, yang aku nampak hanya Fikri dan Juliana. Sementelah satu badan lagi yang sedang berbual dengan Fikri, seperti aku kenali.  Sebelum sempat aku memberikan salam kepada mereka, susuk tubuh itu berpaling ke arah ku dan bersedia untuk membuka tangan menerima aku ke dalam pelukannya. 

Kekuatan diri yang masih bersisa, kugagahkan berlari anak menuju ke dalam rangkulan Razman. Erat dia memelukku dan aku berasa memperolehi kekuatan semula untuk meneruskan kehidupan yang berlangsungan. Ciuman dia didahiku, cukup membuatkan aku merasa masih dihargainya, meskipun aku pasti, dia tahu apa yang sudah berlaku seketika tadi, ke atas diri. 

“Sabar …. Ini ujian untuk mu, Ain …. Abang tetap menyayangimu …” Kedengaran jelas suara Razman membisikkan kata-kata tersebut ke telingaku. 

Hujung lengan baju sutera hitam berbunga merah jambu dan dedaun hijau, yang pertama kali di pakai ini lenjun dengan air mata ku. Sungguh terasa begitu naifnya aku disisinya. Berputar ingatanku kembali kepada kisah rebutan di antara aku dengan Razman terhadap baju ini, di pejabatku lebih dua tahun lalu. Ia merupakan hadiah pemberian Rosmadi kepada ku, yang aku tidak mahu Razman mengetahuinya …..

Wajah yang masih kusam kemerahan dan mata berair, Razman menarik aku menuju ke arah Fikri dan Juliana yang sedang menunggu. Apabila kami tiba ditempat mereka, Juliana merapatkan diri disebelahku dan berkata, “Sabar … kak !” Ucap Juliana. 

“Maaf, sebab akak, kamu berdua .. tak dapat beli barang ….”

“Tak apa kak ….. sebenarnya Abang Fikri nak jumpa akak ajer tadi. Ju hanya nak ambil barang yang dah Ju tempah minggu lepas, kat One Utama tu …”

“Ya ke ?”

Juliana angguk sambil memandang ke arah Fikri, seperti mengharapkan Fikri menyokong kata-katanya dan lalu Fikri mengangguk tanda setuju. 

“Kalau beritahu perkara betul, tak nak ikut pulak …” Fikri membalas dengan ketawa kecil. 

“Habis …. Macam mana abang tahu, Ain kat sini?” aku bertanya pula kepada Razman yang masih mengengam erat jari jemariku. 

“Iskk … mestilah kan …. Kena hati-hati, isteri kita ni comel sangat, kan terpikat dek Fikri, susah hati, berulam jantung abang ….” Fikri dan Juliana ketawa dengan lawak di buat Razman.

Aku mencubit lengan Razman, sambil berkata,

“Mana kan Fik hendak kat Ain, Ju …. lagi muda jelita ….”

“Ehhh …helo … muda bukan saham untuk dipikat orang tau!” Suara Razman agak meninggi dan seperti sedikit mengejek.

Aku menundukkan wajah, Fikri dan Juliana masih tersenyum-senyum.

“Haa … lepas ni, saya panggil Kak Ain ajerlah, tak nak bagi Abang Razman cemburu ….” Fikri membalas kata dan Juliana yang masih tersenyum, angguk seperti amat bersetuju dengan kata-kata Fikri. Aku berpaling ke arah Razman, dia turut mengangguk sama.

Mereka berjalan beriringan menuju ke kereta dan bila kereta mula bergerak, Fikri berkata kepada kami, “Jangan lupa 21 hari bulan ni ……, hari kami berdua!”

“Ya! Tahniah! … InsyaAllah". Razman mengangguk perlahan kepada Fikri. Aku disebelah Razman, memusingkan kepala, melemparkan senyuman manis kepadanya, yang sekian lama kusembunyikan daripadanya! Razman merangkul aku ke dalam pelukannya dan kami beriringan menuju ke kereta Razman.

*** TAMAT ***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience