Bab 9a

Family Completed 2610

Petang ini aku bangkit dari tidur hampir jam 5.00. Sudah Asar...... entah apa anak-anak buat di tingkat bawah. Sudah berjanji dengan anak-anak untuk bawa mereka ke taman permainan. Pagi tadi kami telah berkebun bersama-sama. Hampir sebulan tidak dikemaskan, taman mini dan kolam ikan. Jadi kelapangan yang ada pada sebelah pagi tadi memberikan ruang untuk kami bekerjasama membersihkan taman yang sekakang kera di ruang depan halaman rumah. Hari ini Razman memaklumkan dia bersama-sama pelajar kuliahnya menghadiri Kolokium Sehari Perniagaan dan Pemasaran di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Masih penuh aktiviti Razman pada hari minggu, seperti mana kebiasaannya.  

*****

“Jom .... kita ke taman ...” Aku melaungkan suara kepada anak-anak yang sibuk dengan barang permainan masing-masing di bilik mainan, sambil kaki memijak anak tangga perlahan-lahan turun mendapatkan mereka.

“Acik Melah mana, Aishah?” 

“Di bilik .....”

“Dah solat?”

“Belum .....”

“Lekas .... kata nak ke taman ..... nanti  malam pulak ....”

“Ok laaa .....” Aishah menyimpan anak patungnya sebesar bantal alas kusyen ditempat yang selalu dia letakkan. 

“Azlan ..ikut kakak ..... jangan main-main .....solat!”

Azlan diam sambil berdiri mengikut Aishah ke tingkat atas .

Aku menuju ke bilik belakang, mencari Kak Melah dan Akilah. 

“Akak ... nak ikut kita orang ke taman ke tak?”

“Emm ... kalau tak ikut .... boleh ke?” Disoalnya semula kepada ku.

“Ikut akak lah .... Akilah saya bawa sekali ...”

“Ok ... kalau macam tu ...Makanlah ni cekodok pisang ....” Kak Melah menghulurkan sepinggan kuih berkenaan kepada ku ... 

“Ini ... pisang minggu lepas, kita beli kat pasar, masak sangat pulak, akak buat cekodok ajer lah”

“Emm ... boleh tahan ... sedap lah juga ...” Aku membalas dan cuba menjadi bekas plastik untuk dimasukkan cekodok tersebut ke dalam bekas berkenaan. 

“Nak bawa ke mana?”

“Ke taman, makan-makan kat sana, sambil tengok budak-budak main nanti .....”

“Ok .... nanti akak isi air kosong dan masukkan ke dalam beg sandang warna hijau .....”

“Nak naik kereta atau jalan sahaja?”

“Jalan kot .... nak kasi kaki ni ... kuat sikit ....” Aku gelak kecil dan menyambung ....

“Lagi pun dah lama tak jogging.”

Kak Melah senyum sahaja kepada ku. 

*****

Kami berjalan-jalan beriringan keluar dari rumah menuju ke taman permainan. Tak lah jauh mana, selang sepuluh buah rumah sahaja. Kawasan perumahan di sini agak sunyi sedikit, keriuhan kanak-kanak agak berkurangan, berbeza pada awal-awal aku mendudukinya. Masa itu, rakan-rakan sebaya ku agak ramai, kami akan berlari berkejaran, ada kalanya dengar jeritan jiran supaya berhati-hati dengan kereta yang lalu-lalang. Lebih dua puluh tahun peristiwa itu, rakan-rakan sebaya ku kebanyakannya telah menetap di tempat lain dan ada yang berada di luar negara. Hanya ibu bapa atau saudara mara yang agak berumur tinggal di kawasan ini. Sekali sekala ada cucu-cicit datang mengunjungi mereka. Berbeza dengan diri ku sekeluarga, mak dan abah yang datang menziarahi kami, selepas rumah tersebut diserahkan menjadi hak milik aku dan Razman. 

Menyelusuri ruangan pejalan kaki, aku masih sempat bertegur sapa dengan jiran-jiran tetangga yang juga kenalan rapat mak dan abah, menjadikan perjalanan yang sepatutnya 15 minit beranjak kepada hampir setengah jam, baru kami tiba di kawasan berkenaan.  Sampai sahaja di taman, Azlan mulai memanjat palang besi yang terpasang dan Aishah yang hobinya menaiki buaian, terus menuju ke satu buaian yang belum digunakan sesiapa. Taman tersebut tidak seluas mana, tapi cukuplah anak-anak melepaskan kebosanan terperuk di dalam rumah seharian. Ada lebih kurang tujuh orang sahaja yang berada di taman itu, satu keluarga dengan dua anak dan empat remaja berbual-bual. Aku duduk di satu kerusi panjang yang menghadap jalan raya dengan Akilah di sebelah ku. Kami mula makan cekodok, bekalan dari rumah sambil aku membaca akhbar Minggu Malaysia.

Membelek akhbar dari satu muka surat ke muka surat berikut nya, sambil sekali sekala memerhatikan Aishah dan Azlan. Entah kali ke berapa aku mengangkat muka memerhatikan anak-anak, aku mula terperasan sebuah kereta Proton Perdana hitam berada agak jauh dari hujung taman. Seperti aku amat mengenali kenderaan itu. Terfikir aku, kenapa kereta berkenaan berada di situ. Agak mustahil untuk memarkirnya di situ, jauh daripada rumah pemiliknya. Atau ada orang meminjam kereta nya atau sesuatu sedang dilakukan oleh pemiliknya di sekitar kawasan ini. Curiga ku silih berganti di hati, lalu aku memanggil Aishah untuk mengenalpasti nombor pendaftaran kereta berkenaan. 

Seperti mana arahan ku, Aishah pergi ke hujung taman, disebalik pohon-pohon bunga, berdiri seketika dan berlari semula ke arah ku. 

“3 0 0 0 .... ma ...” Aishah maklumkan kepada ku.

“Ok .... terima kasih anak mama comel.”

“Kereta siapa tu ma?”

“Entah lah ... pergi sambung main .... mama tunggu kat sini sahaja ...” Aishah terus berlalu pergi.

Timbul niat di hati ku untuk menaip pesanan ringkas ‘Kenapa berada di situ ?’ kepada pemilik kereta. Fikir punya fikir, tak perlu aku berbuat demikian cuba menghayati semula artikel yang terdapat dalam surat khabar di tangan ku.  

Jam menghampiri 6.30 petang ....telefon bimbit ku kedengaran bunyi seperti masej baru diterima. 

‘Kat mana sekarang?’

‘Taman ...’

‘Ok.’

Tak sempat aku ingin membalas soalan lain, Razman muncul dengan hondanya betul-betul di pintu masuk taman berkenaan. Dia tidak memarkirkan pada ruangan yang sepatutnya. Dari jarak hampir 50 meter dari tempat duduk, aku nampak Razman mulai menuju ke arah ku. Manakala Perdana 3000 bergerak perlahan, berlalu pergi dari situ ...

“Assalamualaikum .....” Razman menghulurkan tangannya kepada ku.

“Waalaikumussalam ....” Aku menyambut tangan Razman sampai menciumnya. 

“Dah lama di sini?”

“Tak ... setengah jam baru ....”

“Buat apa kat rumah pagi tadi?” Tanya Razman, dia duduk di sebelah ku sambil meriba Akilah. Diciumnya pipi Akilah berkali-kali.

“Bersih kolam dan kemaskan taman ...”

“Jom ....kita ke kedai makan ......”

“Ini ada cekodok, Kak Melah goreng ....” Aku menghulur bekas plastik berisi cekodok kepada Razman. Dia mengambil satu cekodok sahaja. 

“Bawa anak-anak minum petang ....” Balas Razman, sambil dia berdiri melambung Akilah perlahan-lahan. Terkekeh-kekeh Akilah tergelak diperlakukan demikian. Razman juga berjalan perlahan-lahan menuju ke kereta.

Sambil mengemas apa yang patut, aku melaungkan nama Aishah dan Azlan untuk ke kereta. Maka petang ini kami minum petang  di salah sebuah restoran di Plaza Damansara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience