Rumah Musalmah. Waktu malam
Malam itu terasa sunyi sekali. Musalmah masuk ke dalam bilik. Maizurah sudah tidur. Sedang Musalmah masih lagi dipagut resah. Pertelingkahan yang berlaku antara Paman Adi dan ibu tirinya tadi, benar-benar buat hatinya tak enak. Esok hari, sementelah Paman Adi pulang semula ke kota besar dan ayah pula pergi ke kebun, waktu yang ada itu pasti akan digunakan Ibu Zaihan untuk menyakitinya. Resah. Musalmah benar-benar resah.
Jam di dinding bernyanyi-nyanyi kecil. Musalmah pandang ke dinding depan. Sudah pukul 11 malam. Dia bingkas bila ingatannya teringatkan Paman Adi di ruang tamu. Masih adakah lelaki itu di rumahnya atau sudah pun pergi? Perlahan-lahan, Musalmah bingkas dari tilamnya dan bangun menuju ke pintu. Ensel dijatuhkan. Dia keluar dari bilik dan naik ke atas rumah.
Dari tangga dapur dapat dilihat Paman Adi sudah berbaring di bangku panjang dengan tangan menopang di dahi. Perlahan-lahan Musalmah melangkah namun bunyi keriuk papan yang dipijak buat muka itu mendongak ke atas dan di situlah pandangan mereka bercantum. Paman Adi bingkas duduk. Wajah Musalmah dipandang.
“Belum tidur Musalmah?”
“Tak bisa lelap, paman.”
“Aku ngerti sekali perasaanmu.” Paman menyandar pula di kerusi. Dia gamit Musalmah supaya duduk di sebelahnya.
“Sepertinya kisah derita mu ini akan menjadi lebih panjang Musalmah. Paman tak punya jalan keluar untuk kamu melainkan kamu bersabar dan banyakkan doa semoga Allah sentiasa melindungi mu dan adik. Paman juga akan selalu mendoakan mu.”
Musalmah terdiam.
“Masihkah kau menulis puisi, Musalmah?”
Musalmah angguk kepala.
“Mana buku puisi mu? Bisa paman baca? Paman pingin kali membacanya. Terasa rindu benar paman pada tulisan kakakku. Bondamu Musalmah.”
Musalmah geleng pula.
“Bukunya sudah hilang paman. Sudah puas ku cari tapi masih tak jumpa.”
“Tak apa. Akan paman gantikan dengan buku yang baru, esok. Asalkan kau menulis dan takkan pernah berhenti menulis. Menulis bisa buat kau kuat.”
Musalmah tersenyum. Wajahnya kembali berseri.
“Pergilah tidur. Esok pagi kita sarapan sama-sama. Kemudian, kita pergi menziarahi pusara bondamu.”
Musalmah angguk kepala. Dia senyum lagi. Dan Paman Adi membalas senyuman itu.
******
Pagi-pagi lagi selepas solat subuh, Paman Adi sudah duduk di beranda. Menunggu Musalmah dan Maizurah bangun. Pak Daim tidak ke kebun hari tu kerana dia tidak mahu ada sebarang lagi pertelingkahan antara Adi dan Zaihan setelah ketiadaannya di rumah.
“Adi,” panggil Pak Daim di anjung pintu depan. Langkahnya mula turun satu persatu setelah Adi paling ke belakang.
“Apa Musalmah yang bercerita kepadamu tentang apa yang kau katakan semalam?”
“Iya.”
“Tapi dia tak pernah bercerita pada aku.”
“Takut barangkali.”
“Iya.” Ringkas jawapan Pak Daim.
“Kau mahu datang lagi ke mari bila kau sudah pulang nanti?”
Paman Adi pandang muka Pak Daim.
“Kalau abang izinkan. Aku akan datang.”
“Aku izinkan tapi sebelum pulang, kau harus minta maaf pada isteriku tentang kata-katamu semalam. Biar segalanya jernih semula.”
“Jernih bagaimana? Keponakanku jelas disakiti! Apa aku harus diam?”
Pak Daim menarik nafasnya panjang-panjang.
“Akan abang bicara dengan Kak Zaihan nanti kerana menyakiti hati anak kakakmu. Abang juga takkan berdiam, Adi.”
Paman Adi pandang lagi muka Pak Daim.
“Seharusnya kau hargai pengorbanan kakakku melahirkan Musalmah dan Maizurah. Jangan biarkan mereka disakiti. Aku enggak tega bang. Apa kau tega? Hanya kerana isteri baru mu orangnya cantik?”
Pak Daim rasa terpukul dengan pertanyaan itu.
“Cantik saja tidak berguna bang kalau hatinya busuk dan buruk! Yang menanah di dalam adalah jiwa anak-anakmu! Hati anak-anak kakakku!”
Pak Daim masih diam. Tiba-tiba, muncul Musalmah dan Maizurah di anjung pintu. Paman Adi bingkas dari tangga.
“Abang. Aku mahu membawa Mah dan adik sarapan pagi di kedai.”
Pak Daim mengangguk. Musalmah dan Maizurah pantas menyarungkan selipar di kaki dan pergi bersama Paman Adi ke kedai makan Timah Tonggek.
Share this novel