Bab 12b

Family Completed 2610

Kami tiba di hospital itu, kira-kira jam 10.30 pagi. Lif penuh dengan penumpang untuk naik ke tingkat atas, walaupun bukan waktu melawat pesakit. Aku tersepit di antara orang ramai itu. Sebelum masuk lif tadi, ada juga aku sempat terbaca senarai nama-nama wad, antaranya An-Naem, Sakinah, An-Nur dan beberapa lagi. Sedap didengari, kalau macam ini, tentu seronok kalau tinggal lama-lama di wad. Aku senyum-senyum keseorangan bila memikirkannya, maklumlah aku sama sekali tidak suka tinggal di dalam wad. Kami sampai di suatu tingkat, tapi entahlah, tak pasti tingkat berapa sebabnya hanya mengikut Fikri yang membawa kami ke arah sebenar yang hendak ditujui.

“Assalamualaikum ….” Fikri memulakan salam apabila pintu itu ditolak untuk masuk ke dalam bilik wad.

“Waalaikumussalam …” jawab satu suara wanita berusia awal 60 an. “Oooo .. Fikri yang datang … ingat kan siapa tadi.” Makcik itu sedikit terperanjat dengan salam tadi. Dia kelihatan cukup keletihan. Lalu dia menyambung kata, “Ingatkan si Ramlan yang datang …” 

Aku terus menyalami sambil mengucup lembut tangannya. Begitu juga Kak Ngah Fikri, bersalaman dengan Mak Zainab. Mak Zainab memandang aku agak lama. Fikri seperti dapat membaca pemikiran Mak Zainab. “Ini .. Nuraini …., kawan kerja Madi dulu-dulu. Bila dia tahu Madi masuk wad, nak datang melawat sekali bersama-sama saya.” Tidaklah dinyatakan dengan sebenarnya kehadiran aku ke situ atas atas permintaan Rosmadi.

“Nuraini?” Mak Zainab bertanya semula seperti meminta kepastian.  Aku menganggu sahaja. Pandangan Mak Zainab kepada ku membuatkan aku terus bertanya,

“Kenapa?” 

“Emm ... malam tadi Madi asyik mengigau gitu, disebutnya berkali-kali..... Nuraini, Nuraini, Nuraini.” Mak Zainab masih juga memerhatikan diriku.

Aku diam sepi, juga persekitaran bilik itu sepi. Fikiran juga rasa kekosongan. Tiada sepatah kata keluar dari bibirku. Begitu juga yang lain. Fikri hanya sekadar memerhati aku dari kepala katil, sebelah kiri Rosmadi.

Tetiba Mak Zainab memecah kesunyian bilik itu, 

“Oooo tak apa lah …” . “Ina … tak kerja ke hari ini?” Sengaja pula Mak Zainab menukar soalan kepada Kak Ngah Fikri. 

“Kerja…. makcik, tapi sebelah petang. Nanti masuk kerja jam 3.00 petang, sampai malam. Kebetulan, pagi tadi, kawan saya tu minta shif macam itu untuk hari ini, sebab ada hal katanya.” Balas Kak Ngah Fikri lagi menyambung kata berbasi-basi. Mak Zainab angguk tanda faham.

“Rosmadi … bangun nakkk…,ada orang ni …” Mak Zainab mengerak-gerak tangan Rosmadi yang tidur seakan begitu lena. 

“Sebenarnya dia baru tidur tu, sejak malam tadi, asyik tak dapat tidur,terjaga-jaga tidurnya.” 

“Emm .. kalau macam itu, tak perlu kejutnya dia mak …” balas Fikri yang memang memanggil Mak Zainab dengan panggil ‘mak’. 

“Tak apa .. doktor baru aje keluar, lepas  tambah darah dan ni haa’aa …. doktor beritahu air ubat baru….” Mak Zainab menunjukkan drip ubat yang mengalir masuk melalui urat darah di tangan kiri Rosmadi.

“Kesian mak tengok, dah berapa lama jaarum tu duk kat urat tangan si Madi ni.” Mak Zainab mengosok-gosok lembut ke tangan anaknya yang terdapat bekas jarum suntikan. Kasihnya sebagai IBU tetap kekal, meskipun anak telah begitu dewasa. Itulah nulari keibuannya.

Mak Zainab berkata lagi,

“Dia ada pesan sama mak tadi ….., jika ada orang datang, dia minta kejutkan dari tidur.” 

“Dah banyak hari …. , mak lihat dia macam menunggu seseorang, mak ada tanya dia … nak apa-apa ke .. atau nak jumpa sesiapa ke? Dia jawab, tak ada apa-apa, yang diulangnya banyak kali, terima kasih mak! terima kasih mak!, ampunkan Madi, ampunkan Madi. Lepas tu .. halalkan makan minum Madi.” 

Mak Zainab menyambung lagi, dia mahu bercerita apa yang berlaku dengan Rosmadi pada masa kebelakangan ini situasi dia bersama-sama Rosmadi. 

“Itu yang buat mak risau, Fikri. Mak nak tinggal dia sorang-sorang pun jadi takut. Entahlah … apa yang difikirkannya, mak memang tak tahu. Mak pun ada kata kat dia, apa-apa pun, mak memang dah ampun dan halal segala hal salah silap dia pada mak. Mak juga ada minta maaf, jika ada salah silap mak pada dia. Dia angguk …………….., begitulah.” Terang Mak Zainab.

“Sabarlah mak, nanti baik…. lah tu, semalam petang saya datang ke sini.”

“Oooo … masa tu mak di rumah kot, Ramlan ada kan?”

“Ada ..” jawab Fikri perlahan, lalu menyambung. 

“Semalam saya lihat dia cukup sihat, minum, makan buah-buahan yang saya bawakan. Kami berbual-bual lama semalam.”

“Ya … betul semalam dan kemarin Madi cukup sihat. Mak macam nak minta daripada doktor, benarkan dia di bawa balik ke rumah. Tapikan, bila tengok dia malam tadi, batuk-batuk, muntah-muntah, sekejap-sekejap meracau, memanggil-manggil ‘Nuraini’, mak macam tak berani pulak, nak bawa balik dia ke rumah tu …”

“Sabar .. lah mak … nanti baiklah tu.” Begitulah Fikri memujuk Mak Zainab dalam menghadapi dugaannya.

“Madi … bangun nakkk…!” Seru lagi Mak Zainab terhadap Rosmadi. 

Aku diam sepi berdiri di belakang Mak Zainab melihat Rosmadi dibaluti selimut putih itu. Tetiba pintu bilik diketuk orang, seorang lelaki masuk, sambil memberi salam dan tika itu juga Rosmadi mengerak-gerak badannya, mata di buka perlahan-lahan. Seketika dia senyum kepada ibunya yang berada betul-betul dihadapannya. Aku pula berdiri di belakang Mak Zainab. Jika dari kedudukan Rosmadi itu, pasti tidak jelas sama sekali orang yang berada di belakang ibunya. 

“Ini Fikri datang ... dan ada kawan lain ni ha’aa. Bangunlah sekejap. Tengok siapa yang ziarah ni..” Maklum Mak Zainab kepada Rosmadi. 

“Ya .. ya .. mak, Fikri yang sudah agak lama berdiri di hujung katil bergerak ke belakang, hampir ke dinding bilik itu. Fikri mencari sesuatu di bawah katil dan seketika itu juga, katil itu mula bergerak tegak perlahan-lahan. Rosmadi mula bersandar.

“Emmm, dah boleh senyum tu …. Mak balik dulu Madi, kan malam datang balik. Acik dah tunggu kat bawah. Abang Lan akan tengok-tengok Madi ya...” Rosmadi angguk, lalu Mak Zainab mencium dahi Rosmadi. Bila mana Ramlan mengangkat beg Mak Zainab, aku mulai bersalaman dengan Mak Zainab, begitu juga Kak Ngah Fikri. 

“Makcik jalan dulu ya ...” Aku angguk lagi dan terus menjawab…..

“Ya ... InsyaAllah, kita jumpa lagi.” Mak Zainab angguk balik kepada ku dan Ramlan mula memegang tangan Mak Zainab untuk dipimpinnya berjalan ke luar bilik wad itu. 

“Madi bangun ni.” Jawabnya cukup lemah sekali. Fikri yang berada di sebelah Rosmadi membisikkan sesuatu kepadanya. 

“Oooo ya?” Agak kuat suaranya kedengaran selepas Fikri selesai memberitahunya sesuatu. Rosmadi senyum. Wajahnya yang pucat, kelihatan begitu gembira. 

“Tolong angkatkan sikit katil ni, nak duduk!” Kata Rosmadi. 

Fikri segera ke hujung katil membantu mengangkat katil tersebut seperti mana permintaan Rosmadi. 

“Along ke bawah, hantar mak, nanti datang semula.” Ramlan berkata demikian yang dituju khusus kepada Rosmadi. Rosmadi sekadar senyum sahaja.

Bila mana Mak Zainab dan Ramlan keluar dari bilik itu, Fikri bertanya ke Rosmadi, “Macam mana hari ini? Sihat?” Rosmadi senyum lagi, tapi cukup lemah sekali, sama seperti dari awal dia bangkit dari tidurnya. 

Rosmadi cuba jua bercakap, dia tanya kepada Kak Ngah Fikri sama ada sihat atau tidak, dan katanya Kak Ngah Fikri makin gemuk dan berisi sekarang. Kak Ngah menjawab seadanya apa yang ditanya oleh Rosmadi. Ketika itu aku berasa kehadiranku tidaklah diperlukan sangat, seperti mana yang Fikri maklumkan kepadaku pada sebelah pagi tadi menerusi telefon bahawa Rosmadi ingin sangat berjumpa denganku.

Aku bergerak ke tepi tingkap, melihat keluar melalui tingkap. Jelas nampak suasana Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil), Jalan Fletcher dipenuhi penghuninya. Masing-masing dengan ragamnya. Lima minit kemudian, aku berpusing ke arah katil Rosmadi semula. Aku lihat dia sedang membisikkan sesuatu kepada Fikri. Fikri mengangguk-anggukkan kepalanya seperti memahami apa yang dituturkan oleh Rosmadi. Selepas itu, dia memandang kepadaku seraya berkata, 

“Saya dan Kak Ngah nak ke kantin sekejap, rasa laparlah pulak!” Dipandang pula kepada Kak Ngahnya sambil memberikan isyarat mata. Aku buat-buat tak nampak. 

“Nuraini, tengok-tengokkan Rosmadi sekejap boleh? Kami turun ke kantin dan lepas itu naik balik ke sini.” Aku senyum sahaja, ya pun tidak, tidak pun tidak ku jawab. Seputar itu juga otakku berfikir sesuatu. Aku diam seketika. Ku lihat Fikri menghulurkan tangannya ke Rosmadi, sambil Rosmadi memegang erat tangan Fikri. Kak Ngah Fikri pula bergerak ke pintu bilik sambil gerak badannnya menunjukkan dia meminta izin untuk keluar dari bilik itu. Fikri mengikut di belakang Kak Ngah Fikri.

Aku sebenarnya masih berdiri di sebelah tingkap. Tidak tahu apa yang patut ku buat ketika itu. Pergi ke arah Rosmadi kah? Atau berbual dengannya dari sejarak dua meter itu? Agak mustahil aku harus berdiri di situ dan Rosmadi pasti perlu mengeluarkan suara yang agak kuat untuk berbual-bual dengan ku. Suaranya cukup lemah dan tidak wajar sekali aku memaksa dia berbuat demikian. Sambil berfikir-fikir itu, Rosmadi memanggil namaku. 

“Nuraini .... ke mari.” Katanya dengan suara cukup perlahan, namun ada sedikit arahan pada kata-katanya. Aku dapat mendengar kerana bilik itu cukup sunyi. Aku akur, lalu bergerak ke sebelah kirinya, mengambil alih tempat Fikri berdiri tadi. 

“Duduklah!” Arahnya. Aku ikut arahan itu, tapi ku tarik kerusi biru gelap yang sedia ada di situ agak berdekatan dengan Rosmadi. Suasana bilik sunyi semula.

Seminit berselang begitu, Rosmadi bertanya kepadaku,

“Anak-anak sihat?” Aku angguk. 

“Suami?” Pun aku angguk lagi. 

“Lama tak jumpa ....” Sambungnya dengan nada lemah. 

“Ya!” Aku menjawab agar tidaklah dikatakan dia berbicara seorang diri.

“Makan apa hari ini?”. Disoalnya aku kembali. 

“Nasi lemak..... makanan kegemaran, macam biasalah.” Aku mula menunjukkan sedikit sikap ramah, berbeza sebelum tadi dan aku mungkin telah boleh menyesuaikan diri dengan keadaan kami sekarang. 

“Masak ke?” Dia menyambung pertanyaan kepadaku. 

“Begitulah semenjak menjadi suri rumah ...” Aku menjawab sambil senyum dengan hasrat untuk berseloroh. 

“Macam mana kerja?” 

“Kerja-kerja biasa ajer, tolong kakk sepupu di kedai kek, tapi gaji taklah seberapa sangat. Dapat untung lebih, banyaklah sikit, Kak Nora bagi.” Aku memberi keterangan. 

“Emmm .... Encik Rosmadi nak makan nasi lemak? Saya boleh belikan di kantin. Rasanya ada dijual!”. “Rasa tu memang lah ada...., lagi..... rasanya nak makan dengan Ain, macam dedulu...” Dia memanggil aku ‘Ain’, tidak ‘Nuraini’ seperti kebiasaan semasa kami menjadi rakan setugas. Sedetik itu juga, aku jadi terperanjat. Seketika, suaranya terputus, terbatuk-batuk kecil, diteruskan juga katanya “Emmm ... juga dengan Afina, Afeezaa, Amiza, Encik Zul ...., lain-lain lah!”

“Sabarlah .... suatu hari, kita akan berkumpul balik.” Balas ku menyedapkan hatinya. 

“Macam dah tak sempat dah …..” 

“Iskkk, jangan cakap macam tu ….InsyaAllah, dipanjang usia, berkumpul lagi kita…”Aku menjawab perlahan. Batuknya mula menjadi-jadi semula. Aku lihat dia semacam mencari-cari sesuatu. Aku ternampak sapu tangan di atas kabinet laci yang terletak di sebelah kanan katilnya. Aku rasakan seperti dia perlukan sapu tangan itu. Terus aku berdiri, berlari ke sebelah kanan katilnya, mengambil sapu tangan kuning lembut, lalu dihulurkan kepadanya. Dia mengambilnya sambil mengelap mulutnya yang sudah dipenuhi air liur. Tak sampai hati aku membiarkan dia mengelap sendiri, tanpa berfikir panjang aku menolong dia mengelap mulutnya dan juga dagu hingga leher yang dibasahi air liurnya. 

Kemudian aku berlari ke bilik air yang berada berhampiran pintu masuk. Aku mencuci sapu tangan itu, lalu berlari semula ke arah Rosmadi. Mengelap-lapkan mulutnya. Aku jadi sedih bila melihat dia bertarung dengan sakitnya. Tanpa sedar air mata membasahi pipiku. Ku lap perlahan-lahan dengan lengan baju sebelah kiriku. Tetiba Rosmadi memegang lengan ku yang dibaluti baju kurung pahang itu. Aku cuba menarik tangan daripada gengaman tapak tangannya. Dia batuk semula, hampir muntah dan pegangan tangannya itu terasa cukup kuat, sekuat dia menahan sakit yang sekian kalinya. Akhirnya aku biarkan sahaja tangan ku dipegang. Aku dapat rasakan dia perlu sesorang ketika itu untuk memberikan kekuatan menahan kesakitan yang azab dialaminya. Bila batuknya berkurangan, dia melepaskan tanganku perlahan-lahan sambil berkata, 

“Maaf!, Ain, tolong jangan menangis.” Aku angguk sahaja. Segera aku ke bilik air semula, membersihkan sapu tangan kuning lembut itu. Menghabiskan sisa-sisa air mata yang aku tahan di depan Rosmadi tadi. Membersihkan wajah ku dan aku keluar semula ke katil Rosmadi. Aku lap sekali lagi mukanya beserta leher dan menyelimutkan bahagian kakinya.

“Turunkan katil, nak baring…” katanya. Aku segera berbuat demikian sebagai mana yang dia kehendaki. Selesai membaringkan Rosmadi, aku ke bilik air lagi, membasuh sapu tangan sebersihnya dan menyidai di bilik air berkenaan. Aku cucikan tangan dengan sabun, kemudian bergerak semula ke kerusi biru gelap.

Aku rapatkan kerusi ke arah Rosmadi. Aku tanya dia perlahan, 

“Nak makan apa-apa ke ?” Di jawabnya…

“Tidak, dah tak boleh masuk apa-apa, muntah terus .....”. Jawabnya tersekat-sekat. 

“Air?” Dia angguk. Aku ke kabinet berlaci itu semula, menuang sedikit air mineral dari botol ke cawan yang sudah ada di situ. Ku hulurkan cawan ke bibir mulutnya, diteguknya sedikit, kemudian mengangkat tangan sebagai tanda tidak mahu minum lagi. Aku mengemas kabinet laci mana yang patut dan kembali ke kerusi biru gelap. 

Aku pandang muka dia, lalu dia berkata …, 

“Ain, maaf kan aku ....” juga dalam nada tersekat-sekat. 

“Tiada sebarang silap Encik Rosmadi terhadap saya. Jika ada, tanpa saya sedar, saya sudah maafkan.” 

“Terima kasih, tapi tolong sampaikan salam ku kepada suami Ain, dan katakan aku mohon maaf daripadanya.” Sekali lagi aku terperanjat bila mendengar kata-kata itu, namun sekadar mengangguk juga. Aku sudah tidak mahu mengajak Rosmadi berbual lagi bila melihat kesakitan yang ditanggung oleh Rosmadi semakin teruk. “InsyaAllah ....” berulang kali kata-kata itu diucapkan oleh aku secara perlahan ke telinga Rosmadi. 

Seminit kemudian, Rosmadi menunjukkan sesuatu ke arah kabinet yang berhampiran dinding. Aku bergerak ke arah yang ditunjukkan oleh Rosmadi. Aku melihat senaskah Al-Quran dan beberapa surah yassin.  Aku mengambil salah satu naskah mulia itu, lalu menghampiri semula Rosmadi. 

“Ain .... tolong bacakan! Jika selesai membaca dan Madi tidur, Ain pulanglah. Jangan tunggu Madi bangun!”. Dia membahasakan dirinya ‘Madi’, biasanya ‘saya’, jika berbual denganku. Suaranya cukup perlahan dan tersekat-sekat. Aku menjawab “Ya.. Ya!”. Air mata mengalir semula dipipiku. Aku menahan esak, bimbang Rosmadi mendengar. Aku menarik nafas sedalam-dalam dan membuka Surah Yassin dalam gengamanku lalu kedengaran suara ku perlahan “Bismillahhirahmanirahhim .....” Tujuh ayat berulang (Al-Fatihah) ku baca, kemudiannya diikuti Surah Yassin dan akhirnya, aku menghabiskan ayat ke 83, yang terakhir dengan maksud terjemahannya : ‘Maha Suci (Mulia) Tuhan yang tangannya menguasai segala sesuatu dan kepadanya kamu akan dikembalikan.’

Menutup Surah Yassin dan mengembalikan ke tempat asalnya, aku merapatkan semula diriku ke katil. Rosmadi seumpama sedang tidur begitu nyenyak sekali, lalu aku menarik selimut putih yang hanya menyelimuti tapak kaki sehingga paras dada. 

Seketika, pintu bilik diketuk, aku sekadar menoleh ke arah pintu dan Fikri masuk bersama Kak Ngahnya. Setelah aku menjawab salam Fikri, dia bertanya mengenai keadaan Rosmadi dan aku menceritakan serba sedikit apa yang aku alami bersama-sama Rosmadi tadi, kepada Fikri dan kakaknya.

“InsyaAllah ….. baiklah nanti ….” Aku melafaz kata setelah selesai bercerita.

“InsyaAllah!” kedua-dua beradik itu menjawab serentak.

“Kalau dah tak ada apa-apa, jom kita pulang dulu …..” Fikri berkata demikian, setelah lima minit suasana diam membisu di antara kami.

“Siapa yang nak tengok-tengokkan dia?” Aku berasa bersalah, jika meninggalkan Rosmadi sendirian. Aku bimbang, jika dia terjaga dan perlukan sesuatu atau batuknya seperti tadi, tiada siapa yang akan membantunya …

“Jangan risau …. Abang dia akan kat luar, di ruang menunggu.” Baru aku tersedar yang aku terlalu menunjukkan sikap prihatin dan kerisauan yang melampau dari cara dan gaya aku berkata-kata tadi.

“Ya …lah, kalau macam tu …” Namun, tiada siapa pun di antara kami yang memulakan untuk bergerak keluar, lalu aku berkata kepada Fikir dan kakaknya,

“Keluarlah dulu …..kan saya ikut. Mereka mengangguk dan semacam faham maksud, aku memerlukan sedikit lagi ruang waktu, berdua dengan Rosmadi. Mereka akhirnya beriringan keluar dari bilik itu.

“Tidurlah dengan nyenyak, wahai sahabatku. Moga kau tenang dan Allah menempatkan kau di Surga Jannah! InsyaAllah, moga berjumpa kita di alam sana suatu masa kelak.” Tanpa sedar aku membisikkan ucapan itu ke telinga Rosmadi sambil menyentuh tapak tangan yang berada didadanya, berbalutkan selimut putih tadi. Sebagai hamba Allah, kita boleh mengharap dan terus mengharap Allah mengampuni dan memakbulkan segala doa yang kita panjatkan kepadaNYA. Entah mengapa, aku dapat merasai, ini adalah masa-masa terakhir kehidupan Rosmadi. Meskipun aku yakin dan percaya, ajal maut adalah ketentuanNYA. Air mataku kembali berlinangan di kelopak mata, lalu mengelap-lapkan air mata dengan tisu ditanganku sendiri.Kemudiannya, aku menarik tas tangan di atas kabinet berlaci itu, sambil bergerak ke arah pintu bilik.

Kami keluar dari hospital, ketika waktu kemuncak makan tengahari dan pastinya Jalan Tun Razak ini yang terkenal dengan ‘kesesakannya’, terutama waktu sebelah pagi, tengahari dan petang, membuatkan kami terperangkap di situ, hampir tiga puluh minit. Itu belum diambil kira, sekiranya terjadi tragedi kemalangan atau hujan lebat.

Setelah Fikri menghantar ku pulang ke rumah, aku mengambil peluang berehat seketika di rumah sambil makan tengahari, diikuti Solat Zuhur. Aku pergi membantu Kak Nora, ketika jam sudah hampir 3.30 petang. 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience