Bab 8c

Family Completed 2610

Tiba di tingkat satu pejabat ku, aku sudah nampak Kak Ruby duduk di kerusinya. Ooo mereka tak berlama-lama di hotel rupanya. Aku terus menerpa Kak Ruby dan bertanya, 

“Macam mana akak?” Terperanjat juga Kak Ruby di sergah, kerana dia agak ralit membaca Majalah Wanita. Kak Ruby merenung aku seketika …

“Kau tanya … macam mana? Kau tau tak, pasal kau leer, majlis hampir tak jadi ….” 

“Apa kena nya … kak, saya bukan pengacara majlis, jauh sekali pengerusi majlis atau orang kehormat …”

“Jangan duk wat lawak …. ya …”

“Apa nya kak ? Cuba cerita hal yang betul …” Pada sama aku memandang ke bilik Rosmadi dan boleh melihat melalui dinding kaca, dia tidak berada di biliknya. Aku cukup tidak puas hati dengan sikap Kak Ruby menyalahkan aku dalam hal majlis makan tengah hari di Hotel Peninsula. 

“Mari sini ….” Kak Ruby menarik tangan aku hingga sampai ke pintu bilik aku dan di suruhnya aku membuka pintu bilik …

Kami masuk ke bilik dan dia mengambil tempat duduk di hadapan kerusi kerja ku. Aku meletakkan beg tangan di atas meja.

“Mari sini nak cerita …..” Kak Ruby mula bercerita kisah dia dengan rakan-rakan sekerja ku.

Kak Ruby menceritakan bahawa apabila Rosmadi keluar dari bilik air, dia menemui Kak Ruby. Rosmadi bertanyakan mengenai rakan-rakan yang akan hadir ke majlis berkenaan. Kak Ruby memaklumkan kebanyakkan mereka sedang bersiap-siap. Jadi Rosmadi memutuskan bahawa dia keluar pejabat dahulu dengan Fikri dan menunggu mereka yang lain di dalam kereta, hadapan pintu utama. Selang hanya lima minit, telefon Kak Ruby kedengaran. Kak Ruby lihat nonbor sambungan di kaunter tingkat bawah, lalu mengangkatnya. Rosmadi menelefon bertanya Kak Ruby, sama ada Nuraini turut serta atau tidak. Pastilah Kak Ruby menjawab tidak, kerana aku telah memaklumkan kepadanya aku akan keluar bersama-sama Razman. Rosmadi seperti mendengus marah kepada Kak Ruby, dan dia katakan, kita batalkan majlis ini. Kak Ruby rasa begitu terperanjat bila mendengar nada marah Rosmadi. Kak Ruby agak musykil kenapa begitu sekali melentingnya Rosmadi dan turut memaklumkan yang aku menyuruh dia mempelawa Suhaila ikut sekali mengisi tempat aku. Rosmadi menghempas ganggang telefon dan Kak Ruby berlari turut ke tingkat bawa melalui tangga. Sampai di tingkat bawah, Kak Ruby dapat melihat aku dan Razman di dalam kereta yang baru hendak bergerak. Rosmadi juga bermasam muka. Kak Ruby menceritakan lagi bahawa dia ada bertanya Rosmadi, kenapa perlu batalkan majlis kerana hanya aku yang tidak turut serta. Namun Rosmadi diam membisu, seketika kemudian dia melabuhkan dirinya ke sofa yang berada di situ. Pada masa yang sama rakan-rakan lain turut dari tingkat atas melalui, Zulaikha, Ameera, Afrina dan Suhaila. Menjerit lagi sekali Rosmadi kepada mereka kerana ketika kedengaran mereka berhilai –ketawa. Takut mereka melihat kelakuan Rosmadi. 

Dari dalam pejabat, Kak Ruby dapat lihat Fikri telah memarkirkan Naza Ria di hadapan pejabat. Kak Ruby berlari lagi ke arah Fikri. Memaklumkan apa yang baru terjadi. Fikri mengunci pintu kereta dan memasuki pejabat semula. Setibanya di hadapan Rosmadi yang sedang menundukkan kepalanya ke lantai, Fikri menarik tangan dan membawa Rosmadi masuk lif. Kak Ruby tidak tahu apa yang berlaku di antara mereka berdua. Dalam tempoh 20 minit Fikri turut semula, pun pada masa yang sama kami juga telah membuat perancangan untuk makan di kedai mamak, hujung bangunan pejabat sekiranya majlis tengah hari itu dibatalkan. 

Fikri mengajak kami semua yang siap menunggu untuk bergerak ke hotel sebagai mana yang dirancangkan, termasuk Abang Mat Husin. Ada sesetengah rakan sudah membuat keputusan untuk tidak ikut sekali, tapi Fikri mendamaikan rakan-rakan yang mula membuat gossip dengan memaklumkan ada sedikit salah faham sahaja dan semua yang dijemput perlu mengikuti majlis berkenaan. Fikri berpesan tidak mahu perkara ini dibesar-besarkan dan di Tokok-tambah ceritanya. Rakan-rakan mendengar sahaja cakap Fikri dan di hotel, Kak Ruby tidak makan dengan penuh selera memikirkan kejadian itu.   

Sehabis bercerita kejadian itu, Kak Ruby bertanya.

“Apa sebenarnya kau orang berdua ni? Ada skandal ke?” 

“Isssk akak ni ke situ pulak …. Saya kan isteri orang …. Mana boleh buat skandal sesuka hati ….. tolong sikit lah kak ….” Aku menafikan telahan Kak Ruby …… meski pun di hati ini terasa aku menipu diri sendiri. Aku sedar aku telah tersasar dari landasan sebagai isteri. Jiwa aku telah direntap perlahan menerjah rasa rindu mendalam terhadap Rosmadi. Sikap Rosmadi yang sedia mendengar celoteh ku, gurauannya dan ketegasan dalam sesuatu perkara membuatkan aku ‘terpukau’ dengan kelebihan  Rosmadi. Sayang aku sudah berpunya. Tidak mungkin aku berpaling tadah. 

“Mana Encik Rosmadi?” 

“Tadi akak tengok dia ke surau ….Sebab  tu akak tarik kau masuk bilik ni …. Kan terjumpa kau orang berdua kat situ, dihempuknya …. Sebab mungkir janji.”

“Akak …. Saya tak janji apa-apa dengan dia tau …. Akak yang hantar e-mel  jemput semua orang kan?”

“Iya … lahhhh, salah akak ajer kau nampak …..” Kak Ruby merajuk dalam bergurau. 

“Tak pun kau pergi pujuk dia, mungkin boleh sejuk sikit hati nya …..”

“Akak ….. saya tak ada pun dalam situasi tadi ….. tetiba pergi pujuk dia ….. itu kira nak serah batang tekuk untuk di tetak atau cari maut tu ….” Aku menjawab dalam bahasa agak kasar kepada Kak Ruby .. Kak Ruby tak ambil kisah, sememangnya bercakap bahasa kasar bukan membuatkan Kak Ruby berkecil hati dengan ku …

“Tak pun …. Cuba Ain pergi jumpa dia …. sembang-sembang sikit …. bagi hati dia reda ….”

“Pening betul akak tengok sikap dia tadi …… tak pernah lagi dia bersikap demikian sepanjang yang akak tahu …”

Seketika kami melihat kelibat Rosmadi melalui hadapan bilik ku, kepalanya tunduk ke lantai, tanpa berpaling ke kiri atau kanan. Terdiam kami. 

“Tak apa lah akak … benda dah terjadi …. Akak pergilah sambung buat kerja. Jap lagi saya nak solat, dah hampir 4.00 petang ni …..”

“Ok …” Lalu Kak Ruby bangun dari kerusi dan menuju ke pintu bilik. 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience