Bab 37

Drama Series 3858

Kedai Timah Tonggek. Waktu pagi.

 

Musalmah duduk di kerusi berdekatan dengan Maizurah dan Paman Adi. Sebungkus nasi lemak diambil dan dibuka. Paman Adi melakukan hal yang sama pada Maizurah.

          “Paman pulang hari ni?”

          “Mungkin. Aku berat hati mahu meninggalkan kalian.”

Musalmah terdiam. Sedang Maizurah hanya merenung wajah Paman Adi. Paman Adi hirup kopi panas yang baru sampai di meja. Perlahan sekali sisipannya.

          “Saat paman tiada keluarga. Sebatang kara di rantau orang, ayahmu menerima paman sebagai adiknya. Begitu juga dengan bondamu. Setiap kali paman ke mari, setiap kali itulah bondamu akan memasak masakan yang sedap-sedap. Kesedapan yang bisa buat rindu paman pada masakan rumahku di kampung menyusut dan hilang dengan perlahan.”

Musalmah dan Maizurah merenung muka Paman Adi.

          “Kalau bisa aku bawa kalian berdua tinggal denganku, akan ku bawa tapi aku yakin, ayahmu takkan mengizinkan.”

Maizurah tunduk memandang nasi lemaknya.

          “Adik rasa takut nak balik rumah sendiri. Adik tak tahu nak ke mana.”

Paman Adi tarik nafasnya dalam-dalam.

          “Paman juga tidak menyangka, keadaan akan jadi sebeda ini.”

Senyap.

          “Paman. Lepas makan ni, Paman mahu terus balik?” tanya Musalmah.

Paman Adi menggeleng. Gelengan yang melegakan hati Musalmah pastinya.

          “Paman mahu ke pusara bondamu. Kalian mahu ikut?”

Adik sudah tersenyum. Nasi lemak yang berbaki dimakan dengan cepat. Paman Adi bingkas demi melunaskan bayaran sarapan pagi mereka. Setelah itu barulah mereka sama-sama bergerak ke Tanah Perkuburan Kampung Gelugor. Dalam perjalanan ke Tanah Perkuburan Kampung Gelugor, Paman Adi mencapuk Maizurah di belakangnya supaya budak kecil itu tidak mudah penat kerana berjalan.

Sesekali, terbit gelak kecil dari mulut Maizurah bila Paman Adi menggeletek tapak kakinya. Musalmah juga cuba senyum demi menyembunyikan gelisah yang berkurung di dalam dadanya sejak malam tadi.

          “Paman nanti rajin-rajinlah datang melihat kami di sini,” pinta Musalmah.

Paman Adi terdiam. Wajahnya mengundang sedikit pertanyaan.

          “Hubungan paman dengan ayahmu mungkin akan jadi renggang sedikit gara-gara hal malam tadi. Paman tahu, ayahmu masih cuba mencari jalan bagaimana paman tak bisa lagi datang ke rumahmu.”

Musalmah terdiam. Hatinya digulut kesedihan. Benarkah begitu?

          “Paman akan kirimkan surat buat kalian selalu.”

          “Bagaimana kalau surat itu tak sampai ke tangan kami?”

Paman Adi diam seketika.

          “Berikan paman alamat kawan baikmu. Paman akan utuskan surat melalui alamat itu.”

 Musalmah seperti berfikir sejenak. Alamat siapakah yang ingin diberikan? Tiba-tiba, dia teringat Cikgu Khairina. Ya, alamat Cikgu Khairina.

          “Baiklah paman. Nanti Mah tuliskan alamat tu.”

Paman pandang ke satu arah. Papan tanda sudah kelihatan di matanya. Maizurah diturunkan. Budak itu pantas berlari. Tanah yang agak membukit itu didaki dengan senyum penuh semuka.

          “Maakkk! Adik datang dengan Paman Adi!” jeritannya kedengaran gembira sekali.

Paman Adi pantas menadah tangan membaca sesuatu. Musalmah dan Maizurah mengikuti perbuatan itu. Setelah itu, dia meminta Musalmah dan Maizurah meninggalkannya di situ barang seketika. Musalmah akur. Dia menarik tangan Maizurah dan mereka menunggu di bawah pokok bidara.

          “Kak. Maafkan aku kerana tak bisa memegang amanahmu dengan baik. Keadaan sangat tidak mengizinkan kak. Abang sudah berkahwin lain.”

Sayup-sayup kedengaran esak suara Paman Adi berbicara.

          “Kak. Aku akan pulang ke kampung halamanku. Tiada lagi yang membuatkan aku bahgia untuk hidup di perantauan ini. Izinkan aku pulang kak.”

Terima kasih kerana sudi singgah

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience