Rumah Musalmah. Pukul 11 pagi.
Musalmah baru usai menyapu laman rumah. Maizurah yang duduk di bawah pokok rambutan, dipandang juga sekejap-sekejap. Tiba-tiba, adiknya itu bangun dan berlari menuju ke jalan.
“Adik! Nak ke mana?” jerit Musalmah tak terlalu kuat, tidak juga perlahan. Fatin yang sedang bermain telifon di jendela pantas mendongak. Dia turun ke tanah dan pakai selipar demi melihat ke manakah Musalmah dan adiknya pergi.
“Adik! Tunggu akak!”
Maizurah berpaling. Serentak itu, Fatin menyorok di balik pokok bunga Mak Bedah.
“Adik nak jumpa mak. Adik nak mengadu kat mak yang makcik pukul adik. Biar mak datang malam-malam dan cekik makcik tu!” Maizurah seperti melepaskan kemarahan yang disimpannya. Musalmah pegang tangan adiknya, bila jarak antara mereka sangat dekat.
“Adik, mak bukannya hantu nak cekik makcik tu.”
Maizurah pandang kakaknya. Mereka terus berjalan meredah kebun-kebun getah hingga tiba di satu jalan, hanya belukar tebal yang ada di kiri dan kanan. Fatin sudah terasa seram nak teruskan langkah. Namun sebaik saja terpandang tulisan Tanah Perkuburan Kampung Gelugor, Fatin patah semula ke belakang dan berlari pulang. Sedang Musalmah sudah mengejar langkah adiknya yang berlari naik ke tanah perkuburan.
“Maaakkkkk!” Jeritan Maizurah mengisi ruang yang sepi. Musalmah membiarkan saja adiknya merebahkan badan dan memeluk pusara emaknya. Air matanya turut sama menitik bila mulut Maizurah sudah becok bercerita itu ini.
“Mak, adik nak tinggal dengan mak kat sini. Adik tak suka duduk kat rumah tu. Bawang putih dua orang tu dengan maknya jahat.”
Musalmah sekadar diam tidak bersuara. Dia mendengar apa saja luahan adiknya.
“Dah, jom kita balik dik. Tengahari dah ni. Kejap lagi ayah mesti balik.”
Maizurah angguk kepala. Musalmah sapu air mata adiknya dengan kain selendang yang dipakai. Dan mereka sama-sama berjalan pulang.
Fatin kelihatan termengah-mengah bila dia duduk di beranda rumah Musalmah.
“Mama! Ooo mama!” jerit Fatin di beranda.
Ibu Zaihan terkocoh-kocoh datang dari ruang tengah.
“Ha apahal dengan kamu ni? Mencungap je mama tenguk.”
“Orang pergi ikut Musalmah dan adiknya tadi. Mak nak tahu mereka pergi mana?”
“Ke mana?” laju Ibu Zaihan bertanya.
“Diaorang pergi kubur mak.”
Terjegil mata Ibu Zaihan.
“Nak kena budak ni. Aku suruh dia sapu laman, dia boleh pergi kubur pula! Apa dia ingat, mak dia tu hidup lagi ke nak dengar aduan diaorang tu!”
Bunyi motor Pak Daim buat dua orang manusia itu mendongak ke jalan.
“Hah, tu ayahnya dah balik.”
Fatin bingkas dan berdiri di sebelah emaknya.
“Ada abang nampak Musalmah dan Maizurah?” tanya Ibu Zaihan sebaik saja Pak Daim turun dari motor. Pak Daim pandang isterinya dengan muka berkerut.
“Ke mana pula mereka tu?”
“Fatin kata mereka ke kubur. Saya ni bukan apa bang! Risau! Jalan ke kubur tu dah la hutan belukar. Banyak ular. Anjing liar pun banyak pasai dekat dengan kebun tembikai Ah Peng! Kalau apa-apa berlaku kat diaorang berdua tu macam mana? Nanti abang salahkan saya pula sebab tak pandai jaga mereka kat rumah ni.”
Muka Pak Daim nampak tambah risau. Baru saja dia nak hidupkan motornya, terjuak kelibat Musalmah dan adiknya di hujung laman.
“Ha tu diaorang dah balik.” Ungkap Fatin laju. Ibu Zaihan tersenyum sinis. Dia merasakan kayu api yang ditiup sudah terkena percikan api!
Terima kasih kerana sudi singgah
Share this novel