Rumah Muslamah. Waktu malam.
Malam. Selepas makan malam, Musalmah menemani adiknya Maizurah menyiapkan kerja sekolah. Sekejap-sekejap, Maizurah pandang jam di dinding.
“Kenapa dengan jam tu?”
“Akak dah lupa ke? Kan adik dah janji dengan mak tadi, adik nak tido awal.”
“Sshhh.” Musalmah kerling mata ke ruang depan. Ayahnya masih ralit membaca surat khabar.
“Siapkan dulu kerja sekolah ni.”
“Ala... akak tolonglah adik tulis jawapan. Penatlah nak kira.”
“Tak boleh. Nanti macam mana adik nak pandai kalau semuanya akak buatkan.”
Maizurah buat muka cemberut. Terkial-kial tangannya mengira. Musalmah kembali menatap buku teks sekolahnya. Sekilas itu, dia melihat Maizurah tutup buku matematiknya.
“Adik dah siap.”
“Cepatnya.” Musalmah gapai buku teks adiknya. Buku latihan ditarik keluar dan diselak. Kepalanya tergeleng-geleng melihat adiknya buat kerja sekolah main hentam saja. Asalkan bertulis. Asalkan ada jawapan dan siap!
“Adik nak tidur dulu. Nanti mak tertunggu-tunggu pula adik.”
Musalmah jadi tak sampai hati nak paksa adiknya buat kerja sekolah itu sekali lagi. Setiap jawapan yang salah, dipadamnya sendiri dan dibetulkan.
“Tak tidur lagi? Pukul sembilan setengah dah ni.” Tegur Pak Daim.
“Ada sikit lagi ni, yah.”
Pak Daim angguk kepala. Televisyen dimatikan. Senyap pun menggelebar jatuh ke setiap ruang.
“Dah siap nanti, duduk kat kerusi ni kejap. Ayah nak cakap sikit.”
Musalmah angguk kepala. Dadanya menumpah debar! Apa ayah tahu dia berbohong siang tadi? Tulisan huruf dalam buku adiknya terasa herot dek kerana gigil di tangan. Rasa nak terkucil pun ada. Peluh di dahi sudah merenek. Gelisah sungguh perasaannya biarpun suara ayah tadi cukup mendatar. Tak naik sedikit pun!
“Ada apa ayah?” tanya Musalmah sambil tunduk memandang lantai. Nak angkat muka memang dia tak berani.
“Ayah sebenarnya dah tiga bulan lebih fikirkan perkara ni. Ayah rasa ada baiknya ayah cari calon pengganti emak kamu. Ayah risau sebab kamu dua beradik, tak tentu makan pakainya. Ayah sibuk di kebun. Harapkan kamu je lah yang jaga adik kamu tu. Mah setuju tak kalau ayah kahwin lain?”
Musalmah angkat muka pandang ayahnya. Lambat-lambat kepala dijatuhkan. Nak kata tak setuju, dia tak berani walau pada fikirnya, dia tak anggap semua itu sebagai satu beban pun.
“Ayah dah ada calonnya. Hujung minggu nanti kita ke Lumut.”
“Lumut?”
“Ya. Dia orang Lumut. Dia ada ajak ayah datang ke rumah. Adalah nak bincang sikit hal orang tua-tua.”
Musalmah angguk lagi.
“Dahlah, pergi tidur. Esok nak sekolah.”
Musalmah sambung anggukkan tadi. Langkahnya sudah menapak ke depan. Tangan dihulur dan Pak Daim menyambutnya. Musalmah tunduk dan cium tangan ayahnya sebelum langkah diatur masuk ke bilik.
Bab 4
Rumah Musalmah. Waktu malam.
~ Di kamar bilik.
Musalmah naikkan badan ke atas katil dengan perlahan. Dia tak mahu adiknya terjaga. Kata-kata yang diucapkan oleh ayahnya tadi masih terseret di kepala. Jatuh di dada satu persatu. Gelisah! Bagaimana kalau ada orang baru di rumah ini? Fikirannya pantas bertanya. Mendengar langkah ayah memijak lantai papan, melintasi kamar tidurnya, yakinlah dia yang ayahnya sudah masuk istirehat ke dalam kamar sebelah.
Musalmah tarik almari baju. Laci dibuka. Lilin dan mancis api digapai. Sesudah lilin dinyalakan, dia padam lampu bilik. Lilin itu dibawa dan dititikkan di sudut bilik, tempat Musalmah selalu berimaginasi dengan kata-kata dan diksi. Puisi ditulis dalam buku tulisannya. Jelas, yang ditulis adalah kegelisahan hatinya bila ada ibu baru nanti. Gelisah yang diluahkan pada ibunya sendiri melalui ekapisme ilusi.
Terima kasih kerana sudi singgah...
Share this novel