BAB 38 Segala Yang Berlaku Ada Hikmahnya

Romance Completed 24098

Sedang asyik menonton televisyen, telefon pintar Shahriz Aryan berbunyi dan di skrinnya tertera nama 'Fakhrul Nazmi'. Panggilan itu segera dijawab.

" Assalamualaikum, ya sahabat. Hang apa habaq?", ujar Fakhrul Nazmi dengan mesra di talian.

" Wa'alaikummussalam, ya sahabat. Ceq habaq baik ja. Hang apa habaq? Sehat ka?", ujar Shahriz Aryan pula mengusik sahabat karibnya yang pekat dengan loghat utaranya.

" Amboi hang. Sejak bila pulok hang pandai cakap basa utagha ni? Ceq ok ja. Hah! Apa ceghita hidup hang sekaghang ni? Ok ka? Eyza apa habaq?", soal Fakhrul Nazmi lagi.

" Eyza ok je. Life aku pun ok juga. Kau bila nak kahwin? Tak sabar nak makan nasi minyak kau.", ujar Shahriz Aryan sambil tertawa di hujung ayatnya.

" Shahriz, tunang ceq dah tak ada.", ujar Fakhrul Nazmi dengan nada suara yang agak sedih.

" Hah? Innalillahiwainnalillahhirojiun. Maaf, Fakhrul. Aku tak tahu.", Shahriz Aryan betul-betul terkejut mendengar tentang hal itu.

" Tak apalah aih. Dah memang tak ada jodoh ceq dengan dia. Allah lebih sayangkan dia. Biaqlah. Aku ghedho. Hang tu bila nak kahwin?", Fakhrul Nazmi cuba untuk mengalih topik perbicaraan mereka.

" Aku? Kahwin?", Shahriz Aryan tergelak besar kerana geli hatinya mendengar pertanyaan itu.

" Awat hang gelak pulok, Shahriz? Ceq tak buat lawok pun.", Fakhrul Nazmi terasa pelik mendengar gelakan Shahriz Aryan.

" Aku ni nak kahwin dengan siapa, Fakhrul? Aku manalah ada awek? Luculah kau ni.", masih ada baki gelak tawanya.

" Hang tak luahkan lagi ka isi hati hang kat Eyza? Shahriz, hang tak bolehlah lagu tu. Hang dah lama sangat dah pendam peghasaan hang tu. Bahaya hang tau tak?", Fakhrul Nazmi menasihati jejaka bertubuh sasa itu.

" Cinta tak boleh dipaksa, Fakhrul. Kalau dah tak ada jodoh antara kami berdua nak buat macam mana. Betul tak?", Fakhrul Nazmi pula disoalnya.

" Awatlah hang ni ketegaq sangat? Dengaq cagha hang cakap pun ceq dah tau hang tengah kecewa kan? Tulah hang. Ceq dah habaq mai daghi dulu lagi dah jangan pendam peghasaan tu lama-lama. Tengok? Dah kecewa kan?", Fakhrul Nazmi meleteri Shahriz Aryan.

" Ok, bos! Hang janganlah berleteriaq lagi na? Taik telinga ceq ni nok terkeluaq habih hang tau tak?", seloroh Shahriz Aryan.

Mereka ketawa bersama. Hampir sejam mereka berbual di talian telefon. Setelah menamatkan panggilan, Shahriz Aryan keluar dari rumahnya menuju ke Taman Tasik Titiwangsa. Di situ, dapat dia menenangkan fikirannya seketika. Namun, tempat itu juga mengingatkannya kepada Eyza Adriana.

Dipejamkan mata, dilapangkan dada dan dihirupnya udara yang segar menghadap ke tasik itu sedalam-dalamnya. Kemudian, dihembuskan nafasnya perlahan-lahan. Terasa tenang hati dan fikirannya.

" Assalamualaikum, saudara.", ucapan salam itu mengejutkan Shahriz Aryan.

" Wa'alaikummussalam.", Shahriz Aryan menjawab salam itu tanpa menoleh ke belakangnya.

Apabila tubuh tinggi lampai dan sasa itu ditolehkan ke belakang, Tazwin Iqbal berada di hadapannya. Pelbagai perasaan menerawang di fikirannya.

" Kenapa pula mamat ni ada kat sini?", bisik hati kecilnya yang agak kurang senang dengan kehadiran lelaki itu.

" Shahriz.", namanya dipanggil dan Tazwin Iqbal menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Shahriz Aryan sambil bibirnya menguntumkan senyuman manis.

Tangan itu disambut Shahriz Aryan dengan senyuman yang dibuat-buat. Kemudian, tangan mereka dilepaskan.

" Kau mesti pelik kan? Shahriz, aku nak kau dengar betul-betul apa yang aku nak cakap dengan kau ni.", Tazwin Iqbal seperti tahu apa yang dirasakan oleh Shahriz Aryan.

" Kau nak cakap apa lagi, Tazwin? Aku dah tak ganggu hubungan kau dan Eyza kan?", ujar Shahriz Aryan.

" Relax, bro. Chill ok?", Tazwin Iqbal cuba menenangkan Shahriz Aryan.

Jejaka berdarah kacukan Melayu dan Rusia itu hanya mendiamkan diri.

" Ok. Be calm, bro. Aku jumpa kau ni bukan sebab untuk suruh kau jauhkan diri daripada Eyza tu. Aku nak berterima kasih kat kau sebab dah selamatkan aku hari tu. Terima kasih, bro." ujar Tazwin Iqbal sambil tersenyum lagi.

" Dah kerja aku kan? Tu je kau nak cakap kan? Ok, aku nak blah dulu.", ujar Shahriz Aryan dan melangkah pergi meninggalkan Tazwin Iqbal.

" Kau masih cinta dan sayangkan Eyza kan?!", ujar Tazwin Iqbal dari jauh.

Langkah Shahriz Aryan terhenti. Tazwin Iqbal pula berjalan menuju kepada jejaka itu.

" Bro, Eyza ada cerita kat aku yang kau macam dah tak nak berkawan dengan dia. Aku faham kenapa kau buat macam tu. Tapi..", belum sempat Tazwin Iqbal ingin menghabiskan ayatnya, Shahriz Aryan mencelah.

" Tapi apa, bro?! Kau yang nak aku jauhkan diri daripada dia kan?! So?! Kau nak apa lagi?! Dah tak ada sesiapa ganggu hubungan korang kan?!", ujar Shahriz Aryan dengan nada yang agak kasar.

" Ya. Memang aku yang suruh kau buat macam tu. Tapi, aku dah ubah fikiran aku sekarang ni, bro. Eyza resah bila kau cuba jauhkan diri daripada dia. Walaupun dia tak cerita apa-apapun kat aku tentang perasaan dia buat kau, aku tahu dia dah mula cinta dan sayangkan kau. Aku sedar sekarang yang aku hanya pentingkan diri aku sendiri. Bro, aku nak kau bahagiakanlah dia. Hanya kau yang layak untuk dia. Perempuan yang baik macam dia hanya untuk lelaki macam kau yang tahu batas-batas dalam sesebuah perhubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Aku mengaku, aku ni hanya menurut nafsu aku semata-mata. Bahagiakanlah dia, bro. Dia memang dah diciptakan untuk kau.", Tazwin Iqbal meluahkan perasaan yang terbuku di hatinya dengan tenang.

Shahriz Aryan hanya mendiamkan diri untuk mendengar kata-kata daripada Tazwin Iqbal. Dia seakan-akan tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

" Bro, Eyza hanya untuk kau. Segala perasaannya untuk aku dah lama terkubur. Aku ni hanya kenangan silamnya dan kau adalah masa depan dia, bro. Bahagiakanlah dia. Dia berhak untuk memiliki kebahagiaan tu. Dan, hanya kau yang boleh berikan dia semua tu.", ujar Tazwin Iqbal lagi sambil sebelah tangannya memegang bahu Shahriz Aryan.

Selepas tangan itu dilepaskan, Tazwin Iqbal melangkah pergi meninggalkan Shahriz Aryan sendirian. Shahriz Aryan terpinga-pinga memikirkan kata-kata Tazwin Iqbal tadi.

" Ya Allah, adakah semua ini takdir yang terindah yang telah Kau tetapkan buat hamba-Mu yang kerdil ini? Alhamdulillah. Terima kasih, Ya Allah. Allahuakbar!! Allahuakbar!! Allahuakbar!!", ujar kata hatinya di mana airmata kesyukuran mula mengalir di pipinya.

Tazwin Iqbal pergi melawat Sofea Ramona di Hospital Permai, Johor Bahru. Penuh rasa simpati mengisi ruang hatinya melihat keadaan Sofea Ramona, seorang wanita yang pernah disia-siakannya dulu.

" Ya Allah, Kau sembuhkanlah wanita ini. Kasihanilah dia, Ya Allah. Kami terima dengan redha segala ketentuan-Mu. Segala yang berlaku ada hikmahnya, Ya Allah.", bisik hati kecilnya sambil melihat keadaan Sofea Ramona diiringi dengan airmata keinsafannya.

Tazwin Iqbal memandu keretanya pulang ke Ara Damansara setelah melawat bekas isterinya itu. Dia mengemas barang-barangnya ke dalam beg untuk pulang ke London pada keesokan harinya.

Hubungan Shahriz Aryan dan Eyza Adriana kembali terjalin seperti dulu. Namun, luahan rasa hati Shahriz Aryan masih dipendam lagi. Begitu juga dengan Eyza Adriana. Terasa sungguh bahagia apabila Shahriz Aryan berada di sisinya kembali.

Keadaan di KLIA agak lengang pada pagi itu. Tazwin Iqbal akan menaiki penerbangan pada pukul 11:35 pagi. Dato' Sabri, Datin Suzana dan adik-adik Tazwin Iqbal ada menemaninya di lapangan terbang itu. Fikri Rizwan dan isterinya, Qira Yuhanis yang sedang sarat mengandung juga ada bersama mereka.

" Bro, Eyza tahu tak kau nak balik London hari ni?", soal Fikri Rizwan.

" Tak tahu, bro. Aku saja tak nak bagitahu dia.", ringkas jawapan Tazwin Iqbal.

" Kenapa kau tak bagitahu? Kawan-kawan kita yang lain kau bagitahu tak?", soalnya lagi.

Ketika Tazwin Iqbal baru ingin membuka mulut untuk menjawab pertanyaan itu, kedengaran sayu-sayu namanya dipanggil. Mereka semua tercari-cari suara itu.

" Tazwin!!!", pemilik suara itu telah dikenal pasti.

Eyza Adriana berada di depan matanya bersama sahabat-sahabatnya yang lain. Dania Farhanim, Iqmal Yusri dan Shahriz Aryan juga ada datang bersama. Tazwin Iqbal agak terkejut dengan kehadiran mereka.

" Mesti kau yang bagitahu mereka kan, Fikri?", jari telunjuk Tazwin Iqbal ditunjukkan ke arah Fikri Rizwan sambil tersenyum.

Fikri Rizwan dan Qira Yuhanis hanya tersenyum nakal. Eyza Adriana dan sahabat-sahabatnya yang lain pergi menuju kepada Tazwin Iqbal.

" Sampai hati awak tak nak bagitahu kami yang awak akan balik ke London hari ni kan?", ujar Eyza Adriana yang termengah-mengah di hadapan Tazwin Iqbal.

" Saya tak sanggup nak jumpa korang semua. Takut-takut nanti saya tak jadi balik ke London.", seloroh Tazwin Iqbal sambil tetsenyum manis.

Pengumuman tentang penerbangan ke London berkumandang di ruang lapangan terbang KLIA itu. Mereka semua mendengarnya dengan teliti. Penerbangan ke London itu adalah penerbangan yang bakal dinaiki oleh Tazwin Iqbal.

Tazwin Iqbal bersalam dan memeluk ibubapanya, adik-adiknya dan sahabat-sahabat lelakinya. Lelaki terakhir yang dipeluknya adalah Shahriz Aryan.

" Bro, jangan lepaskan dia. Aku nak makan nasi minyak majlis kenduri kahwin korang nanti.", ujar Tazwin Iqbal di telinga Shahriz Aryan perlahan-lahan.

Pelukan di antara mereka dilepaskan.

" In Shaa Allah, bro. Doakan yang baik-baik je. Kau pun take care duduk kat sana ye? Nanti bolehlah bawa balik bakal isteri mat saleh.", Shahriz Aryan berseloroh sambil tersenyum mesra dan tertawa kecil.

Begitu juga dengan Tazwin Iqbal. Dia pun beredar pergi ke ruang pelepasan untuk menaiki penerbangan ke London itu dengan melambaikan tangannya sambil tersenyum kepada mereka semua. Lambaian tangan dan senyumannya dibalas.

Mereka semua keluar daripada ruang lapangan terbang KLIA itu dan Tazwin Iqbal pula telah berada di dalam kapal terbang.

" Ya Allah, permudahkanlah urusan hidupku dan kami semua. Kau pertemukanlah jodoh di antara Eyza dan Shahriz. Aamiinn.", doa di hatinya mengiringi penerbangannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience