IRHAM memandu kereta menuju ke rumah itu dengan perasaan rindu yang teramat. Sudah seminggu dia meninggalkan rumahnya dan tinggal bersama ibunya. Tapi entah kenapa bayangan Daliya sentiasa muncul dalam fikirannya. Seakan memanggil-manggilnya pulang ke rumah. Mungkinkah Daliya sudah kembali dan menunggunya untuk pulang? Bibirnya menguntumkan senyuman. Mengiakan kata hati yang dia sendiri tidak pasti.
‘Liya tunggu abang, ya?’ bisiknya perlahan.
Sebaik tiba diperkarangan rumah, dia melihat keadaan taman ‘little garden’ yang sudah terbiar lama. Kalau dulu, masih dia ingat ketika dia sibuk mencuci kereta, Daliya pula akan sibuk merapikan tanaman bunga. Tapi taman itu kelihatan terbiar. Bunga-bunga yang tumbuh pun tidak dirapikan seperti biasanya. Harapan dia mengharapkan Daliya ada hancur berkecai di situ. Hati kecilnya menangis. betapa dia sangat merindukan isterinya.
‘Ya Allah, kembalikan lah isteriku ke pangkuanku. Berikanlah aku kesempatan untuk ku tebus salah silapku.’ Bisik hatinya.
Dia masuk ke rumah dengan perasaan hampa. Kemana lagi dia harus mencari isterinya? Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Dulu Daliya ada menyimpan nama kenalan rakan-rakannya diipad miliknya. Mungkinkah dari situ dia akan dapat petunjuk untuk mencari isterinya? Dengan cepat dia melangkah ke bilik, ipad yang berada diatas katil itu diambil. Pengecas diambil untuk menghidupkan ipad. Gambarnya dan Daliya kelihatan cukup mesra diletakkan sebagai wallpaper depan. Bibirnya tersenyum manis sambil mengusap pipi Daliya yang berada dalam skrin itu. Hampir semua kenalan yang ada di situ dihubungi tapi tetap saja tiada siapa yang tahu dimana isterinya itu pergi. Irham sudah buntu. Nama adik iparnya itu terpempan di situ. ‘mungkinkah dia ke rumah Achik?’ desis hatinya. Icon memanggil itu ditekan.
“Apa? Jadi betullah Liya ada kat kampung sekarang?’’ tanya Irham sungguh teruja.
“Yelah, dah berapa dia balik kampung. Achik ingatkan abang Irham ikut sekali..’’ kata Achik yang mula terasa pelik. “Okey-okey, thank you Achik!’’ Irham mematikan talian. Dia mengucap syukur. Akhirnya, dia berjaya menemui Daliya. Tapi kenapa ketika dia menghubungi ibu mertuanya dikampung katanya Daliya tiada di situ? Adakah Daliya cuba mengelakan diri daripada menemuinya?
Hatinya berbunga-bunga. Akhirnya, pernantian itu akan membawa kebahagian jua. Biarpun Daliya akan membencinya nanti, dia akan berusaha memujuk agar Daliya menerimanya kembali. Lagu iris nyanyian Awie bergema dicorong radio kereta yang dipandu. Hatinya terasa begitu tenang. ‘Abang nak nyanyikan lagu ini untuk Liya, harap Liya sudi mendengarnya biarpun jauh disudut hati.’ Desisnya perlahan.
“kau masih ku cintai, sungguh.. dari awal dulu hingga hari ini.. aku pasti seyakinnya pasti, kaulah satu untukku.. kau masih dewi hatiku, sungguh.. biar sejuta tahun hilang di hari, usah gusar sayang usah ragu.. aku mlikmu.’’
Irham masih menyanyi kecil sambil jari-jemarinya mengetuk-ngetuk stereng kereta. Dia melihat kedai bunga di tepi jalan. Terus dia memberhentikan keretanya disisi jalan itu. Dia harus melintas jalan kerana kedai bunga itu berada diseberang jalan. Rasanya, dia perlu bawa sesuatu untuk memujuk hati wanita yang dicintainya. Biar Daliya tahu, betapa tulusnya hatinya menyintai. Agak lama dia membelek-belek bunga yang berada di situ. Dia tidak berapa berkenan melihat bunga yang begitu sarat pada pandangan mata. Cukup untuk bunga yang sederhana tapi cantik mata melihat. Tapi dia masih tidak tahu bunga apakah yang sesuai untuk diberikan pada Daliya. Buntu Irham seketika.
“Encik nak belikan untuk isteri?’’ tanya penjual bunga itu dengan ramah. Irham mengganguk perlahan sambil tersenyum.
“Saya nak bunga yang simple, tak nak sarat-sarat sangat sebab isteri saya tu biasa saja orangnya.’’ Kata Irham. Dia tidak pernah membelikan bunga untuk Daliya. Rasanya kali terakhir dia membeli bunga untuk adiknya Hanani sewaktu majlis ulang tahunnya dulu. Itupun dia masih tidak tahu untuk memilih.
“Saya rasa bunga ini sesuai untuk isteri encik. Cuba encik tengok.’’ Kata penjual itu yang kembali semula dengan membawa sejambak bunga ros putih.
“Cantik, baiklah. Saya ambil yang ini.’’ akhirya Irham memutuskan untuk membeli bunga itu.
Dia melihat bunga itu dan menghidunya. Cantik dan harum! Harapnya agar Daliya sudi menerima bunga ini sebagai tanda minta maafnya. Irham melihat kiri kanan, jalan raya yang sepi. Dia berjalan untuk melintas tapi entah dari mana munculnya kereta itu sehingga tidak sempat untuk dia mengelak akhirnya merempuh badannya sehingga bunga yang dipegang terjatuh bersama titisan darah. Kereta itu berhenti seketika kemudian meluncur pergi meninggalkan Irham yang terbaring di atas jalan itu mengerang kesakitan. Akhirnya terus tidak sedarkan diri.
Sudah seminggu, Irham masih tidak sedarkan diri. Datin Fatimah hanya mampu mengucap panjang setelah diberitahu bahawa anaknya itu terlibat dalam kes kemalangan langgar lari. Akibat sudah dua kali dia mengalami hentakan kuat dikepala, doktor tidak dapat memastikan adakah Irham masih dapat diselamatkan atau tidak. Tapi hakikatnya sekarang, lelaki itu masih lagi kaku dipembaringan. Tidak henti-henti dia berdoa agar Irham sedar dari koma yang dijangkakan oleh doktor untuk jangka masa yang panjang.
“Ibu, dah masuk waktu berbuka ni. Makanlah sikit.’’ Hanani memberikan ibunya sebungkus roti. Sudah masuk tiga hari mereka berbuka dan bersahur dihospital. Entah sampai bila agaknya dia harus membiarkan ibunya berasa tidak temteram. Abangnya sering ditimpa nasib buruk akibat perbuatan orang lain. Hanani mengeluh lemah.
LAUK-pauk untuk berbuka dihidangkan di atas meja makan. Petang tadi sempat juga Daliya menolong maknya menyiapkan lauk asam pedas ikan pari, sayur masak lemak, dan ayam masak merah. Sebelum azan maghrib berkumandang, Daliya membawa jag air sirap ke ruang makan dengan beberapa biji gelas. Ayahnya sudah lengkap memakai baju melayu, berkain pelekat, dan berkupiah. Ayah memang akan berbuka dirumah dan akan ke surau untuk menunaikan solat terawih. Daliya pun tidak melepaskan peluang untuk mencari pahala lebih di bulan mulia ini dengan bersama-sama menunaikan solat terawih. Sebaik sahaja azan maghrib berkumandang, seperti biasa, ayah akan menadah tangan membaca doa berbuka dan juga doa makan. Selesai itu, nasi dicedok dan diletakan ke dalam pingan ayahnya.
“Banyak makan hari ni?’’ tegur ayah melihat nasi yang ditambah oleh Daliya.
“Hehehh.. lapar..’’ balas Daliya sambil tersengih. Ayah hanya tersenyum sambil membasuh tangan menggunakan air basuh tangan yang disediakan.
“Biasalah tu, tengah berbadan dua. Memang kuat makan, nutrisi dan zat kena banyak untuk anak dalam perut lagi.’’ Kata mak lagi. Daliya hanya diam mengiakan saja. Memang sejak dari awal berpuasa lagi, perutnya sudah tidak dapat menahan lapar. Kerjanya asyik mahu makan saja. Buat kerja-kerja berat sikit boleh cepat lengguh dan sakit belakang.
“Jangan makan banyak sangat, nanti cepat letih lepas tu mulai lah malas.’’ Kata ayah lagi yang sudah bangun dari tempat duduk. Lampu suluh dimeja diambil. Ayah memang akan selalu awal dari Daliya dan maknya untuk ke surau.
“Liya, cepat sikit. Dah lambat ni.’’ Panggil mak dari luar. Tergesa-gesa Daliya menutup pintu.
“Kejaplah mak. Tak tahu kenapa perut ni meragam pulak.’’ Kata Daliya sambil mengusap perutnya. “Itulah,makan banyak sangat berbuka tadi.’’ Kata mak pula.
“Dah tu sedap sangat. Plus, perut lapar. Memang lah makan banyak.’’ Balas Daliya pula. Mak hanya mampu menggeleng.
“Dah, cepatlah.’’ Ajak mak terus melangkah pergi. Daliya mengikut dari belakang dengan perlahan.
Usai sembahyang terawih malam itu, Daliya bertembung dengan Azam. Mereka berjalan bersama memandangkan jalan ke rumah dari arah yang sama. Banyak betul yang diceritakan oleh Azam. Cerita zaman persekolahannya dulu. Memang suatu yang cukup menggembirakan.
“Bercakap mengenai cinta, teringin juga Azam nak tahu, Liya kahwin dengan suami Liya tu atas dasar cinta ke?’’ pertanyaan Azam membuatkan Daliya sudah kelu. Kenapa harus bercakap mengenai suami dan cinta?
“Kami nikah bukan atas dasar cinta.’’ Akhirnya Daliya bersuara.
“Wah, hebat. Macamana Liya boleh kahwin tanpa ada rasa cinta ya? Zaman sekarang ni, nak kahwin mesti nak kenal satu sama lain, betul tak?’’
“Cinta tu ada, tapi cuma Liya aje yang cintakan dia. tapi Liya anggap cinta Liya tu angan-angan yang tak berkesudahan sebab dia bos Liya, orang berharta, ada pangkat, anak dato pula tu. tapi, perancangan Allah tu tak siapa tahu. Kami akhirnya disatukan dalam suatu ikatan perkahwinan yang tak dijangka.’’ Cerita Daliya sambil tersenyum bila mengingati semuanya. Mengingati semua sehinggalah detik-detik terakhir mereka. Adakah begini akhirnya sebuah perkahwinan tanpa cinta? Dia mengeluh nafas panjang. Melihat perkarangan rumah semakin hampir, cepat-cepat dia mengatur langkah. “Kita berbual lain kali lah.’’ Kata Daliya sebaik tiba di rumah. Azam mengganguk perlahan. belum sempat dia bertanya lagi, tapi Daliya terlebih dahulu meninggalkan dia. untuk saat dan ketika itu, dia hanya tersenyum. Mengingati kata-kata Daliya bahawa perancangan Allah itu tiada siapa yang tahu.
Balik sahaja malam itu, hati Daliya menangis. Entah kenapa dia rasa sangat merindui Irham. ‘Tapi Irham, mungkin tidak. Dia langsung tidak berusaha untuk mencari aku. itukah yang dinamakan cinta? Aku begitu bodoh menilai erti cintamu.’ Desis hati kecil Daliya. Air mata yang mulai bergenang dikelopak mata disapu. ‘aku harus kuat. Aku tidak mahu kelihatan lemah.’ Daliya mengertap bibir. Ditahan kesedihan yang mulai bertamu. Seorang isteri dan bakal seorang ibu harus melahirkan dan membesarkan anak tanpa adanya suami? Ya Allah.. apa yang harus aku katakan pada anakku apabila dia meningkat dewasa? Dimana dia harus menumpang kasih seorang ayah?
Share this novel