BAB 23

Romance Completed 89895

Datin Zahara terkejut mendengar permintaan anak perempuannya itu untuk berkahwin lagi. Kali ini pernikahan hanya ‘syarat’ untuk kembali semula kepada bekas suaminya itu. Nazira benar-benar sudah ‘gila talak’. Tidak tahu bagaimana caranya lagi yang harus dia lakukan untuk memujuk hati anaknya itu agar meninggalkan Irham. Semua kata-katanya bagaikan mencurah air ke daun keladi. Hati anak perempuannya itu sudah keras seperti batu.

“Zira, dia dah ada isteri. Mama dengar isterinya tu tengah sarat nak beranak. Sudah-sudahlah tu sayang. Tinggalkan Irham.’’ Pujuk Datin Zahara. Tidak pernah jemu dia memujuk. Nazira mendengus kasar. Kalau bercakap mengenai Irham, semuanya pasti akan dibantah.

“Mama, Irham dah janji nak kahwin dengan Zira and I don’t care! Wife dia nak beranak ke, nak mampus ke, lantak dia lah! Yang penting, Zira akan kahwin balik dengan Irham.’’ Kata Nazira. Datin Zahara hanya mampu menggeleng lemah.

“Apa yang dah Zira buat dengan Irham tu sampai dia sanggup nak kahwin dengan kamu ni? Mama kenal kamu, Zira. Irham tu dah ceraikan kamu dengan talak gila sebab penipuan kamu tu. Tak akan begitu mudah dia nak rujuk balik dengan kamu.’’ Kata-kata Datin Zahara membuatkan Nazira terkedu. Jangan sampai mamanya tahu kalau dia telah ‘menyantau’ Irham untuk lelaki itu kembali ‘gilakan’ dia semula.

“Sudahlah, tak payahlah mama banyak tanya. Zira cuma suruh mama siapkan majlis kahwin Zira. Kecil-kecil sudah. Zira tak nak bersanding. Cukup dengan akad nikah aje.’’ Kata Nazira pula. Langkahnya terus meninggalkan ruang tamu itu. Belum sempat kakinya melangkah ke depan pintu, dia terserempak dengan papanya.

“Zira? Dah nak balik? Duduk lah dulu, makan tengahari sekali.’’ Ajak Datuk Khalid.

“Malaslah pa, tak ada selera.’’ Balasnya sambil menyalami tangan itu dan terus melangkah pergi. Datuk Khalid menghampiri isterinya di sudut itu.

“Apa yang awak bincang dengan Zira tu, marah benar dia tu, sampai ajak makan pun tak sudi.’’ Tanya Datuk Khalid. Datin Zahara diam seketika. Perlahan-lahan dia mengeluh.

“Dia nak nikah.’’ Kata Datin Zahara akhirnya.

“Nak nikah? Dengan siapa?’’ tanya Datuk Khalid dengan raut wajah yang terkejut.

“Entahlah, tak tahu apa nak jadi dengan anak kita tu. Dah berbuih mulut saya pujuk dia, jangan ikutkan hati. Tapi degil.’’ Tutur Datin Zahara dengan lemah.

“Biarlah, setidak-tidaknya dia tu tak terus menerus kejar si Irham tu. Biar hati dia tu sedikit terbuka untuk orang lain.’’ Kata Datuk Khalid pula. Datin Zahara diam. Sengaja dia tidak memberitahu suaminya akan sebab pernikahan ini. Dia takut suaminya akan bertambah marah dan nanti akan menghukum Nazira diatas kelakuannya. Biar bagaimana pun, sebagai seorang ibu, dia tidak mungkin sanggup untuk membiarkan anak gadisnya itu kecewa.

SEPANJANG perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, perasaannya masih dihuni rasa sedih teramat. Air mata yang mengalir dipipi tidak seakan tidak mahu berhenti mengalir. Daliya tewas dengan perasaanya. Kenapa dengan Irham? Kenapa sanggup dia mengusir aku sebegini rupa? Tidak bermaknakah lafaz cinta yang dilafazkannya sebelum ini?

Persoalan-persoalan yang tidak terjawab olehnya. Daliya mengeluh lemah. Dia menyeka air matanya dengan jarinya. Seiring itu dia meraba lemah perutnya.

‘Mama minta maaf sayang..’ desisnya perlahan. Kehadiran anugerah Allah ini sedikit sebanyak memberinya kekuatan untuk tetap bertahan. Apapun yang berlaku, dia harus tabah menghadapi ujian ini. Mungkin dia kini sedang diuji. Biarpun begitu perit ujian ini, Daliya pasrah dengan ketentuan. Andai takdir juga telah menetapkan, dia harus berpisah dari suami yang dicintai dengan cara sebegini, dia redha.

Sebaik tiba di kampung, hatinya diburu rasa tenang. sungguh cantik dan indahnya kampung halaman. Betapa dia sangat merindui kampung halamannya. Mungkin mereka akan terkejut dengan kehadiran secara mengejut ini. Daliya membuka pintu kereta. Menarik nafas panjang. Cuba mengawal kesedihan yang mungkin bertamu. Jam dipergelangan tangannya sudah menunjukan pukul 8 pagi. Bunyi kicauan burung terkukur peliharaan ayah mengamit rasa tenang dan damai. Daliya melangkah ke depan pintu.

“Assalamualaikum..’’ dia memberi salam. Sunyi sepi. Mungkin berada di dapur barangkali, fikir Daliya. Dia melangkah ke pintu dapur yang terbuka luas. Kelihatan dari situ, ayah yang sedang menikmati sarapan paginya dengan ubi kayu rebus bersama secawan kopi panas. Mata orang tua itu ralit membaca berita di surat khabar. Mak pula sedang sibuk mencuci pinggan mangkuk di sinki. Hati kecilnya menangis.

“Assalamualaikum, mak.. ayah..’’ suaranya sebak dalam memberi salam. “Waalaikumussalam..’’ Pandangan keduanya terus beralih ke arah Daliya. Tidak berkelip melihatnya.

“Kak Long?’’ mak terus menghampiri dan memeluk Daliya erat. Tangannya menyentuh pipi anak perempuan sulungnya itu. Air matanya menitis.

“Balik dengan siapa?’’ soalnya. Daliya mengukir senyuman yang terasa hambar.

“balik sorang aje mak, rindu dekat mak dengan ayah. Mak, ayah sihat?’’

“Mak dengan ayah kamu macam inilah. Mana suami kamu, tak ikut sekali?’’ pertanyaan mak kali ini membuatkan hatinya menangis pilu.

“Abang sibuk, payah cuti.’’ Daliya memberi alasan. Dia menyalami tangan ayahnya pula.

“Sibuk memanjang, ni mak ada buat ubi rebus. Mari makan sekali.’’ ajak mak. Daliya mendekati meja makan dengan senyuman.

“Alaa mak ni, macam tahu-tahu aje Kak long dah lama tak makan ubi rebus.’’ Daliya mengambil sepotong ubi disuapkan ke mulutnya. Sama. Rasanya masih sama seperti dulu.

“Kak Long balik cuti ke?’’ tanya ayah pula. Daliya senyap seketika. Cuti? Dia bukannya balik bercuti tapi telah dihalau dan telah pun sah berhenti kerja. Tiada apa-apa yang ada pada kehidupannya sekarang. Rasanya seperti kehilangan segalanya. Jauh dari Irham membuatkan dirinya terasa hidup tanpa jasad, bagaikan bernafas tanpa udara. Daliya mengeluh.

“Kak Long? Kenapa ni, mak tengok kamu macam ada masalah aje. Ayah kamu tanya, tak dijawab.’’ Tanya mak. Naluri ibu, lebih mengenal anaknya. Daliya tersenyum kecil. “Tak ada apa lah mak, kak long balik ni sebab nak bercuti dan berpantang dekat sini.’’ Cepat-cepat Daliya memintas permikiran maknya. Risau juga kalau naluri seorang ibu ini mungkin dapat membaca isi hatinya tatkala itu.

“kalau macam itu elok lah, tak lama lagi dah masuk bulan puasa. Boleh kamu berpuasa dekat sini.’’ Kata Mak lagi. Daliya hanya tersenyum hambar. Ramadhan bakal menjelang tidak lama lagi. ‘Tapi bermaknakah ramadhanku kali ini tanpa suami disisi?’

Sudah empat hari berlalu, Daliya melihat skrin telefon bimbitnya. Benarkah Irham telah menghalauku dari kehidupannya? Kenapa langsung dia tidak menghubungiku? Ya Allah, adakah benar aku telah kehilangan dia? Daliya mengusap perutnya yang semakin membesar. Adakah anaknya akan lahir tanpa ayah disisi? Air matanya menitis. Mengenangkan segala yang berlaku membuatkan hatinya bertambah sebak. Saat itu jua pintu biliknya dibuka perlahan. wajah maknya muncul di muka pintu. Daliya pantas mengesat air matanya. Wanita itu mendekatinya. Mengambil tempat diatas katil itu disisi Daliya.

“Mak tahu kamu ada masalah. Mak yang membesarkan kamu dari kecil lagi. mak kenal anak mak. Cerita dengan mak, apa masalah kamu hadapi ni?’’ tangan wanita itu mengengam tangannya. Daliya memandang wajah itu dengan rasa pilu yang teramat. Air matanya tumpah sekali lagi dihadapan maknya. Seraya itu juga maknya memeluk tubuhnya sambil mengusap belakangnya perlahan.

“Syhh.. sabar. Cuba bawa bertenang. Bawa mengucap.’’ pujuk mak perlahan.

“Kak long bergaduh dengan abang Irham, dia dah halau along keluar dari rumah kami.’’

“Astagtafirullahalazim.. macam mana boleh jadi sampai macam tu sekali?’’ jelas terkejut mak sebaik mendengarnya.

“Tak tahu lah mak. Dia dah berubah. Dia macam bukan abang Irham yang along kenal dulu.’’ Dalam sebak Daliya meluahkan. Menggeleng lemah wanita tua itu seketika.

“Masalah kamu ni, kamu kena bawa bincang elok-elok. Lari macam ni pun tak akan dapat selesaikan masalah.’’ Kata mak lagi. Kini giliran Daliya pula yang menggeleng.

“Dah tak ada apa yang nak dibincang lagi. dia dah halau along, sampai sekarang dia tak telefon tanya khabar berita along, nampak sangat yang dia memang dah tak perlukan along lagi.’’ Ujar Daliya.

“Ya Allah, kak long tak boleh fikir macam tu. Ingat berpisah ni suatu yang baik ke? Dalam perut along tu, anak along. Dia mahu lahir dengan adanya mak dan ayah. Sanggupkah along tengok dia lahir tanpa ayah disisi? Fikir baik-baik.’’ Habis saja kata-kata itu, mak melangkah meninggalkan Daliya di situ. Perlahan-lahan Daliya melepaskan keluhan. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa beban sebuah fikiran ini memikirkan masalah yang melanda. Kalau seandainya dia memaksa diri untuk bersama Irham, akhir-akhirnya nanti dia juga yang akan terluka. Mungkin begini lebih baik. Berikan hati ini masa untuk pulih.

……………………………………..

“No, I tak nak bersanding.’’ Bantah Nazira.

“But, you know my parents right? Dia nak perkahwinan kita ni meriah. You kena faham, I ni kan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga I.’’ kata Shahrul lagi. Nazira mencemuh.

“Whateverlah Shah, you sendiri tahu kan kita kahwin ni bukan untuk selamanya. Untuk Sebulan. Hanya SEBULAN!’’ tegas Nazira. Dia tidak mahu orang mengecop dia perempuan kahwin-cerai. Kalau boleh, dia mahu perkahwinan ini dirahsiakan.

“Kita ikut aje lah apa kata Daddy I, lagipun bukan duit kita yang habis untuk buat majlis tu.’’

“I said no, and the answer is still no. Senang-senang kita kahwin lari ajelah.’’ Usul Nazira. Ternganga Shahrul seketika. Kahwin lari? Nonsense!

“Look, I tak mahu ada orang tahu pasal pernikahan kita sebab pernikahan ini kan cuma syarat I untuk kembali bersama Irham. Please do understand me.’’ Pujuk Nazira. Shahrul mengeluh. Dia memang tahu sebab pernikahan itu, tapi hatinya sudah nekad tidak mahu menceraikan Nazira walau apapun yang berlaku selepas ini.

“Nantilah I bincang balik dengan daddy I, tapi bukan dengan cara kahwin lari.’’kata Shahrul akhirnya. Nazira tersenyum puas.

“Okey, fine.’’ Balas Nazira pula.

Telefon bimbitnya berbunyi. Nazira tersenyum kecil.

“Hello, hi sayang..’’ manja sekali suaranya. Shahrul sudah menjeling tajam. Berapi-api cemburunya dengan lelaki dalam talian itu. Dalam hati kecilnya turut tertanya-tanya. Kenapa sanggup Irham bermain cinta dengan Nazira sedangkan dia sudah menceraikan Nazira dengan talak tiga.

“Okey. I tunggu you. Bye, love you.’’ Nazira mematikan talian.

“You nak keluar dengan Irham?’’ tanya Shahrul sebaik sahaja Nazira meletakkan telefon itu ke dalam beg galasnya.

“Yap! Dia nak ajak I pergi tengok wayang. Oh.. I bahagia sekarang ni. Sebab Irham dah halau isteri dia tu. Tak lama lagi, dia cakap mereka akan berpisah. Tapi tunggu lepas isteri dia tu beranak.’’ Kata Nazira. Terkedu Shahrul mendengarnya.

“Zira, kalau I tanya you sesuatu boleh?’’

“What?’’

“Kenapa Irham sanggup terima you balik lepas dia ceraikan you?’’

Pertanyaan Shahrul membuatkan Nazira membisu seketika.

“Kalau I bagitahu you, you jangan beritahu dekat siapa-siapa tau,’’ kata Nazira. Lelaki itu mengganguk perlahan. Nazira menyambung lagi.

“Sebenarnya, I dah ‘santau’ Irham supaya dia gilakan I balik.’’ Bisik Nazira perlahan. Bulat mata Shahrul mendengar kenyataan itu. Sungguh! Nazira nampaknya sudah benar-benar kemaruk cinta sehingga sanggup dia melakukan perkara itu. Patutlah Irham beria-ria mahu rujuk kembali dengannya. Sampai-sampai sanggup lelaki itu mengusir isterinya yang tengah sarat mengandung. Sungguh kejam permainan Nazira. Desis hati Shahrul.

“kenapa you diam?’’ tanya Nazira pula.

“I terkejut. Seriously, I tak pernah jumpa lagi perempuan macam you ni. Dahsyat!’’ Shahrul tersenyum sambil menggeleng kepalanya. Nazira tergelak kecil.

“I sanggup buat apa saja untuk dapatkan apa yang sepatutnya jadi milik I, even dengan cara kotor macam ni.’’ Balas Nazira.

“Tapi sampai bila?’’

Nazira hanya membiarkan soalan itu tergangtung tanpa jawapan. Sampai bila? Dia sendiri pun tidak pasti. Tapi apa yang pasti, dia tidak mahu kehilangan Irham lagi. Cukuplah hanya sekali. Dia tidak mahu mensia-sia lelaki itu seperti dulu. Sungguh, dulu dia sangat menyesal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience