Bab 7a

Family Completed 2610

Hari itu aku mengambil keputusan untuk pulang ke rumah lebih awal dari kebiasaan. Ada rakan-rakan mengajak aku membeli-belah di One Utama, Kota Damansara. Namun perasaan untuk berbuat demikian sama sekali tidak hadir dalam jiwaku saat itu. Entahlah mengapa timbulnya suatu kebosanan menebal dalam diriku, semenjak dua tiga hari lepas. Meskipun membeli-belah atau ‘window shopping’ dengan ‘menjelajah’ beberapa buah kedai menjadi perapi jiwa ku, tapi tidak kali ini. Langsung minat ku mati terhadap perkara-perkara berkenaan. Kak Ruby begitu beriya-iya mengajak dengan alasan tawaran jualan yang maha hebat sedang dipromosikan oleh pihak One Utama. Aku senyum pahit sahaja dan menolak sebaik-baiknya. Alasan ku penat dan berasa ingin merehatkan diri. Meskipun, rayuan rakan-rakan terhadap ku tidak berjaya, mereka bertegas untuk mengalas beg tangan masing-masing menuju destinasi yang diingini pada tengah hari jumaat itu. 

Aku tiba di rumah awal tiga puluh minit dari jam 12.00 tengah hari. Kak Melah pun tertanya-tanya kenapa aku pulang awal daripada kebiasaan. Aku menyatakan yang aku agak penat dan mahu merehatkan diri. Aku bertanya ke mana Akilah dan Kak Melah memaklumkan Akilah sedang tidur. Aku berpesan kepada Kak Melah, jika aku tertidur, harap dia mengejutkan aku pada jam 2.00 petang. Aku ingin bersiap ke pejabat semula nanti. 

Aku masuk ke bilik, menutup rapat pintu, meletakkan beg tangan, membuka tudung dan membaringkan diri dalam pakaian masih berjubah hitam yang bertekap benang perak di bahagian hadapan. Ke kanan ke kiri aku memusingkan diri. Aku akui sendiri satu perasaan yang begitu mencengkam dan menyesak jiwa raga melanda diriku. Satu kesakitan jiwa yang amat sangat aku rasakan seperti diriku dipeluk kejang, kejap dan kemas sekali, dek perasaan tersebut.

Terpikir aku, ‘Apakah aku ini gila? Perlukah aku bermaustatin di Tanjung Rambutan? Perlukah aku menjalani pembedahan untuk membuang ‘rasa’ yang amat menyakitkan ini? Apakah jenis penyakit yang melanda diri ku?’ Pelbagai persoalan timbul dan menerawang di pemikiran. Amat sukar aku mencampakkan ingatan ku kepada Rosmadi …. Itulah sebenarnya penyakit yang sedang aku alami. Boleh dikategorikan parah sama sekali. Sakit, sakit dan amat menyakitkan perasaan itu di hatiku. Kerinduaan terhadapnya menghambat diri, tidak pernah dalam hidupku sepanjang tiga puluh tiga tahun aku berperasaan begitu terhadap mana-mana lelaki. Walhal Razman sekali pun. Acap kali Razman meninggalkan aku selama ini sama ada menghadiri tugas di luar/berkursus dan lain-lainya yang kadang-kala lebih dari sebulan, aku tidak pun hanyut dalam kerinduan terhadap Razman seperti ini. 

Demi mengatasi masalah, aku mencari-cari peti ubat kecemasan yang diletakkan dalam salah-satu laci almari pakaian. Aku temuinya dan ku buka, ada tiga biji Panadol Soluble, yang diperolehi keterangannya melalui plastik pembungkusan. Barangan lain seperti biasa adanya, antaranya kain anduh, sekotak Hansaplast yang belum di buka, minyak Angin Cap Kapak, Dettol yang kami jadikan antiseptik untuk digunakan sebagai pencuci luka jika berlaku luka-luka kecil dan tinggal beberapa kepingan kapas sebagai pengelap luka serta satu bilah gunting kecil. Aku rasa Panadol Soluble itu dibelikan oleh Razman, semasa dia sakit kepala 5 bulan lepas. Aku teliti, aaaahhh masih boleh di telan, kata hati kecil ku. 

Aku menyimpan semula peti ubat kecemasan di tempat asalnya. Membuka peti ais kecil sedia ada di dalam bilik, mencapai sebotal mineral dan menelan kesemua pil berkenaan dengan seteguk air. 

Membaringkan semula diri dan sedetik demi sedetik masa berlalu aku berasa kelegaan yang berpanjang. Entah …. Minda ku hanyut di bawa bayu lembut ….. ingatanku hilang dan terus hilang begitu sahaja ….. 

*****

“Ain ….. bangun …. Ain …. Bangunlah!” Telinga ku tergiang-giang kedengaran nama ku di panggil. Perlahan-lahan mata ku buka …. terasa begitu berat kepala ku untuk di angkat. Pening, dan mual silih berganti. Ku gagah kan jua diri ku duduk bersandar ke kepala katil ….

“Pukul berapa ?”

“Dah hampir 7.00 petang …”

“Apa …. Biar betul ….” Kata ku. 

“Betul lah … apa hal nak ditipu pulak!” Balas Razman semacam ingin berlawak. Razman merapati ke arah diriku dan meletakkan tapak tangannya di dahi ku …

“Demam ke? … Tak lah …. Ok aje ni … Apa hal  dengan awak ni?” “Sakit?”

“Emmm …entah …ok aje … tak ada apa-apa …” Aku membalas kata-kata Razman.

“Awak tidur dari saya balik 12.30 tengah hari tadi lagi, saya dah pergi sembahyang jumaat dengan Azlan, makan tengah hari dengan anak-anak, pergi OUM dan sekarang dah balik dari OUM …. tak bangun-bangun … apa yang tak kena?” Tanya Razman dengan wajahnya yang berkerut. 

“Entah …” Aku jawab acuh tak acuh.

“Tapi …. Kenapa abang tak kejut kan saya tadi? Saya tak masuk kerja … belah petang ni!”

“Laaa … awak yang tidur tak bergerak-gerak …. Saya dah kejut banyak kali …”

“Letih dah rasanya, saya kejutkan…...”

“Ni …. Saya balik pun, sebab Kak Melah beritahu awak tak bangun-bangun dari tadi ….”

“Saya ada perbincangan dengan kawan, jam 8.00 malam. Saya balik juga …. Takut ler terjadi apa-apa kat awak.” Aku diam, masih terasa pening-pening lalat.

“Awak dah solat ke belum?”

“Solat?” Aku bertanya sendirian. “Haa’aa…” Jawab Razman.

“Emm … ya belum, Allah … saya tak Solat Zuhur ….”

“Asar ada lagi tu …. Pergilah cepat … kan kita solat Maghrib bersama-sama.”

Aku lantas bangkit, mandi ala kadar, berwuduk dan bersolat Asar. 

Lima belas minit kemudiannya azan Maghrib berkumandang merdu dari Masjid Umar Al-Khattab. Tamatnya azan, kami mengaminkan doa dan Razman dengan berpakaian baju melayu biru dan seluar slack hitam berdiri menjadi imam kami berdua. Tiga rakaat kami sujud kepada Ilahi, Sang Pencipta Maha Agung, disusuli doa agar kami kekal dalam agama Nya. 

“Saya keluar ke OUM semula …. Tak apalah lambat sikit …. Saya dah janji dengan mereka.” Razman memaklumkan sambil menyikat rambut. 

“Tak nak makan sikit ?” Aku bertanya.

“Tak apa … petang tadi dah jamah pisang goreng yang saya beli, mungkin ada lagi kat dapur.” Razman menyambung.

“Tolong tengok-tengok kan kerja sekolah anak-anak, pukul sepuluh suruh mereka tidur. Esok saya nak bawa Aishah dan Azlan ke Taman Rimba Ilmu UM, ada program dengan pelajar.”

“Ya … lah ..” Jawab aku yang masih berteleku di atas sejadah. Mata mengiringi pemergian Razman hingga ke pintu bilik sahaja. Aku tidak menghantarnya hingga ke pintu utama rumah, kerana ingin mengadaqkan Solat Zuhur yang tertinggal siang tadi. 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience