Bab 5

Family Completed 2610

Malam ini Razman keluar lagi dari rumah. Katanya ingin menemui Firdaus untuk bermain badminton di Cheras. Lewat malam akan balik. Jadi selepas menjamu anak-anak makan malam, membantu menyiapkan kerja sekolah dan menidurkan mereka, aku mengambil peluang merehatkan badan di hadapan televisyen. Cerita biasa sahaja pada malam hujung minggu, program realiti yang tidak menarik minat ku untuk terus menonton. Kak Melah pula telah memasuki biliknya, untuk tidur setelah siang tadi penat melayani kerenah anak-anak. Apa lagi harus ku lakukan untuk mengisi waktu lapang yang ada, tidur … rasanya masih terlalu awal, Majalah National Geographic ku amati dan membeleknya sehelai demi sehelai. Pemikiranku menerawang kembali ke kisah lebih sepuluh tahun lepas…..

*****

Tiga bulan adalah suatu tempoh yang tidak lama bagi aku bagi satu ‘projek’ yang agak besar seperti majlis perkahwinan. Meskipun begitu aku tidaklah seghairah mana untuk meraikan hari bersejarah dalam hidupku. Seluruh urusan perkahwinan aku serah bulat-bulat kepada mak dan abah, sama ada dari segi baju pengantin, barang hantaran, pelamin, kad jemputan, tempat resepsi perkahwinan dan lain-lain. Aku sekadar menandatangani borang perkahwinan dan menyertakan beberapa maklumat yang perlu disediakan daripada diriku sendiri. Kalau mengikut rasa hati yang kecewa, aku tidak mahu menjemput rakan-rakan kenalan ku ke majlis perkahwinan sebelah pihak pengantin perempuan yang diadakan di Hotel Eastin, Petaling Jaya, seminggu selepas majlis kenduri di rumah Tok. Abah bertegas mengadakan majlis tersebut memandangkan aku anaknya yang terakhir yang akan berkahwinan. Pun begitu majlis tersebut adalah tertutup, sekadar 200 orang sanak-saudara dan kenalan rapat mak dan abah serta rakan taulan aku dan Nurhidayah suami isteri. Abang Nazim juga dijangka pulang selama sebulan untuk meraikan majlis ku itu.

Selama tempoh pertunangan tersebut, Razman sama sekali tidak bertanya khabar kepada ku, sama ada menelefon, bere-mel dan sebagainya. Aku pun begitu terhadapnya. Mak pernah  menghulurkan satu kad perniagaan (business card) milik Razman kepada ku selepas seminggu pertunangan kami. Aku menyimpan kemas kad Razman di dalam dompet. Aku meneliti kad itu, hanya sekali, iaitu sewaktu kali pertama mak menyerahkan kad itu kepada ku. Daripada penelitian aku, pejabat Razman tidak jauh dari pejabat ku di sekitar kawasan perniagaan Bangsar. Mak ada berpesan kepada ku, supaya menelefon Razman jika aku ada hal yang perlu dibincangkan untuk majlis perkahwinan kami. Aku seperti biasa dengan senyuman pahit dilemparkan mak, mengangguk bersetuju sahaja.  

Meskipun aku tidak begitu setuju dengan majlis perkahwinan ku, aku tetap memohon pertunjuk dari Maha Pencipta. Tiga hari berturut-turut aku mengunjungi Masjid Wilayah Persekutuan selepas pulang dari pejabat untuk beriktikaf, bermunajad dan beristikharah kepada Allah, mohon apa yang direncanakan ini adalah baik untuk aku dan Razman, juga keturunan kami sekiranya dipanjangkan usia perhubungan kami. Sungguh aku pasrah kepada Allah selepas hari ke tiga aku mengunjungi masjid tersebut. Selebihnya aku tetap bersolat sunat, istikharah dan tahajjud mohon keberkatan kehidupan untuk hari-hari berikutnya, selagi nyawa di kandung badan.

*****

Genap tiga bulan aku menjadi tunangan Razman, majlis perkahwinan aku dan Razman diadakan dengan meriahnya di rumah Tok. Ramai sanak-saudara dan rakan taulan hadir dari dekat dan jauh meraikan majlis tersebut. Segala-galanya berlangsung dengan lancar dan baik sekali. Akad nikah diadakan pada sebelah malamnya dan malam itulah aku melihat Razman berbaju melayu putih, bersongket putih-merah jambu dan bersongkok hitam menghadap Tok kadi, selepas tiga bulan kami berpisah. Jarak di antara kami duduk, membuatkan aku mendengar dengan jelas apa yang dipertuturkan oleh Razman kepada Tok kadi dan dengan sekali lafaz, kami sah sebagai pasangan suami isteri.

 

Entah kenapa sebak hati ku begitu kuat melanda, tanpa sedar mataku berkaca dengan air mata. Nurhidayah yang menjadi pengiringku menyerahkan tisu dan menasihati ku supaya bersabar. Aku terasa semacam aku terpisah jauh daripada mak, abah dan adik-beradik ketika itu. Aku tidak boleh bermanja dengan mak seperti dahulu lagi. Itu yang bermain dimindaku.Selesai doa diaminkan dan bersalam-salaman dengan hadirin sebelah-menyebelahnya, aku lihat Razman membisikkan sesuatu kepada Abang Nazim. Kemudian aku lihat lagi, Razman berdiri lalu pergi ke bilik Tok. Abang datang memaklumkan kepada ku yang Razman ingin bersolat sunat pengantin sebelum upacara seterusnya. Lalu Nurhidayah mengiringiku masuk ke bilik pengantin baru dan aku sempat menunai solat sunat dua rakaat sujud, syukur di atas kelancaran majlis ini. Selang masa lebih kurang sepuluh minit, aku dipanggil keluar bilik. Aku menuruti sahaja belakang Nurhidayah, di bawa ke ruangan tengah rumah. 

Sesudah aku duduk mengadap Razman yang sedia menunggu, Razman menyarungkan sebentuk cincin bertahtakan berlian. Aku menyalami Razman sebagai mana kedengaran ‘arahan’ suara-suara dari pelbagai penjuru kami, untuk sesi bergambar. Aku dan Razman ‘berposing’ seadanya. Sekadar itu, lalu kami menyalami ahli keluarga yang awalnya adalah Tok, diikuti mama dan papa Razman (tidak lagi ku panggil Mak Su dan Pak Su), abah, mak, Abang Nazim serta saudara-mara yang memenuhi ruangan tersebut. Majlis malam itu tamat dengan jamuan kecil yang diadakan di khemah, hadapan rumah Tok. 

Disebabkan keletihan dengan pelbagai aktiviti pada siang hari seperti mandi berlulur, berinai, menyibuk diri mengemas bilik pengantin dan sebagainya aku tertidur lena, ditemani Fatihah. Razman pula, aku tidak tahu dia tidur di mana, mereka berpesan pengantin lelaki tidak boleh tidur bersama pengantin perempuan sebelum majlis bersanding, sebab nanti tiada ‘seri pengantin’. Entah betul ke tidak, pegangan tersebut, aku terima  sahaja. 

*****

Upacara majlis persandingan dan makan beradap selesai jam 2.00 petang dan jamuan makan ditamatkan jam 5.00 petang. Seperti mana kebiasaan kenduri-kendara, pengantin juga membantu dalam urusan kemas-mengemas. Begitu juga lah aku, turut membantu mana patut, walaupun kadang-kala di tegah oleh orang-orang tertentu. 

Disebabkan keletihan juga, aku tertidur awal pada malam itu. Aku terjaga jam tiga pagi, bila mana jam yang sengaja aku set kan ke angka tersebut, berbunyi. Untuk tidak membisingkan orang lain yang tidur di rumah Tok itu, aku bersegera mematikan bunyi jam yang ditempatkan di atas meja solek. Berpusing ke sebelah kiri katil, aku lihat tiada siapa pun tidur di situ, jadi aku menganggap pastinya Fatihah tidur di bilik lain pada malam ini. Bila mana aku berfikir lagi yang aku belum menunaikan solat Isyak, lantas aku bangun dan mendapatkan tuala dari dalam almari, terus menuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwuduk. Aku masuk semula ke bilik dan menuju ke kiri katil untuk menunaikan solat. Ruangan itu, sememangnya sesuai untuk dijadikan tempat bersolat.

Ketika ingin membentangkan sejadah, terperanjat besar aku bila melihat seseorang tidur di situ. Berdebar jantung ku, aku amat-amati siapa yang tidur di situ dengan t-shirt putih dan kain pelikat gelap. Cahaya samar-samar yang memenuhi ruangan bilik tidak cukup membantu aku mengenali siapa yang tidur di situ. Aku bergerak mendekati bahagian kepala, menunduk muka aku dan barulah jelas kelihatan Razman, yang berbaring dengan hanya berbantalkan bantal kecil hiasan untuk atas katil pengantin baru. Aku beristighfar beberapa kali, kemudiannya mengambil selimut dari dalam almari dan menyelimuti Razman yang kelihatan agak kesejukan, dek dinginnya suhu waktu itu. Selesai menunaikan Solat Isyak, aku menyambung dengan solat sunat tahajjud, dua rakaat. Tatkala doa selesai aku aminkan, mata masih lagi terasa mahu ‘direhatkan’, aku merebah diri ke katil dan menyambung tidur hingga ke subuh hari dengan bertelekung putih. Tika aku terjaga, aku dapati Razman sudah pun meninggalkan tempat tidur, bantal kecil dan selimut yang di lipat kemas diletakkannya di hujung kiri katil. 

*****

Malam ketiga, secara tradisinya keluarga kami adalah malam membuka hadiah yang diberikan oleh para tetamu dan pastinya ada jamuan kecil semasa sesi tersebut. Pengantin akan diarahkan oleh sanak-saudara membuka mana-mana hadiah bersama dan selepas itu membuat kiraan bilangan hadiah berkenaan. Kebiasaan juga satu pertiga hadiah yang diperolehi akan diserahkan kepada sanak-saudara mengikut apa yang mereka inginkan, khususnya yang memberi sumbangan tenaga menjayakan majlis. Jadi malam itu aku dan Razman terpaksa lah ‘sabar’ melayani kerenah dan gurauan sanal-saudara yang pelbagai ragam itu. Akhirnya kami sebagai pengantin baru turut dipaksa memasuki ke bilik tidur bersama-sama. Jam pun ketika itu baru menunjukkan ke angka 10.00 malam. Pada awalnya Razman tidak mahu, dia cuba mengelakkan dengan memberi alasan malam masih awal dan lain-lain. Aku pun setuju dengan pendapat Razman itu. Mata pun belum mengantuk lagi. Dalam suasana keriuhan itu, Tok yang berada di hujung ruang tamu, arah dapur bersama-sama mak-mak dan bapa-bapa saudara ku, memanggil Razman. Razman bangkit menuju ke arah Tok. Aku pula asyik bersembang dengan Fatimah dan sepupu-sepupuku yang lain, maklumlah malam itu baru kami dapat berbual dengan baik dek kesibukan aku sebagai pengantin baru. 

Tetiba Razman datang ke arah ku, dibisiknya kepada ku perlahan. “Jom masuk bilik .....” Nak tak hendak aku segera menamatkan perbualan dan beriringan masuk ke bilik. Semasa aku bangun dan berdiri di sebelah Razman, masih ada suara kedengaran kuat, 

“Tidur tau .......... jangan duk buat projek lain .....” Apa lagi .... riuh-rendah rumah Tok dengan gurauan begitu. Muka aku pasti bertukar warna dan berasa bahang .... kemaluan. Itulah kelemahan aku, pantang diusik orang, air muka ku pasti berubahan. Siap lagi ada yang menambah, “Pimpinlah tangan Ain ....., Man ... masuk bilik!” Entah lah pelbagai lagi ayat gurauan yang sudah aku tidak mengambil peduli kerana menahan malu.

****

Berada di dalam bilik dengan Razman, aku sama sekali tidak tahu untuk melakukan apa-apa. Razman pun ku lihat, dia begitu juga. Tapi agak bijak mengawal diri, dia segera menelefon seseorang untuk di ajak berbual. Bingung bersendirian begitu, aku lantas mencari novel atau majalah yang belum dibaca. Aku selalu membawa sebuah beg khas yang penuh dengan majalah dan buku jika pulang ke kampung, dalam usaha sebagai persediaan untuk mengatasi masa sengkangku. Ralit membelek-belek novel karya Khatijah Hashim yang baru dibeli dua minggu lepas, kedengaran Razman berkata kepada ku, 

“Buka lah tudung ..... saya dah boleh lihat rambut awak .....” Aku tersentap seketika. Aku ingat dia masih memboikot aku atas sebab aku ‘merestui’ perkahwinan ini. Dia masih bersandar ke kepala katil sebelah kiri. Aku pun berada di kerusi meja solek. Aku mendongak kepala, memandang Razman, tetapi diam tidak berkata apa-apa. Selang seminit pintu bilik di ketuk dari luar, terdengar mak mentua ku, Mak Su memanggil nama Razman. Aku ingin membuka pintu, tetapi Razman mengarahkan aku duduk sahaja. Dia sendiri menuju ke pintu dan kelihatan satu beg pakaian beralih ke tangan Razman, ada kedengaran mak mentua ku berpesan kepada Razman, “Esok pagi, jangan sibuk ‘berhijrah’ ke bilik lain!” Razman mengangguk kepala dan juga mengucapkan terima kasih kepada mamanya. Bilik tidur kami sepi semula, namun suasana di luar masih riuh-rendah. 

Menempatkan beg pakaiannya ke dinding sebelah kiri bilik, Razman mencari-cari sesuatu dan akhirnya dia menemuinya. Sejenis gajet permainan. Dia bersandar ke dinding bilik dan mula ralit bermain seorang diri. Ketika jam menunjukkan ke angka 12.00 malam, aku masih berpakaian baju kurung satin, ingin sekali menukarkan dengan pakaian tidur. Jarang aku tidur, tanpa memakai pakaian tidur kecuali tertidur kerana penat. Berfikir juga aku di mana mahu melelapkan mata, di atas katil atau di lantai sahaja, membiarkan Razman pula tidur di katil malam ini. Kecelaruan aku berfikir banyak benda. Meskipun sekali fikir ianya remeh-temeh, tapi disebabkan tidak menemui ‘keserasian’ dalam perhubungan, sukar sesuatu itu di bawa berbincang dan mendapat kata sepakat. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk berbaring sahaja di lantai dengan beralaskan bantal tidur.

Tetiba kedengaran suara Razman, “Salinlah baju, tidur atas katil, saya tidur di bawah sebab takut awak menjerit malam tadi, kerana ada orang di sebelah awak. Saya masuk bilik dah … jam 2.00 pagi.” Razman memperjelaskan perkara sebenar yang berlaku pada malam semalam. Aku angkat kepala. Barulah aku perasan, Razman tidaklah ralit mana bermain, sekian lama itu, dia hanya memerhatikan aku sahaja. Aku diam lagi, disebabkan Razman memberikan arahan itu, aku bangkit dari lantai lalu mengambil tempat tidur di atas katil. Baju tidak ku salin. Di mana aku perlu bersembunyi daripada Razman dalam bilik itu, jika ingin bersalin pakaian. Menyuruh Razman keluar atau bersalin baju di bilik air. Aaahh, tidak mungkin pula, ke bilik air, tak mahulah, tak larat mendengar gurauan sanak-saudara nanti. Dalam berfikir begitu, aku buka tudung ku perlahan-lahan.

Kedengaran Razman menegur ku lagi, “Kenapa di potong pendek rambut tu?” 

“Sayang .... yang hari itu lagi cantik .....” Razman menambah kata. Oooo Razman memerhatikan segala-galanya perbuatanku.

Minda ku kembali teringat kata-kata Razman lebih kurang tiga bulan lepas terhadapku.

‘Aik ..... pelik pula, katanya ‘baju oren’ yang cantik, bukan  orangnya, iskkkk apa ke pelik orang ni ....’

Aku masih tidak menjawab juga kata-kata Razman itu, membiarkan sahaja dia keseorangan di situ.   

Menunggu tiada sebarang reaksi daripada ku, Razman bangun lalu duduk di katil sebelah kiri. “Izinkan saya tidur di sebelah sini, sakit badan tidur atas lantai malam tadi. Bantal panjang ini jadi sempadan.” Akhirnya aku mengangguk juga kepala kepada Razman yang sudah menukar baju melayu satin sedondong dengan ku ke baju tidur kelabu lembut, tanda setuju dengan permintaannya. Emmm mungkin dia menukar bajunya ketika aku terlelap di lantai.

Aku terkebil-kebil di atas katil, mata sudah membuat hal pula. Tidak mahu terlelap. Hendak membaca semula novel, agak tidak sesuai lagi kerana lampu telah dipadamkan yang hanya adalah lampu merah bervoltan rendah, sekadar menerangi bilik dalam warna kesamaran daripada langsung kegelapan. Jika aku memasang semula lampu, adakah Razman setuju dan jika aku membaca pun, adakah aku akan memberikan tumpuan ke atas bahan bacaan. Mungkin tidak lagi .... tetiba, hati ku menjadi sebak, jauh di sudut hati aku terasa seperti tidak dihargai, air mata ku jatuh perlahan-lahan. Aku menahan sebak hingga terlena ke pagi hari.

*****

Hari berikutnya sebagai suami-isteri, kami telah dijemput hadir ke beberapa rumah sanak-saudara yang berada di sekitar rumah Tok. Kesemuanya sudah kami kenal, almaklum kami kahwin dengan status sepupu sahaja. Sekiranya berkahwin dengan orang asing, pasti salah seorang pengantin lagi teruja mengenali keluarga sebelah pihak perempuan atau lelaki. 

Mak, abah dan adik-beradik telah pulang ke Bukit Damansara sebelah pagi hari ke empat selepas majlis aku dan Razman berlangsung. Mereka ingin mempersiapkan majlis resepsi perkahwinan kami di Eastin Hotel, pada hari minggu berikutnya. Majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki di Seremban adalah selepas seminggu majlis di pihak pengantin perempuan. Keluarga Razman pula bertolak pulang ke Seremban pada sebelah petangnya.   

Malam beransur hadir lagi. Aku mempersiapkan diri lebih awal, memakai baju tidur di sebelah dalam dan menyarung jubah panjang hitam sebelah luar, hadiah seorang kawan yang belajar di Madinah. Aku mahu tidur awal malam ini, besok kami akan berangkat pulang ke Bukit Damansara menyusul mak dan abah. Selepas mengemas beg pakaian, buku-buku dan segala macam yang ingin di bawa pulang ke Bukit Damansara, aku mengambil keputusan untuk tidur. Razman, entah ke mana, mungkin ke rumah Pak Alang bersembang dengan saudara-mara yang masih ada di sana. 

Lewat malam aku terjaga. Berpusing ke sebelah kiri, Razman telah pun terbaring di situ. Perasaan sebak malam semalam bertandang lagi. Ia suatu perasan yang  dirasai diri ku tidak di peduli dan di hargai. Satu kekeliruan baru muncul di hati ku. Ya, akui mulai sedar hak sebagai isteri tidak dipandang langsung oleh Razman. Sedikit pun dia tidak menyentuhi aku, kecuali selepas majlis membatalkan wuduk, dia menghulurkan tangan untuk disalami oleh ku. 

‘Adakah aku tidak ‘bersih’, ‘cantik’, ‘menarik’ pada pandangan Razman?’ 

Kekecewaanku di selaputi dengan air mata, mula-mula berkaca-kaca jernih, ku tahan-tahan, makin parah dan makin parah, lalu tangisan yang cuba ku sembunyikan kedengaran di telinga Razman. 

“Ada apa .... Ain ...? Tidurlah, jangan takut ..... saya tidak akan menyentuh awak malam ini.....” Aku masih teresak-esak.

“Tidur ... tidurlah ..... saya ada menemani awak, tidak akan meninggalkan awak, jangan risau.... tidurrrr ......”

Sebenarnya aku malu berkelakuan begitu, tapi tanpa disedari ia terjadi sendiri. Aku tidak menyangka yang Razman masih belum lena ....

*****

Pagi-pagi aku bangun dan selepas bersolat subuh, aku mengejutkan Razman untuk bersolat subuh juga. Kemudian ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Nasi goreng dan air kopi pekat kegemaran Tok aku sediakan pagi itu. Hanya kami bertiga sahaja yang ada. Semasa bersarapan itu Tok ada berkata, “Tok lihat hang berdua belum apa-apa lagi .....”

“Apa-apa tu .... apa Tok?” Razman bertanya balik kepada Tok. Aku sekadar memberi senyuman kepada Tok. 

“Jangan hang buat lawok lah Man, buat-buat tak faham. Ini kan dah hari ke lima hang berdua nikah. Duk lagu tu ... jugok ... Tok tengok ....”

Pada pemikiran ku Tok memang hebat, memerhatikan pergerakan kami sehingga perkara bilik tidur sebegitu sekali. Tak ku sangka! 

“Iskkk Tok ni ..... Man tengok orang lain kahwin pun ...., lagu ni jugok ekkk .... tak ada yang tumboh tanduk di kepala.”

“Lawok tak tentu hala ... lah hang ni .....” Tok macam marah lalu menepuk bahu Razman.

“Hang ... Ain, tak usik sikit ke si Man ni? Jangan dok menunggu aje. Tak selesai ‘problem’?” Tok menggunakan sedikit perkataan mat salleh. Aku senyum sahaja dan Razman cepat-cepat menjawab.

“Tok....... dia budak baik, mana ada pandai usik-usik orang. Bertuah sungguh Tok dapat cucu macam dia niiii..... Dah lah baik, sopan santun, dengoq cakap orang tua, pandai masak, comel pun ada ... iskk macam-macam lagi lah baiknya!” Razman memuji aku melambung-lambung di depan Tok. Muka aku pasti berbahang dan bertukar warna menahan malu. Tak pastilah aku, Razman ikhlas atau nak mengenakan aku. Sekadar aku menjawab. “Tidak lah sebaik mana Tok, melambung sangat pujian tu .... kenapa ya ...?”

“Ada udang di sebalik bihun goreng ....” Jawab Tok membuatkan kami bertiga, ketawa riang.  

 “Man .... beginilah, Tok buat perumpamaan, ibarat kera mendapat bunga. Kalau lah kera kan, bila ada bunga dalam genggamannya, tak di lepas, di peluk cium, di belainya dia!.”

“Tok...... tu kan kera, bukan manusia, jika Man buat macam tu ..... mau lari terus ‘bunga’ tu dari Man ... Tok, mahu tahu kesudahnya? Dia langsung lari dan tak datang dah.... Terus pulang ke rumah mak abah, tengok muka Man kot tak sudi lagi lepas tu ....”   

“Tak gitu ... gadis manis?” Razman bertanya kepada ku yang duduk bersetentang dengannya. Aku membalas dengan senyuman sahaja. Tok mengeleng-gelangkan kepala.

“Memanglah hang pandai Man ..... tak sia-sia mama dan papa hang antoq hang sampai ke negeri Jepun tu ..... bertuah, bertuah cucu aku ni!!” Tok mengomel.

“Man .... ni Tok habaq kat hang betul-betul. Bukan lawok dah ni ..... jaga Ain sungguh-sungguh, jangan biaq Ain di ambil orang, menyesal hang tak sudah nanti ...., tau??”

“Emmm .... Tok rasa lah, ada ke orang nak ambil Ain lagi?”

“Iskkk budak ni .... hang jangan main-main tau, silap hang tak jaga betul, sepuluh yang kelilingi dia tu ....”

“Ala ... Tok tak ada nya, semua sepuluh tu cabut punya, kalau tengok Man sebelah Ain macam ni ...” Lalu dia bangun dan berdiri di sebelah ku. Dipaksanya aku berdiri dan memeluk pinggang ku kejap, semacam tidak mahu melepaskannya. Nampak di mata Razman ada sedikit rasa kecemburuan .....Terasa sakit aku diperlakukan begitu. Aku mengeleng kepala, Tok pun sama. 

“Alhamdullilah lah, kalau hang memang jaga Ain macam tu .... senang hati Tok”, tiba-tiba air mata merembes keluar dari kelopak mata Tok. Aku mengelap perlahan dengan tisu yang sedia ada di meja makan. Terasa sebak juga di hati ku melihat Tok dan juga di atas sikap prihatin Tok ke atas diri ku. Rasanya .... Tok benar-benar menyayangi aku ... juga Razman.

“Tok...... jangan sedihlah, InsyaAllah .... Man jaga Ain ..... Tok ni ... pantang dibuat lawak lebih-lebih sikit, mula lah berhati walang.....” Razman memberikan senyuman manis kepada Tok dan menghabiskan nasi goreng berbaki di pinggan.

“Tok ..... macam ni lah perumpamaan dari Man, ibarat kata tak kan lari gunung di kejar, suatu hari pasti berjaya di daki juga ....”

“Man .... Man .... Tok harap hang jujur dan ikhlas menjaga Ain seadanya!” Itu pesan Tok kepada Razman sambil telinga Razman menjadi ‘mangsa’ tarikan tangan Tok.

“Ya .... ya ... lah!” Balas Razman.

*****

Petang itu juga kami meninggalkan Tok keseorangan di rumah untuk pulang ke Kuala Lumpur. Tok akan hadir di majlis resepsi rumah keluarga Razman di Seremban sahaja bersama-sama Pak Alang, Mak Alang dan beberapa ahli keluarga yang akan turut serta. Kami tiba di Kuala Lumpur jam 5.00 pagi dan Razman hanya menghantar aku pulang ke depan pintu rumah. Apabila mak menjemput dia masuk ke rumah, dia menjawab yang dia perlu pulang ke rumah sewa terlebih dahulu di Bangsar untuk beberapa urusan penting. Aku ditinggalkannya selepas tangannya ku sambut untuk disalami.

*****

Tempoh dua hari berikutnya, Razman tidak menelefon bertanya khabar diri ku. Aku pun begitu, tidak mengambil peduli mengenai Razman. Kami bertemu semula semasa bersiap-siap dengan pakaian pengantin berwarna hijau pucuk pisang, pilihan mak dan abah, di satu bilik yang ditempah khas. Kedengaran suara mengucap tahniah dan mengakui kami ibarat pinang di belah dua, sama cantik dan sama padan. 

*****

Masa berputaran, siang berganti malam dan malam berganti siang. Selesai sudah majlis kenduri di rumah keluarga Razman di Seremban. Kami berada di sana hanya untuk tiga hari sahaja. Cuti perkahwinan yang ku ambil untuk tempoh dua minggu lebih sudah pun berakhir. Kembali bertugas pada hari pertama aku ‘dihadiahkan’ dengan gurau senda rakan-rakan sekerja mengenai perkahwinan. Suka atau tidak aku melihat itu sekadar gurau dalam menghangatkan hubungan persahabatan. Tiada istilah di hantar atau di jemput oleh Razman datang dan pulang dari tempat kerja. Aku tidak pasti sama ada Razman tahu atau tidak di mana pejabat ku, meskipun hampir sebulan kami menjadi pasangan suami isteri. Lagi pun baru semalam dia bertandang dan mengambil kesempatan itu untuk tidur di rumah atas ajakan bersungguh-sungguh oleh abang Nazim. Abang masih bercuti dan akan berangkat ke Sydney tiga hari lagi. 

*****

Malam itu, Razman mengajak aku keluar dan memaklumkan ada majlis makan malam yang disediakan oleh rakan sekerjanya di Hotel Pan Pasifik (sekarang dikenali sebagai Hotel Sri Pasifik). Aku mengenakan pakaian seadanya, baju kurung merah jambu bersulam benang emas di bahagian depan. Tudung pula berwarna merah jambu pekat sedikit. Razman pula berpakaian kemeja merah jambu dan berkot hitam. Bertolak selepas berjemaah solat maghrib sekeluarga, mak menasihati aku berhati-hati. Begitu mak, masih melihat ku sebagai gadis remaja. Sampai di hotel, Razman membawa aku ke sebuah dewan makan dan pastinya ucapan tahniah sebagai pasangan keluarga baru, kami terima. Lebih kurang 30 rakan sekerjanya hadir yang bertujuan meraikan majlis perkahwinan kami. Majlis berakhir jam 11.00 malam, Razman membawa aku pulang, disebabkan terlalu penat dan keletihan dan pelbagai kertas kerja perlu disiapkan di pejabat sebelah siang hari, aku terlena di dalam kereta. Sedar-sedar Razman mengejutkan aku dari lena dan disebabkan mamai, dia memimpin tangan ku menaiki lif. Aku ada bertanya dia, ke mana ingin di bawa pergi, di jawabnya, ikut sahaja.

Rupanya kami tiba di sebuah apartment, tingkat 15. Mempunyai tiga bilik dengan sebuah dapur dipisahkan dengan ruang makan untuk ke ruang tamu dan lengkap berperabot. Razman memaklumkan bahawa ini merupakan rumah sewanya bersama dengan dua orang lagi teman, mereka berkerja di tempat yang berbeza dengan Razman dan sekarang pulang ke kampung masing-masing. Sebab itu dia berani membawa aku ke sini. Razman menyuruh aku menelefon ke rumah, memaklumkan aku akan tidur di apartment ini pada malam ini. Aku mengikut arahan Razman. Rasanya tidak perlu aku membantah kerana Razman adalah lelaki berstatus ‘suami’ kepada ku. Halal bagi kami berdua-duaan. Meskipun sekali pandangan aku merasakan kami ini ibarat ‘rakan sekerja’ sahaja.

Aku tidak begitu setuju yang Razman membawa aku ke rumah sewanya, sebab tidak ada sehelai baju termasuk baju ‘kecil’ pun, yang ku bawa untuk bersalin pakai, mana telekung ku untuk bersolat, berus gigi, sabun dan segala macam keperluan asas. Timbul rasa tidak puas hati, tetapi ku tahan kerana tidak mahu menimbul ‘perseketaan’ dengan Razman. 

Razman menunjukkan bilik tidurnya dan dua bilik lain berkunci rapi. Dia menyuruh aku mengambil mana-mana sahaja barang yang dikehendaki dalam bilik itu. Sebelum aku melangkah masuk ke biliknya, Razman bertanya sama ada aku mahu kopi atau teh panas. Aku menjawab cukup secawan kopi pekat. Razman mengangguk sahaja. Melangkah masuk ke bilik yang di cat warna merah bata lembut, aku begitu teruja. Cantik dan kemas, sama kemas dengan bahagian lain di apartment itu. Di satu sudut, terletak potret berseorangan Razman dengan latarbelakang bunga sakura bertaburan di jalanan. Satu sejadah sedia menghadap ke kiblat. Sepasang telekung kuning lembut tersangkut kemas di rak yang disediakan. Gaun tidur merah jambu, warna kesukaan ku terlipat bersama ‘baju kecil’ di atas katil bercadar kain kapas biru. Tuala juga ada di situ. Apa lagi, aku yang memang teringin sangat memasuki ‘kamar kecil’, menanggal apa patut dari badan dan melangkah masuk ke bilik air. Sebakul barang yang bertanda nama aku juga di letakkan di satu sisi bilik air itu. Perasaan marah kepada Razman hilang serta merta dan menyelinap pula rasa bersalah dalam diri. 

Selesai menunai Solat Isyak, aku keluar dari bilik. Razman sudah memakai T-shirt dengan berkain pelekat sahaja. Mungkin dia menukar baju ketika aku mandi di bilik air. Dia mengadap dokumentari melalui siaran televisyen yang terpasang.

“Emm.....cantik .... boleh pusing-pusing macam pakai ‘baju oren’?”

‘Ooooo Razman masih ingat peristiwa hampir lima bulan lepas di sebuah butik pengantin. MasyaAllah, pengingat betul orangnya!’ Membisik hati kecil ku .....

“Emm.....tak nak lah ....”

“Apa sal? Malu .... tak ada siapa di sini .... saya aja ....” 

“Tak ....” Aku menjawab kemaluan.

“Terima kasih ya ....” 

“Suka?” Razman bertanya.

“Suka ... cantik, pandai abang cari ......” Aku membalas. Razman gelak-gelak kecil.

“Jemput .... minum kopi .... masih panas, saya baru membancuhnya!” Dia mempersilakan aku duduk di sofa menghadap televisyen sebagai mana dia.

“Terima kasih ...” Aku mengangkat cawan, menghirup kos yang disediakan oleh Razman, enak sekali sambil menyandar diri ke sofa, sama-sama memberi tumpuan berita yang sedang bersiaran di televisyen.  

“Ain .... saya ingin berbincang sedikit dengan awak .... berkenaan kita berdua. Maaf, sebelum ini tiada kesempatan masa yang terhadap untuk kita berbual bebas ....”

“Ada apa sebenarnya?”

“Pertamanya ... saya masih ingin tinggal di rumah ini untuk dua atau tiga bulan lagi. InsyaAllah saya akan berpindah ke rumah awak selepas ini .....”

“Kedua .... saya minta maaf, belum menunaikan taanggungjawab yang sewajarnya sebagai suami, maaf sangat-sangat .....” Kata Razman perlahan.

“Kadang-kala saya berasa Ain seperti saudara rapat, sukar untuk melakukan yang terlebih dari itu. Maaf .... Ain. Secara jujur nya, saya trauma .... silap saya ....”

“Trauma? Maksudnya?”

“Emm .... Ain tak perlu tahu ...” Itu sahaja jawapan daripada Razman.

“Ain .... insyaAllah saya akan jaga Ain sebagai mana janji saya kepada Tok, tetapi jika tidak memuaskan, maaf ....” Razman tidak menghabiskan kata-kata. Aku anggukkan kepala.

“Ain .... jika ingin berkata apa-apa, luahlah apa yang terbuku di hati. Saya sudi mendengarnya !” 

“Tiada apa..... saya menerima abang seadanya.” Aku menjawab dalam kedudukan setengah meter daripada Razman.

“Alhamdullilah......terima kasih Ain ...” Lantas Razman bangkit menuju ke dapur, kemudian dia ke bilik. Mungkin untuk bersolat Isyak.

Tiada apa yang dapat aku lakukan selain membelek majalah yang bersusun rapi di rak yang tersedia di ruang tamu itu. Rancangan di televisyen, selepas itu juga tiada yang menarik perhatianku. Sambil membaca majalah tersebut, aku terlena lagi ....

*****

Aku tersedar pagi itu, bila sayup-sayup kedengaran azan subuh berkumandang, ‘Solat Lebih Baik Dari Tidur’. Aku mengagahkan diri untuk bangun, terasa begitu sakit seluruh badan ku ... tidak berdaya rasanya untuk terus ke bilik air, hanya mampu duduk bersandar ke kepala katil dengan melunjurkan kaki. Razman masih lena berselimut. Menyalakan lampu kecil di sebelah kepala katil dan mencari-cari gaun merah jambu ‘hadiah’ Razman malam tadi. Ku temuinya jatuh di sebelah katil. Lalu ku capai dan ku sarung ke badan. Sedikit ingatan ku kembali ke peristiwa malam tadi yang menjadi rahsia hidup aku bersama-sama Razman. 

*****

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan begitulah berikutnya. Seperti mana yang dikatakan oleh Razman, awal kehidupan kami, dia banyak menghabiskan waktu di rumah sewanya. Sekala-sekali dia mengunjungi aku di rumah. Mak dan abah sudah memahami kehidupan kami berdua. Mak dan abah tidak mendesak apa-apa. Mereka amat faham ‘permasalahan’ yang kami hadapi. Mak dan abah ada memaklumkan kepada ku yang mereka sentiasa berdoa agar aku dan Razman sentiasa dalam limpah dan rahmat Allah Maha Esa. Syukur sangat-sangat mak dan abah tidak begitu ‘berkecil hati’ dengan sikap Razman terhadapku pada awal perkahwinan itu. Hanya mak dan abah yang tahu berkenaan kami, mama dan papa Razman tidak mengetahuinya, begitu juga Tok. 

Selepas enam bulan perkahwinan kami, Razman berpindah ke rumah di Bukit Damansara. Wajah abah kelihatan sedikit tenang dengan percaturan hidup kami berdua. Meskipun sebelum itu, zahirnya mak dan abah tidak menunjukkan sebarang ketidakpuasan hatinya dengan perangai menantu barunya. Semenjak dari itu juga abah mulai rapat dengan Razman, jika berkelapangan, Razman akan membawa ke mana sahaja yang ingin abah tujui. Abah juga telah pun berpencen sepenuhnya. Dia tidak lagi mempunyai pemandu yang datang menjemput dan menghantar pulang dari pejabat ke rumah atau sebaliknya. Razman sendiri yang bersetuju untuk menjadi pemandu abah, jika berkelapangan sementara abah mendapatkan khidmat pemandu baru.  

*****

Kedamaian hidup yang baru kami pupuk, terganggu semula apabila Tok datang menziarahi kami setelah hampir setahun lebih mendirikan rumah tangga. Tok amat mengharapkan kami ‘menghadiahkan’ cicit buatnya. Aduh .... pening seketika aku dan Razman. Abah ada menasihati Tok, jangan terlalu memaksa kami berdua, kerana abah memang mengetahui kehidupan yang kami lalui. Namun Tok macam biasalah tetap dengan pendiriannya, mahu melihat kami menimang cahaya mata. Aku tahu Tok amat-amat sayangkan kami, terutamanya Razman, cucu sulung lelaki yang sempat dipelihara oleh Tok sendiri semenjak lahir hingga Razman berusia lima tahun.

Kesempatan kami berlima makan malam bersama pada suatu hari telah memberikan peluang kepada Tok menyatakan hasrat hatinya melihat cicit daripada zuriat kami. Razman berpadangan kepada ku yang ketika itu asyik menyuap nasi ke mulut. Cukup lapar kerana siangnya aku mengalas perut dengan roti, alpa dek kesibukan kerja.

“Biarlah mak .... mereka tu ... baru setahun lebih aja bernikahnya ...” Kata abah.

“Sabar lah, ada rezeki tu ... dapatlah nanti ....Kan mak dah ada lima cicit…Apa nak dikisahkan sangat dengan Si Ain dan Man ni …makk..” Abah menyambung kata.

“Betul lah tu .... tapi yang si Man ni …. lain sikit! Aku nak nengok zuriatku bersambung dari Man dan Ain ni… dengan biji mata aku, kan lambat-lambat tak sempat aku. Aku ni kan dah masuk umuq tambahan …. Lebih dah dari umuq Nabi Muhammad S. Bila-bila dijemputnya. Kempunan aku!”

Tok menambah lagi, “Lagi pun cicit-cicit lain tu …. Payah aku jumpa, si Nazim kat luar negara, pergi pun tak pernah aku ke sana, si Dayah … dah ke Korea, sambung belajar, tinggal cucu Mak Alang hang aje, tu pun payah juga jumpanya. Kalau hang dapat anak dan Tok duk rindu kat dia orang boleh suruh hang balik Yan atau Tok datang sini …. Yan-KL ni … larat lagi Tok ulang-alik ….”

“Laaa….ke situ pulak mak ni ….” Balas abah.

Suasana sunyi seketika, kemudian Tok menambah kata “Man, kalau hang tidak berusaha bersungguh-sungguh, tak akan berjaya .... tahu?” Tok membuat ulasannya.

Aku tunduk, terasa bersalah pula, biasalah adatnya bangsa melayu, jika isteri tidak mengandung yang terlampau rasa bersalahnya adalah perempuan itu sendiri. Bukan para suami, meskipun perubatan moden merencanakan bahawa proses kelahiran manusia baru adalah memerlukan komitmen kedua-dua belah pihak khususnya berasaskan kepada tahap kesihatan. Razman pandai memujuk Tok, 

“InsyaAllah Tok .... tak lama lagi, Ain kadang-kala tu selalu aje minta asam mangga. Tak nak yang jeruk di pasaraya  tu, tapi mangga yang sebiji-sebiji tu.” 

Mak memandang wajah ku, aku sekadar menunjukkan muka tidak puas hati, yang aku ingat ada sekali sahaja, aku minta Razman belikan mangga di pasar basah Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), kebetulan dia hendak ke sana dengan mak dan abah, dua minggu lepas. Itu pun sebab aku ingin mencuba satu resepi baru, kerabut mangga yang di baca melalui majalah Keluarga. Abah pula hanya memberi tumpuan terhadap buah-buahan yang sedang dimakannya.

“Betulkan Tok .... kalau perempuan nak makan asam mangga, maknanya, nak dapat anak kecil kan Tok, kan ... kan Tok?”

“Iskk ... hang kalau tak melawok, tak sah lah Man .... setakat makan sekeping dua hirisan mangga tu, belumnya berisi perut. Kalau tak ‘datang bulan’ .... beberapa bulan, ha’aa yang tu boleh di timbang kira. Tak ke malam tadi, si Ain tidur tanpa makan malam, hang juga habaq, Ain sakit perut ..... ‘hari pertama orang perempuan’!”

Razman menggaru kepala, yang pastinya tidak gatal. Aku senyum, mak pun sama. Abah angkat muka memandang Razman.

“Ya ... ya... lah, Man ingat kalau orang perempuan nak makan asam mangga maknanya nak dapat baby ....” Razman memang sudah tidak mampu mengawal kesilapannya.

“Iskkk memang bagus benar, cucu ku yang seorang ini! Itu jer ilmu yang dia ada kalau nak dapat baby .... Hang pi sekolah semulalah, belajaq pasal ilmu suami isteri ni. Apa-apa aje lawoknya di buat!” Marah betul Tok kepada Razman, di ‘tipu’ Tok begitu sahaja. 

“Hang berdua,  akhir tahun ni belum menjadi apa-apa, Tok datang ambiq, bawa hang pi Yan, berubat sampai jadi ...., jangan main-main dengan Tok .... ya ... Man ...” di hujung kata Tok berlembut dengan Razman dan mengerlingkan matanya ke arah ku. Aku angguk kepala.

“Sabaq ... mak .....” itu kata abah kepada Tok, lalu bangkit ke ruang tamu.

Jadinya sebagai kesimpulannya aku mendapat mandat jelas, supaya perlu ‘menghasilkan’ seorang ahli keluarga baru untuk keturunan Tok dan arwah Tok Wan. Tambah lagi senarai tugas ku ... hahaha, sendirian aku gelak mengenangkan permintaan Tok itu. Perasaan cuak juga silih berganti, bertandang ke hati kecil ku.

*****

Kedatangan Tok itu telah menjadikan Razman seperti tertekan. Aku cuba menyabarkan Razman dan menasihatinya bahawa perlu yakin tentang ketentuan  Allah. Kadang-kala aku lihat Razman termenung, lebih kerap berdiam diri, menambah kurang bicaranya dengan aku, mak dan abah. Abah lah orang yang banyak menabur jasa dalam hal ini, dia memberikan beberapa saranan agar Razman cuba mengatasi masalah yang sedang dihadapi. Alhamdullilah, Razman mendengar kata-kata abah.

 
Sejak itu, dia membawa aku menemui beberapa orang pakar perubatan. Aku mengikut sahaja. Kebanyakannya memaklumkan bahawa kami tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan, mungkin rezekinya belum tiba. Pernah seorang doktor yang juga merupakan rakan sekolah Razman berkata kepadanya, 

“Man …. kau orang berdua tiada masalah apa-apa pun. Cuma belum rezekinya lagi. Usaha lah lebih sedikit Man ….., Kau tu … macam tak bersungguh sahaja … !” Rakannya menepuk-nepuk belakang Razman, sambil ketawa kecil. Razman pun mungkin berasa sedikit lucu dengan ungkapan rakannya itu, turut ketawa kecil. Aku sekadar memberikan senyuman, tidak menunjukkan rasa kekecewaan yang begitu teruk, demi mengelakkan Razman tidak terus berada dalam tekanan. 

“Beginilah, aku bagi kan kau pil, makan mengikut aturan. Tengok dalam tempoh sebulan dua, jika tiada sebarang perubahan, kita cuba cara lain ….”

Dua tiga kali jugalah kami berulang-alik menemui sahabat Razman itu Dr. Roslan, akhirnya rezeki memihak kepada kami. Minggu ke-empat bulan Disember, aku disahkan hamil. Wajah Razman nampak kegembiraan yang amat sangat. Aku pun begitu, tipu kalau aku sekadar menerima berita itu sebiasa-biasanya . Terasa hebatnya kuasa Allah, bila satu roh ‘ditiupkan’ ke dalam perut ku.

*****

Menunggu tempoh sembilan bulan sepuluh hari, terasa kadang-kala masa berlalu begitu perlahan. Tidak sabar menatap apa yang kukandungkan untuk tempoh demikian dan akhirnya lahirlah Nur Aishah Mohd Razman. 35 minggu dia mendiami rahimku, lalu ketika aku berasa kelainan terhadap diri sendiri semasa menyiapkan kerja-kerja di pejabat, aku memandu ke Hospital Pakar Damansara, berseorangan. 

Semasa proses pemeriksaan kandungan oleh Dr. Juliana, aku agak tergamam apabila dimaklumkan bahawa aku sudah mempunyai tanda-tanda untuk bersalin. Walhal, aku sedikit pun tidak mengalami apa-apa kontraksi atau pecah air ketuban atau pun juga pendarahan. Aku dihantarkan ke dewan bersalin, setelah terdapat lelehan air ketuban yang mungkin akan menyebabkan berlaku komplikasi kepada bayi. Tidak terlepas daripada mulut ku mengucapkan ayat ‘Fakashafna Anka Ghita-a-ka Fabasrukal Yaouma Hadeed’.

 Juga bila mengingati firman Allah :

“…Dialah yang membentuk kamu dalam rahim sebagaimana dikehendaki-Nya. Tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana…” (Ali Imran: 6), aku menguatkan seluruh jiwa raga ku menahan sakit dan cuba memastikan zuriat Razman selamat dilahirkan. Alhamdullilah, aku bersalin normal seperti yang diinginkan oleh semua para ibu, tanpa Razman disisiku. Razman bertugas di Korea untuk tempoh seminggu. Sama sekali juga aku tidak menjangkakan yang aku akan bersalin awal daripada jangkaan doktor, iaitu lebih kurang dua minggu lagi. 

Mama dan papa tiba sekitar jam 5.00 petang di hospital, selepas dua jam Aishah atau tepatnya Nuraishah Mohd Razman memunculkan dirinya di dunia fana. Jadi Aishah di qamat dan di azan seoleh Tok Pa, yang bertugas sebagai seorang pembantu hospital.

Abah dan mak bersama Tok tiba keesokkan harinya dari Yan. Mak menangis teresak-esak memelukku kerana dia berasa amat bersalah membiarkan aku bertarung nyawa keseorangan melahirkan bayi comel ku. Tidak … sama sekali aku tidak menyalahkan mak atau sesiapa,  sudah ketentuan Allah, aku redha segalanya.

Riak wajah Tok memang tidak lekang dek senyuman. Terserlah kegembiraan dan rasa bahagia di hati Tok. Aku juga bersyukur berjaya memenuhi kehendak Tok, sebagai mana bahagianya Tok melihat Razman selamat berjabat tangan dengan Tok kadi lebih kurang dua tahun yang lepas. Status ‘Moyang’ Tok semakin mantap! Moyang bercicit enam.

*****

Dua tahun berselang, aku disahkan bakal menerima kehadiran ahli baru dalam kehidupan aku, Razman dan Aishah. Rakan-rakan sekerja sering kali mengusik bahawa aku akan menerima kehadiran bayi lelaki, kerana mereka menyatakan, wajahku kelihatan sentiasa berseri-seri dan perut pula kelihatan tajam, meruncing ke depan. Bagiku itu hanya lah berdasarkan firasat orang tua-tua, tidaklah aku menaruh kepercayaan yang begitu tinggi, meskipun di hati amat mengharapkan yang bakal menemani Aishah nanti adalah bayi lelaki.

Lahirnya Mohd Azlan Mohd Razman sama seperti mana Aishah, tanpa Razman disisiku. Mak dan abah yang banyak menguruskan soal diri ku serta mama dan papa. Ketika itu, Razman baru dua minggu mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Pangkalan Chepa, Kelantan. Sebelum itu, lima bulan Razman menganggur apabila mengambil keputusan menerima tawaran Pemberhentian Secara Sukarela (VSS- Volunteer Separate Scheme) dari syarikat tempat pertama kalinya dia bekerja, atas sebab syarikat tersebut mengalami masalah kewangan dan pergabungan dengan syarikat-syarikat lain.

Dugaan sungguh ketika membesarkan Azlan, dia sering kali tidak sihat dan aku perlu berulang kali membawanya ke hospital dan juga bermalam di wad. Bila masa aku harus menjaga Akilah, bila masa aku harus memerhatikan Azlan secara lebih teliti. Air mata aku sentiasa membasahi pipi tak kala terasa berada dalam ‘kesukaran kehidupan’. Apatah lagi masalah kesihatan yang hadir dalam diri Azlan membuat jiwa ku berada dalam keresahan sepanjang masa. Yakin kebesaran Allah, aku cuba tabah melalui dugaan sementara itu. Sikap Razman, tetap seperti awal-awal perkahwinan kami, dia amat jarang menelefon bertanya khabar, kalau ada pun seminggu sekali, walhal kemudahan telefon dan telefon bimbit telah berleluasa. Aku juga seperti selalunya, tidak suka menyusahkan sesiapa, tiap kali Razman bertanyakan khabar, aku pasti memaklumkan semua baik dan tiada masalah besar yang aku lalui. 

Dalam kekalutan menguruskan keluarga, Kak Melah hadir dalam hidup ku. Dialah insan yang banyak meleraikan kekusutan hidupku. Alhamdullilah, dia mampu menjadi ‘pembantu’ rumah tangga yang baik. Setahun juga Razman di Kelantan dan dalam tempoh masa tersebut, ada beberapa kali dia pulang menjenguk kami. Kemudiannya, Razman berjaya menjawat jawatan sebagai seorang guru dan ditempatkan di Sekolah Menengah Cyberjaya. Berulang-alik Razman dari Bukit Damansara ke Cyberjaya, hampir empat tahun lebih.

Akilah lahir ketika Azlan memasuki usia lima tahun setengah. Kehadirannya adalah pelengkap kehidupan kami sekeluarga. Meskipun dia juga tidak sempat di qamat dan di azan kan oleh Razman, Akilah nampaknya lebih rapat dengan Razman berbanding Aishah dan Azlan. Bayi comel ini akan bertukar tangan daripada ku apabila melihat kelibat Razman di rumah. Manja sungguh, malahan Akilah lah yang berjaya tidur di antara aku dengan Razman pada setiap malam berbeza dengan anak-anak lain, membesar dalam ruangan terbatas daripada kehidupan Razman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience